Suasana di meja makan
sunyi sepi. Masing-masing fokus dengan makanan sendiri. Nurul Ain pula dari
tadi menunduk saja. Dia mengunyah perlahan-lahan. Bukan kerana masakan ibunya tidak
sedap, sedap. Tetapi dia berasa tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu di
rumahnya. Apatah lagi lelaki itu sedang duduk semeja makan bersama dia dan
keluarganya. Sekilas dia memandang Ameer Qalish yang berdepan dengannya. Lelaki
itu nampak berselera sekali. Sementara dia semakin pudar selera. Tangannya lantas
berhenti menguis nasi.
Dia bangun. Pinggan diangkat.
“Ain, dah sudah?” tanya ibu sambil mendongak memandang ke
arahnya. Abah serta lelaki itu juga menuntaskan pandangan ke arahnya.
“Err… dah, bu.”
“Eh sikit sangat makan. Nasi dalam pinggan pun tak habis
lagi tu.” Ibu memandang hairan pinggan Nurul Ain yang masih bersisa makanan.
Nurul Ain senyum.
“Sebenarnya Ain kenyang lagi, bu. Sarapan pagi tadi Ain
terambil banyak. Itu sebab kenyang lagi. Hmm… Ain nak naik atas sekejap ya.
Nanti Ain turun semula.” Nurul Ain meminta diri. Dia sudah pun berdiri di sisi
meja makan sambil memegang pinggannya.
“Yalah…” ujar ibu tanpa menahan lagi.
Tanpa berlengah Nurul Ain pantas ke dapur. Pandangan
Ameer Qalish saat dia berlalu tadi tidak diendahkan walaupun dia tahu lelaki
itu sedang memandangnya. Pinggan makannya cepat-cepat dibasuh. Berita mengejut
ini mahu dikhabarkan kepada Aminah. Usai membasuh, tangan yang basah lantas
dikeringkan dengan kain lap tangan tergantung di tingkap dapur. Setelah itu dia
terkocoh-kocoh naik ke tingkat atas. Pasti kepoh mulut sahabatnya yang seorang
itu nanti.
Di ruang makan pula Ameer Qalish memerhati saja langkah
Nurul Ain. Dia tahu dan sangat pasti, Nurul Ain pasti tidak selesa dengan
kehadirannya. Mungkin juga gadis itu terkejut dengan kehadirannya di rumah itu.
Dia sendiri pun terkejut. Sungguh dia tidak menyangka bahawa lelaki tua yang
selalu berbual dengannya itu adalah bapa Nurul Ain sendiri.
Dalam
pada masa yang sama, ibu Nurul Ain perasan bahawa anak muda di hadapannya
sedang memerhati langkah anak daranya. Bagai ada yang tidak kena saja dari cara
anak muda itu memerhati. Dia lantas berdeham.
“Ehemm… Ameer,” tegur ibu.
Ameer Qalish tersentak dengan panggilan itu. Dia pantas
mengalih pandang.
“Err… Ya, ya mak cik.”
“Maaflah. Anak mak cik tu pemalu sikit orangnya. Agaknya
dia kekok duduk makan dengan orang luar. Nak, nak pula orang tu bos dia…”
Ameer Qalish mengangguk kecil dan tersenyum. Dia faham.
“Terima kasih mak cik. Masakan mak cik memang sedap!”
puji Ameer Qalish ikhlas. Memang tidak disangkal lagi. Masakan ibu Nurul Ain
terbaik berbanding makan di kedai.
Tersipu ibu Nurul Ain mendengar pujian itu. Abah pula
hanya senyum.
“Terima kasihlah Ameer. Alah, masakan mak cik biasa-biasa
saja, Sebenarnya Ain yang banyak tolong mak cik. Dia yang pagi-pagi dah bangun
menolong. Kurma ayam ni pun dialah yang masak. Lain-lain mak cik masak,” balas
ibu.
“Oh…”
Ameer Qalish senyum. Rupanya Nurul Ain yang memasak lauk
kurma ayam ini. Sampai dua kali tambah dia dibuatnya. Sedap! Terselit rasa
kagumnya terhadap gadis itu. Muda-muda lagi sudah pandai masak lauk sesedap
ini. Kalaulah Nurul Ain itu kekasihnya sudah lama dia lamar untuk menjadi
isteri. Hailah, Ameer. Berangan sajalah. Nurul Ain itu masih muda. Mana sesuai
dengan kau yang dah tua ni, bisik hati Ameer Qalish.
“Kalau sedap tambahlah lagi, Meer. Banyak mak cik kamu
masak ni,” pelawa abah. Mangkuk nasi sudah sedia diangkat.
“Eh, tak apa pak cik. Ini pun dah cukup. Perut saya dah
penuh.”
Tolak Ameer Qalish lembut. Memang betul perutnya sudah
penuh. Dia tersenyum pada kedua-dua suami isteri itu. Tidak dia sangka, masih
wujud lagi insan-insan baik hati seperti ibu bapa Nurul Ain. Biar pun baru saja
kenal, mereka sudah melayannya baik seperti keluarga. Kalaulah dia masih punya
mama dan papa pasti dia juga dilayan seperti layanan ibu bapa Nurul Ain. Tiba-tiba
terbit rasa rindu terhadap kedua-dua arwah ibu bapanya.
~*~*~*~*~*~
“Apa?! Ain kau jangan
main-main…”
Nurul Ain ketawa kecil. Dia sudah agak pasti Aminah tidak
akan percaya dengan kata-katanya.
“Betullah. Aku tak tipu dan tak main-main. Memang dia!”
“Erk… Macam mana dia boleh ada dekat situ? Dia saudara
mak abah kau? Yang kau sendiri pun sebenarnya baru tahu dia ada bau-bau bacang
dengan keluarga kau? Betul macam tu Ain?” soal Aminah panjang lebar. Cakap pun
laju semacam.
Nurul Ain senyum saja. Aminah biasalah. Kalau bertanya
kalah wartawan berita.
“Hish, kau ni Minah. Tanyalah satu-satu. Pening kepala
aku nak jawap mana satu tau,” rungut Nurul Ain.
Kedengaran ketawa kecil di corong telefon.
“Okeylah Cik Ain. Sori eh. Saya kalau dah teruja memang
macam tu. Macamlah awak tak tahu? Okey, soalan saya yang pertama. Macam mana
Encik Ameer boleh ada dekat rumah Cik Ain?” soal Aminah dalam nada bergurau.
Nurul Ain ketawa mendengarnya. Skema betul Aminah!
“Dia anak murid abah aku.”
“Erk? Habis tu macam mana pula dia kenal abah kau? Kau
dengan dia ada bau-bau bacang ke?” soal Aminah lagi. Kali ini sudah tidak skema
seperti tadi.
Nurul Ain merebahkan tubuh ke tilam. Tudung yang menutupi
kepala ditarik ke atas. Rambutnya yang panjang hingga paras bahu dan berikat
ekor kuda ditarik ke hadapan lalu dipintal-pintal. Telefon masih melekap di telinga.
“Taklah. Mana ada pertalian pun. Dia kawan baru abah aku.
Abah kenal dia dekat masjid baru-baru ni. Aku sendiri terkejut bila tiba-tiba
Encik Ameer ada dalam rumah. Tak sangka langsung dialah kawan yang abah aku
maksudkan minggu lepas,” terang Nurul Ain.
Tiba-tiba
fikirannya disinggahi Ameer Qalish. Kecil betul bumi Allah ini ya. Pusing,
pusing jumpa orang ini. Pusing, pusing jumpa orang itu. Dia betul-betul tidak
sangka bahawa Ameer Qalish adalah rakan baru abahnya. Dia fikirkan Ameer lain.
Yalah, dalam muka bumi ini bukan dia seorang saja bernama sebegitu kan?
“Habis
bos hensem kita tu tengah buat apa sekarang? Kau cakap ni… dia adalah dekat
situ?”
“Dia
dekat bawah dengan ibu dan abah aku. Tengah makan lagi agaknya. Hish, taklah.
Aku dah dalam bilik sekarang ni. Kalau dia ada semestinya aku tak telefon kau
sekarang Minah sayang…”
Meletus
ketawa Aminah.
“Ha’ah
kan? Untunglah kau Ain!”
Aminah
terjerit kecil tiba-tiba.
“Untung?
Apa yang untung?” tanya Nurul Ain pelik.
“Yalah,
bos kita yang hensem meletopp tu
datang rumah kau. Kalau aku ajak datang rumah aku, semestinya dia tak nak.
Hmm…” ujar Aminah dan hujung nadanya kedengaran hampa.
Nurul
Ain ketawa mendengarnya. “Tak ada maknanya untung Minah. Aku lagi tak selesa
adalah…”
“Tak
selesa? Kenapa pula?”
“Yalah,
orang luar yang tak kenal datang rumah kita kan. Lagi-lagi orang tu Encik
Ameer. Tentulah aku tak selesa.”
“Hmm…
kalau akulah bukan tak selesa, lagi suka adalah. Jarang-jarang kut nak jumpa
bos hensem datang rumah pekerja kalau bukan sebab tertentu berkaitan pekerja. Kalau
aku jadi kau Ain, bila dapat tahu je Encik Ameer nak datang. Awal-awal lagi aku
dah buka pintu rumah tau. Lepas tu aku hambarkan karpet merah untuk dia. Lepas
tu lagi…”
Kata-kata
Aminah serta merta terhenti apabila Nurul Ain menyampuk. Kalau dibiarkan
semakin merapu-rapu pula sahabatnya itu. Bercakap pula macam murai tercabut
ekor.
“Eh,
cukup, cukup! Merepek betullah kau ni Minah. Mengada-ngada! Dahlah, nanti kita
sambung lagi eh. Aku nak turun semula tolong ibu.”
Nurul
Ain bangun dan duduk di birai katil. Tudung sarung yang tadi ditanggalkan, disarung
semula dengan hanya menggunakan tangan kanan. Dia mahu turun ke bawah membantu
ibunya apa yang patut. Dia pasti mereka semua sudah selesai makan.
“Eh,
sekejaplah. Kita belum habis gosip lagi. Kau ni…” tahan Aminah. Nada tidak puas
hati jelas kedengaran.
“Tak
naklah gosip. Dosa. Daaa… Aminahku sayang. Assalammualaikum!”
Tanpa
menunggu lagi, Nurul Ain memberi salam penutup perbualan mereka. Butang merah
ditekan. Dia pantas bangun lalu keluar dari bilik beradunya.
~*~*~*~*~*~
Jam dinding sudah
menunjukkan pukul 5.00 petang. Nurul Ain masih lagi di dapur menyiapkan
hidangan minum petang mereka. Abah, ibu dan Ameer Qalish sedang duduk di
pangkin hadapan rumah. Mereka bertiga berbual sakan seolah-olah sudah kenal
lama. Nurul Ain sengaja mengasingkan diri di dapur. Dia masih belum mencapai
tahap keselesaan dengan kehadiran Ameer Qalish.
Karipap yang baru saja digoreng tadi, disusun ke dalam
pinggan. Kemudian dia ke kabinet bersebelahan untuk membancuh air teh pula.
Setelah siap kesemuanya barulah disusun ke dalam dulang.
“Ehem… ehem…”
Nurul Ain tersentak. Rupanya tanpa dia sedar ada
seseorang sedang memerhatikannya. Dia kenal dengan pemilik suara itu.
Teragak-agak Nurul Ain menoleh.
“Eh, Encik Ameer.”
Lelaki itu senyum.
“Err… Encik buat apa dekat sini? Mana ibu dan ayah?” Hati
Nurul Ain gusar berduaan dengan Ameer Qalish di dapur ini. Tidak selesa. Tertoleh-toleh
kepalanya ke hadapan mencari kelibat ibu dan abahnya.
“Mak cik dan pak cik masih dekat pangkin depan. Maaflah
sebab ganggu awak buat kerja. Saya sebenarnya nak tumpang tandas. Boleh awak
tunjukkan?”
“Oh, tandas. Hmm, tandas dekat hujung sana.”
Ameer Qalish menoleh ke arah ditunjuk gadis itu. Namun,
dia masih tidak beralih ke arah yang ditunjukkan Nurul Ain.
“Mari saya tunjukkan…”
Ameer Qalish mengekori langkah Nurul Ain sehingga
betul-betul di hadapan pintu tandas.
“Err… Encik Ameer, inilah dia.”
“Terima kasih Ain. Saya tumpang sekejap ya.” Ameer Qalish
terus melangkah ke dalam. Pintu ditutup perlahan. Sebelum menutup pintu sempat
dia tersenyum manis kepada Nurul Ain.
Nurul Ain bagai terpaku melihat senyuman itu. Dia hanya
berdiri tegak sambil memandang permukaan pintu berwarna biru cair. Kakinya
bagai dipaku tidak dapat bergerak. Dan, perasaannya pula tiba-tiba rasa
semacam. ‘Semacam’ macam mana ya hendak digambarkan? Entahlah. Dia pun tidak
mengerti. Yang pasti selepas melihat senyuman Ameer Qalish dadanya berdegup
sedikit kencang. Dia pegang dadanya yang berdenyut. Kepala ditundukkan ke
bawah. Cuba menenangkan diri dan dadanya yang aneh.
“Ain, awak masih dekat sini?” sergah Ameer Qalish
tiba-tiba.
Nurul Ain tertegak. Agak terkejut dengan sergahan itu.
“Haa? Err… saya… saya,” tergagap-gagap Nurul Ain.
Ameer Qalish membongkok, membetulkan lipatan seluarnya
lantas mendongak ke atas sedikit. Dia mengangkat sebelah kening mengisyaratkan
agar Nurul Ain meneruskan kata-katanya.
“Err… Saya… saya tunggu… sebab… sebab nak tunjukkan…
Encik Ameer jalan ke luar. Takut encik tak tahu,” jawap Nurul Ain kalut. Dia
gigit hujung bibir. Dia tahu jawapannya sungguh tidak logik. Takkanlah Ameer Qalish
tidak tahu bagaimana hendak keluar ke pangkin semula. Rumahnya bukan sebuah
istana yang besar sehingga tidak dapat jumpa jalan keluar. Kepala yang tidak
gatal digaru-garu. Ameer Qalish dipandang kejap dan dengan pantas dia
menundukkan kepala. Malu!
Ameer Qalish ketawa kecil.
“Ain, awak janganlah risau. Macam mana saya masuk tadi,
macam itulah saya keluar. Awak tak perlu tunggu saya.”
“Err… yalah, Encik Ameer.”
Nurul Ain tidak tahu hendak berkata apa lagi. Dia hanya
mengangguk kecil. Apabila berhadapan dengan Ameer Qalish pasti dia tidak ubah
seperti patung.
“Awak tengah buat apa tadi?”
“Haa? Err… saya tengah siapkan minum petang.”
Nurul Ain pantas menuju ke meja semula.
“Biar saya tolong awak bawa ya? Awak bawa karipap ni,”
arah Ameer Qalish. Pinggan karipap diberikan kepada Nurul Ain.
Ameer Qalish sudah pun mencapai tangkai dulang.
“Eh, tak payah encik. Biar saya bawa. Encik pergilah
depan dulu. Encik kan tetamu abah saya,” tegah Nurul Ain.
“Tak. Biar saya tolong!”
Ameer Qalish tetap berdegil. Dulang itu terus diangkat
pantas dibawa ke pangkin. Nurul Ain sudah tidak terkata dan hanya membiarkan
saja. Tercengang ibu dan abah Nurul Ain melihatnya anak muda yang baru datang
ke rumah mereka sedang menatang dulang.Sedangkan Anak gadis mereka hanya
menunduk membuntuti dari belakang. Masing-masing saling berpandangan seketika.
Kemudian barulah tersenyum memandang Ameer Qalish dan Nurul Ain.
“Ibu… abah minum.”
Satu-persatu cawan diisi dengan teh panas buatannya tadi.
Kemudian cawan-cawan itu disusun di hadapan ibu, abah dan Ameer Qalish.
“Encik Ameer, jemput minum,” pelawa Nurul Ain dengan nada
perlahan.
Ameer Qalish tersenyum. “Terima kasih.”
Nurul Ain hanya mengangguk kecil. Sebagai tanda menerima
ucapan lelaki itu. Setelah itu dia mengambil tempat bersebelahan abahnya.
“Ameer, rasalah karipap ni. Hati-hati. Masih panas lagi.”
Ibu mengacu pinggan berisi karipap kepada Ameer Qalish.
Laju saja tangan lelaki itu mengambilnya. Sebiji karipap berinti keledek ditiup
sekilas lalu disuap ke mulut. Potongan karipap di dalam mulutnya perlahan
dikunyah. Kunyahan Ameer Qalish terhenti seketika. Sedap! Sepertinya dia pernah
rasa karipap seperti ini. Tetapi, dia lupa di mana dia pernah rasa? Seketika
dia berfikir. Matanya tiba-tiba terarah kepada Nurul Ain yang asyik menunduk.
Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum. Dia sudah tahu!
“Sedap karipap ni mak cik. Kulitnya tak tebal sangat.
Isinya banyak. Rangup pula tu. Pandai orang yang membuatnya. Kalau jual ni,
saya gerenti mesti laku!” puji Ameer Qalish. Sengaja dia menekan kata-katanya
untuk memancing perhatian Nurul Ain. Namun gadis itu seperti tidak terkesan
saja.
Ibu dan abah sama-sama tersenyum kecil.
“Itu Ain yang buat. Dia memang pandai buat karipap.”
“Oh ya? Wah, esok lusa bolehlah saya minta dia buatkan.
Kan, Ain?”
Nurul Ain terkesima saat namanya disebut. Pantas duduknya
menegak. Ameer Qalish dipandang sekilas. Mata mereka bertembung seketika dan
kemudian cepat-cepat dia melarikan pandangan.
“Ya…” jawapnya perlahan.
‘Alamak, dia dah tahu!’ omel Nurul Ain dalam hati.
Bersambung lagi...
pst: Assalammualaikum. Jemput baca sambungan cerita Ameer Qalish dan Nurul Ain dalam DBH ya. Jangan segan drop komen di bawah. Komen je Ira tak marah. Enjoy reading!! ^_^
2 ulasan:
Perghh! Punya la lama sy tnggu.. huhu
Hehe. Maaf sis lama tggu cerita ni. Sibuk skit. Insyallah, sy akak cuba smbung lg ya ^_^
Catat Ulasan