Selasa, 11 November 2014

Dengarlah Bintang Hatiku... ( Part 5 )



Nurul Ain berjalan menuju ke tempat simpanan beg berhadapan kantin. Pintu loker nombor dua belah dibuka. Botol air berwarna hijau cair dikeluarkan dari loker. Tekak yang kering tadi dibasahi dengan air. Baru saja dia hendak menutup pintu loker, tiba-tiba terjengul susuk tubuh seorang pemuda di sebelahnya.
            
“Eh, Encik Ameer.”
            
Pemuda itu berwajah tanpa riak Teragak-agak dia memberi senyuman kepada bos sementaranya itu.
            
“Dah waktu rehat ke?” tanya Ameer Qalish serius. Kedua-dua belah tangan diseluk ke poket.
            
Mati senyum Nurul Ain. Serba salah dia hendak menjawap. Wajah Ameer Qalish dipandang takut-takut. Bibir terketar-ketar hendak menjawap.

Sekarang sememangnya bukanlah waktu rehat. Dia keluar ke loker pada waktu ini adalah untuk minum. Pekerja-pekerja yang lain juga biasanya begitu. Tidak pula mereka dimarahi oleh Encik Azhari atau orang atasan lain. Pasti Encik Ameer akan memarahinya kerana keluar sesuka hati pada waktu bekerja. Dia tidak sangka anak saudara Encik Azhari seorang yang lebih tegas berbanding bapa saudaranya.
            
“Sebenarnya be… belum. Waktu rehat… lagi satu jam. Saya keluar sekejap… sebab nak minum air. Tekak saya... kering,” terang Nurul Ain gagap dan tunduk bagai pesalah.
            
Ameer Qalish cuba menahan tawa. Lucu dengan reaksi spontan gadis itu. Beberapa saat dia tidak bersuara. Sengaja dia begitu. Dari pandangan matanya, dia lihat Nurul Ain hanya diam tidak berkutik dan masih tunduk memandang lantai. Wajah gadis itu bertukar pucat. Dia berdeham kecil, kemudian berubah serius. Sengaja hendak menguji gadis itu.
            
“Awak tahu, awak salahkan?”
            
Berani dan tidak, Nurul Ain mendongak. Namun, hanya sesaat. Dia menunduk kembali dan mengangguk kecil. Betul-betul bagai pesalah yang sedang disoal siasat.
            
“Ya, saya… saya salah encik. Ma… maafkan saya,” perlahan saja Nurul Ain mengucapkannya.
            
“Apa dia? Saya tak dengar apa awak cakap.”
            
Ameer Qalish mendekatkan sedikit jarak antara mereka. Nurul Ain yang menyedari hal itu lantas menjauhkan semula jarak mereka dengan selangkah ke kiri. Dia tidak selesa dan dirasakan tidak manis jika kedudukkan mereka terlalu dekat. Kemudian, dia kembali tunduk menekur lantai.
            
“Memang saya salah, Encik Ameer. Lain kali saya tak buat lagi. Maafkan saya,” ucap Nurul Ain. Kali ini dengan suara yang sedikit ditinggikan. Biar lelaki itu dengar.
            
“Oh, minta maaf.” Ameer Qalish terangguk-angguk. Pandangannya pada gadis di hadapannya, sinis sekali. “ Kalau orang dah buat salahkan, mudah aje minta maaf. Tapi, dia orang susah nak belajar dari kesilapan lepas. Selepas minta maaf, nanti esok lusa buat lagi. Jadi, apa guna ucapan minta maaf tu, kan?”
            
Nurul Ain diam saja. Sebenarnya dia terpukul dengan kata-kata itu. Terasa hati. Namun, dia tidak berani hendak membalas. Khuatir apabila dia membiarkan mulutnya membalas, nanti jadi lain pula. Walaupun saat ini dia sakit hati, namun dia perlu menghormati lelaki di hadapannya ini.
            
“Awak tak nak cakap apa-apa ke?” tanya Ameer Qalish apabila gadis itu masih berdiam diri.

“Cakaplah!” Melengking suaranya namun masih terkawal. Dia cuba memprovokasi gadis itu. Dia sengaja hendak menjolok tahap kesabaran Nurul Ain.
            
Terlonjak sedikit tubuhnya Nurul Ain. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa sebak kerana ditengking begitu. Tubir matanya sudah berair. Hanya tunggu masa hendak tumpah.

“Saya… saya dah pun minta maaf. Sama ada encik nak terima atau tak ucapan maaf saya, itu hak encik. Tapi… apa pun saya harap encik dapat terima maaf saya tu, sebab saya tak sengaja. Sebelum ni, kami boleh aje…”
            
Ameer Qalish terus memotong. “Boleh apa? Boleh sesuka hati keluar bukan waktu kerja? Awak tahu tak tindakkan awak ni, menyalahi disiplin bekerja? Dan, awak boleh dikenakan tindakkan oleh pihak kilang? Awak nak kena buang kerja? Nak ke?” tanyanya dengan nada tegas.
            
Nurul Ain terkedu. Dia tunduk kembali. Terasa dirinya kerdil saja saat ini. Dirasakan, pipinya sudah mulai basah. Air mata mula gugur!
            
“Saya… saya…”

Tiba-tiba Ameer Qalish terdengar esakkan halus yang datangnya gadis di hadapannya. Dia jadi kaget. Betulkah dia menangis? Nurul Ain pula tidak tahu kenapa perasaannya tiba-tiba tidak kuat. Baru saja dimarahi sedikit terus mudah cengeng. Dan, ini merupakan kali pertama dia dimarah sepanjang bekerja di sini. Malang betul harinya hari ini.
            
“Ain… err… awak, awak jangan nangis. Syhhhh…. Jangan nangis. Saya cuma main-main aje tadi. Saya saja nak uji awak. Janganlah nangis. Syhhhh… syhhhh…” Menggelabah Ameer Qalish memujuk sambil jari telunjuk di bibir.
            
Nurul Ain masih juga teresak. Entah kenapa, rasa sedihnya tidak boleh surut. Malah dia tidak mendengar langsung kata-kata maaf dari Ameer Qalish. Kata-kata penerangan lelaki itu pun dia tidak mendengar langsung. 
            
“Awak, saya minta maaf. Saya main-main aje. Janganlah nangis lagi. Syhhhh…. Syhhh…” Mahu saja rasanya dia mengusap belakang Nurul Ain bagi menenangkan. Tetapi itu tidak mungkin! Nurul Ain tidak mungkin membenarkan dia berbuat begitu walaupun berlapik. Dia bingung memikirkan cara terbaik untuk menghentikan tangisan gadis itu.
            
Dari jauh Johan dapat lihat adengan mereka berdua. Dia sedikit hairan. Dia lihat gadis pujaannya, Nurul Ain seakan sedang menangis, sementara anak saudara majikkannya pula seperti sedang memujuk gadis itu. Apa yang telah berlaku antara mereka berdua ini? Dengan rasa ingin tahu yang membuak, dia mendekat.
            
“Encik Ameer? Ain? Ada masalah ke?”
            
Nurul Ain yang menyedari kehadiran Johan di situ lantas mengesat pipi yang basah. Namun, dia masih lagi tidak mengangkat wajahnya.
            
“Err… Tak. Tak ada apa.” Ameer Qalish tidak tahu hendak kata apa. Dia serba salah.
            
“Tapi…”
            
“Saya minta diri dulu,” Nurul Ain pantas meminta diri. Dia malu sekiranya Johan melihat dia menangis disebabkan kena marah.
            
Johan memandang Ameer Qalish dan langkah kaki Nurul Ain silih berganti. Ameer Qalish cuba berwajah selamba tetapi kelihatan gelisah. Bibir diketap. Dia tahu pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh mereka berdua.


~*~*~*~*~*~


“Minah, Ain mana?” tanya Johan sambil melabuhkan punggung di hadapan Aminah. Bekas makanan yang dibawa sekali ke kantin ditolak ke tepi.
            
“Eh, Abang Joe. Hish… Abang Joe ni kan, tak habis-habis cari Ain dia. Minah ni tak nak cari pulak. Balik-balik Ain, balik-balik Ain,” omel Aminah merajuk dalam bergurau.
            
Johan ketawa. Dia tahu gadis itu hanya bergurau.
            
“Minah dah ada dekat sini kan, buat apa abang nak tanya lagi. Ain tak ada dekat sini. Sebab itu abang tanya. Yalah, kau orang berdua ni kan macam belangkas. Mana-mana berdua.”
           
Aminah turut ketawa.
            
“Dia pergi toilet kejap. Sekejap lagi adalah dia tu. Abang ni takut sangat gadis pujaan dia tu hilang. Abang Joe, takkan lari gunung yang dikejar,” ujar Aminah menyindir jejaka itu. Dagu ditongkat sambil memandang Johan.
            
“Apa yang Minah cakap ni? Apanya yang tak lari gunung dikejar? Abang tak fahamlah.”
            
“Eleh, tak faham ke… buat-buat tak faham ni? Abang Joe, Minah tahulah abang ada hati dekat Ain. Dari cara abang layan Ain macam ada apa-apa aje. Betulkan, abang sukakan Ain? Kan? Kan?” Aminah menundingkan jari telunjuk di hadapan muka Johan. Mata dikecilkan.
            
“Syhhh… jangan cakap kuat-kuat. Karang orang lain dengar, salah faham nanti. Memang abang suka Ain, Minah pun abang suka. Kau orang berdua dah macam adik abang. Tak lebih pun,” ujar Johan menyelindungi perasaan sebenarnya. Betul dia sukakan Nurul Ain tetapi segan hendak mengakuinya.
            
“Eleh, tak payah nak selindung-selindunglah, bang…”
            
“Dah. Tak payah cakap hal tu lagi. Ni, tadi abang nampak Ain berbual dengan Encik Ameer. Abang nampak Ain macam menangis tapi abang tak tahu kenapa. Minah tahu apa-apa ke? Dia tak ada cerita apa-apa dekat Minah?”
            
Berkerut dahi Aminah. “Erk, tak ada pula. Minah pun perasan mata dia bengkak. Minah tanya tapi dia kata tak ada apa-apa. Minah pun malaslah nak tanya lebih-lebih. Tapi… ish, tak patut betullah Ain ni. Berbual dengan bos hensem tak ajak orang. Huh!” Aminah menepuk meja dan kembungkan pipi. Dia geram.
            
“Eh, tu Ain dah datang.”
           
Mata Johan dan Aminah terarah pada langkah lemah Nurul Ain.
            
“Err… Abang Joe pun ada.” Nurul Ain mengambil tempat disebelah sahabatnya. Serba salah dia hendak pandang lelaki di hadapannya ini. Johan lihat kejadian tadi tetapi tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi.
            
Johan senyum nipis.
            
“Ain… Ain okey ke ni?”
            
Lelaki itu dipandang dengan dahi berkerut.
            
“Ain okey aje. Kenapa abang tanya macam tu?” soal Nurul Ain balik sambil memandang Johan dan Aminah silih berganti.
            
“Tak adalah, tadikan Ain dengan Encik Ameer…”
            
“Tak. Tak ada apa-apa pun. Betul! Kami bual tentang kerja. Yup, tentang kerja!” Nurul Ain berkata tegas. Sekali gus mendiamkan Johan.
            
Nurul Ain pantas bangun membasuh tangan. Sesudah itu dia duduk kembali ditempatnya. Tanpa menunggu masa, dia mengeluarkan bekas makanan dari dalam beg kertasnya. Semua penutup bekas makanan itu dibuka. Sebelum menggaul nasi di dalam bekas, dia memandang Johan, kemudian Aminah. Dua insan itu diam sambil fokus pandangan ke arahnya.
            
“Err… kau orang kenapa tak makan ni? Diet ke?” Selamba dia menyuap nasi ke dalam mulut. Tidak dipedulikan pandangan mereka yang jelas masih bertanda tanya.
            
Melihat Nurul Ain, Johan faham bahawa gadis itu tidak mahu mengulas tentang hal tadi. Dia diam dan tidak mengungkit lagi soal itu. Bekas makanannya dibuka dan mula menjamah makanan yang dibawa. Aminah juga begitu.


~*~*~*~*~*~


Aminah menahan langkah Nurul Ain sebaik turun dari van pekerja.
            
“Ain, tolong ceritakan hal sebenar dekat aku,” pinta Aminah tiba-tiba. Selagi dia tidak tahu cerita sebenar, selagi itulah hati tidak tenteram.
            “
Apa?”
            
Aminah menjulingkan mata ke atas. Dia tahu sahabatnya itu bukan tidak faham, tetapi sengaja pura-pura tidak faham. Dia menentang pandangan mata Nurul Ain. Kedua-dua belah tangan dicekak ke pinggang.
            
“Ain! Jangan cakap kau tak faham eh.” Jari telunjuk ditegakkan betul-betul di hujung hidung Nurul Ain.
            
“Apa halnya kau ni Minah? Aku betul-betul tak fahamlah. Kau nak aku cerita tentang apa? Cuba cakap secara detail. Ini tiba-tiba aje,” rungut Nurul Ain. Dia betul-betul tidak mengerti dengan kehendak Aminah.
            
Aminah mengeluh.
            
“Tentang kau dengan Encik Ameer, bos sementara kita tulah. Apa dah jadi sebenarnya Ain? Janganlah rahsia-rahsia dengan aku. Kau tahukan, aku ni tak boleh kalau orang nak berahsia-rahsia dengan aku. Nanti aku tak boleh tidur malam tau.”
            
Nurul Ain ketawa. Tahu sangat dengan perangai sahabatnya yang suka ambil tahu itu.
            
“Alah, tak ada apalah,” jawapnya acuh tidak acuh. Dia mula melangkah semula. Malas dia hendak bercakap tentang hal itu. Sungguh memalukan untuk diceritakan. Biar dia dan lelaki itu saja yang tahu.
           
Aminah mengejar langkah gadis itu.
            
“Mana boleh tak ada apa-apa. Yang mata kau bengkak macam baru lepas nangis Lepas tu Abang Joe kata tadi dia ada nampak kau berbual dengan Encik Ameer, takkan tak ada apa-apa kot?” Aminah masih tidak berpuas hati. Dia akan terus tanya dan tanya hingga Nurul Ain cerita. Tangan gadis itu ditarik.
            
Terhenti lagi langkah kaki Nurul Ain. Keluhan lepas juga. Tidak mahu cerita pun, tetap juga kena cerita. Aminah akan terus mendesak sampai dia buka mulut.
            
“Okey… okey. Sebenarnya, aku tadi ada buat salah. Kena marah.” Perlahan saja suara Nurul Ain.
            
Berkerut dahi Aminah. “Salah apa? Encik Ameer marah kau?”
            
Nurul Ain mengangguk.
            
“Sebab aku keluar waktu kerja untuk minum air tadi. Tak tahu pula tak boleh keluar sekejap. Dan, tak tahu kenapa, masa kena marah tu aku rasa nak menangis. So, aku menangislah. Minah, yang ni kau jangan cerita kat siapa-siapa eh. Malulah aku kalau orang tahu nanti.” Malu dia mengakui. Jari kelingking dihulurkan kepada Aminah, gadis itu sambut dengan jari kelingkingnya.
            
“Okey, janji. Sebab itu aje. Erk, takkan sebab keluar minum air kejap boleh kena marah? Sebelum ni, tak ada pun yang melarang. Encik Azhari pun tak kisah. Pelik.” Aminah mengetuk-ngetuk bibirnya. Wajah Nurul Ain dipandang pelik.
            
Nurul Ain hanya angkat bahu. “Entah. Mungkin Encik Ameer orang yang tegas kot. Terlalu berdisiplin mungkin.”
            
“Agaknya kot. Hmm, susahlah aku macam ni…” Aminah berkata lemah.
            
Wajah Aminah dipandang. Dahinya berkerut tidak faham. “Kenapa kau pula yang susah?”
            
“Susahlah aku nak pikat dia. Nampak macam garang aje. Habislah aku nanti bila dah jadi bini dia. Mesti besar telinga aku dengar dia membebel nantikan?”
            
Nurul Ain ketawa. Lucu mendengar angan-angan sahabatnya itu yang tidak sudah-sudah.
            
“Kau ni ada-ada ajelah Minah. Dah, jomlah balik. Dah nak maghrib ni. Risau pula mak abah kita kat rumah tu.”
            
Nurul Ain menarik tangan Aminah agar seiring dengannya.
            
“Tapikan Ain… Kenapa aku rasa Encik Ameer tu semacam erk?” kata Aminah tiba-tiba. Untuk sekian kalinya, terbantut lagi langkah kaki Nurul Ain.         
            
“Semacam? Maksud kau?”
            
“Dia macam suka kaulah Ain,” ujar Aminah dengan wajah serius.
            
“Apa kau merepek ni Minah oii? Kena sampuk jembalang petang ke apa ni?” Sungguh dia terkejut mendengar kata-kata sahabatnya itu.
            
“Betul. Aku rasa Encik Ameer tu macam ada something aje dengan kau. Kau nak tahu tak? Masa waktu kali pertama perjumpaan secara rasmi dengan dia, aku perasan mata dia asyik dekat kau aje. Kau tak perasan ke?”
            
Itu lagi membuatkan Nurul Ain terkejut. Betul ke begitu? Dia tidak perasan langsung pun lelaki itu merenungnya. Ah, perasaan Aminah saja tu. Mungkin Encik Ameer pandang orang di sebelah atau di belakangnya.
            
“Eh, mana adalah. Agaknya kau salah tengok kot. Dahlah, biarlah dia nak tenung siapa pun. Mata dia. Tak ada kena mengena dengan kita.”
            
“Hmm, entahlah. Tapi, perasaan aku kuat mengatakan ada something dengan Encik Ameer tu. Tapikan Ain, aku tak kisah punlah dia suka kau. Kalau kau dengan Encik Ameer, biar aku ambik Abang Joe. Hensem juga. He… he… he…” gurau Aminah merepek dengan ketawa gatal.
            
Nurul Ain tepuk lengan Aminah.
            
“Gatal! Dah, tak payah nak berangan sangatlah. Kalau nak bercinta bagai tunggu lepas habis belajar ya Cik Aminah sayang. Sekarang belum masanya lagi. Sekarang ni, jom balik!” Sekali lagi tangan Aminah ditarik. Laju langkahnya, begitu juga Aminah.
           
Encik Ameer sukakannya? Hish, merepek sungguhlah Aminah ini, omelnya dalam hati.



~Assalammualaikum reader blog serabut ira! Jemput la baca sambungan DBH erk. Sila drop komen di bawah kalau sudi. Komen je, ira tak marah @ kenakan tol. hehe. Maaf kalau ada kekurangan. Enjoy readingg! ^_^



           
           
           

           
           
           
           
           
           
           

            

6 ulasan:

Unknown berkata...

Nak lagi....bestla1hehe.akak ni bekas pekerja kilang pun xpandai nak buat cerita macam ni tau.hehe.xde gmbr ameer ke?

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

hehehe..arigato akak! Ira pn pernah kerja kilang lepas SPM. Ada pgalaman skit tulis tu yg tulis tu. Malas nak cari gambar sbb tu la x letak. hehehehe

Unknown berkata...

Oit.bukan dulu akak dah crikan ke?????

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

ada, ira dah terbuang masa kemas fail dlm lappy ni...hehehe

Thanusya Shanmuganathan berkata...

BEST... cepat sambung :)

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Tq kak thanusya sudi baca.. nt ira smbg lg erk..hehe