Rungutan
Nurul Ain dibawa sehingga ke rumah. Semua berkisah tentang kejadian tadi.
Wajahnya masam mengalahkan asam kedondong sahaja. Geramnya masih memuncak.
Yalah, disebabkan orang lain tidak berhati-hati dia pula yang terkena
tempiasnya. Siapa tidak marah. Huh!
“Assalammualaikum.” Dia memberi
salam kepada ibu yang menunggu di hadapan ambal pintu. Wajahnya masih juga
mencuka dan mulutnya muncung. Plastik di bakul basikal diambil dan dia
melangkah ke arah wanita kesayangannya itu.
Berkerut dahi ibu melihat keadaan
anaknya. Kenapa dengan Nurul Ain? Baju berpeta bagai terkena percikan air
berwarna coklat. Corak itu jelas di penglihatannya. Wajah masam anaknya semakin
membuatkan dia tertanya-tanya. Apa sudah jadi?
“Wa’alaikumsalam. Err… Kenapa dengan
baju Ain? Jatuh masa bawak basikal tadi ke?” Kedua-dua bahu anaknya dipegang
kejap. Atas ke bawah penampilan anaknya ditilik. Mana tahu ada cedera di
mana-mana.
“Tadi, bu… Adalah mamat ni bawak
kereta macam pelesit. Selamba aje dia langgar lopak air. Sampai terpercik dekat
Ain, bu…” adu Nurul Ain pada ibunya.
“Lah, ya ke? Ya Allah… Kesian anak
dara ibu. Mungkin dia tak sengaja tu.” Ibu tidak mahu bersangka buruk.
“Tak sengaja apanya, bu. Bawak
kereta tak tengok kiri kanan. Main langgar aje. Tengok, Ain yang kena,”
bentaknya kesal lalu berpeluk tubuh. Geram sungguh dia dengan lelaki itu tadi.
Sudahlah bersalah, selamba sahaja wajahnya. Grr…
“Dah… Dia tak sengaja tu, sayang.”
Ibu menenangkan si anak.
Nurul Ain mengeluh. Mana boleh
dibiarkan sahaja orang sebegitu. Ibu sememangnya berhati lembut dan mudah
memaafkan. Tapi, dia? Hmm… Hailah, Nurul Ain. Sedangkan nabi pun ampunkan
umatnya. Apatah lagi kau hamba Allah yang biasa dan kerdil ini.
“Orang tu ada minta maaf dekat Ain
tak? Kalau ada maafkan saja sayang. Dia bukan sengaja pun. Kalau tak ada pun,
ikhlas maafkan juga. Tak baik simpan marah lama-lama. Takut nanti jadi bara api
dendam pula. Tak baik, sayang,” ibu memberi nasihat kepada anaknya.
Nurul Ain menunduk. Terkesan juga
hatinya dengan nasihat diberikan ibu. Betul, tadi lelaki itu ada meminta maaf
padanya. Namun, dia masih tidak memaafkan lagi kerana diri sudah dikuasai
amarah. Seusai dia ‘mencuci’ lelaki itu tadi, dia terus berlalu begitu sahaja.
Panggilan itu pun tidak diendahkan. Malah dia spontan menjelirkan lidah pada
lelaki itu. Ditambah juga dengan jelingan mautnya.
Ya Tuhan… Jahat betul kau Nurul Ain.
Tidak baik kau buat dia begitu. Barulah dia tersedar kesalahan yang telah dia
lakukan tadi. Nurul Ain… Nurul Ain. Mudah
sungguh diri kau dikuasai syaitan laknatullah. Makhluk terkutuk itukan suka
melaga-lagakan hamba Allah diantara satu sama lain. Hish! Syaitan… shuh… shuh!
“A… ada, bu,” tersekat-sekat nadanya
mengakui.
“Ikhlas, maafkan saja. Ya, sayang?”
Ibu menggenggam jari jemarinya. Mata anaknya itu ditenung. Penuh mengharap.
Nurul Ain mengangguk dan senyum.
‘Awak, yang saya tak tahu nama. Saya
maafkan kesalahan awak tadi. Ikhlas. Tapi lain kali… Jangan buat lagi!’ bisik
hati Nurul Ain walau dia tahu kata-katanya ini bukan pun didengari oleh lelaki
itu. Tetapi tiidak mengapalah, janji dia
ikhlas memaafkan. Kosong, kosong.
“Hmm… Ibu, Ain masuk dululah. Nak
mandi kejap. Nanti lepas mandi Ain tolong ibu dekat dapur eh,” janjinya. Setiap
kali hari cuti dia rajin membantu ibunya. Kasihan ibu selalu masak
berseorangan.
Sebelum meminta diri, Nurul Ain
menyerahkan plastik di tangannya kepada ibu.
“Hmm… Yalah.” Ibu mengangguk dan
tersenyum padanya. Nurul Ain sememangnya seorang anak yang rajin! Sejuk
perutnya.
~*~*~*~*~*~
Ameer
Qalish tidak dapat melelapkan mata. Berkali-kali dia mencuba untuk menutup mata
namun tetap juga tidak berhasil. Dia menyandarkan tubuh pada kepala katil. Kedua-dua
belah tangan dibawa ke tengkuk. Jam di dinding menunjukkan angka dua belas. Matanya
tetap juga celik. Wahai mata… Kenapalah susah sangat hendak lelap.
Dalam pada fikirannya merayau-rayau
memikirkan soal kerja. Tiba-tiba otaknya mengulang tayang situasi pagi tadi.
Situasi di mana dia secara tidak sengaja melanggar lopak air sehingga terpercik
ke gadis itu. Sewaktu itu dia benar-benar tidak sengaja dan tidak tahu akan
terjadinya insiden seperti itu. Ini semua gara-gara dia sibuk berbual di
talianlah. Dalam pada marah, gadis itu nampak comel dengan wajah
kemerah-merahan. Dia sangat tertarik untuk merenungnya.
‘Cantik sungguh dia,’ puji dalam
diam. Keayuan gadis tidak diketahui namanya itu semakin terserlah apabila dia
mengenakan tudung. Kecantikkannya adalah
kecantikkan yang asli tanpa sebarang solekan. Manis di matanya. Siapakah
dia? Apa namanya? Dan… anak siapa? Persoalan itu berlegar-legar di segenap
ruang fikirannya.
“Ya Allah… teringatkan dia
membuatkan hati aku jadi tak tenang. Dup dap dup dap. Teringatkan dia aku
menjadi semakin tertanya-tanya siapakah dirinya. Ya Allah, apakah kau hadirkan
rasa ini untuk si dia? Dia yang aku tidak tahu namanya dan asal usulnya.”
Wajah itu semakin membayanginya. Dia
tersenyum sendiri. Aduhai, Am apa kau sudah gila bayang? Ah, mana mungkin! Baru
sekejap saja bertemu, takkanlah kau boleh jatuh suka. Merepek! Sedang dia sibuk
mengelamun, Iphone 4nya berdering. Segera dia mendapatkan gajet itu di atas
meja sisi katilnya. Skrin ditilik. Terpapar nama ‘ISMA’ di atasnya. Keluhan
berat lepas. Dengan rasa berat dan malas akhirnya butang hijau ditekan juga. Gajet
itu ditekap ke telinga.
“Sayanggg…” Seru suara manja lagi
gedik di hujung talian. Mahu sahaja dia mematikan talian. Namun, demi menjaga
hati terbantut niatnya.
“Assalammualaikum,” ucap Ameer
Qalish.
“Err… Wa’… alaikumsalam,” jawap
suara disebelah sana lambat-lambat.
“Hmm…” balasnya acuh tidak acuh.
“Sayang… Malam ni teman I pergi clubbing? I ambil you okey,” pujuk si
gadis bersuara manja lagi.
Buat kali entah ke berapa, keluhan
lepas dari mulutnya.
“Isma,
you ni tak faham ke? Kan I dah tak pergi tempat-tempat macam tu.” Keras suara
Ameer Qalish mengingatkan pemanggil di sebelah sana.
Kalau
dulu memang iya dia sering pergi ke tempat sarang maksiat seperti itu. Sekarang
dia sudah insaf dan menjadi Ameer Qalish yang baru. Bukan lagi Ameer Qalish
yang jahil seperti dahulu dengan perempuan keliling pinggang. Entah berapa
ramai yang menjadi teman wanita sementaranya. Semua diputuskan setelah puas
mereka berseronok. Ismalah paling setia dengannya. Namun, setelah dia mengambil
keputusan untuk berubah, dia dan Isma telah pun putus. Cuma Isma sahaja yang
sibuk mengejarnya dan tidak berputus asa memujuknya ke lembah yang sudah lama
ditinggalkan.
“Am, you cuma temankan I aje pun.
Bukannya I suruh you pergi minum ke apa.
Just, teman I pergi clubbing dan menari dengan I. Sayang…
Kita dah lama tak have fun bersama.”
Isma tidak berputus asa memujuk.
“Isma you faham tak! Yang I takkan
dah pergi tempat macam tu. You jangan nak paksa I!” Marah Ameer Qalish. Susah
hendak memahamkan orang yang tidak reti bahasa ni.
“Sayang, pleaseee…” rayu si gadis itu lagi.
Ameer Qalish menggeleng sendiri.
“Sudahlah Isma… Jangan ganggu I. I
nak lupakan zaman jahiliah I dulu.” Lembut sedikit suaranya memohon pengertian
dari Isma. Dia sudah tidak mahu ingat lagi kisah silamnya. Penuh dengan noda
hitam.
Terdengar keluhan berat di hujung
talian. “Sayang, I tak percaya you boleh berubah seratus peratus jadi orang
baik. I tahu dalam hati you, jiwa you masih ada Am yang I kenal dulu. Am yang
lincah dengan aktiviti malam dan clubbing.
Come on, sayang. Kita sepatutnya enjoy
puas-puas masa muda ni. Nanti bila dah tua, you takkan dapat nikmati hidup
macam ni lagi. You dah jadi lemah selemah lemahnya. So, masa nilah nak joli!”
“Yes.
Isma, I mengaku dulu I jahat. Langgar hukum hakam. Tapi, sekarang I dah
berubah. Tolonglah faham. Dan… Sepatutnya you pun kena bertaubat dan insaf sama.
You kena ingat bahawa nyawa kita boleh ditarik setiap masa. Kita hanya pinjaman
oleh-Nya. You nak mati dalam keadaan memalukan? Dalam keadaan you tak sempat
bertaubat?” Ameer Qalish memberi sedikit nasihat kepada gadis yang pernah
mendampinginya sewaktu dahulu. Mereka pernah sekatil waktu itu dan dia amat
menyesal dengan perbuatannya yang tidak bermoral. Waktu itu dia tahu, melakukan
hubungan dengan bukan mahram adalah berdosa besar. Namun, dia melupakan itu
semua semata-mata gelap mata dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini. Ya
Allah, banyak dosa yang telah aku buat dulu. Semoga taubatku Kau terima.
Isma terasa membara apabila Ameer Qalish
menegurnya sebegitu. Membuak-buak darahnya saat ini. Berlagak ustaz! Baru
sahaja bertaubat sudah tunjuk lagak.
“Hei! Kalau you tak nak ikut sekali
pun tak perlulah bagi ceramah agama percuma dekat I. Tak inginlah nak dengar.
Bernanah telinga I tahu tak? Huh!” tengkingnya. Siapa Ameer Qalish hendak
menegurnya? Sedangkan mama dan papanya pun tidak kisah. Malah tidak pernah
tegurnya perihal agama.
“Terpulang pada you Isma. I cuma
bagi nasihat aje. Okeylah, I mengantuk. Selamat malam. Assalammualaikum.”
“You! You!” nyaring sekali suara
jeritan Isma.
Ameer Qalish terus mematikan
taliannya. Langsung tidak dipedulikan Isma yang memanggilnya. Telefon pintar
itu diletakkan semula ke meja sisi katil. Dia merebahkan kepala ke bantal.
Selimut ditarik sehingga menutup dada. Walau apapun dia harus cuba melelapkan
mata. Esok diperlu kerja. Manalah tahu nasibnya baik dapat bertemu lagi dengan
gadis bertudung itu di alam mimpinya. Dia senyum dan mula menutup mata.
~*~*~*~*~
Waktu
rehat, Azhari Food Enterprise. Nurul Ain dan Aminah, sahabat baiknya duduk di
sebuah meja di hujung kantin. Beg bekal masing-masing diletakkan ke atas meja
dan mengeluarkan kesemua bekas yang ada di dalamnya.
“Yummy… Sedapnya! Lapar aku!” Aminah
menjerit kecil. Matanya melilau melihat bekas makanan sendiri dan bekas Nurul
Ain. Perutnya sudah berdondang sayang. Tanpa menunggu lama sudu dan garpu terus
dicapai.
“Haip! Baca doa makan dulu,” tegah
Nurul Ain apabila melihat sahabatnya sudah mahu menyuap nasi ke dalam mulut.
Terus Aminah menurunkan sudunya semula. Dia mengekuti Nurul Ain yang sudah
menadah tangan, bersedia untuk membaca doa makan.
Belum pun sempat Nurul Ain bersuara,
ada suara lelaki menegurnya.
“Assalammualaikum.”
Serentak Nurul Ain dan Aminah
menoleh ke arah belakang.
“Wa’alaikumsalam,” balas
kedua-duanya. Aminah sudah tersengih-sengih pada Nurul Ain. Berkerut dahi gadis
itu melihat sengihan sahabatnya. Hendak memerlilah tu. Eee… Minah ni!
“Err… Boleh Abang Joe join korang?”
tanya Johan dengan senyuman manis. Johan juga merupakan salah seorang pekerja
di kilang ini dan merupakan senior kerana sudah bekerja enam tahun berkhidmat
di sini. Berpangkat supervisior di kilang ini. Semua orang tahu bahawa Johan
ada hati pada Nurul Ain kerana lelaki itu sering kali cuba mendekati gadis ini.
“Semestinya boleh! Silalah.” Pelawa
Aminah masih lagi menayang sengih pada gadis yang duduk bertentangan dengannya.
Kelihatan Nurul Ain tertunduk. Mungkin kerana segan.
Johan mengambil tempat di sebelah
Nurul Ain dan gadis itu menjarakkan sedikit kedudukan. Memberi ruang untuk
lelaki itu dan bagi mengelakkan dari kontroversi!
“Ain, bahawa bekal apa hari ni?”
tanya Johan, mengerling kea rah Nurul Ain di sebelahnya.
Bagai ada arus elektrik. Terus
sahaja dia menegak apabila lelaki itu menegurnya.
“Haa? Err… Ain, bawak lauk kampung
aje. Abang nak?” Nurul Ain menyua bekas berisi ikan keli masak sambal cili
kepada Johan. Kebetulan ibunya membekalkan lauk lebih. Kata ibu boleh kongsi
dengan kawan-kawan.
“Boleh juga. Abang minta satu ya.”
Tanpa segan Johan menyudu seekor ikan keli masak sambal cili itu ke dalam bekas
makanannya. Setelah itu dia memberikan senyuman tanda terima kasih kepada Nurul
Ain. Seketika mata mereka terpaut. Bagaikan ada gam!
“Ehem… Aku tak nak pelawa ke?”
Teguran Aminah membuatkan mereka tersedar. Cepat-cepat Nurul Ain melarikan
pandangan. Pantas dia mengambil bekas dan menolaknya ke arah Aminah. Johan pula
selamba menyuap makanan ke mulut. Sesekali terbit senyum dibibirnya.
“Minah, kau pun ambillah.” Merona
merah pipinya sewaktu bertentangan mata dengan Aminah. Sahabatnya itu ketawa
kecil sambil menyambut huluran bekas darinya.
“Bagai pinang dibelah dua,” bisik
Aminah yang hanya di dengarinya.
“Minah!” Terus dia menyepak sedikit
kaki Aminah di bawah meja. Mata dibesarkan memberi amaran kepada sahabatnya
yang suka mengusik dia itu. Kalau Johan dengar, malulah dia. Haish!
Johan pelik dengan dua orang gadis
ini. Mereka seperti berbisik. Apa yang dibisikkan? Mengatanya ke?
“Korang bisik apa tu?” tanya Johan
memandang Nurul Ain dan Aminah silih berganti.
Nurul Ain dan Aminah saling
berpandangan sebelum fokus pada Johan.
“Tak. Minah cakap dengan Ain yang…”
Belum pun Aminah menghabiskan kata-kata, tangannya sudah dikutil oleh Nurul
Ain.
“Auww!” Aminah sedikit menjerit.
Digosok-gosok tangannya yang menjadi mangsa kutilan gadis di hadapannya.
“Eh, Minah cakap… Kalau ikan keli
masak pindang pun sedap. Kan… kan?” cepat-cepat Nurul Ain membalas. Beria dia
meminta Aminah menyokongnya.
Aminah membesarkan mata. Nurul Ain
membalas dengan membesarkan mata juga. Memberikan amaran kepada sahabatnya
supaya mengiyakan.
“Ya, betul tu abang Joe. Hee…” balas
Aminah sengih.
“Oh…Ingat korang mengata abang ke
apa.”
“Hish, mana ada bang. Nanti dapat
dosa aje,” nafi Nurul Ain lembut.
Johan senyum sahaja. Nurul Ain
segera melarikan pandangan dari merenung senyum lelaki yang sedikit berkumis
itu. Takut ada jantung yang tercampak keluar dari tempat asalnya! Bahaya!
“Err… Kita asyik bercakap aje. Takut
tak sempat pula nak makan nanti,” ujar Nurul Ain mengalih cerita. Takut makin
lama, macam-macam mulut becok Aminah terlepas kata nanti.
“Oh, yalah. Jom!” Johan pantas
mengangkat tangan membaca doa makan. Nurul Ain dan Aminah sekadar mengaminkan.
Seketika
suasana bisu kerana masing-masing menghabiskan bekal yang dibawa.
“Abang pergi dululah. Nak ke
pejabat. Encik Azhar ada pesan suruh jumpa dia,” maklmunnya seraya mengerling
jam tangan. Masih ada sepuluh minit lagi habis waktu rehat. Lincah tangan Johan
memasukkan semula bekas makanannya ke dalam beg plastik. Setelah itu barulah dia berlalu.
“Weh, kau memang sepadanlah dengan
Abang Joe tu. Kau cantik, Abang Joe pula boleh tahan hensem. Wah! Bagai pinang
dibelah dua,” ujar Aminah bertepuk tangan.
“Merepeklah kau ni.” Sangkalnya
laju. Padahal pipi sudah jelas merona merah.
“Eleh, kau tak payah nak
sembunyi-sembunyi dengan aku. Bukannya aku tak tahu. Kau sebenarnya ada hati
jugakan dengan Abang Joe? Abang Joe pun sama, ada hati dekat kau. Cuma korang
berdua ni malu-malu kucing nak mengaku. Betul tak?”
Sekali lagi tangan Aminah menjadi
mangsa kutilan Nurul Ain.
“Pepandai aje mak nenek ni. Mana
adalah!” Dia masih menafikannya. Entah. Dia pun tidak pasti sama ada dia ada
hati pada Johan ataupun tidak. Tetapi, dia agak menyenangi lelaki itu. Johan
baik, peramah dan tidak sombong walaupun dia berpangkat supervisor di kilang itu.
“Rugi tau kau tak ambil peluang ni.
Kalau akulah dekat tempat kau, dah lama aku pikat Abang Joe tu. Dahlah hensem,
baik. Ada pangkat lagi.” Aminah giat menaikkan saham Johan kepada Nurul Ain.
“Hello, mak nenek. Aku cari calon
tak kira pangkat bagai. Cukuplah orang tu patut suruhan agama dan hormat orang
tua serta pasangan. Lagi pun aku belum sedia nak bercinta bagai. Umur baru
setahun jagung dah sibuk nak bercinta. Buat masa ni aku cuma tanam hasrat nak
sambung belajar. Bab-bab cinta nanti dululah.” Penuh perasaan Nurul Ain
menyampaikan hujahannya.
“Hmm… Yalah, yalah.” Akhirnya Aminah
beralah. Dia tahu dia takkan menang jika berhujah dengan sahabatnya itu. Nurul Ain
pandai berhujah. Maklumlah, johan berpidato selama tiga tahun di zaman mereka
sekolah menengah. Mana boleh lawan!
Melebar senyuman Nurul Ain. Diam pun
dia. Fuhh… lega.
“Dah, jom. Waktu rehat dah nak habis
ni.” Dia dan Aminah pantas mengemas bekal masing-masing.
~Maaf kalau ada kekurangan dalam DBH, maaf juga sebab lambat menghapdate. Sudi2 la drop komen di bawah. Enjoy reading! ^_^
2 ulasan:
besttttttttttttttttt cuma xsuka johan nak ameer hehe
hehe... thanks akak ^_^
Catat Ulasan