Sabtu, 21 September 2013

Cerpen : Derita



Sepuluh tahun sebelumnya…

Bunyi erangan memenuhi segenap ruang bilik bertirai biru.Setiap masa erangan semakin lama semakin kuat diselang seli jeritan.  Semua insan yang berada disitu resah dan gelisah.  Berpeluh-peluh mereka di kala ini.

 “Arrghhh… Sakit!”.  Besi penghadang katil dipegang kuat.Teranan semakin galak.  Sakit semakin menjadi-jadi.

 “Sabar puan.  Teran lagi.  Teran!”  Wanita berpakaian seragam berwarna putih menutup separuh muka terus-terusan memberikan ransangan kepada wanita itu.

“Sakit nurse! Sakit!”, raungannya.  Habis lencun wajahnya dengan peluh.  Kesakitan bagai tidak mampu untuk ditanggung lagi.

“Puan teruskan.  Baby dah nampak kepala.  Sikit lagi puan”, ransangan seorang doktor dihujung kakinya pula.

Dengan sedaya upaya Ita cuba meneran lagi. Selang beberapa minit tangisan bayi mula memenuhi ruang itu.  Sungguh nyaring namun Ita semakin lemah dan kepenatan di saat jururawat meletakkan bayi yang baru dilahirkannya di sebelahnya.  Akhirnya dia tertidur tanpa sempat melihat kehadiran bayinya.

Keesokan harinya setelah Ita sedar dia langsung tidak mahu memegang anaknya.  Hatinya begitu kecewa melihat keadaan anak yang baru dilahirkan.  Puas Mak Usunya memujuk namun dia tetap enggan.  Entah di mana silapnya bayi itu dilahirkan tidak sempurna padahal dia dan arwah suami yang baru meninggalkannya lima bulan lepas sangat sempurna.  Mereka berdua tiada cacat celanya.

 Tangisan bayi yang kehausan memenuhi ruang wad.

“Ita ambillah anak ni.  Dia haus.  Susukanlah dia sayang”, pujuk Mak Usu.  Sudah tidak tertahan rasanya mendengar tangisan bayi itu.

Ita hanya berdiam diri.  Wajah bayi itu tidak dipandang walaupun sedetik.  Dia menunduk.

 “Ita kesianlah dekat dia.  Dia haus sangat ni.  Inikan anak Ita”.

“Dia bukan anak Ita.  Anak Ita tak cacat macam dia Mak Usu!”,  bentak Ita.Mana boleh dia terima keadaan bayi yang kakinya tempang sebelah.  Manakala jari tengah dan jari manis tangan kirinya bercantum.  Ita berasa jijik melihat keadaan bayinya.

 “Masya-Allah,Ita! Tak baik cakap macam tu.  Dia anak Ita.  Darah daging Ita!”, marah Mak Usu yang sudah tidak tahan menghadapi kedegilan anak saudaranya itu.  Ita sememangnya terkenal dengan sikap degilnya sejak dari kecil lagi.  Kalau dia kata putih,putihlah jadinya.

 “Kesiankan dia yang dari tadi asyik menangis.  Dia masih kecil.  Tak tersentuhkan naluri keibuan Ita bila mendengar dia menangis?  Mak Usu dengar pun tak sampai hati”.  Tajam wajah anak sedaranya dipandang.  Apa mahu jadilah dengan dia ini? Anak sendiri tidak mahu menerima.

Ita membalas pandangan mata Mak Usu.  Dia dapat melihat biji mata mak saudaranya sudah memerah.  Dia tahu Mak Usunya sedang menahan marah kala itu.  Perlukah aku menyusukan bayi itu sedangkan aku langsung tidak mampu mahu menerimanya? Arrgghh!,aku betul-betul benci melihat fizikalnya yang tidak sempurna.  Namun aku tidak mahu Mak Usu marahkanku.

 Ita agak keberatan mahu menyusukan namun dia terpaksa kerana acap kali Mak Usu memaksanya.  Bayi itu sudah bertukar tangan.  Kini dipangku Ita pula.Mak Usu tersenyum apabila Ita mahu menurut arahannya.

“Ita nak namakan dia apa?”, Mak Usu cuba menghidupkan suasana.

 “Entah”, pendek jawapan Ita seolah-olah tidak berminat saja.

Mak Usu mengeluh.  “Ita fikirlah nak bagi nama apa.  Nanti Mak Usu boleh tolong uruskan di Pejabat Pendaftaran”.

 “Tak tahulah.  Mak Usu ajelah bagi nama dia”.

 “Eh, mana boleh macam tu.  Itakan mak dia mestilah Ita yang kena bagi nama”.

Ita diam lagi.  Responnya begitu dingin.  Keluhan lepas lagi dari mulut Mak Usu.

“Hmm,  apa kata kita bagi nama dia Zawana?  Nama arwah ibu Ita”, cadang Mak Usu setelah melihat reaksi dingin Ita apabila diminta memberikan nama buat bayi itu.

 “Hmmm…”.

 Mak Usu menggeleng kesal dengan sikap gadis itu. Moga satu hari nanti dia mampu menerima anaknya.  Doanya dalam hati.


~*~*~*~*~*~


Usia Zawana sudah pun mencecah lima bulan.  Sudah pandai menangis.  Mak Usu menghenjut buaian anak kecil itu yang merengek mahu tidur.  Mulus wajah kecil itu apabila dia nyenyak tidur.  MaK Usu tersenyum sendiri.

“Mak Usu, Ita ingat nak cari kerja dekat KL lah”, Ita yang sibuk melipat kain dari jemuran menyatakan hasratnya.

“Buat apa nak ke sana semula.  Bukannya ada sesiapa pun”.

“Ita nak cari kerja dekat sana.  Mana tahu boleh bantu Mak Usu sikit-sikit di sini.  Lagi pun rumah arwah abang tak ada siapa tolong jenguk.  Sayang nak tinggalkan begitu saja”, Ita beralasan.

“Kalau kamu ke sana macam mana dengan Zawana?  Siapa nak jaga dia? Tak usahlah Ita.  Di sini pun ada kerja. Cari aje dekat-dekat sini”, tegah Mak Usu.  Dia khuatir jika Ita ke Kuala Lumpur tiada siapa sanggup membela Zawana yang memerlukan penjagaan rapi.  Dia juga risau nanti Ita tidak mampu membahagikan masa kerja dan masa menjaga anaknya.

“Mak Usu, kerja dekat kampung ni memang ada tapi tak banyak. Gaji pun sikit aje.  Tentang Zawana, Ita nak minta tolong Mak Usu jagakan dia dulu. Boleh?”, Ita tetap bertegas mahu kembali ke kota besar itu.

“Mak Usu bukan tak bagi, Ita. Mak Usu pun tak kisah kalau nak  jaga Zawana.  Tapi… Ita tak rasa kesian ke pada dia yang masih kecil ni.  Takkan Ita sanggup nak berpisah dengan dia?”

“Mak Usu…”, emak saudaranya yang sibuk menghenjut buaian dirapati.  Pinggang wanita berusia itu dipeluknya.

“Ita janji.  Nanti bila dah kerja dekat KL, Ita baliklah hujung-hujung minggu bila free. Ita tengok Mak Usu dan Zawana”, pujuk Ita.  Berharap Mak Usunya akan bersetuju.

 Emak saudaranya itu tidak mampu berkata apa lagi.  Terpaksa akur dengan kehendak Ita. Harap-harap Ita tidak lupa dengan tanggungjawabnya terhadap si anak kecil ini.

 “Hmm… Yalah”.

  Ita tersenyum puas dengan persetujuan yang diberikan Mak Usu.  Nampaknya dia tidak perlu lagi menjaga Zawana sepenuhnya.  Itulah sebab dia beriya mahu bekerja di Kuala Lumpur.  Bukan dia membenci dan tidak bersyukur dengan kelahiran itu.  Namun, hatinya seakan tidak mampu menerima kenyataan bahawa bayi perempuannya itu cacat. Biarlah Mak Usu kata kelahiran Zawana itu adalah wasiat dari arwah suami tercinta tetapi bila hati tidak mampu menerima, dia sudah tidak mampu berbuat apa.


~*~*~*~*~*~


Tangisan bayi perempuan memenuhi segenap ruang rumah.

“Syyhhhh… sayang kenapa menangis ni? Kenapa dengan anak mak? Hmm?”, risau Mak Usu jadinya.  Zawana seharian menangis.  Ibunya baru dua hari meninggalka dia untuk mencari kerja di Bandar.

Zawana masih lagi belum reda rengekannya walaupun dipujuk. Segera dia membaringkan bayi itu dan menyelak bajunya.  Perut bayi itu di rasa.  Tidak ada tanda-tanda kembung tetapi kulitnya panas.  Dia merasa pipi bayi itu pula.

“Ya Allah! Dia demam rupanya. Apa aku nak buat ni?”

 Pagi tadi sewaktu memandikannya elok saja. Mungkin demam baru menyerangnya.  Patutlah dia seperti tidak selesa. Mungkin dia rindukan ibunya. Segera Mak Usu berlari ke dalam bilik mengambil beg duit dan mendukung Zawana. Pintu rumahnya ditutup rapat.

Dia mahu meminta tolong jirannya menghantarkan dia ke klinik.

“Syukur…mujurlah dia tak apa-apa”, senang hati Mak Usu apabila doctor kata Zawana hanya demam biasa.  Demam rindu agaknya. Mujur ada Aminah sekeluarga yang sudi membantunya.

“Akak janganlah risau. Dia cuma demam biasa aje”, ujar Aminah jiran Mak Usu yang duduk di hadapan bahagian pemanduan bersama suaminya.

“Aku bukan apa Minah. Aku dah lama tak jaga budak kecil. Dah ingat-ingat lupa. Terakhir akak jaga Italah tu”.

“Mungkin dia demam sebab rindu dengan ibu dia agaknya. Ita pun sepatutnya biarlah anak tu besar sikit baru berhijrah ke bandar. Kesian dekat anak ni”, bebel Aminah.

Keluhan kecil dari mulut Mak Usu terlepas jua. “Dah berbuih mulut aku pujuk sebelum dia pergi tapi dia tetap berdegil juga.  Kau tahulah Ita tu macam mana.  Hmm, nanti dia rindu baliklah dia menjenguk Zawana”.

Bayi itu nyenyak tidur dipangkuannya. Iman anak Aminah dan Razlan sibuk mencuit pipi si kecil, Zawana.  Suka benar dia dengan Zawana.  Mak Usu hanya senyum melihat gelagat kanak-kanak lekai itu.


~*~*~*~*~*~


“Wana!”, laung Mak Usu dari dalam dapur.

Terkedek-kedek Zawana lari mendapatkan emaknya.  Dia dari pangkin melihat kanak-kanak seusia dengannya bermain layang-layang di bendang.

“Ya, mak”,  Zawana merapati Mak Usu yang sibuk membubuh nasi dipinggan.  Kini Zawana sudah pun berusia sebelas tahun.  Wajahnya saling tak tumpah dengan wajah ibunya.

“ Mari makan.  Mak dah siap masak.  Pergi basuh tangan dulu”, arah Mak Usu.

Zawana akur dengan arahan itu.  Kemudian dia mengambil tempat di hadapan Mak Usu.

“Wah, masak lemak ketam.  Kegemaran Wana ni mak!”

Mak Usu senyum melihat gelagat gadis kecil itu.  Zawana sememangnya gemar dengan masakkan lemak ketam.  Sama seperti Ita. Entah bagaimana keadaan Ita di sana.  Ita yang sudah berkeluarga baru  dan punya dua orang anak baru dengan suaminya, jarang sekali hendak balik ke kampung.  Jika balik pun hanya sekejap saja.  Itu pun semasa hari raya.  Dia seolah-olah lupa dengan janjinya sewaktu dahulu. Kasihan anaknya, Zawana.  Sayu Mak Usu memandang wajah milik gadis kecil itu.  Tidak mengapalah, dia akan sentiasa ada di sisi Zawana walau apa juga keadaan.  Biarlah kanak-kanak itu tinggal bersamanya saja.

“Makan… makan. Mak tahu anak mak mesti suka makan lauk ni”.

 “Mak tak makan?”, tanya Zawana apabila melihat tiada pinggan di hadapan emaknya.

“Wana makan dulu. Mak belum lapar. Mak nak teman anak mak makan aje”.

Zawana tersenyum manis dan dia mula menyudu lauk ke dalam pinggan. Tanpa dia sedar air mata Mak Usu menitis di pipi. Dia terharu melihat Zawana begitu selera menikmati masakannya yang tidak seberapa.

“Makan nak. Makan”, ujar Mak Usu sambil mengutip nasi di tepi bibir anak itu.

Langit hitam mula menyelimuti alam. Mak Usu sibuk menjahit pakaian sambil bersandar didinding.

“Mak…”, tegur Zawana. Lantas dia mengambil tempat di sebelah emaknya.

“Dah solat?”, tanya Mak Usu sambil menjatuhkan sedikit cermin matanya dan memandang Zawana

 “Dah mak”. Jawapan itu menerbitkan senyum di bibir Mak Usu.

“Kerja sekolah dah buat?”, tanya Mak Usu.

“Dari petang tadi dah siap mak”, jawap Zawana yang tekun melihat Mak Usu menyembat leher baju kurung.

Mak Usu senyum lagi.  Alhamdulillah,  Zawana sememangnya seorang anak yang mendengar kata dan tidak menyusahkan. Tidak perlu di suruh, dia sudah menyiapkan.

“Mak… minggu depan dah start cuti sekolah.  Ibu balik kampung tak?”, tanya Zawana tiba-tiba.

Terhenti kerja menjahit Mak Usu.  Dia agak terkejut dengan soalan anak itu.  Sebelum ini tidak pernah pula dia bertanya.

 “Wana rindukan ibu?”

Zawana mengangguk laju.  Mak Usu menarik nafas panjang. Tidak tahu mahu menjawap apa.

“Ibu balik tak mak?”, tanya Zawana lagi.

Serba salah Mak Usu mahu menjawap. “Mak tak tahu sayang. Nanti mak telefon ibu ya?”

 “Okey…”, sepatah saja Zawana menjawab. Mak Usu dapat menangkap riak wajah anak itu yang seakan-akan mengharap. Tidak sampai hati pula dia.
           

~*~*~*~*~*~


“Assalammualikum, Ita”, Mak Usu memberikan salam setelah panggilan diterima oleh penerima.

“Wa’alaikumsalam, Mak Usu”.

 “Ita sibuk ke?”, tanya Mak Usu teragak-agak.

“Eh,taklah Mak Usu. Ita tengah tengok tv sambil layan budak-budak ni.  Mak Usu sihat? Ada hajat apa telefon Ita ni? ”

“Alhamdulillah. Mak Usu dan Wana sihat-sihat saja”, sengaja dia menyebut nama Zawana sekali.  Ita tidak bertanya pun perihal anaknya itu sama ada sihat atau tidak.  Apa dia sudah lupa dengan kewujudan anak itu?

“Err…baguslah kalau macam tu Mak Usu”.

 Pasti dia terasa bila aku sebut nama Zawana tadi, bisik hatinya.  “Ni…Mak Usu nak tanya, minggu depan dah cuti sekolah.  Kamu balik kampung ke tak? Wana rindu dengan kamu sangat-sangat”.

 “Mak Usu…err.. Ita tak pasti lagi. Lagi pun Abang Man kerja”.

Mak Usu sudah dapat mengagak itu yang bakal dijawab Ita. “ Ita…kamu baliklah. Dah lama kamu tak balik kampung ni.  Cuma harapkan masa raya, itu pun kamu balik sehari dua. Wana tu betul-betul rindukan kamu.  Dia asyik tanya kamu balik ke tidak”, Mak Usu cuba memujuk anak saudaranya itu.

 “Mak Usu, Ita tak boleh nak janji. Nantilah Ita tanya Abang Man dulu macam mana”.

Mak Usu merengus kesal. “Kamu baliklah walaupun sekejap.  Biar kurang sikit rindu wana tu”.

“Yalah, Mak Usu. Ita akan cuba berbincang dengan Abang Man dulu”.

Mendengar kata-kata Ita menyebabkan keluhan berat Mak Usu terlepas juga.

“Ikut kamulah Ita.  Aku ada kerja nak buat ni.  Assalammualaikum”, Mak Usu tidak kuasa lagi mahu memujuk.

“Wa’alaikumsalam”.

Terus talian dimatikan. Ya Allah, apa aku nak jawap pada Zawana nanti? Kasihan dia jika Ita tidak pulang minggu hadapan.

 “Mak, masa mak telefon ibu tadi dia ada cakap nak balik tak?”, tanya Zawana usai mereka makan malam.

Mak Usu mengangkat pinggan kotor ke singki. Paip dibuka airnya.  Buat-buat tidak mendengar pertanyaan Zawana.

Lantas Zawana merapati emaknya.  Fikirnya, mungkin emak tidak mendengar apa yang dia cakap.  Dia menghulurkan tangan ke bawah paip untuk membasuh tangan.

“Mak, ibu ada cakap tak dia nak balik masa mak telefon tadi?”, tanya Zawana lagi sambil bersandar di sebelah singki.

“Err…ada. Ibu ada cakap tapi dia nak bincang dengan ayah Man dulu.  Kalau masa mengizinkan ibu balik.  In sha Allah…”, ujar Mak Usu tersekat-sekat.  Dia tidak mahu memberikan harapan yang tinggi, takut kelak anak kecil itu kecewa.

Terdengar keluhan kecil dari mulut itu.  “Wana harap ibu balik.  Wana rindu nak main dengan adik-adik.  Masa raya tahun lepas dapat main dengan dia orang sekejap aje”.

“Wana doa supaya ibu lembut hati balik ya, sayang”, hanya itu yang mampu Mak Usu katakan.

 Zawana mengangguk lemah. Simpati datang menyelinap melihat wajah muram anaknya itu.


~*~*~*~*~*~


Akhirnya Ita dan keluarga barunya pulang juga ke kampung.  Pada awalnya dia fikir Ita hanya mahu menjenguk Zawana setelah di asak beberapa kali tetapi Ita menyatakan dia mahu membawa Zawana pulang ke Kuala Lumpur sekali.

“Mak kalau mak tak bagi pergi, Wana tak pergi”.

Sebetulnya, Mak Usu agak berat mahu melepaskan gadis kecil itu.  Tetapi demi memikirkan Zawana ada berkata dengannya bahawa dia rindu akan adik-adiknya, Mak Usu merelakan saja.

  “Wana pergi.  Kan Wana rindukan adik-adik.  Bukan lama, seminggu aje kan”.

  “Tapi…”

  “Tak apa. Pergilah. Jangan risau mak dekat sini.  Mak cik Minahkan ada.  Pergilah, ibu dah tunggu tu”, pujuk Mak Usu apabila sudah dapat membaca riak risau Zawana.

 Akhirnya Zawana akur juga.  Mak Usu menemani langkahnya sehingga masuk ke dalam kereta.  Sayu sungguh hatinya di kala melihat langkah lemah Zawana.

 “Mak Usu, kami pergi dulu!”, laung Ita sebelum masuk ke dalam perut kereta.

“Ya…”, tertumpah jua air mata tuanya.  Selama ini dia belum pernah berpisah dengan anaknya itu.  Kereta milik suami Ita sudah mula mahu bergerak. Dia sempat melihat lambaian terakhir daripada Zawana sebelum kelibat kereta hilang dari halaman rumah.

Mak pasti akan merindui Wana, bisiknya.


~*~*~*~*~*~


Ternyata benar kata hatinya bahawa dia akan merindui si anak.  Baru tiga hari Zawana mengikut ibunya dia di sini sudah nanar dengan kerinduan.

“Apalah yang Wana buat sekarang?  Dah makan ke belum?”

 Setiap hari dia akan membayangkan bahawa Zawana ada bersamanya.  Membayangkan kanak-kanak itu menemaninya menjahit,  mereka makan bersama,  bercerita dan bergelak tawa.

“Ya Allah,  aku rindukan dia.  Walaupun dia bukanlah anak kandungku, tapi aku yang menjaganya semasa kecil.  Dia anak aku juga.  Berikanlah dia kegembiraan sewaktu dia di sana bersama ibunya Ya Allah....”   Mak Usu meraup muka setelah selesai berdoa.  Menitis air matanya saat ini.

Selang tiga hari Mak Usu masih lagi murung.  Makan tak lalu, air mata asyik mahu mengalir.  Aminah yang sering menjenguknya pun berasa kasihan dan simpati.

 “Sabarlah kak.  Lagi dua hari nanti dia baliklah”,  pujuk Aminah.

 Mak Usu mengesat sisa-sisa air mata di pipinya.  “Aku fikir aku boleh berjauhan dengan dia Minah.  Tapi rupanya tidak.  Sedetik pun aku tak mampu nak berpisah dengan dia”, luahnya.

“Sabar sajalah kak.  Akak ada telefon dia tak?”

Mak Usu menggeleng laju.  Dia takkan buat begitu kerana takut hatinya makin tidak kuat.  Lagi pula dia mahu Zawana meluangkan lebih masa dengan ibunya dalam masa seminggu ini.

 Aminah tidak bertanya lagi kerana memahami situasi wanita berusia itu.

Pon!  Pon!  Pon!,  bunyi seperti hon kereta menganggu perhatian mereka.  Serta merta Aminah menjenguk ke tingkap.

“Siapa minah?”

 “Hmm… macam kereta suaminya Ita aje”, jawap Aminah.  Dia tidak pasti kerana penglihatannya kurang baik.

Mendengar saja kata-kata Aminah,  Mak Usu bergegas keluar rumah.  Betul,  kereta milik suami anak saudaranya. Pintu belakang kereta tiba-tiba terbuka.  Kelihatan Zawana keluar dari dalamnya.

 “Mak!”,  jerit Zawana sambil berlari terhinjut-hinjut dan terus memeluknya.

 “Ya Allah, anak mak dah balik! Anak mak dah balik!”,  dalam sendu Mak Usu membalas pelukan Zawana.

“Mak,  Wana rindukan mak”,  ujar kanak-kanak itu dalam tangis.

“Mak pun sama…  Mak rindukan Wana”.

Aminah yang melihat dua beranak itu dari jauh terasa sebak.  Air matanya tertumpah.  DIA mendengar segala rintihan kerinduan Mak Usu selama ini.  Alhamdulillah.  Dua beranak itu melepaskan kerinduan beberapa saat dengan berpelukan.

“Mak Usu, maaflah Ita terpaksa bawa dia balik awal.  Dia asyik cakap rindukan Mak Usu”, ujar Ita yang riaknya seakan takut-takut.

“Tak mengapalah Ita.  Mak Usu pun rindu dengan dia”.

Ita tersenyum tawar.  Entah kenapa Mak Usu merasakan anak saudaranya bagai tidak selesa saja.  Sering juga dia memandang suaminya.  Dua orang ini bagai menyembunyikan sesuatu.  Oleh kerana tidak mahu bersangka buruk dia diamkan saja dan membiarkan.

“Ita, Man marilah masuk.  Minum dulu”, pelawa Mak Usu.  Zawana di sebelahnya memeluk pinggannya erat.

“Err… tak apalah Mak Usu.  Kami dah nak kena balik ni.  Malam ni Abang Man ada kerja malam ni.  Kami minta diri dululah”,  segera Ita meminta diri. 

“Kenapa cepat sangat? Minum pun belum.  Dah tak sudi ke nak masuk rumah Mak Usu ni? ”

“Eh, bukan macam tu Mak Usu. Kami betul-betul tak boleh.  Lain kali sajalah”,  tanpa berlengah Ita terus menyalami Aminah, kemudian menyalami Mak Usu pula.

Mereka bertiga sama-sama menghantar pemergian kereta milik suami Ita keluarga dari halaman rumah Mak Usu.

“Jom masuk.  Minah marilah masuk”, pelawa Mak Usu kepada Aminah.  Wanita itu hanya mengangguk dan mengekori dua beranak itu masuk ke dalam rumah.


~*~*~*~*~*~


“Anak mak sihat?”

Zawana mengangguk saja.
 
 “Dah makan ke?”, soal Mak Usu lagi.  Kali ini juga Zawana menjawap dengan anggukan.

Mak Usu menggenggam bahu kanan Zawana untuk memeluk kanak-kanak itu.  Namun reaksi dari Zawana langsung tidak di jangka. “Arrghh…”, erangnya.

Berkerut dahi Mak Usu.  Kenapa dengan dia?  Tanpa berlengah tangan Zawana ditarik.  Lengan baju kurung yang dipakainya di singsing ke atas.

 “Sakit mak!”

Terperanjat Mak Usu dengan apa yang jelas di pandangan mata kini.  Aminah juga begitu. Lengan Zawana  penuh dengan garis-garis merah dan lebam. Seperti bekas rotan atau tali pinggang. Masya-Allah! Apa sudah jadi?

“Siapa yang buat anak mak macam ni?”,  soal Mak Usu yang masih terkejut.

 Zawana diam saja.

“Kalau Wana sayang mak,  bagitau siapa yang buat sampai macam ni sekali?”, Mak Usu terpaksa mengugut kerana dia tahu Zawana seorang yang pendam rasa.

 Kanak-kanak itu menunduk.  “Ayah… Ayah Man”, jawapnya takut-takut.

“Astaghafirullah! Kak ini kes dera ni!”, ujar Aminah.

“Kenapa dia buat Wana macam ni? Apa sebabnya?”

Zawana sudah mula teresak-esak.  Pasti dia trauma.  “  Se… sebab Wana pecahkan pinggan masa nak tolong suapkan adik-adik makan”.

 Mak Usu beristighfar panjang dalam hati.  Ita, Man apa kau dah buat ni?  Dia anak kau orang juga.  Sampainya hati kamu berdua buat dia begini.   Jadi sebab inilah mereka beria mahu balik segera tadi.

“Mak…  Mak jangan marah ibu dengan ayah Man.  Mereka tak salah.  Wana yang salah sebab tak berhati-hati”,  halang Zawana apabila melihat Mak Usu bangun mendapatkan telefon rumah.

Mak Usu terduduk semula di sebelah Zawana. Sememangnya kala ini dia panas hati dengan anak saudaranya itu.  Dia sendiri tidak pernah menyentuh Zawana sebegitu sekali.  Namun dia bangga dengan Zawana yang tidak berdendam walaupun mereka telah memperlakukannya seperti itu.  “Ibu ada pukul juga ke?  Ada ibu tolong?”, tanyanya lagi.

Zawana menggeleng lagi.  Bermakna Ita tidak memukulnya.  Hanya Man saja yang melakukannya.  Namun Ita juga tidak membantu.

“Maafkan mak Wana.  Mak tak sepatutnya biarkan Wana pergi.  Kalaulah mak tahu…”, lantas tubuh kecil itu dipeluk. Air matanya kembali deras. Ita… sampai hati kau!  Dahi Zawana dicium bertalu-talu.


~*~*~*~*~*~


Hari ini Mak Usu mengajak Zawana ke pekan.  Niatnya mahu membelikan keperluan untuk Zawana dari duit pencen arwah suaminya.  Sesekali bawa dia berjalan dan berbelanja,  kanak-kanak itu gembira sekali.  Dia senang dengan senyuman yang terhias di bibir Zawana.  

“Dah banyak kita beli ni.  Jomlah balik?”, ajak Mak Usu yang sudah keletihan.  Sudah banyak kedai yang mereka masuki.

“Jomlah mak.  Wana pun dah penat.  Tapi boleh tak mak kita pergi beli air cendol dulu dekat depan tu?  Wana haus sangat”.  Cuaca yang panas membuatkan dia kehausan.

 Mak Usu senyum pada Zawana.  Tentu saja boleh.  Apa saja kemahuan Zawana yang tidak melampaui batas pasti akan dituruti.  Ini kerana dia terlalu menyayangi gadis kecil ini.  Sayang sangat.

“Boleh.  Jom kita pergi”.

 Mereka seiring berjalan.  Mak Usu di belah kanan manakala Zawana di belah kiri.  Tanpa mereka sedar ada sepasang mata tajam sedang mengekori mereka.  Lantas menghampiri perlahan-lahan.  Zzaapp! Beg tangan Mak Usu di ragut dengan sekelip mata.  Mak Usu hilang imbangan dan jatuh tersungkur di jalan raya.

 “Mak!”,  pantas Zawana berlari mendapatkan maknya.  Namun malang tidak berbau.  Tanpa di sedari mereka ada sebuah van dipandu laju menuju ke arah mereka  dan sesaat dua merempuh kedua-duanya.


~*~*~*~*~*~


Aminah menggeleng-geleng kepala melihat gelagat Ita yang menangis bagai orang gila.  Mulutnya meracau-racau memanggil kedua-dua insan yang sudah terbaring kaku.  Apa yang diluahkan hanya kekesalan dan kemaafan.  Namun, apakan daya semua itu sudah tidak berguna lagi.  Kedua-duanya sudah tiada untuk dia mengucapkan kemaafan atas kesilapannya.

“Sudahlah Ita.  Yang pergi akan tetap pergi.  Tak elok kita menangis, meraung begini”, pujuk Aminah memeluk Ita dari belakang.

 “Saya tak nak mereka pergi, kak.  Saya belum minta maaf lagi pada mereka.  Saya banyak buat salah pada Zawana dan Mak Usu.  Ita mengabaikan mereka masa mereka hidup.  Ita tak pernah ambil perduli dengan Zawana.  Ita bukan ibu yang baik untuk dia.  Ita kejam, kak!”, raungnya lagi menyesali kesilapan demi kesilapan.

 “Istighfar banyak-banyak Ita.  Istighfar!  Kamu ingat dengan meraung begini mereka akan hidup?  Untuk pengetahuan kamu,  arwah Zawana dan Mak Usu tak pernah berdendam dengan kamu walaupun macam-macam benda kamu buat.  Mereka sayangkan kamu.  Sudahlah Ita,  biarkan mereka pergi dengan tenang.  Allah lebih sayangkan mereka”, berderai air mata Aminah semasa menenangkan Ita.  Dia juga sedih dengan pemergian dua beranak itu yang sudah di anggap keluarga.

  Sedikit demi sedikit pujukan dari Aminah membuatkan Ita kembali tenang.  Dari pelukkan Aminah bertukar pula pada pelukkan suaminya.  Dia hanya mampu memandang dua jenazah di angkat ke keranda dengan tangisan yang belum mahu reda.  Maafkan Ita, Mak Usu! Maafkan ibu,  Zawana!

Tangis-tangis sendu mengiringi pemergian dua jenazah itu.  Semoga mereka di tempatkan dengan orang-orang beriman.  Semoga mereka juga  akan mendapat kebahagian di sisi-Nya .  Amin… Doa Aminah dan hati.
             


TAMAT



P/s Cik Writer ~> Semoga cerpen ini mampu memberikan pengajaran dan pendoman kepada pembaca.  Sebenarnya cerpen ini Ira karang adalah dari kisah yg nyata namun Ira olah agar tidak ada siapa yg terasa. Kanak-kanak yg menjadi sumber inspirasi Ira ini dikatakan hidunya sehingga 12 tahun saja disebabkan penyakit tertentu dan ibunya sendiri kurang memperdulikannya. Namun kuasa Allah tidak siapa yg tahu kan?  Semoga Allah memanjangkan usianya dan memberikan dia kesihatan.  Amin.
           
           
           

            

4 ulasan:

Unknown berkata...

BEST SAMBUNG PLEASE.....

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

baby mio, ceritanya dah habis dah. Endngnya sampai situlah. Terima kasih sudi baca ye.Hehe..^__^

Unknown berkata...

Writer buat saya rase nak tumbuk je ita tu..geram rasenyer,bila dh takde baru nk nyesal..apepon,good job:-)

Dudududud berkata...

👍🏻