Meon
tergeleng-geleng melihat sahabatnya itu yang dari tadi asyik termenung. Mat
Rock ada masalah ke? Masalah kerja? Ke masalah kewangan? Haish, musykil pula
dia. Kot-kot, Mat Rock kena sampuk dengan hantu termenung. Belum pernah lagi
dia tengok keadaan sahabatnya begitu.
“Hailah… Ada mamat ni termenung
sakan. Macam tengah fikir masalah negara. Awat dengan hang ni Mat oii…”
Meon duduk di sebelah Mat Rock yang
sedang menongkat dagu. Tuala kecil disangkut ke bahu. Keluhan lepas dari mulut
sahabatnya itu. Sah, Mat Rock ada masalah.
“Gua rasa… gua rasa…” Mat Rock
teragak-agak hendak cakap.
“Hang rasa apa Mat? Rasa nak kentut
ke?” Hilang sabar Meon. Cakap sangkut-sangkut buat dia tidak sabar. Sejak bila
pula Mat Rock jadi gagap ni? Dia tidak tahu pun.
“Bukan. Apa kena mengena cerita ni
dengan kentut pula. Lu ni agak-agak la der…” marah Mat Rock. Wajahnya serius
sekali.
“Okey. Habis tu, apa dia? Hang kan
tahu aku tak gemar orang cakap sangkut-sangkut ni. Dah serupa kereta kurang minyak pula. Haa, cakaplah.”
Mat Rock malas mahu melayan
sahabatnya itu.
“Kalau gua cakap lu jangan gelak eh.
Kalau lu gelak terabur gigi lu nanti!” ugut Mat Rock awal-awal.
“Hang tak cakap lagi, macam mana aku
nak gelak. Cakaplah.”
“Meon, gua rasakan… hati gua dah
dicuri dengan seorang awek ni la.”
Terkejut Meon mendengarnya. Biar
betul mamat ni? Tanpa menunggu masa lagi, gelaknya lepas. Beria terkekeh-kekeh.
Tidak dipeduli Mat Rock memandang tajam ke arahnya. Lain macam pula dia dengar
kata-kata Mat Rock. Geli hati pula dia apabila Mat Rock berkata begitu.
“Weh, hang ni biar betik Mat. Rasa
berbulu pula telinga aku dengar. Organ dalaman aku pun macam nak tersembur
keluar mendengarnya. Kelakar… kelakar.”
Muka Mat Rock berkerut-kerut,
serius. Hei… mamat ni karang gua tumbuk kasi terabur gigi baru tahu!
“Gelaklah… gelaklah. Lu nak makan
penumbuk sulung gua ke brader?”
tanyanya dengan nada serius. Penumbuk siap sedia dikepal dan diangkat separas
muka Meon. Mati terus ketawa sahabatnya itu.
“Woo… woo. Hak elah… rileks la bro.
Okey, cuba hang bagitau aku siapa gerangan awek yang dah curi hati hang tu?
Cuba habaq mai.” Dengan Mat Rock jangan buat main sangat. Alamat lebam mata
nanti. Bahaya!
Mat Rock mengalih pandangan ke jalan
raya. Pandang kenderaan yang lalu lalang. Wajahnya seperti tadi. Macam orang
sedang fikir masalah negara. Kaki kanan dinaikkan sebelah ke atas kerusi.
“Awek tu Isadora. Gua pernah bagitau
lu pasal dia sebelum ni. Hmm… dia jenis elit, sedangkan gua ni cuma 3 Mat aje.
Macam tak ada harapan aje.”
Berkerut dahi Meon. Apa kejadahnya 3
Mat tu? Dia tidak faham.
“Kejap… kejap. 3 Mat tu apa bendanya?”
Meon tiba-tiba membuat iklan.
“Mat Rock, Mat despatch, Mat
Burger.”
“Ooo…” Bibir Meon membentuk ‘O’. Dia
angguk faham. “Okey, teruskan cerita hang tadi. Eh, Mat tu awek yang hang cakap
anak mak saleh, kan? Yang hang jadi hero dia kat bus stand tu. Aku ingat lagi
cerita hang.”
Mat Rock mengangguk. Mengiyakan.
“Hang ni demam ke Mat? Dah macam
mana pula hang boleh jumpa dia lagi? Musykil aku sama ada nak percaya cakap
hang atau tak. Ke cerita ni cuma rekaan hang?”
Mat Rock mendengus. Dia cerita betul
Si Meon ini tak mahu percaya pula. Hempuk dengan kuali burger baru dia tahu.
Laju kepala Meon menjadi mangsa lukuan dia. Mengaduh sahabatnya itu sambal usap
kepala.
“Lu ni Meon. Sedap rasa luku gua? Gua
sihat walafiat la. Lu tak percaya sudah. Nanti kalau gua bawak awek tu ke gerai
kita, lu tahu la. Mau terbelalak mata lu tengok. Cantik der… Sebelum tu kalau
lu nak tahu, sehari lepas kejadian tu Dora datang rumah kakak gua. Dia nak
pulangkan jaket gua yang dia guna. Gua suruh pos aje tapi dia tetap nak hantar.
Esok malamnya dia siap ajak gua dinner kat restaurant mewah. Makan western, apa
kebenda namanya pun gua tak ingat. Susah nak sebut perkataan omputih tu. Kalau
lu tak percaya cakap gua, pergi la tanya Kak Moon. Dia saksi gua,” ujar Mat
Rock dengan nada tak puas hati. Meon dijeling geram.
Meon yang melihat keadaan Mat Rock
yang seakan merajuk segera dia memujuk.
“Okeylah, aku percaya hang. Tak
kuasa aku aih… nak pergi siasat Kak Moon hang tu. Jadi, apa masalahnya hang
dengan awek bernama Dora tu?
“Masalahnya gua dengan Dora tu macam
langit dengan bumi der... Gua ni rupa memang jatuh gaung, mengaku memang tak
hensem pun. Dora pula cantik, cun, meletop macam model. Kacukkan lagi. Dah
tentu-tentu gua tak sesuai dengan dia. Hmm…” Mat Rock merendah diri. Terasa
dirinya serba kekurangan.
Meon menepuk bahu Mat Rock. Kesian
pula dia tengok sahabatnya itu.
“Weh Mat, bukan ke cinta tu tak
kenal rupa. Apa yang hang nak risau?”
“Lu tak faham la Meon. Kalau la gua
bercinta dengan dia, mesti dia malu. Jatuh status dia nanti. Lagi satu masalah
besar gua mana reti bercinta bagai ni. Tapi… hati gua macam dah kena ikat mati
dengan dia der…”
“Mat…
Mat. Fikiran hang memang kuno bab-bab cinta ni. Itu la hang… hari-hari dok
layan idola hang, Abang Awie. Macam mana awek nak lekat kat hang. Pasal status
jangan la hang pening-pening kepala. Bila dia dah suka dan cinta hang sangat-sangat,
status tu biaq pi dah. Insyallah, kalau Allah izinkan, pasti hang ada jodoh
dengan Si Dora. Kalau pasal ilmu bercinta, haa… ini la cikgu dia. Jangan risau,
Abang Long ada…” Meon mendabik dada dengan kening terangkat-angkat.
Serta merta ketawa Mat Rock meletus.
“Lu? Baik tak payah. Lu nak ajar
gua, lu sendiri pun awek tak ada. Karang jadi cikgu cinta sesat pula. Blah la."
“Siapa kata aku tak ada awek? Weh
Mat, aku ni adalah jejaka pilihan Malaya tau. Hang aje tak tau. Untuk setengah
tahun ni aje gua dah ada lima belas orang awek. Yang terakhir sebulan lepas.
Itu pun break up pasal awek tu banyak
cengkadaknya. Tengok barang tu nak beli, tengok barang ni nak beli. Mujur la
dah putus, kalau tak bankrupt aku hang tau.”
Jelas cebikan di bibir Mat Rock.
“Bukan awek tu banyak cengkadak,
tapi lu memang kedekut tahi hidung masin. Semua nak berkira.” Selamba Mat Rock
mengutuk depan-depan. Bukan dia tak tahu sifat Meon. Kedekut! Air mineral
sebotol pun minta dia bayarkan. Hampeh!
“Aku bukan kedekut. Cuma tak nak
membazir aje. Tak baik membazir hang tau dak. Membazir juga amalan syaitan”
Meon mempertahankan diri. “Ni, aku nak tanya hang. Awek tu tau dak yang hang
suka dia?”
Lemah kepala Mat Rock mengangguk.
Meon pula tergeleng-geleng. Dia fikir, awek bernama Isadora tahu perasaan
sahabatnya itu. Slow betul dia ini.
“Dah tu awat hang tak bagitau dia?
Karang melepas, menganga hang.”
“Gua… gua segan, malu la der.
Gerenti Dora tolak gua sebab gua ni apa pun tak ada.”
Meon mengeluh.
“Hang lelaki buat apa nak malu
bagai. Lelaki kena berani Mat. Hailah, hang ni nampak aje ganas, rock tapi
dalam hati ada taman. Ceh…” Meon terus bangun dan berlalu.
Mat Rock tunduk, langsung tak
berniat mahu membalas kata-kata Meon itu. Betul juga kata Meon. Kalau dia tak
cakap sampai bila-bila pun Isadora takkan tahu. Sampai bila-bila juga perasaan
itu jadi pekasam. Tapi, macam mana dia nak luahkannya? Keberanian dalam diri
saat ini senipis kulit bawang.
~*~*~*~*~*~
Hujung
minggu seperti ini Mat Rock lebih selesa melepak di rumah sambil mencuci
motorsikal kesayangannya. Sambil mencuci, sambil itu juga mulutnya bersiul. Tanpa
sedarnya ada seorang awek di belakang sedang merenungnya dengan senyum lebar.
“Ehem… ehem.”
Mat Rock terkejut dan serta merta
dia pusing belakang. Berubah raut wajah saat terpandang wajah seseorang yang
tak diingini. Ada apalah anak Pak Salleh ini terpacak di depan rumahnya?
“Eh, Mona. Lu buat apa dekat sini?”
“Hai Abang Mat sayang. Sini la Abang
Mat.” Mona melambai-lambai, memanggil Mat Rock mendekatinya di pagar yang masih
berkunci. Senyuman di bibir penuh dengan godaan.
“Hai,” balas Mat Rock melangkah
dengan lambat.
“Abang Mat, buka la pagar ni. Kalau
tak macam mana kita nak berborak?” rengek Mona manja.
Tanpa sedar Mat Rock mengeluh kuat.
Malang betul harinya hari ini bertemu dengan Mona. Dia buat tak dengar saja
dengan permintaan gadis itu.
“Maaf la Mona, gua tak boleh buka
pagar ni. Gua tinggal sorang aje dekat rumah. Karang orang sekeliling salah
faham pula.” Pantas Mat Rock beri alasan.
Mona kelihatan sedikit kecewa. Masam
wajahnya.
“Alah, Abang Mat ni… Bukan kita nak
buat apa pun. Berborak aje takkan tak boleh?”
Malas Mat Rock mahu menjawab. Dia
pandang tempat lain. Mona yang melihat lelaki pujaannya itu tak melayan lalu
dia bersuara lagi.
“Abang Mat…”
“Hmm… ada apa?”
“Sebenarnya kan… Mona kan… datang
sini nak bagi abang sesuatu. Mona buat istimewa untuk abang.”
Mat Rock yang sibuk memerah kain di
tangan terus memandang gadis itu semula. Sebenarnya dia bukan berminat pun.
Cuma tak nak Mona berkecil hati kalau dia buat tak kisah. Keluarga Mona kan
antara jiran keluarga kakaknya. Dia tak mahu nama baik Kak Moon dan Abang
Saiful terjejas.
“Apa dia?”
Mona mengangkat tangannya ke atas.
Menunjukkan sebuah beg kertas kepada Mat Rock.
“Jeng… jeng… jeng. Ni, Mona ada
masakkan abang ayam masak kicap, jemput-jemput jagung, bubur kacang hijau
campur durian pun ada. Khas untuk Abang Mat.” Beria-ria Mona berkata. Beg
kertas itu di hulur kepada Mat Rock.
Mat Rock kelihatan serba salah mahu
sambut huluran itu. Tiba-tiba saja Mona hantar lauk untuknya. Dia akui ada
sedikit rasa ragu. Manalah tahu Mona sudah jampi-jampi lauk-lauk ini. Masak dia
nanti!
“Abang Mat ambil la. Oh, abang takut
Mona jampi-jampi kat lauk ni semua erk? Abang ni… dengan Mona pun ragu-ragu.
Mona tak pakai jampi-jampi ni, berdosa. Kalau Mona nak rebut cinta abang, Mona
nak buat cara yang sihat. Mona nak goda abang sampai jatuh hati kat Mona. Tak
nak la cara kotor ni,” ujar Mona sambal tersenyum malu. Lebar bibir merah
menyalanya saat itu.
Demi mendengar kata-kata itu, Mat
Rock ambil juga. Dalam hati dia bagai mahu termuntah berbaldi-baldi mendengar
kata-kata Mona. Ambil saja la Mat... Dah rezeki lu hari ni. Jimat duit gua. Tak payah beli nasi bungkus. Alhamdulillah...
“Err… terima kasih la Mona. Buat
susah-susah lu aje nak sediakan semua ni," ucap Mat Rock lalu meletakkan beg kertas itu ke meja kecil.
“Alah, bukannya susah pun. Abang
rasa la nanti. Lauk-lauk ni Mona masak sendiri tau. Di jamin sedap.”
Mat Rock mengangguk saja. Senyuman diukir untuk mengambil hati Mona yang sudah masakkannya. Mona yang terlampau teruja mendapat senyuman itu pantas berpaling ke belakang. Tergedik-gedik dia melonjak kegembiraan. Sungguh dia angau dengan senyuman itu. Tidur malamnya bakal terbayang-bayang senyuman tidak seberapa Mat Rock itu..
"Err... Mona balik dulu ya, Abang Mat." Dalam malu-malu Mona meminta diri untuk balik. Mat Rock pula kembali melakukan perkerjaannya yang terhenti tadi.
~*~*~*~*~*~
Sedang
Mona mahu melangkah, sebuah kereta Porche kuning berhenti di hadapannya. Bergayut tanda tanya di atas kepalanya memikirkan pemilik kereta mewah itu. Mat Rock pula sudah berkerut dahi. Dia tidak dapat mengecam siapa yang ada di dalam kereta. Cermin kereta itu gelap.
“Assalammualaikum, Mat.” Terpancul
wajah Isadora. Gadis itu menanggalkan kaca mata hitamnya sambil tersenyum manis.
“Eh, Dora. Wa’alaikumsalam. Lu buat
apa ke sini?” Mat Rock bertanya dengan nada terkejut campur gembira. Mona yang
melihat keadaan itu ketap bibir. Cemburu. Layanan Mat Rock terhadap gadis itu
berbeza sekali dengannya.
“Saja Dora ke sini. Nak
jenguk-jenguk Mat sekeluarga. Lepas tu ingat nak ajak Mat keluar minum-minum.
Pekena teh tarik ke.” Penampilan Isadora hari ini sangat ringkas. Tidak seperti kali pertama mereka berjumpa. Isadora hanya mengenakan baju T putih lengan panjang dan berseluar jeans biru. Walaupun begitu kecantikkan di wajahnya tetap terserlah.
“Oo… Err, tapi gua tak boleh bagi lu
masuk Dora. Kak Moon sekeluarga tak ada, ke rumah mertua. Kalau nak ajak pekena
teh tarik, gua setuju aje.” Cepat saja Mat Rock setuju tanpa alasan.
Mona yang berdiri seperti tunggul di
situ lantas bersuara. Rasa cemburunya meluap-luap. Melihat mereka saling berbalas
senyuman dia rasa sakit hati. Pantas dia berdehem kuat.
“Ehem! Hello…”
Mat Rock dan Isadora mengalih pandang ke arah gadis bibir merah menyala itu. Barulah mereka perasan Mona ada di situ.
“Mona. Eh, apahal lu ada kat sini lagi?
Gua ingat lu dah balik tadi.”
Mona tak menjawab. Dia menjeling geram
Mat Rock. Bila perempuan ini ada, dirinya langsung tak nampak ya. Kemudian, Isadora di pandang tajam. Dengan wajah cantik persis anak
omputih gadis di hadapannya makin membara cemburu di hati. Mesti perempuan ni
nak goda Abang Mat aku, desis hatinya.
“Excuse
me miss…”
“Err… Saya ke? Hai… nama saya Isadora.
Panggil Dora aje. Tak perlu miss-miss.
Awak siapa nama?” Pantas Isadora menghulurkan tangan untuk bersalam.
“I Mona. Mona Liza. You ni ada
apa-apa ke dengan Abang Mat?” Dengan nada berlagak Mona memperkenalkan diri.
Huluran salam itu tak disambutnya.
“Abang Mat? Maksud awak Mat Rock
ke?” Berkerut dahi Isadora mendengar pertanyaan itu. Siapa ‘Abang Mat’
dimaksudkan gadis ini? Dia cuma Mat Rock saja. Lagi satu, dia musykil kenapa
Mona bertanya begitu.
Mona mengangguk. “Ha’ah la. Korang
ada apa-apa hubungan ke?”
Isadora sedikit terkejut dengan
soalan spontan itu. Dia pandang Mat Rock, kemudian beralih pada Mona pula. Mat
Rock juga begitu tetapi dia membiarkan saja. Ingin mendengar jawapan Isadora.
“Mona kan? Err… saya dengan Mat
sebenarnya…” Isadora seakan-akan teragak-agak mahu menjawap pertanyaan Mona
itu. Macam susah sangat saja. Atau, Isadora juga punya suatu perasaan aneh
dengannya?
Kesian pula Mat Rock melihatnya.
Lantas dia mencelah.
“Mona, Isadora ni... kawan gua.” Teragak-agak Mat Rock mahu berkata. Takkan pula mahu cakap Isadora ini adalah makwe dia? Tak logikkan. Padahal dia dan Isadora bukan saling cinta-mencintai pun.
Kawan? Mona terasa sedikit lega
mendengarnya. Namun, tak pada Isadora. Dia sedikit terasa dengan kata-kata Mat
Rock. Jejaka itu hanya menganggap dia sebagai kawan. Entah kenapa dia tak dapat
menerimanya sedangkan bukan dia cintakan Mat Rock pun. Ya ke tak cinta? Sebenarnya
dalam hati dia sudah pun mulai tumbuh perasaan aneh terhadap Mat Rock. Cuma dia
malu mahu mengakui.
“Oh, kawan. Lega Mona dengar.
Ingatkan ni makwe abang la tadi. Kalau macam tu, Mona masih ada can nak goda abang la.”
Mat Rock tak melayan. Anak mata
terarah kepada Isadora yang kelihatan gelisah itu. Seperti ada sesuatu aneh
dengan raut wajah Isadora. Nampak macam tak selesa saja. Tapi, dia tak tahu apa
masalahnya?
“Kalau gitu Mona nak minta diri dulu
la, bang. Takut mak Mona cari pula. Tadi pun Mona curi-curi keluar aje. Bye,
Abang Mat hensem…” Penuh sopan dan lemah lembut Mona mengatur langkah. Sempat
juga dia buat flying kiss kepada Mat
Rock.
Isadora hanya menghantar langkah
gadis berkebaya hijau itu dengan pandangan mata. Ada rasa rasa cemburu terselit
di sanubarinya.
“Dora… oh… Dora.” Mat Rock seru
gadis itu.
Pantas Isadora berpaling. “Err… ya?”
“Jadi ke nak pekena teh tarik? Kali
ni biar gua belanja lu. Amacam?”
Isadora mengangguk dan tersenyum
nipis. “Jadi. Okey, Mat pergi la siap dulu.”
“Okey. Gua ke dalam tukar baju
kejap. Lu tunggu sini tau.”
Isadora mengangguk lagi. Cepat-cepat
Mat Rock berlari ke dalam rumah.
Bersambung lagi.....
~Assalam. Hai semua! Ira nak ucapkan SELAMAT HARI RAYA! utk semua pembaca blog Ira tersayang. Hari ni baru raya ke7, jadi belum terlambatkan nak ucap? Rayakan sebulan. Hehehe Maaf zahir & batin, kosong-kosong ya. Maaf juga sebab dah lama Ira x update apa2 kat sini. Ira agak sibuk & sekarang baru b'peluang nak meng'update. Jadi, terimalah sambungan cerpan Cinta Mat Rock. Sekali lagi Ira mohon maaf kalau ada kekurangan dalam cerpan ni. Drop komen dibawah kalau sudi. Sambungan seterusnya? Jangan tanya dulu ya. Heeeee....^___^
1 ulasan:
lama lg ke part 5..lama tgu..hihi
Catat Ulasan