Isnin, 15 September 2014

Suara Roh (Part 2)



Sakinah duduk termenung merenung pekat malam di tepi tingkat. Dia asyik memikirkan tentang dirinya. Sejak dia sedar dari koma, hampir setiap malam dia didatangi mimpi yang pelik dan menyeramkan. Dalam mimpinya, sekali lagi dia didatangi seorang gadis yang dalam kebasahan meminta pertolongan darinya. Wajah gadis itu tidak kelihatan kerana ditutupi oleh rambut yang basah. Pelbagai lagi mimpi pelik yang dia alami. Sakinah tidak pernah pun bercerita tentang mimpi peliknya kepada sesiapa termasuklah suaminya. Takut Idham jadi risau dengannya.

Dia fikir mimpi itu hanya mainan tidur. Dan, mungkin kerana masih trauma dia masih mengalami mimpi sebegitu. Dia pasti lama kelamaan pasti mimpi itu akan hilang sendiri. Sedang dia sibuk mengelamun tiba-tiba dia seakan terpandang bayang seseorang sedang berdiri di seberang jalan. Bayang itu sedang memandang tajam ke arahnya. Bulu romanya tiba-tiba tegak berdiri. Tubuhnya pula seakan menggigil walaupun cuaca waktu itu tidak berangin. Susuk tubuh bayang yang berdiri tegak itu kelihatan seperti susuk seorang perempuan. Siapakah itu? Apa yang dilakukan malam-malam buta begini di situ?

Tiba-tiba tubuhnya dipeluk dari belakang. Manakala bahu kanan seperti disentuh sesuatu. Dia tersentak. Tubuhnya semakin menggigil.

“Sayang…”

Terdengar saja suara suaminya, dia terus berpaling. Rupanya Idham yang memeluknya dan menyangkutkan dagu ke bahu kanannya.

“Abang rupanya. Terkejut Kinah.” Dada yang berdetap laju lantas ditenangkan.

“Kenapa ni? Sayang macam menggigil saja. Sayang tak sihat ke?”

Idham hairan saat merasakan tubuh Sakinah seakan bergetar. Di dahi isteirnya pula kelihatan manik-manik peluk. Hendak kata sejuk, cuaca malam itu tidaklah sejuk mana. Hendak kata terlalu panas pun tidak. Apa kena dengan isterinya ini?

“Err… tak. Tak adalah bang. Kinah sihat aje. Cuma cuaca malam ni rasa sejuk sikit.” Sakinah berbohong.

Bukanlah dia berniat hendak berbohong. Cuma dia tidak mahu suaminya itu risau. Lagi pula, sekejap lagi Idham akan berangkat ke Melaka. Outstation selama tiga hari di sana. Dahi yang sedikit basah kerana peluk segera dikesat dengan telapak tangan.

“Betul ke ni? Kalau Kinah tak sihat cakaplah dengan abang. Masih sempat lagi abang nak minta orang lain gantikan abang. Biar abang temankan sayang dekat rumah aje. Macam tak sedap hati pula nak tinggalkan Kinah dekat rumah.” Idham melahirkan rasa kerisauannya.

Sakinah meleraikan perlahan-lahan tangan suaminya yang melingkar di pinggangnya. Dia mengalihkan tubuh ke belakang. Senyuman paling manis diberikan kepada suaminya yang tercinta itu. Kedua-dua belah telapak tangan menekap ke pipi kiri dan kanan lelaki itu.

“Abang… Kinah okeylah. Janganlah risau. Abang pergi sana bukannya lama pun. Cuma tiga hari aje, kan? Lagi pun, nanti apa kata bos abang. Dahlah masa Kinah dekat hospital, abang banyak ambil cuti. Ini baru naik kerja dah nak ambil cuti lagi. Tak bolehlah macam tu abang sayang.” Sakinah memujuk lembut suaminya.

Idham mencebir. Sebenarnya dia berat hati hendak membiarkan isterinya tinggal di rumah. Walaupun Sakinah kelihatan sudah sihat, dia masih risau. Kemalangan yang menimpa wanita itu bukan saja memberikan trauma kepada isterinya tetapi dia juga turut merasakannya.

“Hmm… Apa boleh buat kan? Tak apalah. Abang cuba tahan perasaan ni selama tiga hari. Kalau tak dapat tahan, abang sanggup ulang alik dari KL ke Melaka.” Rambut Sakinah yang terjuntai di dahi, di selitkan ke telinga. Dahi isterinya itu dikucup lembut dan lama.

Sakinah ketawa kecil.

“Hish abang ni… Janganlah macam tu. Nanti buat penat abang aje. Tak payahlah buat macam tu bang. Kinah janji. Setiap hari dua jam sekali Kinah akan call abang. Okey?”

“Yalah… yalah. Nanti kalau Kinah nak ke mana-mana bawa Tuti sekali ya. Jangan pergi sorang-sorang tau. Abang tak izinkan Kinah keluar sorang-sorang. Even, nak ke rumah mama dan papa pun kena bawa Tuti sekali,” pesan Idham.

“Ya, abang. Kinah tahu tu. Dah, jom Kinah hantar sampai depan. Jom…”

Sakinah menarik tangan suaminya turun ke tingkat bawah.

“Sayang, take care ya.” Sekali lagi Idham mengucup dahi isterinya. Setelah itu mereka bersalaman.

“Yalah. Abang pun sama. Drive carefully, bang. Kalau mengantuk berhentilah dulu, tidur.”

Idham mengangguk. Dengan berat hati dia meloloskan diri ke perut kereta.

“Assalammualaikum.”

“Wa’alaikumsalam, abang.”

Kereta Idham mula bergerak keluar dari garaj. Sakinah melambai-lambai dari belakang sehingga kelibat kereta suaminya hilang dari pandangan. Entah kenapa, tiba-tiba dia merasakan tubuhnya bagai ditiup angin. Serta merta bulu romanya kembali meremang. Tanpa menunggu lama dia pantas berlari masuk ke dalam rumah.


~*~*~*~*~*~


“Tuti…” panggil Sakinah sebaik saja terlihat kelibat pembantu rumah warga Indonesia itu di pintu dapur.

“Ya, buk.”

Tuti mendekati Sakinah.

“Err… nanti sebelum tidur, jangan lupa cek pintu belakang dengan pagar depan ya. Takut tak berkunci pula. Saya nak naik atas dulu. Apa-apa hal awak cari saya dekat atas, okey?”

 “Baiklah, buk.”

Tanpa menunggu lama lagi, Tuti pantas menuju ke dapur. Mana Sakinah pula naik ke tingkat atas. Dia menyelak sedikit comforter dan duduk melunjur di atas tilam. Setelah itu menarik semula comforter menutup separuh badan. Botol kecil berisi ubat tidur di atas meja katil sebelah katil dicapai. Kemudian dicapai pula segelas air masak. Sebiji ubat tidur ditelannya. Sejak kebelakangan ini, dia mengalami simptom susah mahu tidur. Jadi dia terpaksa mengambil ubat tidur walaupun sebenarnya dia tidak menggemarinya. Tubuh dibaringkan. Beberapa minit kemudian, matanya perlahan-lahan tertutup.

Jarum panjang tepat menunjukkan pukul 2.00 pagi.

“Ja… jangan! Jangan apa-apa kan aku! Tolong jangan! Ja… jangan!” Tanpa sedar mulutnya meracau-racau. Mata masih tertutup rapat. Dahi sudah lencun dengan peluh. Kedua-dua belah tangan pula berada di atas bagai menolah sesuatu. Kepala pula sudah tertoleh-toleh kiri dan kanan.

“Ja… jangan! Aku tak nak ikut kau. Aku tak nak mati. Jangan…” Sedaya upaya dia merayu dan menangis.

“Arghhh!”

Sakinah lantas terbangun. Pantas dia memandang ke sekeliling. Dia masih di biliknya. Nafas yang tercungap-cungap tadi perlahan-lahan cuba diredakan. Dahi yang berpeluk lantas diseka dengan telapak tangan. Dia mencebak rambut panjangnya ke belakang.

“Astaghfirullah al-azim… Astaghfirullah al-azim…” Dia beristighfar. “Ya Allah, aku bermimpi lagi. Apa maksud semua mimpi tu? Kenapa aku asyik bermimpi benda yang sama?” Dada yang berdegup kencang digosok-gosok agar kembali bertenang. Dia bingung dan tertanya-tanya. Kenapa mimpi itu sering menganggunnya? Kenapa dia yang dipilih? Pasti ada maksud yang tersurat di dalam mimpi menyeramkan itu? Tetapi apakah dia?

Dia mencapai telefon pintarnya di atas meja. Baru pukul 2.00 pagi. Tekak terasa kering. Dia mengerling ke gelas kosong di sebelahnya. Dengan malas dia menyelak comforter dan duduk seketika di birai katil. Tangannya pantas mencapai gelas yang sudah kosong itu. Perlahan-lahan kaki menuruni anak tangga. Sewaktu dipertengahan turun, dia terdengar sesuatu jatuh dari arah dapur. Dia diam seketika.

Prenggg…

Seperti bunyi tudung periuk jatuh ke lantai. Tuti ke tu? Eh, apa pula yang Tuti buat malam-malam buta begini dengan tudung periuk? Takkan masak malam-malam buta? Hendak kata kucing, dia mana ada bela kucing di rumah ini.

“Tuti, awak ke tu?” laung Sakinah. Tiada respon.

Prenggg…

Bunyi itu sekali lagi didengari. Dia sudah tidak sabar lagi. Walaupun berat hati kaki tetap melangkah.

“Tuti…” panggilnya lagi. Namun, juga tiada sahutan.

Perlahan-lahan kakinya diatur. Sampai saja di pintu dapur dia mematikan langkah. Mata diliarkan ke sekeliling dapur yang kelam, mencari kelibat pembantu rumahnya itu. Jelas di penglihatannya susuk tubuh seornag wanita sedang berdiri di hadapan singki. Serta merta bunyi air keluar dari paip kedengaran. Dia pelik dengan Tuti. Semasa dia panggil tidak pula pembantu rumahnya itu menyahut.

“Tuti, awak buat apa tu? Awak… awak mengigau ke?”

Tuti hanya diam. Kali ini dia terdengar seperti pisau sedang memotong sesuatu. Rasa pelik dan seram sejuk bercampur aduk. Sekali lagi Sakinah memberanikan diri mendekati wanita itu. Bahu Tuti disentuh. Terasa baju tidur di bahagian bahu Tuti basah seperti kainnya baru dicelup dalam air. Segera dia menarik semula tangannya.

“Tu… Tuti?”

Segala macam rasa hadir dalam diri. Hati sering merasuk mengatakan bahawa itu bukanlah Tuti. Siapakah dia sebenarnya? Secara automatik kaki melangkah ke belakang perlahan-lahan. Serentak itu juga susuk tubuh itu berpaling ke arahnya. Sakinah terkejut besar.

“Ya Allah… dia bukan Tuti!”

Akibat terlalu terkejut, dia terduduk. Susuk tubuh wanita itu sedikit demi sedikit mendekati dirinya. Wajah tidak kelihatan kerana diselindung dengan rambut panjang. Air menitik dari hujung rambut dan  hujung gaun putih yang dipakai membasahi lantai. Sakinah menggigil takut.

“Kau… kau nak apa, haa? Kenapa… kau selalu ganggu aku? Pergi! Pergi! Ja… jangan ganggu aku lagi!”

“Tolong… aku… Sakinah…” Mendayu-dayu suara wanita itu.

“Kau… kau nak aku… aku tolong apa?”

Sakinah semakin mengengsot ke belakang. Manakala wanita tidak kelihatan wajahnya itu semakin mendekatinya.

“Ke… keluarkan… keluarkan aku da… dari sana. Se… selamatkan ak… aku.”

 Bergetar-getar suara itu. Seakan menanggung sejuk yang amat. Suaranya juga seakan tenggelam timbul.

“Keluarkan? Selamatkan kau? Apa maksud kau? Kau… kau cuba nak per… perdayakan ak… aku ke syaitan? Pergi! Aku takkan sesekali… percaya cakap ka… kau syaitan laknatullah!”

“Tolonglah… aku… Sakinah. Ak… aku tak nak… berada di… di sini… lagi…” rayu suara itu lagi.

Sakinah pantas menekup kedua-dua belah telinga. Dia tergeleng-geleng cuba mengusir suara itu.

“Pergi! Jangan ganggu aku lagi. Pergi! Tolonglah, pergi!” jeritnya sekuat hati.

Tiba-tiba dia dipeluk dari belakang. Sakinah menggelabah. Dia pantas menronta-ronta minta dilepaskan. Tangan yang memeluknya cuba untuk dileraikan, namun tidak berjaya. Tetapi pelukkan semakin erat.

“Ibuk mengucap, buk. Istighfar. Ingat Allah…

Mendengar saja suara Tuti, Sakinah kembali tenang. Tanpa sedar peluk Tuti dan menangis di bahu wanita itu.  Terkumat-kamit bibirnya beristighfar mengikuti mulut pembantu rumahnya.

“Minum airnya, buk.” Tuti menyerahkan segelas air masak kepadanya. Dia menyisip perlahan-lahan, kemudian gelas yang telah kosong diserahkan semula kepada Tuti. Tubuh disandarkan ke kepala katil.

“Terima kasih Tuti.”

 “Sama-sama, buk. Err… tadinya ibuk kenapa sih? Saya di kamar sedang tidur terkejut mendengar jeritan ibuk di dapur. Langsung saya berlari ke sana. Err... ibuk mahu saya telefon bapak?”

 Serba salah Sakinah. Jeritannya tadi telah mengganggu tidur Tuti. Dia juga tidak sampai hati hendak menceritakan apa-apa kepada wanita itu. Khuatir menakutkan Tuti pula. Biarlah cerita itu disimpan sendiri.

“Tak perlu. Tak perlu. Jangan telefon bapak. Takut dia risau nati. Maaf ya Tuti. Tak sangka jeritan saya dah ganggu tidur awak. Tadi saya… saya… Tak ada apalah Tuti. Halusinasi saya aje tadi. Awak pergilah masuk bilik, sambung tidur semula.”

 Tuti faham. Dia tidak bertanya lagi.

“Ngak apa-apa kok, buk. Kalau gitu saya pamit ke kamar dulu ya. Ibuk berehatlah.”

Sakinah mengangguk.

“Ibuk, sebelum tidur saya sarankan ambil wuduk. Biar ngak diganggu makhluk halus,” pesan Tuti sebelum menutup pintu bilik. Pembantu rumahnya itu sempat memberikan senyuman.

“Yalah. Teirma kasih Tuti.”

Seperti saranan pembantu rumahnya. Dia menggagahkan diri ke bilik air untuk mengambil wuduk. Kemudian, dia kembali melelapkan mata.
           
           
           
Sambung....


~Assalam. Jemputlah baca sambungan cerpan SR ni. Drop komen di bawah kalau sudi. Ira terima sebarang teguran dengan hati terbuka & akan cuba perbaiki. Maaf, updatenya kelamaan. Hehe. Kesibukkan membataskan ira utk update apa2 di blog ni. Apa2 pun enjoy reading!







2 ulasan:

Unknown berkata...

Lama menanti citer ni kak eira! Scary.. Tp suka.. Hahaha..

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Hehehe...insyallah, nt akak smbg lagi erk..sory banyak typo plak, baru perasan lorh..heee :D