Sabtu, 23 Ogos 2014

Cerpan: Dengarlah Bintang Hatiku... ( Part 3 )



“Yeahh… yeahh. Gaji dah masuk. Syoknya!” Aminah menjerit sambil melonjak-lonjak gembira. Beberapa orang yang baru keluar dari pejabat memandangnya dengan pandangan pelik. Wajah gadis itu bersinar-sinar.

“Minah, kot ya pun senyaplah sikit. Orang tengok, malu aje. Hish, kau ni…” Nurul Ain pantas menarik lengan sahabatnya itu. Naik segan dia apabila ada beberapa orang mak cik-mak cik memandang pelik ke arah Aminah.

Aminah tersengih bagai kerang busuk saat menyedari dirinya diperhatikan. Terlepas laku pula dia. Dia mengangkat tangan sambal tersenyum ke arah sekumpulan mak cik-mak cik di hadapan pintu pejabat.

Sorrylah beb. Keterujaan aku ni terlebih sudah.”

Nurul Ain sudah tergeleng-geleng melihat perangai sahabatnya seorang itu. Macam kanak-kanak Ribena.

“Ain… Ain. Esok kan kita cuti. Apa kata kita pergi bandar, tengok wayang? Aku belanja kau tambang bas pergi dan balik. Nak tak?”

 Nurul Ain terdiam sejenak.

 “Hmm… aku rasa taklah kot,” jawapnya sambil menggeleng perlahan.

“Alah, Ain jomlah. Bukan selalu kita keluar pun kan. Jomlah…” Beria Aminah memujuknya.

Dia tetap menggeleng. Tetap dengan keputusannya.

“Tak naklah, Minah. Esok aku nak rehat dekat rumah aje, teman ibu. Lagi pun, abah aku esok tak ada dekat rumah. Pergi ikut rombongan bertunang anak Pak Haji Hussien  dekat Pahang. Lusa baru dia balik. Nanti kesianlah ibu tinggal rumah sorang-sorang.” Nurul Ain beralasan menolak ajakkan Aminah. Memang betul pun abahnya esok tiada. Dia tidak sampai hati mahu membiarkan ibunya keseorangan di rumah.

Berubah raut wajah Aminah. Menjadi muram.

“Alah, kau ni Ain. Susah betul nak ajak kau keluar tau. Bulan lepas aku ajak kau kata nak balik kampunglah, apalah. Sekarang aku ajak kau tak nak juga. Bosanlah kau ni,” rungut Aminah dalam nada merajuk dan memeluk tubuh. Sudah acap kali dia mengajak Nurul Ain keluar ke bandar, tetapi sahabatnya itu pasti menolak dengan pelbagai alasan. Alasan itulah, alasan inilah.

Serba salah Nurul Ain jadinya. Sebetulnya, dia bukan sengaja mahu menolak setiap ajakkan Aminah. Semua penolakkan pasti bersebab. Tambahan pula, dia bukanlah seorang gadis yang suka merayau tanpa sebarang tujuan. Kalau keluar pun pasti bersama ibu dan abahnya. Sejak dari zaman sekolah lagi dia lebih senang menghabiskan masa di rumah apabila tiba musim cuti sekolah. Sehingga semua sahabatnya menggelar dan mengejek dia sebagai katak bawah tempurung. Terlalu skema. Cuti-cuti pun duduk rumah macam puteri lilin. Dia pekakkan telinga sajalah. Penat bercakap diamlah mereka.

“Minah, lain kali eh?” Lengan Aminah dipaut mesra untuk memujuk gadis itu.

“Ain, kita sekarang bukan lagi zaman sekolahlah. Kita dah kerja. Tak salahkan sekali-sekala nak keluar rehat-rehatkan diri, rehatkan minda. Sesekali kita kenalah keluar bersosial tapi kena pandai jaga batas. Bukan terperuk dekat rumah aje. Jomlah, please…” pujuk Aminah lagi dengan wajah minta belas.

Diri semakin dihimpit rasa serba salah. “Itu aku tahu. Tapi, aku memang…”

“Tengok tu… mesti nak bagi alasan lagi. Sudahlah. Aku nak merajuk dengan kau. Bye!” Menonong Aminah meninggalkan dirinya. Langsung tidak dipedulikan dia di situ.

‘Alahai, Minah ni merajuk pula dia. Macam mana nak pujuk ni? Aku bukan reti sangat bab-bab memujuk orang. Itukan Ain… Minah dah merajuk dengan kau. Hishh…’ Nurul Ain sempat mengomel dalam hati. Tnapa berfikir panjang dia pantas mengejar langkah Aminah. Lengan gadis itu dicengkam dan serta merta langkah terhenti.

“Minah, janganlah macam ni. Janganlah merajuk dengan aku. Kau tahukan, kaulah satu-satunya kawan yang aku ada. Janganlah merajuk eh?” Nurul Ain mengerdip-ngerdipkan kelopak matanya. Buat-buat muka comel. Namun, Aminah seakan buat tidak kisah. Wajahnya monyok.

 Sebenarnya, tercuit juga rasa hati melihat perlakuan Nurul Ain itu. Mahu terhambur ketawa tetapi sedaya upaya ditahan. Nurul Ain mengaru-garu kepala. Buntu hendak memujuk Aminah.

“Okeylah. Okeylah. Aku setuju ikut kau ke bandar. Tapi, aku kenalah tanya abah dengan ibu dulu. Kalau dorang izinkan, aku pergi. Kalau tak faham-faham ajelah ya.”

Senyum lebar terukir di bibir Aminah.

“Yeahh… Haa, macam itulah. Okey, apa-apa pun minta izin abah dengan ibu kau dulu. Lepas kau dah bincang dengan dorang, kau terus telefon aku tau. Dah, jomlah pergi sana. Karang tertinggal van pula. Alamatnya, balik jalan kakilah kita nanti.” Tangan Nurul Ain pantas di tarik mengekori langkahnya.

Nurul Ain senyum dan mengangguk. Lega hatinya melihat Aminah sudah tidak merajuk dengannya. “So, kau dah tak merajuklah ni?” tanyanya meminta kepastian.

“Sekarang dah tak. Tapi sebenarnya tadi bukan aku berniat nak merajuk pun. Saja nak uji kau. He he he…” balas Aminah dengan wajah tidak bersalah.

 “Minah!”

Aminah tersengih-sengih.


~*~*~*~*~*~


Usai mengerjakan solat Isyak, Nurul Ain terus menuju ke dapur. Mahu membantu ibunya menghidangkan makan malam. Dia juga berura-ura hendak meminta keizinan dengan ibu dan abahnya untuk mengikut Aminah ke bandar esok. Sejak dari tadi lagi dia menyusun ayat untuk diluahkan kepada kedua-dua orang tuanya. Dia berdoa dalam hati agar mereka memberikan keizinan kepadanya.Bukanlah dia hendak sangat ke bandar, tetapi dia tidak sampai hati pula hendak mengecewakan Aminah, sahabatnya itu.

Nurul Ain membuntuti ibunya ke tempat masak. Ibunya sedang sibuk menyeduk lemak ketam ke dalam mangkuk. Dia masih berkira-kira hendak meluahkan kata-kata. Cakap sekarang… atau nanti ya? Hmm… cakap nantilah lagi mudah. Lepas makan nanti adalah masa yang sesuai untuk dia meminta keizinan. Kata orang, perut kenyang hati pun senang. Mana tahu abah dan ibunya terus memberi izin.

“Eh, Ain. Terperanjat ibu tiba-tiba aje ada dekat belakang. Hish kamu ni…” Omel ibu sambal mengurut dadanya. Tidak perasan dengan kehadiran Nurul Ain di belakangnya.

“Err… dah siap ke, bu? Ain nak tolong apa ni?” Nurul Ain terus bertanya. Menyimpang dari niat awalnya yang tadi.

“Sudah. Semua dah siap. Cuma air aje ibu belum sediakan. Ain tolong buatkan airlah. Buat air sirap, letak ais sikit,” pinta ibu sedang tanganya lincah menyusun pinggan di atas meja.

“Baik ibu.” Tanpa membantah Nurul Ain membancuh air sirap di dalam jag. Dia baru perasan kelibat abahnya sedari dia keluar dari bilik tadi tiada. Ke mana pula abah pergi? “Ibu, abah mana? Dari tadi Ain tak nampak.”

“Oh, abah Ain tu macam biasalah. Ke masjid. Agaknya leka berbual dengan kawan-kawanlah tu. Tak apalah, biar ibu pergi telefon abah sekejap”

 Ibu terus meninggalkannya menuju ke ruang tamu. Menelefon abah katanya. Nurul Ain duduk di kerusi meja makan sambil memandang penuh berselera pada lauk-lauk di atas meja. Semua memikat seleranya. Terutama sekali ketam masak lemak. Itu sememangnya lauk kesukaannya. Telan air liur dia dibuatnya. Perut yang sudah berbunyi segera dipujuk agar bersabar. Tidak sabar mahu menunggu abahnya balik.

“Assalammualaikum.” Kedengaran suara abah memasuki gegendang telinga. 

“Wa’alaikumsalam,” sahutnya di dapur.

“Semua dah tersedia? Hmm… baguslah, tinggal nak isi perut aje ni.”

Abah memasuki ruang dapur lalu mengambil tempat di hujung meja. Abah senyum padanya, dia membalas senyuman itu. Tangan ditadah, doa makan dibaca. Setelah itu mereka tiga beranak makan dalam keadaan senyap dan tenang. Tidak baik bercakap sambal makan, ditakuti tercekik nanti. Setelah selesai sesi makan malam, mereka beralih pula ke ruang tamu. Menonton berita terkini di TV3. Sambil menonton, Nurul Ain membantu ibunya melipat kain. Sambil itu juga Nurul Ain menyusun kembali kata-kata bagi meminta izin dari orang tuanya tentang ajakkan Mona petang tadi.

“Err… ibu, ayah kalau esok… Ain nak minta izin ke bandar dengan Minah boleh?” Dia memberanikan diri untuk bertanya.

Abah yang sibuk menonton televisyen memandang ke arahnya. Ibu juga begitu. Dia jadi serba salah hendak berkata. Dalam gagap diluahkan juga.

“Pe… petang tadi Minah ajak Ain pergi bandar, tengok wayang. Ain… Ain sebetulnya tak… tak nak pergi, nak teman ibu dekat rumah aje. Yalah, abahkan esok tak ada di rumah. Tapi, Ain tak sampai hati pula nak tolak ajakkan Minah tu. Dia macam beria sangat. Kalau abah dengan ibu tak izinkan pun tak apa. Nanti Ain bagitau Mona."

“Pergilah Ain. Ibu tengok Ain ni pun asyik terperap aje dekat rumah. Jarang keluar dengan kawan-kawan. Ibu tak kisah kalau Ain nak pergi. Pergilah, ibu izinkan.” Tanpa disangka cepat saja ibu memberi keizinan. Nurul Ain pandang abah pula. Abahnya hanya mengangguk dan senyum. Terukir senyumannya.

“Pergi dengan Minah aje, kan? Ain, nak keluar boleh tapi kenalah jaga kelakuan. Jangan buat perkara yang lagha ya sayang.” Sempat ibu memberi nasihat kepadanya.

“Betul cakap ibu tu, Ain. Ibu bapa mana yang tak risau bila anak daranya keluar dari rumah walaupun cuma sebentar. Selagi Ain belum berkahwin, selagi itu abah dengan ibu bertanggungjawab ke atas Ain. Jadi Ain kena jaga diri dan maruah.” Abah pula berkata.

“Ya, bu… pergi dengan Minah aje, naik bas. Insyallah abah, ibu. Ain akan ingat nasihat abah dengan ibu. Jadi, Ain boleh pergilah ya?" Sekali lagi Nurul Ain meminta kepastian.

Serentak abah dan ibu mengangguk.

“Kalau macam tu, Ain nak minta diri kejap. Nak telefon Mona."

Nurul Ain berlalu ke biliknya setelah siap melipat kain.


~*~*~*~*~*~


Aminah menarik tangan Nurul Ain mencari tempat duduk mereka.

“Minah dekat mana tempat duduk kita ni? Jauh lagi ke?” bisik Nurul Ain di telinga sahabatnya. Dia berjalan penuh berhati-hati. Khuatir terpijak kaki orang-orang yang duduk di tempat masing-masing. Maklumlah keadaan suram, penglihatan pula tidak berapa jelas.

 “Itu… dekat sana tu. Kita dah nak sampai dah,” balas Aminah dalam berbisik juga.

Akhirnya, mereka sampai juga di kerusi paling hujung. Aminah mengambil tempat duduk paling hujung sekali, manakala dia di sebelah kanan. Tidak lama kemudian filem Ombak Rindu sudah mula ditayangkan. Hampir setengah jam menonton, Nurul Ain terdengar suara esakkan. Dia toleh ke sebelah. Dalam suasana yang samar-samar dia dapat lihat gadis di sebelahnya sudah teresak-esak sambil mengesat pipinya dengan tisu. Siapa lagi kalau bukan Aminah. Tergeleng-geleng dia.

‘Hish, Minah ni… Tengok cerita pun boleh meleleh. Minah cengeng betul. Entah apa-apalah,’ ejeknya dalam hati.

Mata kembali difokuskan pada skrin besar itu. Dia bukanlah gemar sangat menonton filem cintan-cintun ini. Tetapi disebabkan Aminah yang memilih filem itu, dilayankan saja. Kesejukkan hawa dingin dan suasana gelap membuatkan matanya bagai hendak tidur. Puas dia cuba menahan mata supaya tidak lelap. Semakin dia cuba, semakin matanya degil hendak tutup. Akhirnya, dia kalah. Tanpa sedar dia terlelap. Sedang dia terlelap, seorang lelaki mengambil tempat di sebelah kanannya.

“Ain… oh… Ain.”

Sayup-sayup suara memanggilnya di telinga. Serentak lengannya digoncang lembut.

“Ain bangunlah. Ain…”

Apabila terasa lengannya digoncang semakin kuat. Perlahan-lahan dia membuka mata dan mengangkat kepala. Masih mamai. Suasana di dalam dewan kecil itu sudah terang. Dia pandang Mona yang kelihatan pucat dan risau. Kenapa dengan Aminah? Macam baru lepas berjumpa dengan Cik Ponti.

“Hmm… Dah habis ke ceritanya?” tanya Nurul Ain lalu menguap.

“Dah. Hish, kau ni buat malu ajelah.”

Tiba-tiba Aminah memarahinya dengan suara masih berbisik. Kemudian, sahabatnya itu memberi isyarat mata supaya dia pandang ke sebelah. Serta merta dia pandang ke sebelah kanan. Ada seorang lelaki berbaju T belang putih dan merah serta bercap duduk di kerusi sebelah. Wajah dia tidak nampak sangat sebab tertutup dengan cap. Eh, sejak bila pula ada orang ni? Tadi sebelahnya kosong. Dia pandang Aminah semula.

“Minah, sejak bila ada orang sebelah aku ni? Tadi tak ada pun.”

“Entah, aku pun tak tahu. Tadi habis aje cerita, aku tengok kau dah sedap landing atas bahu dia!”

Gulp! Terkejut Nurul Ain. Patutlah dia rasa macam tidur guna bantal. Lena saja tidurnya. Rupa-rupanya bahu orang sebelah. Ya Allah, Nurul Ain… buat malu saja! Mujurlah tiada air liur basi. Dia sudah menggelabah. Serta merta dia menarik tangan Aminah supaya bangun.

“En… encik, saya… saya minta maaf ya. Ta… tak sengaja.” Sempat dia meminta maaf sebelum melangkah laju keluar dari dewan itu. Entah lelaki itu dengan atau tidak, dia tidak ambil kisah lagi. Malu, malu, malu!

Lelaki bercap itu pula hanya senyum melihat langkah kaki mereka yang tergesa-gesa mahu keluar. ‘Mungkinkah ini yang dinamakan jodoh?,’ bisik hatinya.

Terbahak-bahak Aminah yang duduk di hadapannya. Dia pula jadi bengang. Sesudah keluar tadi mereka terus menuju ke KFC.

“Minah, sudah-sudahlah tu. Aku malu tau tak?”

Melihat wajah Nurul Ain yang serius, sedikit demi sedikit ketawa Aminah mati.

“Kau ni Ain, sesuka hati aje jadikan bahu mamat tu bantal. Nasiblah orang tu tak marah.”

“Aku bukan sengaja pun. Masa tidur tadi, aku dah tak tahu apa-apa dah. Manalah aku tahu yang aku  terlanding tu bahu dia,” ujar Nurul Ain dengan wajah sudah bertukar merah. Roti burger dicubit-cubit.

Aminah ketawa kecil. Mata tiba-tiba terpandang seseorang. Pantas dia mencuit tangan Nurul Ain.

“Weh, Ain bukan tu ke mamat yang dekat sebelah kau tadi? Yang duduk meja hujung tu. Yalah, aku ingat lagi… dialah orang dalam panggung tadi.”

Nurul Ain menoleh ke arah yang Aminah tunjuk. Diamati susuk tubuh lelaki berbaju T merah belang putih itu betul-betul. Betul memang dialah. Dia diserbu rasa bersalah. Terbayang-bayang situasi di dalam panggung tadi. Memalukan betul! Sekali lagi dia amati wajah lelaki itu. Beberapa saat kemudian dia terlihat jelas wajah lelaki bercap putih jenama Nike, saat lelaki itu membetulkan capnya. Eh, kenapa dia merasakan wajah itu seakan-akan pernah dia lihat? Ya, rasanya dia pernah lihat lelaki itu, tetapi di mana ya?

Saat dia sibuk merenung, tiba-tiba anak matanya bertembung dengan anak mata lelaki itu. Lelaki itu tersenyum manis ke arahnya. Bagai ada arus elektrik yang mengejutkan. Dia terus mengalihkan mata. Malu berganda kerana tertangkap merenung anak teruna orang. Dia menutup sedikit wajah dengan tangan.

‘Nurul Ain, untuk hari ni dah dua kali kau memalukan diri sendiri. Haish…’ Nurul Ain memarahi diri.

“Ain… Ain, dia tengah tengok arah kitalah! Hensem!”  ujar Aminah dengan nada teruja.

Nurul Ain buat tidak tahu saja. Wajah semakin ditutup.

“Eh, Ain. Apa pasal dengan kau ni?” Mungkin kerana hairan dengan tingkahnya, Aminah lantas bertanya.

“Err… Tak ada apa-apalah. Cepatlah makan. Lepas ni boleh kita pergi tempat lain pula. Kau kata tadi nak pergi kedai Red Modani, cari kasut.” Nurul Ain pantas menukar topik.

Malas lagi dia hendak bercakap tentang lelaki di hujung sana itu. Dia juga sudah tidak berani lagi menoleh ke arah sana. Dia cukup yakin lelaki itu masih merenung ke arahnya. Terasa panas wajahnya saat itu. Pastinya kulit wajah juga sudah bertukar merah. Mahu saja dia menyorokkan diri ke bawah meja kalau boleh.


Bersambung lagi...

~Assalammualaikum reader. Maaf jika ada kekurangan @ typo. Silalah drop komen di bawah jika sudi. Enjoy reading! ^_^










Tiada ulasan: