Sabtu, 5 Julai 2014

Cerpan Seram : Suara Roh (Part 1)



Manik-manik hujan turun dengan ganas. Kilat sambar menyambar. Bunyi dentuman guruh memecah. Kawasan sekeliling gelap gelita  dan hutan-hutan sudah tidak kelihatan diselimut malam serta kabus. Yang hanya kelihatan hanya bayang-bayang pokok yang tinggi melangit, cukup menyeramkan. Keretan dipandu hanya ditemani lampu kereta kerana tiada pacakkan lampu jalan di sepanjang tepi jalan raya.

Dia membesarkan sedikit radio bagi menghilangkan rasa gundah yang bertamu. Kesunyian jalan raya itu semakin menggusarkan hati. Takut? Ya, ada perasaan takut dalam dirinya saat ini. Matanya fokus memandang ke hadapan kerana cermin kereta sedikit kabur. Pendingin hawa yang dirasakan terlalu sejuk diturunkan suhunya. Kesejukkan hujan sudah pun meresap ke dalam sebahagian tubuh. Dia berzikir dan berdoa dalam hati agar ketakutan dalam diri beransur kurang.

“Allah… Allah… Allah…” Terkumat-kamit mulutnya menutur nama Maha Pencipta itu sambil meniup-niup semangat buat diri.

 ‘Tak ada apa yang perlu kau takutkan, melainkan DIA!’ Dia mengingati dirinya.

 Kring! Kring! Kring!

Telefon bimbitnya di kerusi sebelah segera di capai. Sekilas dia melihat skrin. Kemudian, dia menekap telefon pintarnya ke cuping telinga.

“Assalammualaikum,” sapa suara dari hujung talian.

“Wa’alaikumsalam, ma.” Senyum diukir sebaik mengenali pemanggil.

“Kinah dekat mana? Tengah buat apa?”

“Kinah on the way nak balik KL dari site, ma. Tengah drive ni. Hujan lebat sangat dekat sini, ma.”

“Oh… Kinah seorang ke nak?” tanya emak mertuanya dengan nada risau. Sakinah memang rapat dengan emak mertuanya yang seorang ini sebelum dia dan suami diijab kabulkan lagi. Memandangkan dia sudah anak yatim piatu dan tidak punya ibu, ibu Idhamlah menjadi tempat dia bermanja. Mujur mama menerimanya dan menyayanginya bagaikan anak sendiri.

“Ya, Kinah drive kereta sendiri ke sini. Jadi, balik pun terpaksa drive seorang dirilah nampaknya.” Dia tahu pasti emak mertuanya dilanda kerisauan. Dia sendiri pun risau dan gelisah. Naluri seorang ibu, pasti ada perasaan khuatir terhadap anaknya walaupun cuma anak menantu.

“Bahaya tu Kinah. Drive seorang diri dengan cuaca tak elok. Jalan pulak licin. Hati-hati sayang…”

Sakinah senyum lagi. Tersentuh hatinya dengan keprihatinan ibu suaminya, Idham.

“Insyallah, ma… Kinah akan hati-hati. Mama jangan risaulah.”

“Hmm… Kenapa kamu tak ajak Am sama? Sekurang-kurangnya kalau ada apa-apa, dia ada dengan kamu.”

Mendengar nama suaminya disebut, barulah dia teringat. Tengah hari tadi suaminya menyuruh dia menelefon apabila sudah dalam perjalanan pulang. Aduh, macam manalah dia boleh terlupa. Mungkin sebab terlalu khusyuk di site tadi membuatkan dia lupa.

 “Abang Am ada meeting penting dengan klien hari ni, ma. Tak apalah, Kinah dah biasa drive pun. Sebelum kahwin pun Kinah drive sendiri ke site nak kemana-mana. Insyallah, tak ada apa-apa,” Dia menenangkan emak mertuanya yang kerisauan itu.

“Yalah. Bawa kereta tu elok-elok. Jangan nak cepat sampai… sampai lupa keselamatan diri. Hati-hati ya sayang. Mama off dulu. Tak nak ganggu fokus Kinah tengah memandu. Nanti mama telefon lagi. Assalammualaikum,” mama mengakhiri perbualan mereka.

“Insyallah… Wa’alaikumsalam, ma.”

Kemudian, talian sudah dimatikan. Sakinah mengangkat telefon pintarnya ke paras dada. Niat di hati mahu menelefon si suami pula. Pasti Idham tertunggu-tunggu dan risau dengan keadaannya yang sudah lewat malam pun masih belum sampai rumah. Pantas tangannya mendail nombor telefon Idham. Kasihan suaminya ini yang menunggu keseorangan di rumah.

“Kinah… Sayang dekat mana? Kenapa tak call abang dari tadi? Risau abang tau.” Bagai perluru suaminya mengutarakan soalan sebaik sahaja salam dibalas.

“Abang maafkan Kinah. Kinah lupa nak call tadi. Sekarang masih lagi di atas jalan, on the way balik. Mungkin lambat sikit sampai sebab sekarang hujan lebat, jalan pun tak berapa nampak,” ujarnya dengan nada risau. Risau kerana memandu dengan suasana sebegitu.

 “Ya Allah… Kenapa sayang tak stay aje dulu?  Cari motel-motel terdekat ke. Bahayalah sayang memandu dalam hujan.” Seperti emak mertuanya, si suami pun risau juga. Emak borek, anak rintiklah tu.

Sakinah ketawa kecil.

“Abang… Insyallah, tak ada apa-apa. Kinah drive perlahan-lahan. Lagi pun bukannya jauh sangat pun. Kinah…”

Pappp!

Telefon pintarnya terjatuh ke bawah kerusi. Tadinya dia bagai terlanggar sesuatu yang keras. Tidak pula dia tahu apa bendanya. Kepala sudah tertoleh-toleh ke bawah kerusi, mencari telefon pintarnya yang jatuh. Sekejap kepalanya menunduk ke bawah, sekejap memandang atas jalan raya. Dia sudah dapat memastikan kedudukkan gajet itu. Ada di bawah kerusi sebelah. Pantas tangannya cuba mencapai namun tidak tersentuh dek tangan. Sebelah tangan mengawal setereng, manakala sebelah lagi berusaha menggapai telefon bimbitnya. Sedikit demi sedikit kereta mula hilang kawalan.

"Kinah... Kinah." Syaup-sayup terdengar suami memanggil namanya.

“Abang, Kinah.... Arrghhhh!”

Dalam pada dia sibuk menggapai, keretanya tiba-tiba hilang kawalan dan hampir sahaja mahu bertembung dengan sebuah trailer. Mujur dia sempat mengelak tetapi malang break yang ditekan seakan tidak berfungsi. Akhirnya, keretanya meluncur laju dan terbabas sehingga melanggar sebatang pokok besar.

Di dahinya seperti ada cecair yang mengalir segera diraba. Darah! Kepalanya berdenyut hebat dan bagai dicucuk-cucuk dengan jarum. Dia mengangkat sedikit wajah untuk melihat keadaan sekeliling. Walaupun agak kabur pandangan mata, namun dia seperti ternampak sebuah tasik yang berkabus dan gelap di hadapan. Dan, di tepi tasik itu, dia seakan terlihat bayang seseorang. Mata dipejam sebentar kemudian dibuka semula. Dia memandang lagi. Kelihatan seperti susuk tubuh seorang wanita yang berambut panjang namun wajahnya tidak kelihatan, gelap. Pakaiannya juga kelihatan lusuh.

Siapakah dia? Apa yang dilakukan di tasik malam-malam begini? Beberapa saat kemudian, bayang itu memasuki tasik dan sedikit tubuhnya hilang ke dalam air. Sakinah tergamam. Ke mana dia pergi? Tubuhnya menggigil dan denyutan di kepala semakin menjadi-jadi. Sedikit demi sedikit matanya terpejam, dan dia sudah tidak sedarkan diri lagi.


~*~*~*~*~*~


Walang hati Idham melihat keadaan si isteri yang telantar lemah dengan wayar berselirat di tubuh. Menitis air matanya. Kalaulah dia tidak menghadiri meeting bersama klien pada malam kejadian dan menemani isterinya, pasti kejadian malang itu tidak akan berlaku. Kasihan isterinya, kalaulah boleh segala apa yang terjadi pada Sakinah mahu sahaja dipindahkan kepadanya. Tetapi, itu tidak mungkin. Bibir Sakinah yang kering dilap dengan air zam-zam pemberian Pak Longnya semalam.

“Sayang… abang ni. Kinah bangunlah, dah tiga hari abang tak dengar suara sayang. Abang rindu…” Sendu suara Idham.

 “Abang tak nak kehilangan sayang. Tolonglah bangun untuk abang. Sayang, please…” rayunya dalam tangis.

Dalam pada Idham bersedih, Sakinah berada di alam komanya. Dia tidak tahu dan tidak dapat berfikir di mana dia berada sekarang ini. Tubuhnya melintang baring di atas permukaan air yang tidak bertepi. Peliknya, tidak pula dia tenggelam tetapi hanya berbaring diatasnya. Dia langsung tidak dapat bangun atau bergerak. Dia hanya mampu menoleh ke kiri dan kanan. Dicuba untuk bergerak namun tetap juga tidak boleh. Bagaikan sudah digam kuat. Dia hanya memandang kosong langit yang gelap tanpa bintang dan bulan. Di manakah dia sekarang ini? Tempat ini begitu asing padanya. Di mana suaminya? Dia ada dengar suara lelaki itu memanggil-manggil namanya, tetapi kenapa tidak ada disisinya? Di manakah dia sebenarnya ini?

“A… abang… A… bang,” lemah sekali suaranya memanggil si suami. Bibir yang kering dan luka terasa pedih apabila dia mula berbicara. Tekak juga terasa perit dan kesat.

“Abang…” Dia memanggil lagi. Namun, kelibat suami tidak juga muncul. Hanya suara saja yang kedengaran. Dia ingin keluar dari tempat pelik ini tetapi suaminya tidak ada pula hendak membantu. Tubuhnya langsung tidak mampu bergerak. Ya Tuhan, kenapa dengan dirinya? Dia bingung dengan apa yang berlaku saat ini.

“Abang… tolong Kinah, bang. Badan Kinah tak dapat bergerak. Kinah takut dengan tempat ni… takut…” Laju air matanya menitis. Dia takut, benar-benar takut! Kini, suami milik suaminya sudah tiada lagi. Sepi, sunyi dan suram. Suasana sungguh menyeramkan!

“Sa… ki… nah… Sa… ki… nah…” Tiba-tiba ada satu suara mendayu-dayu memanggil namanya dalam nada berbisik. Serentak itu kabus tebal berarak keluar.

Terhenti seketika tangisannya. Siapa yang memanggilnya itu? Suara itu begitu dekat dengan cuping telinga. Dekat sangat!

“Sa… ki… nah… Sa… ki… nah…” Suara itu memanggil lagi.

 Menggeletar seluruh tubuh. Suara itu… suara itu sungguh menyeramkan. Sangat, sangat menyeramkan!  Bulu romanya tegak berdiri. Tiba-tiba dia dapat merasakan hujung kakinya disentuh oleh tangan sejuk. Dia cuba melihat gerangan siapakah yang menyentuh hujung jari kakinya. Kelihatan bayangan hitam berdiri di hujung kakinya. Bayangan itu sepertinya susuk tubuh seorang perempuan. Wajahnya langsung tidak kelihatan.

“Kau... kau si... siapa? A...apa kau nak?”

Perempuan itu tidak menjawab apatah lagi bersuara. Dia hanya berdiri kaku di situ dengan kepala menunduk. Sakinah terdengar suara tangisan datangnya dari bayang itu. Tangisan yang cukup mendayu dan meruntun jiwa walaupun perlahan.

“Ke… kenapa kau menangis?” tanyanya pelik dalam takut-takut.

Bayangan perempuan berambut panjang itu mengangkat sedikit wajahnya. Terlihat mata tajam itu bergenang cecair merah seperti darah. Suara tangisan itu semakin kuat kedengaran. Dan, bayangan itu sedikit demi sedikit mendekatinya.

“Hu… hu… hu… hu…”

Berderau darah Sakinah.

“Jangan… Jangan kau apa-apakan aku! Tolong jangan!”

Suara tangisan tadi sudah hilang entah ke mana. Hanya kedengaran namanya kembali dipanggil.

“Sa… ki… nah…” Serentak itu, bayang perempuan tanpa wajah itu semakin mendekati.

 “Ja… jangan dekati aku! Jangan!” Mulutnya meracau sambil menutup mata serapat-rapatnya.

 “Sa… ki…  nah…”

Bayangan itu menghentikan pergerakkan, dan hanya terpaku di sebelahnya. Sakinah berasa sedikit lega. Dalam fikiran negatifnya, dia sudah terbayang perempuan itu mahu mengapa-apakannya. Mana tahu lehernya dicekik dan perempuan itu menghisap darah dilehernya. Namun, itu semua tidak berlaku. Perempuan itu hanya berdiri terpaku di situ.

"Lepaskan aku! Tolong lepaskan aku!" Rontanya berkali-kali sambil cuba menggerakkan badan.

Tidak semena-mena kedua-dua belah kaki, tangan serta kepalanya bagai dicengkam kuat oleh banyak tangan. Kepalanya sudah tidak bergerak lagi, hanya mata yang melilau memandang sekeliling. Tangan-tangan hitam yang entah datang dari mana. Mungkin tangan-tangan itu menyusup dari dalam air tasik. Sedikit demi sedikit, tubuhnya di tarik masuk ke dalam air. Dia langsung tidak dapat bergerak dan hanya melihat sahaja. Tangisannya kembali terbit. Rasa ketakutan pula sudah kemuncak. Dadanya berombak kencang bagaikan ombak menghempas tepian pantai.

“Tolong jangan apa-apakan aku! Aku mohon, tolonglah…” rayunya lemah. Lencun pipinya akibat rembesan air mata.

Kali ini kedengaran orang menangis. Sama seperti tadi. Sungguh sayu dan menyayat hati. Perasaan bingung dan takut bercampur aduk. Tubuhnya semakin tenggelam akibat penarikkan tangan-tangan misteri. Dia cuba bertahan dan merayu namun tetap juga ditarik sehinggalah dia tenggelam.

Namun, tangan-tangan itu semakin menariknya.

“Arrghhh!”


~*~*~*~*~*~*~


 Bagaikan tersedar dari mimpi ngeri, dia terus duduk dengan dada yang berombak kuat. Berpeluh-peluh dahinya. Mata mengerling ke sekeliling dengan dahi bertaut. Di mana dia sekarang? Dan, mana bayang-bayang hitam tadi? Seingatnya tadi dia berada dia sebuah tasik yang cukup menyeramkan. Tetapi, sekarang ini dia berada di sebuah tempat berdinding warna putih.

Dia beristighfar kecil. Baru menyedari rupanya tadi dia hanya bermimpi. Meremang bulu romanya. Lega sungguh hatinya apabila tidak lagi berada di alam mimpi yang menyeramkan itu. Dia mengangkat sedikit tangannya. Penuh dengan tiup dan wayar. Dadanya juga penuh dengan wayar. Dia di hospitalkah? Terasa seperti ada seseorang yang memeluk tangan kirinya, dia pantas menoleh. Idham, suaminya tidur dengan lena sekali. Ubun-ubun suami diusap perlahan sambil memanggil-manggil lelaki itu.

“Abang…” panggilnya lembut tidak mahu membuatkan suaminya terperanjat.

Idham hanya menggerakkan sedikit tubuhnya, namun tidak pula dia membuka mata.

“Abang,” panggilnya dengan nada lemah. Tubuh dibaringkan semula ke tilam. Seluruh tenaganya bagai hilang.

Perlahan-lahan, Idham membuka mata apabila terasa kepala diusap. Dia mengangkat kepala. Sakinah memberikan senyuman nipis pada suaminya.

“Ya Allah, sayang dah sedar. Sayang dah sedar.” Jelas diwajah itu riak terkejut bercampur gembira. Telapak tangan isteri terus dia kucup dengan linangan air mata.

“Abang… apa dah terjadi sebenarnya?” Dia cuba mengimbas kembali apa yang berlaku sebelumnya, namun dia gagal. Kepalanya yang berdenyut tidak mengizinkan untuk dia mengimbas kembali.

“Sayang kemalangan masa on the way balik. Dah tiga hari sayang terlantar dekat hospital, koma. Tapi, alhamdulillah… sayang dah sedar. Abang bersyukur sangat.” Telapak tangan Sakinah dikucup lagi.

“Kemalangan? Kinah, tak dapat nak ingat semua yang terjadi. Tapi seingat Kinah, kereta Kinah terbabas dekat dengan sebuah tasik dan lepas tu Kinah nampak…  Auww!” Tiba-tiba kepalanya berdenyut kuat. Pantas dia memegang kepala yang berbalut.

“Sayang, dahlah tu. Sayang rehat okey. Nanti dah sihat baru cerita dekat abang.” Idham menenangkan isterinya.

Sakinah mengangguk sahaja.

“Abang, Kinah nak air. Boleh tolong ambilkan?”

“Ini dia sayang. Meh abang suapkan,” Idham membetulkan posisi separuh duduk Sakinah. Dan, dia membantu Sakinah menyua gelas berisi air masak ke bibir isterinya. Perlahan-lahan Sakinah menyisip air itu. Setelah itu barulah dia berbaring semula.

“Sayang, tunggu sini kejap. Abang nak pergi jumpa doktor, nak maklumkan yang sayang dah sedar,” Idham tersenyum pada Sakinah.

“Yalah…” Sekali lagi mengangguk. Idham berlalu dari biliknya.


~*~*~*~*~*~


Sakinah cuba untuk melelapkan mata tetapi seakan-akan susah. Pejam. Celik. Pejam. Celik. Itu sahaja yang diulang. Dia mengiringkan tubuhnya ke kanan menghadap Idham. Dia cuba untuk mengingati peristiwa yang berlaku sebelum dia terlantar di atas katil ini. Jika tidak silapnya, petang waktu itu dia baru sahaja lepas melawat site bersama Razif, salah seorang rakan kerjanya juga bekerjasama dengannya bagi menjayakan projek.

Mereka pulang agak lambat kerana berbincang dan mencari jalan penyelesaian masalah yang berbangkit. Dalam hujan lebat dan gelap gelita, dia membelah jalan mahu pulang.  Dan, pada waktu itu mama menelefonnya, kemudian dia menelefon suami. Dia ingat, waktu itu dia sibuk mencari telefon bimbitnya yang jatuh sehingga terlanggar sesuatu dan kemalangan.

Dia masih ingat juga, keretanya terbabas lalu melanggar sebatang pokok yang di hadapannya terdapat sebuah tasik. Ya, tasik itu! Di tebing tasiklah dia bertemu dengan seorang perempuan misteri. Hanya nampak belakang badan dan rambutnya panjang. Apa yang peliknya, perempuan misteri itu masuk ke dalam tasik. Dan, setelah itu dia tidak sedarkan diri. Serta merta bulu romanya naik kembali. Dalam fikirannya sekarang ini hanya memikirkan perempuan di tasik itu. Dia hendak membunuh dirikah? Apakah nasibnya?

“Sayang, kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Idham yang baring disebelahnya. Mujur katil hospital ini besar, dapatlah dia memberi ruang pada suaminya untuk tidur.

“Kinah tak boleh tidur, bang. Abang tidurlah dulu.” Pipi si suami dielus. Kasihan Idham terpaksa berhempas pulas menjaganya.

“Kinah fikir apa, hmm?” Dalam pada mata kuyu, Idham bertanya.

“Abang, masa kemalangan Kinah tu ada kes lain tak yang berlaku dekat kawasan situ? Macam… macam perempuan bunuh diri di tasik?”

Berkerut dahi Idham. Kes lain? Perempuan bunuh diri? Apa yang dicakapkan isterinya ini? Bingung dia memikirkannya.

“Tak ada pulak. Kenapa?”

Tak ada? Tetapi perempuan itu… Sakinah berfikir sejenak. Manusia? Atau, hantu?

“Err… Tak ada apalah, bang. Abang, tidurlah dulu. Kesian suami Kinah ni.” Lengan Idham ditepuk-tepuk lembut. Sesaat kemudian si suami kembali melelapkan mata sambil memeluk pinggang rampingnya. Mengantuk sangat agaknya.

“Sayang pun tidurlah.” Pesan Idham yang hanya membuka sedikit kelopaknya. Setelah itu barulah kedengaran dengkuran kecil lelaki itu.

Seperti tadi, dia langsung tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya masih menerawang memikirkan perempuan itu. Siapa dia? Kenapa malam-malam begitu dia berada di tasik itu? Perempuan itu bukan manusia?


Bersambung.....

~Assalam. Hai semua! Ira rindu nak post n3 dalam blog ni memandangkan dah lama tak post apa2. Ira cuba nak buat genre seram. Saja suka2. Hope sayang2 semua suka. Enjoy reading! Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteriiiiiii ~ ~ ~ ~ ~







           
           
            

2 ulasan:

Unknown berkata...

Best...nk lg!!

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Thanks gie zahid sudi baca..insyallah, nt ira smbg lagi cuma bkan masa t'dekat ni ye...hehe ^_^