Tepat
jam 10.30 pagi. Sebuah kereta BMW 5 series memasuki garaj. Puan Juriah, emak
mertua Sakinah keluar dari perut kereta dan berlalu ke pintu hadapan rumah
banglo dua tingkat itu. Lonceng pintu dibunyikan beberapa kali. Setelah
beberapa saat barulah pintu dibuka oleh Tuti.
“Assalammualaikum…” Puan Juriah
memberikan salam kepada pembantu rumah anak dan menantunya. Senyum diukir.
“Wa’alaikumsalam, nyonya. Silakan
masuk,” Tuti menyambut salam itu dengan mesra. Pintu dibuka luas-luas memberikan
ibu mertua majikannya laluan untuk masuk. Puan Juriah melangkah ke ruang tamu.
Pandangan diputarkan ke sekeliling. Sunyi saja.
“Ya, terima kasih.”
“Silakan duduk nyonya…”
Puan Juriah mengangguk. Punggung
dilabuhkan ke sofa.
“Sunyi saja. Sakinah mana Tuti?”
“Oh, ibuk ada di atas nyonya. Sedang
istirehat. Kelihatannya ngak sihat. Nyonya duduk dulu ya. Saya ke atas panggil
ibuk.” Tuti meminta diri untuk ke tingkat atas.
“Oh, ya ke? Yalah.”
Tuti terus melangkah ke tingkat dua.
Pintu bilik majikannya diketuk. Sesaat kemudian barulah pintu itu terbuka.
Terjengul wajah Sakinah yang sedikit serabut rambutnya dan kedua-dua belah dahi
ditampal koyok. Deria bau Tuti juga disumbat dengan bau minyak angin.
“Kenapa Tuti?”
“Ibuk, ibu mertua ibuk ada di bawah.
Baru sampai.”
Terkejut Sakinah mendengar
perkhabaran itu. Tiada pula mama menelefonnya beritahu hendak datang ke sini.
Mama ini memang suka buat kejutan. Sakinah senyum nipis dan mengangguk.
“Mama ni… Suka sangat datang
mengejut. Yalah, sekejap lagi saya turun. Tuti turun dulu tanya nyonya dia nak
minum apa. Lepas tu Tuti tolong buatkan air ya?” Sakinah memberikan arahan
kepada pembantu rumahnya. Dia mahu merapikan diri sebelum keluar dari bilik.
“Baiklah, buk.” Tuti turun semula.
Sakinah membasuh wajah baru bangun
tidur seketika selepas menelan panadol. Selepas kejadian malam kelmarin dia
diserang oleh demam. Mungkin kerana perasaan takut dan trauma yang terlampau.
Tidurnya pula tidak berapa lena. Kepalanya juga sakit akibat kurang tidur. Usai
membasuh wajah, dia menuju ke meja solek lalu menyikat rambut yang sedikit
kusut. Baju blaus kain kaftan yang compang-camping dibetulkan. Tubuh
dipusingkan kiri dan kanan untuk memastikan diri nampak kemas.
Penampilannya nampak sedikit segar dari
sebelum ini. Kemudian, barulah dia turun mendapatkan emak mertuanya. Senyum
diukir semampu boleh.
“Mama!”
Tangan
Puan Juriah pantas disalam. Dia duduk disebelah wanita itu. “Kenapa mama datang
tak cakap? Kalau tak bolehlah Kinah masakkan something special.”
Puan Juriah hanya senyum. “ Saja
mama tak bagitau. Nanti kalau bagitau entah apa-apa Kinah buat untuk mama. Mama
tak nak susahkan Kinah. Tengok, tak sihat pun ada niat nak susahkan diri buat something special untuk mama. Dah ke
klinik belum ni?” Simpati dia lihat keadaan menantunya. Nampak tidak sihat
benar. Wajah Sakinah kelihatan pucat. Dia difahamkan, sejak menantunya itu
kemalangan, Sakinah sering saja tidak sihat. Keadaan itu sangat merisaukannya.
“Bukan sakit teruk pun, ma. Demam
sikit aje ni. Tak pergi klinik pun, ma. Kinah telan Panadol tadi, lepas tu
tidur sekejap. Badan Kinah pun dah rasa elok sikit. Nanti baiklah tu, ma.”
Pap! Tangan Puan Juriah laju menepuk
paha menantunya.
“Mana boleh macam tu Kinah. Demam
sikit pun sekarang kenalah pergi klinik. Takut demam tu bawa penyakit lain
pula. Sekarang ni bukannya boleh buat main-main,” bebelnya kepada satu-satunya
menantu yang dia ada. Bagai membebel kepada anak kandung sendiri. Jika bab
kesihatan keluarga, dia tidak boleh ambil mudah.
Sakinah
sudah dianggap bagai anak kandungnya. Sama seperti Idham. Kasihnya tumpah
terhadap gadis ini sebaik saja Idham membawa Sakinah pertama kali berjumpa
dengannya, ditambah pula apabila mengetahui Sakinah adalah anak yatim piatu.
Menantunya adalah seorang menantu yang baik dan pandai ambil hati. Dia tidak
pernah sesal menerima Sakinah sebagai teman hidup anaknya dan juga ahli
keluarga baru mereka.
Sakinah
memeluk lengan emak mertuanya. “Ma, janganlah risau sangat. Kinah okey.
Insya-Allah, demam biasa saja ni. Eh, mama datang dengan siapa ni? Papa tak
datang sekali ke?” Segera dia menukar topik perbualan. Matanya melilau
disekeliling ruang tamu mencari kelibat bapa mertuanya.
Keluhan
mama lepas. “Pak Mat yang hantar mama ke sini. Papa kamu tu Kinah biasalah dia.
Kalau tak ikut mama, dekat padang golflah tu dia bertapa dengan kawan-kawan
dia. Hish, nama aje dah pencen tapi tak lekat dekat rumah.”
Sakinah
ketawa kecil. Tahu sangat dengan hobi bapa mertua itu. Gemar sangat main golf.
Mungkin hanya itu saja aktiviti mampu dilakukan untuk mengisi masa lapangnya
yang banyak terluang sejak pencen. Takkan pula sudah tua-tua hendak bermain
bola keranjang, bola baling atau badminton yang memerlukan tenaga yang banyak.
“Ni,
mama cadang nak tidur sini semalam. Memandangkan Idham tak ada ni, biar mama
temankan Kinah. Itu pun kalau Kinah tak kisah mama tidur sini?”
Sakinah
menentang pandangan emak mertuanya. Meminta kepastian. Puan Juriah mengangguk,
mengiyakan. Terbit senyum lebar di bibir Sakinah. Dia gembira. Adalah kawan berbualnya
hari ini selain Tuti.
“Tentulah
boleh mama! Kinah pun sunyi. Tinggal berdua dengan Tuti aje. Tuti pula sibuk
dengan kerja dia. Tak ada kawan nak berborak-borak. Tapi, kalau mama tidur sini
macam mana dengan papa? Dia tahu ke mama nak tidur sini? Baju mama pula, ada
bawa?”
“Hmm,
baju tu semua mama dah paking
awal-awal. Tentang papa pun mama dah maklumkan. Dia okey aje tapi dengan
syarat, untuk semalam saja. Takutlah tu mama bermalam dekat sini lama-lama.
Takut tak ada yang teman tidur,” ujar Puan Juriah selamba.
Serentak
mereka sama-sama ketawa. Dalam hati Sakinah berasa lega. Malam ini dia adalah
kawan hendak berbual sementara Idham tiada di rumah. Dia sudah kebosanan duduk
dirumah tanpa berbuat apa-apa, tambahan lagi saat ketiadaan suami.
~*~*~*~*~*~
Sakinah
keluar dari bilik air seusai mengambil wuduk. Tadi ralit benar dia melayan emak
mertuanya berbual sehingga jarum jam ke pukul 11.30 malam. Menyedari hal itu
terkocoh-kocoh dia naik ke tingkat atas mahu menunaikan solat Isyak. Sejadah
segera dibentang, kemudian dia capai pula telekung.
Sewaktu dia hendak menyarung
telekung, naluri dapat merasakan ada seseorang sedang memerhati. Ya, ada
sepasang mata disudut biliknya sedang memerhati setiap gerak gerinya. Dia cuba
menafikan perasaan yang mula bercampur baur. Diri cuba ditenangkan walaupun
bulu roma sudah menegak.
‘Aku tak kacau kau, jadi kau jangan
kacau aku. Pergi kau jauh-jauh syaitan! Aku takkan tunduk pada kau. Aku hanya
akan tunduk pada TUHAN aku yang satu iaitu ALLAH! Pergi! Pergi kau dari sini!’
jerit batin Sakinah.
Tanpa
mempedulikan, Sakinah terus berdiri tegak menghadap kiblat. Penuh khusyuk dia
menunaikan solatnya. Persetanlah pada makhluk yang cuba menganggunya itu.
Usai solat dan mengaji Sakinah menanggalkan
telekung. Wajah diusap beberapa kali,
jiwanya sedikit tenang. Dia bangun mahu menggantung kembali telekung serta
sejadah di tempat khas. Langkah kakinya terhenti dihujung katil. Telapak kakinya
terpijak lantai yang dibasahi oleh air. Dari mana datangnya air ini?
“Ya
Allah… dia benar-benar ada di sini tadi ke?” Sakinah berkata perlahan.
Untuk
sekian kalinya, bulu roma Sakinah menegak. Matanya teragak-agak mengelilingi
segenap ruang bilik. Tidak lama, mata dipejam kuat-kuat. Cuba mengusir perasaan
takut yang mulai bertandang. Telinganya seperti dapat mendengar bisikkan
namanya dipanggil berkali-kali. Suara itu begitu mendayu-dayu. Dia cuba
mengusir suara itu jauh dari halwa telinganya.
“Pergi!
Tolong jangan ganggu aku lagi. Tolonglah!” Terkumat-kamit mulutnya.
Tuk!
Tuk! Tuk!
Mendengar
ketukkan di pintu, pantas dia mencelik semula. Dia tercengang seketika.
“Sakinah!”
Puan Juriah melaung namanya dari luar.
Dahi
yang basah dengan peluh segera diseka.
“Ya…
ya, ma. Masuklah. Pintu tak kunci.”
Pintu di kuak dari luar. Terjengul
wajah Puan Juriah sebaik pintu terbuka. Wanita itu tersenyum padanya. Dia
membalas senyuman mertuanya, namun juring mata sempat menoleh ke lantai.
Kering. Tidak berair seperti tadi. Keluhan lega lepas dari mulutnya.
Perasaannya saja agaknya…
“Kinah.”
“Ya, ma?”
“Boleh mama masuk?”
Tangan tua milik Puan Juriah
ditarik, masuk ke dalam bilik. Sampai dibirai katil, bahu wanita tua itu
ditolak lembut agar duduk.
“Eh, masuk ajelah ma. Buat apa minta
izin. Rumah ni, rumah mama juga. Jadi, bilik ni pun bilik mama juga.”
Puan Juriah ketawa mendengar
kata-kata menantunya. “Mama takut ganggu Kinah aje.”
“Apa pula ganggu, ma. Tak ganggulah.
Mama masuk sini sebab nak tidur dengan Kinah ke?” Sakinah sengaja menduga.
Puan Juriah senyum dan mengangguk. “Boleh?”
Sakinah serba salah hendak menjawap.
Bukan dia tidak benarkan mertuanya tidur sebilik dengannya. Tetapi, dia khuatir
jika mengalami mimpi-mimpi ngeri seperti malam sebelum ini dan meracau-racau.
Khuatir tidur mertuanya akan terganggu dan akan tertanya-tanya tentang dirinya.
Apa yang dia hendak terangkan nanti?
“Kinah? Boleh ke mama tidur sini?”
Sekali lagi Puan Juriah bertanya apabila tiada respon dari menantunya.
“Err… Boleh, ma.” Sakinah menjawap
perlahan. Dalam hati dia berdoa agar malam ini dia diberi pengecualian dari
mimpi menakutkan seperti malam sebelumnya. Amin…
~*~*~*~*~*~
Alhamdulillah.
Malam tadi tiada mimpi menakutkan di dalam tidurnya. ‘Benda’ itu seolah-olah
faham dengan kehendaknya. Sedang dia merapikan cadar tilam, telefon pintar di
meja kecil bersebelahan katil berbunyi.
Idham!
Pantas di mengangkat panggilan itu.
Punggung dilabuhkan ke birai katil.
“Assalammualaikum, abang!”
“Wa’alaikumsalam, sayang. Macam mana
isteri abang hari ni? Mama mesej abang beritahu Kinah demam semalam. Kenapa
Kinah tak beritahu abang?” Suaminya bertanya dalam nada perlahan bercampur
gusar.
Sakinah senyum.
“Alhamdulillah. Kinah okey. Demam
pun dah kebah. Bukan tak nak beritahu abang. Kinah cuma tak nak abang risau
disebabkan hal remeh-temeh ni. Hmm, abang nanti Kinah dengan mama nak pergi shopping sama-sama. Kebetulan abang
telefon ni, Kinah nak minta izin?” Sakinah lantas menukar topik perbualan.
Suara dilembutkan agar perasaan si suami terpujuk.
“Hmm… Orang perempuan ni kalau dah
berkumpul, tak lain tak bukan shopping
aje. Abang izinkan. Tapi, sayang ni betul-betul dah sihat ke?”
“Ya, abang. Kinah dah sihat,” jawap
Sakinah berserta dengan ketawa kecil. Sungguh dirinya beruntung bersuamikan
Idham yang sentiasa mengambil berat.
“Yalah. Hati-hati masa drive nanti ya sayang. Kalau rasa tak
boleh drive, beritahu mama suruh Pak
Mat hantarkan. Abang tak nak apa yang terjadi sebelum ni berulang lagi. Abang
sayang Kinah.”
Semakin lebar senyumannya.
“Kinah pun sayang abang.”
“Okeylah sayang. Abang kena off dulu, dah nak mula meeting ni. Jumpa lusa nanti sayang. I miss you so much, darling.”
“Miss
you too, abang. Elok-elok kerja. Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumsalam.” Talian dimatikan.
Macam biasa, sambung lagi......
~Assalammualaikum. Hai readers! Jemput baca sambungan cerpan Suara Roh (Part 3). Pada yg dah baca arigato! Maaf jika cerita ni bnyak kekurangan. Maaf juga sebab lambat hapdate. Drop komen di bawah jika sudi. ^_^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan