Ahad, 30 Ogos 2015

Cerpen : Selamat Malam Sayang




Aku melihat dia duduk di meja solek sambil menumbuk-numbuk bahunya. Wajah dia berkerut-kerut seperti menahan kepenatan yang teramat sangat. Simpati aku melihatnya. Pagi bekerja, menjelang maghrib baru sampai rumah. Terkadang sehingga lewat malam.

Aku merapati dia. Kedua-dua tanganku jatuh ke bahunya. Perlahan-lahan, penuh kelembutan aku menekan-nekan bahunya dengan jari jemari. Bibirku mekar dengan senyuman apabila melihat bibirnya tersenyum nipis.

"Sayang nampak penat sangat. Banyak kerja dekat ofis tu?" tanya aku.

Dia mengangguk.

"Hmm... abang suruh berhenti saja kerja, sayang tak nak."

Dia pantas menoleh. Mata bundarnya tajam menikam wajahku. Aku tahu dia marah. Aku tahu dia tidak suka aku berkata begitu. Sengaja aku mahu mengusiknya.

"Abang! Berapa kali Hani cakap, Hani takkan berhenti kerja. Hani suka bekerja! Lagi pun kalau Hani tak bekerja kita nak makan apa? Bil-bil pun mana datang duit nak bayar kalau Hani berhenti? Abang pun bukannya dapat kerja lagi. Duit simpanan kita pun makin hari, makin susut," ujarnya dengan nada sedikit tinggi.

Bibirku ukir senyum dalam paksa. Sedikit terasa dengan kata-katanya. Namun, aku memaafkan keterlanjuran kata-katanya itu. Mungkin isteri aku tidak sedar. Lagi pula, benarlah seperti yang apa dikatakan isteriku itu. Aku sekarang ini sudah jadi penganggur terhormat. Dan, masih berusaha lagi mengemis pekerjaan di bandar raya.

"Yalah... yalah. Lepas ni abang tak cakap lagi. Maafkan abang ya sayang. Senyum sikit," ucap aku laluku cuit dagunya.

Dia ukir senyum. Namun hanya senyum nipis dan kelihatan hambar. Mungkin dia penat sangat sehingga hendak senyum pun payah. Aku diamkan saja.

"Sayang dah makan? Jom teman abang makan. Abang ada masak nasi goreng kampung kesukaan sayang. Abang belum makan lagi. Ingat nak makan dengan sayang."

Dia menggeleng.

"Tak apalah bang. Hani dah makan dengan klien tadi. Kenyang lagi ni. Abang makan sorang-sorang ya? Bukan Hani tak nak temankan. Tapi, Hani penat sangat. Nak tidur terus," balas dia lalu bangun menuju ke katil. Tubuh dibaring ke atas tilam empuk milik kami. Selimut terus diselubung hingga menutup paras bahu.

Keluhan lepas. Beginilah setiap hari-hari aku. Ada isteri seperti tiada. Tetapi, aku tidak menyalahkannya. Dia yang bekerja untuk kami berdua. Sementara aku? Aku hanya duduk di rumah. Belum mendapat sebarang pekerjaan setelah dua bulan berhenti bekerja akibat syarikat tempat aku bekerja dulu, muflis.

“Yalah. Sayang rehatlah dulu.”

Aku berjalan menuju ke pintu. Baru saja hendak memulas tombol pintu, dia bersuara. Langkahku mati. Lantas aku berpaling ke arahnya.

" Tolong tutupkan lampu ya. Silau." Dia kembali menutup mata.

Kepalaku angguk. Hati aku cuba untuk ikhlas mengerti. Isteri aku penat bekerja. Tombol pintu pantas aku pulas. Segera aku keluar untuk mengisi perut yang berkeroncong.


~*~*~*~*~*~


Risau. Aku sungguh risau! Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Kelibat kereta milik isteriku masih juga belum kelihatan. Sudah berkali-kali aku mendail nombor telefonnya, namun tidak berangkat. Pesanan ringkas juga tidak dibalas. Di mana dia? Apa sudah terjadi padanya?

"Ya Allah, kau selamatkanlah walau di mana pun isteriku berada. Aku risaukan dia," doa aku sendiri.

Mata sekejap, sekejap memandang jam di dinding. Tanganku juga tidak lepas dari telefon bimbit. Mana tahu isteriku itu akan menelefon jika ada sesuatu berlaku. Sedang aku menunggu, tiba-tiba di luar perkarangan rumah kedengaran enjin sebuah kereta. Cepat-cepat aku membuka pintu dan keluar.

"Sayang! Ya Allah, risau sangat abang dengan sayang."

Sebaik isteriku keluar dari kereta, aku terus memeluknya erat. Bagaikan sudah lama tidak berjumpa gamaknya. Dalam pelukkanku, aku merasakan dia menolak tubuhku untuk menjauh.

"Abang... apa ni main peluk-peluk Hani. Hani tak boleh nafaslah. Abang nak bunuh Hani ke apa?"

Dia terus-terusan menolak tubuhku. Aku pula cepat-cepat meleraikan pelukkan sebaik merasakan dadanya turun naik menarik nafas yang berat.

"Sorry... sorry. Abang tak bermaksud nak buat sayang macam tu. Abang risau sangat Hani tak balik-balik dari tadi. Takut jadi apa-apa dekat saya je."

Terdengar keluhan dari mulutnya. Aku dijeling kecil. Aku senyum saja. Suka melihat jelingan geramnya itu. Tetapi, kenapa dalam jelingan kali ini lain benar? Jelingan seperti sudah tiada aura mesra. Perasaan aku saja ke?

"Abang nak risau sangat buat apa? Hani tak ada apa-apalah. Abang tahukan Hani ni banyak kerja? So, biasalah kalau balik lambat. Hani mana suka tangguh-tangguh kerja. Hani tak nak terlepas dateline yang bos bagi."

"Okey, abang faham kerja Hani. Cuma... sorry ya sayang, risau abang ni tak bertempat pula."

Pujuk aku lalu menggenggam erat jari jemarinya. Matanya aku tenung, namun sepantas kilat dia melarikannya. Aku jadi hairan dengan sikapnya semenjak dua menjak ini. Sudah tidak semesra Hani, isteriku yang dulu.

"Dahlah, bang. Hani nak masuk dululah. Nak bersihkan badan. Dah melekit semacam saja ni."

Dia terus berpamitan meninggalkan aku sendiri. Tanpa salam serta ciuman di pipi seperti diberikan kepadaku selalu, dia masuk begitu saja. Aku terdiam sendiri. Memikirkan perubahan isteriku yang mendadak. Sungguh-sungguh lain!

Ada apa dengan isteriku ini? Kenapa dia berubah begitu sekali? Aku seperti sudah tidak kenal dengan isteriku sendiri. Sudah tidak mesra denganku lagi. Atau lebih tepat aku dibuat umpama makhluk asing. Apa dia selingkuh di belakangku? Tiba-tiba fikiran jahat menjamah akal fikirnya.

"Masya-Allah! Aku tak sepatutnya fikirkan perkara buruk-buruk tentang isteri sendiri. Aku harus percaya dia. Ya, percayakan isteriku sendiri! Seperti mana dia mempercayai aku untuk menjaga dirinya seumur hidup."

Cepat-cepat aku menyangkal fikiran buruk yang cuba menghasuti aku sebentar tadi. Mana mungkin Hani tega curang di belakangku. Hani seorang isteri yang baik.


~*~*~*~*~*~


Perlahan-lahan aku menolak pintu bilik yang renggang. Aku lihat isteriku sedang bersandar di kepala katil sambil membaca majalah Wanita.

Terdengar tapak kaki aku masuk ke bilik, lantas dia menoleh ke arah aku. Dia senyum nipis kepadaku. Aku balas senyumnya itu. Lantas aku mendekatinya. Penuh berhati-hati aku memanjat katil dan melunjur kaki di sebelahnya.

"Sayang baca apa tu?"

Seketika dia menoleh ke arah aku.

"Baca cerpen dalam majalah ni," balasnya ringkas.

Aku mengangguk kecil. Seketika aku mengerlingnya di sebelah. Perlahan-lahan aku merapatkan dudukku dengannya. Hari ini adalah malam Jumaat. Sebagai pasangan suami isteri yang sah, mereka fahamlah apa biasa dilakukan pada malam ini. Aku sebagai manusia biasa juga tidak lepas dari 'keinginan' yang satu ini. Lagi pula batinku sudah lama diabaikan tanpa belaian seorang isteri. Ini semua gara-gara kesibukkan isteri aku yang seorang ini.

"Sayang..." seruku lembut sambil menjatuhkan tangan ke bahunya.

Sekali lagi dia toleh ke arahku. Keluhan kecil lepas dari bibirnya. Biar pun perlahan namun aku tetap dapat mendengar. Tangan aku yang berada di bahunya lantas dialihkan. Kemudian, dia sambung semula bacaannya. Aku terkedu. Namun, aku tidak mahu memaksa. Aku faham, mungkin dia penat atau tidak punya 'mood' itu sekarang ini.

"Err... Sayang, dah lama kita tak borak bersama-sama, kan? Sayang selalu sibuk. Balik kadang lewat malam. Abang rindu nak berborak dengan isteri kesayangan abang yang dulu..."

Usai kata aku toleh memandang wajahnya. Dia juga memandang ke arahku dengan dahi berkerut.

"Hani yang dulu? Apa maksud abang?"

"Yalah... Isteri abang yang dulu mesra. Sentiasa berbual apa saja dengan abang. Tak kiralah hal remeh atau pun masalah pejabat. Semua sayang shared dengan abang. Cuma, sekarang ni abang tengok sayang banyak diam. Kadang-kadang tu... sayang macam nak mengelak dari abang. Sayang... abang ada buat salah ke? Abang ada sakitkan hati sayang?" tanya aku lembut. Aku seperti dapat menghidu ada sesuatu dengan isteriku ini. Mungkinkah aku ada menyakiti hatinya yang aku sendiri tak sedar?

Dia di sebelahku bagai tidak keruan. Wajah dipalingkan ke hadapan.

"Ma... mana ada. Hani macam biasalah. Perasaan abang saja tu."

"Tak. Hani semakin berubah. Hmm, mungkin betul juga kata Hani tu. Perasaan abang saja, mungkin."

Dia mengangguk.

"Ya... ya. Cuma perasaan abang saja. Err... abang Hani tidur dululah. Esok pagi Hani kena ke pejabat. Takut terlambat bangun pula."

Dahi aku berkerut. Isteriku ini bekerja di hujung minggu? Biasanya jika hari cuti Hani akan duduk di rumah menemani aku saja. Atau, kami akan keluar ke mana-mana berdua.

"Hani kerja esok? Abang ingat nak ajak sayang ke rumah mama. Dah masuk tiga minggu kita tak jenguk orang tua tu, kan? Tadi pagi pun mama ada telefon, tanya bila kita berdua nak ke rumah dia."

Dia diam saja. Kepala direbahkan ke bantal. Kemudian, tubuh diiringkan ke arahku.

"Kalau abang nak pergi rumah mama, pergilah. Esok Hani tak dapat ikut. Hani ada meeting dengan klien. Penting."

"Apa yang penting sangat? Tak boleh postponed? Kesian mama. Dia pasti rindu kita berdua."

"Postponed? Mana boleh, bang. Nanti Hani terlepas tender tu. Dahlah untung dia besar. Rugilah company nanti."

Aku mengeluh keras. Entah kenapa, sekarang ini susah benar aku hendak mencuri masa isteriku ini. Asyik sibuk dengan kerja, kerja dan kerja. Sampai untuk luangkan masa berdua pun kadang terbatas. Aku merasakan tangannya menggenggam jari jemariku. Aku toleh.

"I'm sorry bang. Hani betul-betul tak dapat ikut. Nanti abang sampaikan salam Hani pada mama ya? Cakap dengan mama, minggu depan Hani datang jenguk dia. I'm promised!" pujuknya sambil mengelus lembut pipiku.

Apa aku boleh buat lagi? Bagai lembut dicucuk hidung, aku mengangguk saja. Sebenarnya, aku malas hendak berbalah dengannya. Aku sedar diriku siapa.

"Terima kasih abang. Hani tidur dulu ya. Selamat malam abang."

Seperti biasa, dia terus membelakangi aku dan menarik selimut menutupi paras bahu.

'Ya Allah, kenapalah rumah tangga aku jadi begini pula? Kenapa isteriku berubah sikap?'


~*~*~*~*~*~


"Ma..."
           
Aku tarik tangan mama lalu mengucup belakang tangannya. Senyuman aku lemparkan buatnya. Inilah satu-satunya ibu yang aku ada. Ayahku telah setahun meninggalkan dunia dan kami semua akibat serangan jantung.

"Adi sihat? Mana Hani? Dia tak balik sekali dengan kamu?" tanya mama. Matanya tertoleh-toleh ke belakangku. Mungkin mencari kelibat isteriku.

Aku menggeleng. Terbit rasa kesal kerana tidak dapat memujuk isteriku untuk ikut sama. Pasti mama rindu dengan menantunya yang seorang itu.

"Dia tak ikut, ma. Dia kerja. Ada meeting penting dengan klien," jawapku.

Mama mengeluh kecil. Aku tahu dia kecewa.

"Isteri kamu tu cuti-cuti pun bekerja. Patut masa cuti ni luangkan masa dengan suami. Ini tak…" sungut mama.

"Err... Angah dan Acik mana, ma? Senyap saja rumah," segera aku tukar topik perbualan.

"Dia orang keluar. Acik nak beli buku rujukan, Angah hantar dia pergi kedai buku. Kamu duduk dulu, mama pergi buatkan air."

Mama yang sedang hendak bangun dari duduknya, aku tahan. Aku datang bukan hendak menyusahkan mama. Aku datang ini sebab hendak menziarahi ibu kesayanganku itu.

"Tak payah susah-susah, ma. Adi dah minum dekat rumah tadi. Kalau haus pandai-pandailah Adi ambil sendiri."

Mama duduk semula.

"Kamu dah dapat kerja Adi?"

Aku menggeleng. Aku belum mendapat sebarang pekerjaan lagi. Puasku mencuba nasib tetapi satu pun tidak dapat. Mungkin majikkan takut untuk mengambilku yang sudah banyak pengalaman dengan syarikat lama. Pasti mereka fikir aku akan meminta gaji yang tinggi. Maklumlah, zaman serba gawat ini kos pun perlulah diturunkan.

"Kelmarin, Ayah Chik datang rumah. Dia kata syarikat kawan baiknya tengah cari pekerja. Ayah Chik ada cadangkan kamu dekat kawan dia tu. Kawan dia setuju nak ambil kamu bekerja sebab kamu berpengalaman, tapi dia nak interview kamu dulu. Itu yang Ayah Chik minta mama tanya pada kamu. Kamu nak ke tak?"

Aku diam seketika. Apa salahnya aku mencuba nasib? Sekurang-kurang jika dapat pekerjaan itu, ringanlah beban yang ditanggung isteriku. Kasihan Hani terpaksa bekerja mencari nafkah seorang diri. Tanpa berfikir panjang aku terus mengangguk.

"Yalah, nanti Adi telefon Ayah Chik macam mana. Adi memang memerlukan sangat kerja, ma. Adi tak sanggup tengok Hani bekerja keluar pagi, balik sampai lewat malam. Kesian dia ma..." Aku menyatakan rasa kasihanku terhadap isteri kepada mama.

"Kamu saja kesian dia, tapi dia tak kesian kamu pun. Isteri orang lain pun sibuk bekerja juga, tapi tak adalah sesibuk isteri kamu tu. Sibuk dengan kerja tapi suami dekat rumah terabai. Balik jauh malam. Isteri apa tu Adi..." bidas mama sinis.

"Ma, tak baik mama cakap macam tu. Hani balik lambat sebab sibuk bekerja. Sedangkan, anak mama ni masih di rumah. Ma, Adi faham kerja isteri Adi tu. Mama pun tolonglah faham sama."

Aku tidak sampai hati untuk menyalahkan isteriku itu. Dia sudah banyak berkorban sejak aku tidak bekerja. Mama diam terus. Tetapi, aku tahu dia masih tidak puas hati dengan kata-kataku.

"Hmm... ikut suka kamulah Adi. Tapi, pesan mama... kamu berikan perhatian lebih dekat isteri kamu tu. Sekarang ni macam-macam boleh berlaku. Tengoklah dekat surat khabar. Banyak berita isteri orang kena tangkap basah dengan suami oranglah, isteri lari ikut jantanlah. Hish, ngeri mama dengar! Janganlah jadi pada isteri kamu Adi."

"Astaghfirullah al-azim! Mama janganlah fikir sampai ke situ. Adi yakin, Hani takkan curang dengan Adi macam isteri-isteri dalam surat khabar tu, ma. In sha Allah..."

"Isteri kamu belum ada apa-apa isi ke? Dah nak masuk dua tahun kamu berkhawin masih belum berisi lagi. Kamu tak bawa dia pergi jumpa doktor ke Adi?" tanya mama lagi. Dan, soalan kali ini yang sering membuatkan aku sakit kepala. Setiap kali balik ke rumah mama, soalan ini tidak pernah lepas dari bibir wanita kesayanganku ini.

"Boleh belum ada rezeki lagi, ma. Adi dah cakap dengan Hani, tapi Hani tak sempat nak jumpa doktor lagi. Sekarang ni banyak kerja yang dia kena uruskan," jawap aku sedikit membela isteriku. Bukan aku tidak teringin punya zuriat. Sudah tentu mahu! Cuma, Allah belum mahu memberikan rezeki zuriat kepadaku.

"Sibuk... sibuk! Asyik sibuk memanjang. Entah bila masa tak sibuk pun tak tahulah," sungut mama lagi.

Aku diam saja.


~*~*~*~*~*~


Kereta aku parkirkan bersebelahan dengan kereta Persona berwarna merah milik isteriku. Jam tangan aku kerling. Dahi berkerut.

'Eh, awal pula dia balik. Selalu jika belum melepasi pukul sepuluh malam, dia belum sampai rumah,' bisik aku dalam hati.

"Abang dah balik!"

Tiba-tiba dia terjengul di hadapan pintu. Pantas dia mendapatkan aku dan menyalami aku. Aku semakin hairan. Awal-awal perkahwinan dulu, selalulah dia begitu. Namun, semenjak dua menjak ini perangainya sudah berubah, jarang sekali tangan aku dikucupnya. Yalah, balik terus masuk bilik tidur, mandi dan terus lena. Tetapi, hari ini dia mengucup tanganku semula?

"Jom masuk, bang. Hani ada masakkan asam pedas ikan pari untuk abang."

Lengan aku dipeluknya. Dia menarik tanganku masuk ke dalam. Sampai di ruang tamu, langkahku terhenti. Sengaja aku hentikan. Aku merenung tajam wajahnya yang memelukku dengan dahi berkerut.

"Kenapa tenung Hani macam tu?" tanyanya pelik. Lantas dia menilik tubuhnya atas bawah. Mencari titik kekurangan yang membuatkan aku merenungnya. Aku ketawa kecil.

"Tak. Hani lain sangat hari ni."

"Lain?"

Aku mengangguk. Ya, memang lain benar isteriku hari ini. Sudah kembali mesra seperti sedia kala. Itu yang membuatkan aku hairan sejak dari tadi.

"Yalah. Selalu tak macam ni. Selalu juga Hani endah tak endah dengan abang. Abang ada dekat sebelah pun, Hani macam tak perasankan abang. Macam abang ni... bayang-bayang saja," ujarku dengan nada berjauh hati.

Lenganku ditepuk. Wajahnya sedikit masam.

"Alah, abang ni... Itukan masa Hani penat. Abang tahukan, Hani kalau penat macam mana. Tapi, sekarang ni Hani tak penat. Hani nak layan suami Hani yang selama ni Hani endah tak endah tu."

Aku kecilkan kelopak mataku kepadanya. Sebagai tandaku kurang percaya. Dia pantas mengangguk-anggukkan kepala.

"Betul! Hani akan layan abang first class hari ini. Topup yang sebelum-sebelum ni."

Aku diamkan saja. Bibirku ukir senyum. Dalam hati terbit rasa gembira. Gembira kerana isteriku sudah kembali seperti sedia kala. Namun, adakah perubahan ini bakal kekal selamanya?

"Dah, jom makan!"


~*~*~*~*~*~


Tubuh aku sandarkan ke sofa. Terasa selesa sekali di situ dengan perut yang penuh. Aku sendawa besar tanda kekenyangan. Perutku yang sedikit buncit, aku usap perlahan-lahan.

"Alhamdulillah, kenyang!"

Dari tadi bibirku tidak habis-habis tersenyum senang. Hari ini entah mimpi apa isteriku memasak. Masak lauk kegemaranku pula itu.

"Air, bang."

"Buat susah-susah sayang saja."

Dia meletakkan mug berasap nipis di hadapanku. Aroma kopi cap kapal api menyengat deria bau. Kemudian, dia melabuhkan punggung di sebelahku. Tanganku di atas paha digenggamnya. Aku pandang raut wajahnya. Melalui air mukanya aku dapat membaca pasti ada sesuatu mahu diperkatakan kepadaku. Seperti hal serius. Aku diam saja. Menunggu bicaranya.

"Abang, Hani nak minta izin..." jedanya. Dia pandang wajah aku dengan raut serba salah. Dia tertunduk memandang kaki sendiri.

"Nak minta izin apa? Cakaplah."

"Err... Lusa, Hani kena pergi Sabah. Hani ditugaskan melawat tapak projek di sana selama seminggu. Abang... boleh tak Hani nak ke sana? Abang izinkan?"

Aku bungkam. Diam seribu bahasa. Adakah isteriku pulang awal, masak makanan kegemaranku semata-mata memujuk aku untuk membenarkan dia ke Sabah? Aku sedikit kecewa dengan apa yang dilakukan. Aku fikir benar-benar dia ikhlas melakukan semua itu untukku. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu! Aku kecewa.

"Jauh tu sayang. Abang risau kalau sayang ke sana. Lama pula tu" ujarku yang sebenarnya berat hati untuk melepaskannya.

"Alah, bukannya jauh macam pergi overseas, bang. Nak ke Sabah saja. Naik flight cuma empat puluh lima minit. Lagi pun, Hani ke sana bukan seorang saja, dengan Emelda kawan sepejabat Hani. Boleh ya, bang?" pujuknya dengan suara lirih.

Kepala aku berserabut. Tidak dapat membuat keputusan sama ada mengizinkan pergi atau tak. Aku tidak sanggup dia jauh dariku walaupun hanya beberapa hari. Yalah, dia isteri aku, wanita yang paling aku cinta selepas mamaku. Tentulah aku risau jika berlaku apa-apa kepadanya. Lagi pula sebelum ini dia tidak pernah dihantar syarikat sampai sejauh dan selama itu.

"Abang, boleh tak ni?"

Aku garu-garu kening. Pening!

"Maaf sayang. Abang tak izinkan. Suruhlah bos sayang cari orang lain ganti tempat sayang tu. Cakap dengan dia, abang tak benarkan. Habis cerita. Mesti dia faham nanti."

"Abang! Mana boleh macam tu. Projek ni semua Hani yang uruskan dan bincang sendiri dengan klien. Hani saja yang tahu. Kalau suruh orang lain nanti klien kata apa pula. Nanti klien tu mesti cop Hani ni sebagai pekerja yang tak bertanggungjawab. Tak naklah macam tu!" bentaknya.

"Sayang... nanti sayang terangkanlah dekat dia. Takkan dia tak faham. Sayang tu isteri orang. Apa-apa yang sayang nak buat mesti ikut keizinan suami dulu," balasku penuh berhemah. Berharap dia faham penolakkanku.

Aku lihat air muka terus berubah masam. Tiada senyuman seperti tadi lagi.

"Oh, sekarang ni abang nak kongkong Hanilah? Itu tak boleh, ini tak boleh. Sebelum ni abang tak kisah pun. Kalau Hani ada kerja dekat luar, abang izinkan saja. Kenapa pula sekarang tak boleh?" bidasnya dengan suara sedikit tinggi.

Aku terkejut dengan perubahan mendadak isteriku. Tiba-tiba saja dia berubah dan membesarkan suaranya terhadapku. Hani tidak pernah begini! Hani, isteriku yang dulu tidak pernah sesekali meninggikan suara kepadaku. Dia sentiasa lemah lembut dalam tutur biacaranya. Tetapi, Hani di hadapanku ini seperti Hani lain. Bukan isteriku. Mengapa? Namun, aku sedaya upaya mengawal reaksi dan suara. Aku tetap memujuknya lembut.

"Sayang, abang bukan bermaksud mengongkong sayang. Abang cuma..."

Dia terus bangun dan berpeluk tubuh di hadapanku.

"Sebenarnya, selama ni abang tak pernah nak faham Hani, kan? Abang mengaku sajalah  yang abang tak pernah percaya dengan Hani?"

"Bukan abang tak percaya," nafiku dengan suara perlahan. Api jangan dilawan dengan minyak. Api sepatutnya dilawan dengan air agar dia sejuk dan terus terpadam. Sama juga seperti situasi sekarang ini. Aku tidak mahu berbalah dengan isteriku.

"Ah, abang memang tak percaya Hani! Sudahlah kalau abang tak izinkan!"
          
Dia terus berlalu naik ke tingkat atas. Meninggalkan aku seorang termanggu di situ. Mata aku terkebil-kebil memandang langkah protesnya.


~*~*~*~*~*~


Tombol pintu aku pulas. Pintu bilik yang sudah terbuka aku tolak dan menutupnya kembali. Mujur tidak berkunci, jika tidak pasti aku tak boleh masuk.

"Sayang..." seruku sambil mendekati dia yang baring membelakangiku. Aku duduk di belakangnya. Lengannya aku pegang.

"Sayang marahkan abang ya? Merajuk dengan abanglah ni?"

Dia tidak menjawab. Aku jengah sedikit melihat wajahnya. Mata pejam, namun aku tahu dia bukan tidur pun. Kelopak matanya bergerak-gerak.

"Sayang janganlah macam ni. Abang minta maaf ya. Bukan niat abang untuk mengongkong sayang. Abang cuma risau sayang nak ke sana. Walaupun dalam Malaysia, tapi tempat tu bukan dekat macam semenanjung. Kalau sayang apa-apa dekat sana nanti, susah."

Dia diam saja. Aku mengeluh. Nampaknya pujukkan aku tidak berhasil. Mungkin jika aku menyatakan persetujuan rajuknya akan hilang. Terpaksalah aku mengizinkan saja walaupun hati berat. Aku tidak betah melihat isteriku merajuk terlalu lama.

"Okey, kalau sayang nak pergi, pergilah. Abang izinkan," kataku berat hati.

Dia palingkan tubuhnya menghadap aku. Bibirnya terukir senyum. Lantas dia bangun dan memelukku.

"Terima kasih abang. Hani sayang abang!"

Tanpa isyarat, pipiku dikucup laju. Aku sedikit terkesima. Bibir lantas tersenyum.

"Nanti sayang jaga diri dekat sana ya. Kalau ada apa-apa, call abang secepat mungkin."

Dia mengangguk laju.


~*~*~*~*~*~


Cuaca sungguh terik hari ini. Aku kehausan seharian berada di belakang rumah. Sejak tidak bekerja, aku meringankan tulang untuk mencucuk tanam sayur-sayuran. Sekurang-kurangnya, kuranglah sedikit perbelanjaan rumah.

"Panasnya!"

Aku segera masuk melalui pintu dapur. Peti ais aku buka. Mencari air sejuk. Buka saja peti ais aku mengeluh. Barang-barang di dalamnya telah berkurangan. Nampaknya aku kenalah berbelanja barang dapur hari ini. Jika ada isteriku kan bagus. Bolehlah aku mengajaknya berbelanja. Aku manalah tahu sangat bab-bab belanja barang dapur.

Isteriku sudah masuk hari kedua di sana. Segala panggilanku tidak berjawap. SMS pun kadang-kadang saja dijawap. Itu pun pendek-pendek balasnya. Apakah di sana langsung tiada signal untuk menelefonku?

"Rindunya abang dengan sayang," ujarku sendiri sayu. Sabarlah hati. Hanya beberapa hari saja dia di sana. Tidak lama lagi baliklah.

Tanpa berlengah aku berlalu ke bilik. Mandi dan bersiap untuk ke pasar raya.

"Sayur, ayam, ikan, udang, susu kotak, sabun basuh... Hmm, rasanya semua dah cukup." Troli sudah penuh dengan barang-barang yang Aku tolak troli untuk ke kaunter. Tiba-tiba ada seseorang memanggilku dari arah belakang.

"Hei, Johan! Kau rupanya. Sihat? Apa kau buat dekat sini? Ya Allah, lama aku tak jumpa kau Joe!"

Aku dan Johan saling berpelukkan. Lama tidak ketemu katakan! Kepada isteri serta anak perempuan kecilnya aku hanya menghadiahkan senyuman saja.

"Yalah, aku. Sihat saja. Kau apa khabar, Di? Buat apa dekat sini?"

"Alhamdulillah, aku sihat saja. Beli barang dapur sikit, Joe. Stok dekat rumah dah tinggal sikit."

"Oh, bagus-bagus. Err... Di, kau bukan dekat Sabah ke dua hari lepas? Aku ada kursus dekat sana. Malam semalam baru sampai sini balik. Kalau tak silap aku... aku nampak kau dengan isteri kau dekat tepi pantai. Nak panggil takut mengganggu kau orang yang tengah berbulan madu tu. Tak sedaplah pula," ujar Johan dengan ketawa kecil sedikit memeranjatkanku.

"Kau... kau nampak aku dekat sana?" tanya aku pelik.

Kepala Johan mengangguk.

"Haah. Tapi aku nampak dari jauhlah. Samar-samar. Isteri kau saja aku cam. Kau, aku tak berapa nampak sebab tertutup dengan cap," cerita Johan lagi.

Aku terdiam. Betul, isteriku sekarang ini di Sabah. Tetapi, siapa lelaki yang dimaksudkan Johan? Takkan pula aku? Aku ada saja di sini. Apakah Hani... Pertanyaan itu tergantung begitu saja. Aku tidak mampu meneruskannya. Dada aku berdegup kencang. Nafasku sudah turun naik.

'Ya Allah, janganlah kata-kata Johan ini benar. Hani tak curang! Hani, isteri kesayanganku itu tak mungkin menduakan aku. Itu tak mungkin!' jerit batinku. Aku enggan mempercayainya. Aku percaya isteriku tidak akan buat begitu.

"Oh... Haah. Ak... aku ada pergi Sabah. Teman isteri aku. Dia... dia ada kerja dan masih lagi di sana. Malam hari yang kau tengok tu aku balik semula ke sini," aku terpaksa mereka cerita. Maafkan aku Johan. Aku terpaksa berbohong demi menjaga maruah isteriku dan diri aku sendiri.

"Oh, macam tu. Hmm, berani kau tinggalkan isteri kau seorang dekat sana ya. Tak takut dia ada ehem... ehem... lain ke dekat sana?" ujar Johan dalam nada bergurau.

Aku terkedu dengan pertanyaan itu. Soalan Johan itu juga sangat membimbangkan aku. Ditambah lagi apabila Johan mengatakan dia nampak isteriku dengan 'aku.'

"Err... In sha Allah, isteri aku pandai jaga diri. Dia takkan buat benda bukan-bukan di belakang aku. Aku percaya dia," ujar aku dengan nada sedikit serius. Aku tidak suka mendengar kata-kata Johan tadi. Sebenarnya aku takut untuk membayangkannya.

Bahuku ditepuk Johan.

"Maafkan aku Di. Bukan maksud aku nak cakap isteri kau macam tu. Maaf kalau kau terasa ya?Aku tak bermaksud…"

"Eh, Joe. Aku tak apa-apalah. Aku tahu kau cakap macam tu sebab nak aku berhati-hati. Aku faham. Oh ya, aku dah nak cau ni. Ada kerja nak buat. Aku minta diri dulu. Apa-apa nanti call aku okey. Aku masih pakai nombor telefon lama. Jangan senyap je. Jumpa lagi. Assalammualaikum," aku pantas meminta diri sebaik bersalaman dengannya.

Benarkah apa yang dilihat itu adalah Hani, isteriku? Ah, pasti Johan tersilap lihat! Paling tidak pun, wanita itu adalah pelanduk dua serupa isteriku. Ya, betul! Tukas aku sendiri. Sengaja hendak menyedapkan hati.


~*~*~*~*~*~


Berkali-kali aku mendail nombor telefon bimbitnya. Namun, tidak juga diangkat. Aku mengeluh. Di manalah isteriku berada sekarang? Apa dia buat?

Aku tidak berputus asa. Kali ini aku mencuba sekali lagi. Ternyata percubaanku tidak sia-sia. Panggilanku diangkat.

"Assalammualaikum, sayang!"

"Hmm... wa'alaikumsalam, bang. Ada apa call Hani tengah malam ni?" tanyanya dalam suara serak basah. Pasti dia sedang tidur semasa aku telefon tadi. Kasihan dia.

Aku diam. Tiba-tiba tidak tahu hendak kata apa. Lidahku kelu seribu bahasa. Namun, hatiku risau. Kata-kata Johan tengah hari tadi terngiang-ngiang di telingaku.

"Abang... Hello, abang!"

"Ya... ya sayang!"

"Abang dah kenapa ni? Call Hani tapi tak nak cakap. Kalau abang tak nak cakap, Hani off sajalah. Hani ni mengantuk tahu tak. Esok dahlah Hani kena keluar awal," rungutnya. Hani, isteriku itu memang tidak suka orang mengganggu tidurnya.

"Eh, nanti dulu sayang!" pantas aku tahan.

"Hmm... ada apa abang call Hani ni?"

"Abang... abang cuma nak tanya, Hani sihat? Macam mana kerja dekat sana?" Lain yang aku mahu cakap, lain pula yang terluah. Senang kata aku tidak sanggup cakap dengannya. Aku khuatir dia menuduhku tidak percaya dengannya seperti kelmarin. Ah, lupakan sajalah tentang apa yang diperkatakan Johan iu. Mungkin betul Johan salah lihat.

"Hani sihat. Kerja tu biasalah, bang. Banyak juga masalah dekat tapak projek nak diselesaikan. Abang sihat tak ni? Abang rindu Hani ya?" tanyanya meleret.

"Abang sihat juga. Cuma... hati abang tak sihat. Betul, abang rindukan sayang sangat-sangat. Sepi hari-hari abang bila sayang tak ada di sisi. Kosong hati abang sebab tak lihat wajah Hani berhari-hari," ucapku lirih.

Ketawanya memecah.

"Apalah abang ni! Hani baru tiga hari dekat sini, dah sibuk rindu. Abang, beberapa hari lagi Hani baliklah. Sabar sikit ya. Sekejap je lagi."

Aku ketawa. Memang aku rindukannya sangat-sangat. Aku tidak boleh berpisah sehari pun dengannya. Sebab itulah awal-awal lagi aku membantah di hendak pergi ke Sabah.

"Okey. Sayang jaga diri dekat sana ya? Kalau nak keluar ajak kawan... err... siapa namanya?"

"Haa? Err.... Oh, kawan pejabat. Nama dia… Emelda," jawapnya tersekat-sekat. Aku seperti dapat mengesan ada yang tidak kena dengan nadanya. Tetapi aku diamkan saja.

Beberapa saat aku diam, tiba-tiba aku terdengar dengkuran. Seperti dengkuran lelaki. Ya, sungguh jelas sekali! Sepertinya ada seseorang berada dekat dengan isteriku. Jangan-jangan apa yang dikatakan Johan adalah benar? Berderau darahku!

"Sayang."

"Hmm..."

"Siapa dekat sebelah sayang tu? Abang dengar orang berdengkur kuat," aduku dengan nada curiga.

"Haa? A... apa abang cakap, Hani kurang dengarlah,” ujarnya seakan tidak mendengar kata-kataku tadi.

"Abang tanya, siapa dekat sebelah sayang tu? Kawan pejabat sayang ke yang berdengkur kuat sangat tu?" Aku ulang balik pertanyaanku tadi.

"Err... betullah tu. Emelda, kawan pejabat Hani yang berdengkur. Dia memang dengkur macam tu kalau dah penat. Tidur pun lasak. Suka mengingau berjalan sampai ke sebelah Hani dia baring."

"Oh..." jawapku pendek. Namun, dalam hati masih terselit keraguan terhadapnya.

Walaupun aku masih curiga, aku diamkan saja. Ini kerana aku tidak mahu memanjangkan cerita dan berbalah nanti. Kasihanku juga tumpah kepadanya kerana aku menganggunya yang sedang tidur.

"Sayang tidurlah dulu. Esok kena keluar pagi, kan? Tidurlah," arahku.

"Okey, Hani sambung tidur dulu ya. Assalammualaikum abang."

"Wa'alaikumsalam…"


~*~*~*~*~*~


Sudah seminggu berlalu. Isteri aku juga sudah kembali ke pangkuanku semula. Perangainya kembali semula seperti dulu. Aku bagai tidak diendahkan. Dia sudah berubah kembali kepada Hani yang sibuk dengan kerja.

"Sayang siap awal-awal nak ke mana ni?" tegurku melihat dia menyembur minyak wangi ke tubuhnya. Wangian minyak wanginya menusuk ke deria bauku. Terlalu kuat sehingga aku menutup hidungku. Oleh kerana tidak tahan, aku jauhkan sedikit diri daripadanya.

"Nak jumpa klien," balasnya pendek.

Berkerut dahiku. Takkan setiap hari cuti saja jumpa klien. Takkan juga hendak berjumpa dengan klien sampai menyembur minyak wangi hampir suku botol.

"Habis, macam mana janji Hani nak jenguk mama? Minggu lepas Hani batalkan sebab ke Sabah. Minggu ni nak batalkan juga?"

"Nak buat macam mana lagi, bang? Dah tuntutan kerja Hani. Bila-bila masa pun klien minta jumpa, Hani kena beri komitmen. Nak batalkan meeting ni pun payah. Klien Hani tu datang dari Johor dan dia dah pun ada dekat sini. Kalau Hani batalkan, kesianlah dekat dia. Dari jauh datang tu," balasnya selamba sambil membetulkan anak rambutnya.

Aku mengeluh.

"Mama mesti kecil hati nanti. Entah apa pula alasan abang nak bagi nanti," bisikku perlahan.

"Dah siap! Okeylah bang. Hani pergi dulu. Mungkin petang sikit Hani balik kut. Lepas meeting nanti, Hani nak pergi rumah kawan pejabat kejap. Dia baru lepas bersalin."

"Hmm... Hati-hati memandu."

Aku sudah tiada kuasa untuk menahan. Kalau ditahan juga dia tetap mahu pergi. Jadi, biarkan sajalah. Dia menarik dan menyalami tanganku sebelum berlalu keluar dari bilik beradu kami. Betulkan isteriku mahu bermesyuarat dengan kliennya?

Beberapa saat kemudian, hatiku terdetik satu idea. Untuk sebuah kepastian, fikiranku memaksa untuk aku mengekori isteriku secara senyap. Bukannya aku tidak percaya padanya, namun rasa ragu-ragu menggugat fikiran.

"Betul ke apa yang bakal aku buat ni, ya Allah? Aku percayakan dia. Tapi... sering kali dia memberikan alasan yang sama membuatkan rasa percaya ini goyah. Harap-harap Hani tak lakukan perkara yang bukan-bukan," aku berdoa dalam hati.

Tanpa fikir panjang dan rasa hati yang sedikit berat, kunci kereta aku capai jua.


~*~*~*~*~*~


Hampir 15 minit keretaku membuntuti kereta Hani. Jarak di antara keretaku dengan keretanya hanya sebuah kereta Kelisa berwarna biru hitam. Dalam masa itu juga tiada yang mencurigakanku.

Sehinggalah 5 minit kemudian, isteriku membelok ke kiri. Aku mengekorinya dengan dahi berkerut. Di sini bukanlah laluan ke pejabat isteriku. Tidak silap, ini adalah kawasan perumahan separa mewah. Apa yang isteriku hendak lakukan di sini? Bukankah dia sepatutnya berjumpa dengan klien? Takkan jumpa di sini? Bau-bau curiga mulai meresap ke akalku.

Aku terus mengekorinya. Sesampai di sebuah rumah bernombor A25, isteriku berhentikan keretanya betul-betul di hadapan pagar rumah itu. Aku pula memarkir jauh sedikit dari rumah itu. Dari jauh aku lihat isteriku turun dari keretanya dan berlalu menekan butang lonceng. Beberapa saat kemudian, pintu pagar terbuka. Mata aku tajamkan untuk melihat siapakah gerangan orang yang ingin isteriku jumpa.

Jelas kelihatan di mataku ada seorang lelaki bertubuh sasa dan tampan keluar dari celahan pagar. Lelaki itu hanya mengenakan seluar pendek dan berbaju T pagoda. Dia tersenyum lebar kepada isteriku. Dan, tiba-tiba tubuh isteriku dirangkul erat serta dahinya dikucup kejap. Aku terkesima. Darah tersirap naik ke kepala. Bagai batu besar menghempap ke kepala. Aku cukup terkejut dengan apa yang mataku lihat. Jelas. Cukup jelas! Isteriku kelihatan senang sekali diperlakukan seperti itu. Tak menolak langsung!

Jiwa meronta-ronta untuk mendapatkan isteriku. Tetapi, jasadku bagai terpaku di kerusi kereta. Aku tidak dapat gerak. Hanya melihat dengan mata kemesraan mereka berdua. Jika tadi lelaki itu mengucup dahi isteriku, kali ini isteriku pula mengucup kedua-dua belah pipi lekaki itu. Mereka kelihatan mesra. Seperti sepasang suami isteri saja gelagatnya. Aku pejaman kelopak mata. Air mata yang mahu gugur aku tahan.

Aku lelaki punya ego. Walaupun diri dikhianati, aku tetap tidak membenarkan air mataku jatuh ke pipi. Namun, aku tahu pasti biji mataku sudah berselirat dengan urat-urat merah. Begitu juga dengan kelopak mata yang sudah sarat bergenang air. Rambut aku lurut ke belakang.

"Ya Allah! Besar sungguh dugaan yang Kau berikan kepadaku ini."

Aku tidak mampu bertahan lagi. Denagn pantas aku melarikan keretaku. Fikiran cukup berkecamuk dan keliru.

'Sampai hatimu memperlakukan abang seperti ini, Hani. Sampai hatimu…'


~*~*~*~*~*~


Lewat tengah malam isteriku sampai di rumah. Aku terdengar bunyi pintu dibuka. Aku berdiam diri di sofa membelakanginya. Sebaik terdengar tapak kakinya mendekati, aku terus bersuara tenang. Buat seperti tiada apa yang berlaku. Dan, berlakon seperti aku masih dungu dan tidak tahu apa-apa.

"Assalammualaikum, sayang. Baru balik?" soalku lembut. Namun, dalam kelembutan tersirat kesinisan pertanyaanku.

Langkahnya serta merta terhenti. Dia toleh ke arahku dengan dahi berkerut. Pasti dia tidak perasan aku ada di sini tadi.

"Wa... wa'alaikumsalam. Abang tak tidur lagi? Err... Maaflah, bang. Klien tadi tu cerewet sangat. Itu nak ubah, ini nak ubah. Naik pening Hani dibuatnya. Sampai nak ke rumah kawan yang bersalin tu pun, Hani batalkan. Lecehlah dapat klien macam tu," sungutnya dengan nada kesal. Namun, aku tahu itu cuma 'lakonan' semata-mata.

"Mesti klien tu jenis yang peramah, kan? Yalah, tahan isteri abang sampai lewat malam. Lepas bincang hal kerja, mesti bercerita tentang kehidupan seharian. Dalam borak punya borak, sedar tak sedar... eh... dah malam," sinis aku menyindirnya.

"Haah. Memang busy body sangat klien tu, bang. Perempuanlah katakan. Sibuk dikoreknya tentang kerja Hani. Dia kata, Hani ni hardworking sangat. Yalah, hari cuti pun sanggup bekerja. Lagi satu, dia sibuk nak korek rahsia kecantikkan Hani. Dia kata lagi, Hani dalam sibuk-sibuk pun masih kelihatan cantik," ujarnya bersahaja lalu ketawa. Bohong! Aku terkilan. Namun, aku turut ketawa hambar.

"Oh, perempuan. Patutlah."

Hatiku bagai disiat-siat halus. Pahitmya hendak menelan bahawa isteriku ini berlaku curang. Pahit juga hendak mengakui bahawa diriku ini adalah seorang suami yang dayus. Hanya mampu melihat isteriku sendiri melakukan kemungkaran tanpa mencegah. Ya Allah!

"Okeylah, Hani minta diri ke atas dulu, bang. Nak bersihkan badan."

"Hmm..."


~*~*~*~*~*~


Penumbuk aku genggam erat. Mata  aku pejam serapat-rapatnya. Semangatku yang semakin lama kian lunturku cuba aku bangkitkan semula. Tekad aku pahat kukuh. Apa yang aku buat ini untuk kebaikkan dia dan juga aku. Ya, untuk kebaikkan kami berdua. Aku redha dengan apa yang jadi pada kami nanti.

Aku keluar dari perut kereta. Sebaik saja keluar, mataku tertancap ke arah dua orang insan sedang ketawa mesra di sebalik cermin kaca. Hatiku terasa berkecai namun aku cuba cantumkan semula. Aku perlu kuat. Kuat Adi. Kuat!

Dadaku berdebar-debar saat mendekati mereka. Jelas dipendengaranku gelak tawa isteriku dan lelaki itu. Mereka kelihatan begitu bahagia. Hati aku sakit. Sakit sangat-sangat! Sedang aku menahan beban perasaan ini, tanpa sedar tubuh aku telah pun berada di meja mereka. Terus gelak tawa masing-masing terhenti. Raut masing-masing berubah. Terutama sekali Hani, isteriku. Pucat lesi! Kalau ditoreh pipinya tentu tidak berdarah. Lelaki di hadapannya pula memandangku dengan dahi berkerut.

"A... abang..." gagap isteriku berkata.

Aku tidak mengendahkan dia. Mata aku tajam tertancap memandang lelaki di hadapan isteriku ini. Mahu saja aku tumbuk wajah itu. Tetapi, cepat-cepat aku pujuk hati ini. Aku masih waras! Seboleh mungkin aku tidak mahu menggunakan kekerasan di tempat awam. Kerana itu bukan caraku. Lagi pula, ini adalah tempat awam. Aku perlu jaga maruah diri, isteriku dan juga lelaki itu. Biar pun mereka berdua telah mempermainkan maruahku, aku tidak tega untuk membalasnya. Aku mengakui, aku insan yang lemah!

"Balik rumah," arahku pendek. Wajah cuba aku kawal biasa-biasa. Namun, langsung tiada senyuman di bibir. Aku genggam erat pergelangan tangan Hani. Aku tarik tangannya supaya bangun berdiri.

"Abang, sakit!" adu isteriku sambil cuba melepaskan cengkaman di pergelangan tangannya. Akibat menahan perasaan, tanpa sedar aku telah mencengkam kuat tangannya.

"Hei, bro! Lepaskan tangan dia. Kau ni apa hal tiba-tiba datang berkasar dengan kekasih aku? Kau siapa?"

Kekasih? Biadap! Berani-beraninya lelaki ini mengaku isteriku sebagai kekasihnya. Aku pekakkan telinga. Biarlah lelaki itu hendak mengaku apa pun. Tangan Hani kembali aku tarik, namun kali ini genggaman tidak sekuat tadi.

"Ikut abang balik. Kita bincang dekat rumah."

Hani mengangguk tanpa membantah. Namun, belum pun aku dan isteriku melangkah, kolar bajuku ditarik. Pipiku pula mendapat tumbukkan dari kekasih isteriku. Aku jatuh terduduk. Bibir perit dan keluar sedikit darah.

"Abang!" Hani sepantas kilat mendapatkanku. Dia cuba memegang pipiku, namun aku tepis tangannya.

"Orang tak faham bahasa memang itulah makan dia!"

"Is, stop it! Ini husband I."

Lelaki itu kelihatan tercengang mendengarnya. Aku terus bangun. Tepi bibir yang pecah aku pegang. Isteriku dan kekasihnya aku pandang silih berganti.

"Saudara... memang saudara adalah kekasih dia. Tapi, saya suami dia. Saya lebih berhak terhadap dia berbanding saudara!" balasku dalam suara yang sedikit tinggi. Namun, terkawal. Tanganku yang dari tadi sudah gatal hendak melayangkan penumbuk di wajah lelaki itu, aku keraskan. Jangan Adi! Kalau kau balas, apa yang kau dapat? Kau akan memalukan diri sendiri! Akhirnya, aku berjaya melawan hasutan syaitan.

Lelaki itu tak terkata. Dia hanya tunduk menekur lantai. Aku pandang isteriku kembali.

"Abang balik dulu. Abang tunggu Hani di rumah. Assalammualaikum." Aku melangkah dengan hati yang lara.


~*~*~*~*~*~

Kertas di tangan aku tilik buat entah kali ke berapa. Walaupun awalnya aku tidak pandang langsung surat ini, namun mulai saat ini aku mulai mempertimbangkannya. Dan, mungkin akan terus melaksanakannya nanti.

Sedang aku berfikir, kedengaran bunyi enjin kereta di luar. Cepat-cepat aku sembunyikan kertas di tangan ke bawah kusyen. Aku sandarkan badan ke sofa. Hanya menunggu Hani mendekatiku.

"Abang..." seru isteriku lembut di belakangku.

Aku senyum sinis. Baru sekarang hendak berlembut dengan suami. Sebelum ini dia buat endah tak endah saja denganku.

"Abang, Hani minta maaf."

Ucapan itu semakin membuatkan aku senyum sinis. Minta maaf? Kenapa baru sekarang? Kenapa membiarkan perlakuan sumbang mereka berleluasa baru hendak minta maaf dariku?

"Abang dah lama maafkan Hani. Setiap malam sebelum tidur, abang akan memaafkan Hani. Tak pernah sekali pun abang terlupa. Cuma..." aku berjeda. Setitis air mata gugur di pipi. Gelaran 'sayang' yang sering aku gelar untuknya selama ini, kini sudah bertukar 'Hani' saja. Aku sudah berjauh hati. Hatiku juga sudah luka berdarah.

"Abang..." serunya lagi kali ini dengan nada bergetar. Aku tahu dia juga mulai menitiskan air mata.

"Cuma... abang kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini. Sampai saat ini abang susah nak percaya bahawa Hani dalam diam tergamak selingkuh di belakang abang. Selama ni abang bagi seratus peratus kepercayaan pada Hani. Abang fikir Hani balik malam, bekerja di hujung minggu semata-mata untuk kerja. Untuk cari rezeki. Rupa-rupanya..."

Kata-kataku terhenti. Hati sebak yang teramat sangat. Isteri yang aku kahwini kerana Allah kini mengkhianati aku. Sukar hendak percaya bukan? Ini semua salahku juga. Ya, aku yang salah! Bukan salah Hani semata-mata.

"Abang, Hani..."

Aku terus potong kata-katanya.

"Cuba tanya sejujur-jujurnya dalam hati Hani. Adakah selama kita berkahwin ni Hani cuma berpura-pura sayangkan abang? Cintakan abang? Adakah selama perkahwinan kita ni… abang pernah menyakiti Hani? Mendera Hani?" tanya aku dengan suara bergetar.

Aku pasrah dengan apa jua yang keluar dari mulutnya. Kalaulah dia mengiakan kata-kataku, bermakna sepanjang perkahwinan kami hanya aku saja yang bertepuk sebelah tangan.

"Tak! Tak abang! Abang seorang suami yang baik. Sangat baik! Memang... memang kita berdua kahwin disebabkan keluarga, tapi Hani sayang abang, cintakan abang. Sejak dari awal perkahwinan lagi abang. Hani dah belajar untuk sayang dan cintakan abang. Hani berjaya cintakan abang. Tapi, Hani akui, perasaan tu tak sekuat cinta pertama Hani dengan dia. Hani… Hani…" ujar Hani berlutut di hadapanku. Kedua-dua belah tangannya berada di atas pahaku. Matanya berkaca-kaca.

Aku tenung anak matanya. Namun, tak lama. Aku alihkan semula mataku. Aku ketawa sinis kecil. Sayangkan aku? Cintakan aku? Tapi, kenapa dia tergamak buat aku macam ni.

"Tapi kenapa Hani tergamak tipu abang selama ni? Kenapa Hani? Kenapa!"

Dia menyembamkan wajahnya ke pahaku. Telingaku jelas esakkannya.

"Maafkan Hani, bang. Hani akui, Hani salah. Hani terlalu ikutkan perasaan dan nafsu. Hani akui, Hani dah derhaka pada abang. Tapi, entah kenapa Hani membiarkan saja diri ini menjadi derhaka pada abang. Hani tak kuat melawan perasaan dan nafsu sendiri. Hani tak kuat lawan godaan syaitan. Abang… bagilah Hani peluang untuk perbetulkan semua ni. Maafkan Hani..." esaknya kuat.

Aku kasihan melihatnya, namun egoku menahan keras untuk aku memujuknya. Aku membiarkan saja dia menangisi segala kesalahannya terhadapku.

"Ha... Hani dah banyak kali ter... terlanjur dengan dia?" tanya aku lagi dalam terketar-ketar.

Dia mengangkat wajah merenungku. Wajah basahnya aku tenung tajam. Kali ini aku tidak mengalihkan pandangan. Aku mahu mendengar sendiri dari mulutnya. Dia mengangguk perlahan dan menangis lagi. Pantas aku memajam mata dan beristighfar panjang. Aku pantas bangun membelakanginya.

"Ya Allah, ampunkan aku. Ampunkan aku! Ampunkan jua isteri yang telah curang di belakangku. Ampunkan dia ya Allah!" jeritku. Berderai air mataku. Aku jatuh tersimpuh di atas lantai. Sedih yang teramat sangat menyelubungi diri.

"Abang..." Hani pantas mendapatkanku.

"Maafkan Hani, abang. Maafkan Hani. Sebenarnya, sebelum berkahwin dengan abang, Hani pernah mencintai seseorang. Orang tu adalah... Iskandar. Lelaki tadi itulah Iskandar."

"Apa? Tapi Hani cakap, Hani tak ada sesiapa lagi."

"Ya, memang Hani bohong dengan abang. Hani tak nak kecilkan hati ibu bapa kita. Dalam pada masa yang sama Hani tak nak kecewakan abang. Dan, abang seorang lelaki yang baik. Dari awal kita diketemukan, abang tak pernah layan Hani dengan buruk. Hani tertarik dengan sikap abang. Sebab itu... Hani terus terima pinangan dari keluarga abang. Hubungan Hani dengan Iskandar terputus macam tu saja. Tapi, setelah setahun, usia pernikahan kita. Dia datang balik menagih cinta Hani. Awal-awal Hani cuba untuk hindarkan diri dari dia. Tapi, Hani tak kuat bang. Hani tak kuat untuk menghalang perasaan tu."

"Hani... Hani tak perlu buat macam tu. Sepatutnya kalau Hani dah berpunya, Hani tolak pinangan keluarga abang dulu. Tak adalah macam ni jadinya. Hani tahu tak apa yang Hani buat ni berdosa besar! Seorang isteri sepatutnya menjaga maruah diri. Bukan menggadaikannya sesuka hati!" Hambur aku. Aku geram, namun dalam masa yang salam simpati juga.

Esakkan dia semakin kuat. Lumrah manusia. Sudah lakukan kesalahan barulah hendak menangis meratapi salah sendiri. Aku juga begitu.

"Hani terlalu cintakan dia, kan?"

Aku toleh sedikit dia di belakang. Aku lihat kepalanya mengangguk perlahan. Aku juga turut mengangguk. Sudah faham langkah seterusnya untukku ambil. Untuk apa lagi aku bertahan, jika cintanya bukanlah seratus peratus milikku.

"Baiklah. Abang dah pun putuskan segala-galanya. Dan, abang tak mahu Hani terus melakukan maksiat bersama dia. Abang harap lepas ini hubungan kau orang berdua halal di sisi Allah. Abang sanggup berkorban untuk kebaikkan kita semua. Hani... ada baiknya kita berpisah. Abang cer..."

"Abang!"

Terus terhenti kata-kataku. Dia pantas mendapatkan aku. Tubuhku laju dipeluk.

"Abang please... jangan sambung ayat tu. Hani tak nak. Hani tak sanggup nak dengar. Hani cintakan abang. Hani tak nak kehilangan abang! Please jangan..." rayunya dalam sambil memelukku.

Aku juga tidak sanggup untuk mengatakannya. Tetapi, bagiku ini adalah jalan terbaik. Aku sayang dia, aku juga mahukan terbaik untuknya. Biarlah dia bersama lelaki itu. Biarlah hubungan mereka halal tanpa rasa bersalah dan bersembunyi lagi.

"Hani, dalam satu kapal takkan boleh ada dua nakhoda. Hani harus memilih sama ada abang atau pun dia. Tapi… abang rasa Hani tak perlu memilih lagi. Kerana abang tahu siapa yang lebih layak untuk Hani. Dia lebih setia dengan Hani berbanding abang," kataku lembut. Tapak tanganku mengusap rambut panjangnya. Egoku sedikit lentur mendengar rayuannya.

"Tapi Hani tak nak kehilangan abang. Hani sayang abang. Sumpah! Please abang. Bagi Hani peluang untuk berubah. Hani janji akan belajar untuk cintakan abang seorang saja. Hani akan cuba. Hani akan cuba abang! Lepas ni Hani takkan berjumpa dengan dia lagi. Takkan ada orang lain selain abang. Please abang... please..."

Aku senyum kecil. Namun tidak terlihat olehnnya. Aku tahu hatinya. Walaupun dia berjanji denganku, namun aku tahu cintanya terhadap lelaki itu mana mungkin terhakis. Cinta pertama sukar untuk dilupakan. Betulkan? Aku hanya membiarkan dia menangis di dalam pelukkan.


~*~*~*~*~*~


2.35 malam. Aku mengiring ke sebelah. Wajah mulus yang sedang menghela nafas perlahan aku pandang sayu. Pipi gebu miliknya yang masih lembab kerana banyak menangis, aku usap perlahan. Air mataku gugur ke pipi. Hati terasa berat, namun aku merasakan jalan inilah yang terbaik untuk kami. Penuh berhati-hati aku bangun. Pena dan sehelai kertas di atas meja solek aku ambil. Sebelum memulas tombol pintu, aku pandang dirinya yang sedang lena. Hani, percayalah… ini jalan terbaik untuk kita berdua. Abang harap Hani akan lebih bahagia selepas ini. Maafkan abang… maafkan abang.

Aku pantas memulas tombol pintu. Keluar dari kamar yang pernah menyaksikan suka duka kami berdua.

Isteriku, Hani,
Sejujurnya abang terlalu cinta dan sayangkan Hani. kerana itulah abang mengambil keputusan ini. Abang tidak mahu mementingkan diri sendiri. Boleh saja abang bagi Hani peluang dan meminta Hani untuk terus setia dengan abang. Tapi, abang tahu hati Hani bakal merana. Abang tahu Hani cintakan dia. Abang yang bersalah kerana merenggut cinta kau orang berdua. Tanpa abang sedar, abanglah asbab mengapa terjadinya permasalahan kita. Maafkan abang…
Hani,
Abang tahu biarpun di bibir Hani melafazkan sayang dan cintakan abang, tapi abang tahu jauh di sudut hati Hani cinta Hani terhadap dia tidak pernah terpadam. Oleh itu, abang sanggup korbankan cinta abang demi melihat Hani bahagia. Ketahuilah Hani, abang lebih rela kecewa dari melihat Hani tak bahagia.
Hani,
Sebaik saja Hani membaca surat ini, abang sudah tiada lagi di bumi Malaysia. Abang telah pun jauh terbang di bumi kanggaru atas urusan kerja selama sebulan. Untuk pengetahuan Hani abang telah pun mendapat pekerjaan. Di syarikat kawan Ayah Chik. Abang nak kongsi berita gembira ini dengan sayang, namun masa tak mengizinkan. Ditambah lagi dengan apa yang berlaku antara kita. Fikiran abang kusut dan tak dapat berfikir apa selain perhubungan kita.
Hani,
Mungkin sampai di sini saja jodoh kita berdua. Abang redha dan terima dengan hati terbuka. Abang berharap Hani dan dia sentiasa bahagia bersama. Tapi, hanya satu saja abang minta. Tolonglah jaga maruah Hani sebagai isteri sementara kita masih lagi dalam status suami isteri. Apabila abang pulang nanti, abang berjanji akan bersama-sama Hani untuk uruskan perpisahan kita. Tentang ibu bapa kita nanti, biarlah abang sendiri terangkan sebaik-baiknya pada mereka. Insyallah, abang pasti mereka akan faham nanti. Hani jangan risau tentang hal itu ya. Setelah itu abang harap hubungan Hani dan si dia halal disisi Allah.
Hani,
Akhir kata, abang memohon maaf andai selama menjadi suami Hani abang ada melakukan kesalahan. Abang seorang insan biasa yang sering melakukan kesalahan. Abang juga telah memaafkan segala salah silap Hani. Sampaikan juga permohonan maaf abang kepada Iskandar kerana telah merampas Hani dari dia selama ini. Abang harap selama pemergian abang, Hani jaga diri baik-baik. Jika ada apa-apa segera telefon mama. Abang pergi dulu ya sayang. Terima kasih kerana sudi menjadi isteri dan bidadari abang selama ini. Sekian.
                                                    Selamat malam sayang...
                                                             Abang.



TAMAT




Pstt :  Assalammualaikum reader blog Ira. Maaf skiranya ada yg menunggu ira hapdate cerita2 dlm blog ni. Ira cuba sedaya upaya utk menulis balik (cerita yg tertangguh). Jemput la baca cerpen SMS ni dulu ya. Cerpen ni pun dah lama dok dlm lappy. hehe.  Drop komen dkat bawah kalau sudi. Jgan risau sape2 nak komen tu ira x marah dan x kenakan sebarang caj. Apa2 pun, enjoy reading ya! ^_*