Sepuluh tahun sebelumnya…
Bunyi
erangan memenuhi segenap ruang bilik bertirai biru.Setiap masa erangan semakin
lama semakin kuat diselang seli jeritan.
Semua insan yang berada disitu resah dan gelisah. Berpeluh-peluh mereka di kala ini.
“Arrghhh… Sakit!”. Besi penghadang katil dipegang kuat.Teranan
semakin galak. Sakit semakin
menjadi-jadi.
“Sabar puan. Teran lagi.
Teran!” Wanita berpakaian seragam
berwarna putih menutup separuh muka terus-terusan memberikan ransangan kepada
wanita itu.
“Sakit nurse! Sakit!”, raungannya. Habis lencun wajahnya dengan peluh. Kesakitan bagai tidak mampu untuk ditanggung
lagi.
“Puan teruskan. Baby dah nampak kepala. Sikit lagi puan”, ransangan seorang doktor
dihujung kakinya pula.
Dengan sedaya upaya Ita cuba meneran
lagi. Selang beberapa minit tangisan bayi mula memenuhi ruang itu. Sungguh nyaring namun Ita semakin lemah dan
kepenatan di saat jururawat meletakkan bayi yang baru dilahirkannya di
sebelahnya. Akhirnya dia tertidur tanpa
sempat melihat kehadiran bayinya.
Keesokan harinya setelah Ita sedar dia
langsung tidak mahu memegang anaknya. Hatinya
begitu kecewa melihat keadaan anak yang baru dilahirkan. Puas Mak Usunya memujuk namun dia tetap
enggan. Entah di mana silapnya bayi itu
dilahirkan tidak sempurna padahal dia dan arwah suami yang baru meninggalkannya
lima bulan lepas sangat sempurna. Mereka
berdua tiada cacat celanya.
Tangisan bayi yang kehausan memenuhi
ruang wad.
“Ita ambillah anak ni. Dia haus.
Susukanlah dia sayang”, pujuk Mak Usu.
Sudah tidak tertahan rasanya mendengar tangisan bayi itu.
Ita hanya berdiam diri. Wajah bayi itu tidak dipandang walaupun
sedetik. Dia menunduk.
“Ita kesianlah dekat dia. Dia haus sangat ni. Inikan anak Ita”.
“Dia bukan anak Ita. Anak Ita tak cacat macam dia Mak Usu!”, bentak Ita.Mana boleh dia terima keadaan bayi
yang kakinya tempang sebelah. Manakala
jari tengah dan jari manis tangan kirinya bercantum. Ita berasa jijik melihat keadaan bayinya.
“Masya-Allah,Ita! Tak baik cakap macam
tu. Dia anak Ita. Darah daging Ita!”, marah Mak Usu yang sudah
tidak tahan menghadapi kedegilan anak saudaranya itu. Ita sememangnya terkenal dengan sikap
degilnya sejak dari kecil lagi. Kalau
dia kata putih,putihlah jadinya.
“Kesiankan dia yang dari tadi asyik menangis. Dia masih kecil. Tak tersentuhkan naluri keibuan Ita bila
mendengar dia menangis? Mak Usu dengar
pun tak sampai hati”. Tajam wajah anak
sedaranya dipandang. Apa mahu jadilah dengan dia ini? Anak sendiri tidak mahu
menerima.
Ita membalas pandangan mata Mak
Usu. Dia dapat melihat biji mata mak
saudaranya sudah memerah. Dia tahu Mak
Usunya sedang menahan marah kala itu. Perlukah
aku menyusukan bayi itu sedangkan aku langsung tidak mampu mahu menerimanya? Arrgghh!,aku
betul-betul benci melihat fizikalnya yang tidak sempurna. Namun aku tidak mahu Mak Usu marahkanku.
Ita agak keberatan mahu menyusukan
namun dia terpaksa kerana acap kali Mak Usu memaksanya. Bayi itu sudah bertukar tangan. Kini dipangku Ita pula.Mak Usu tersenyum apabila
Ita mahu menurut arahannya.
“Ita nak namakan dia apa?”, Mak Usu
cuba menghidupkan suasana.
“Entah”, pendek jawapan Ita
seolah-olah tidak berminat saja.
Mak Usu mengeluh. “Ita fikirlah nak bagi nama apa. Nanti Mak Usu boleh tolong uruskan di Pejabat
Pendaftaran”.
“Tak tahulah. Mak Usu ajelah bagi nama dia”.
“Eh, mana boleh macam tu. Itakan mak dia mestilah Ita yang kena bagi
nama”.
Ita diam lagi. Responnya begitu dingin. Keluhan lepas lagi dari mulut Mak Usu.
“Hmm, apa kata kita bagi nama dia Zawana? Nama arwah ibu Ita”, cadang Mak Usu setelah
melihat reaksi dingin Ita apabila diminta memberikan nama buat bayi itu.
“Hmmm…”.
Mak Usu menggeleng kesal dengan sikap
gadis itu. Moga satu hari nanti dia mampu menerima anaknya. Doanya dalam hati.
~*~*~*~*~*~
Usia
Zawana sudah pun mencecah lima bulan.
Sudah pandai menangis. Mak Usu
menghenjut buaian anak kecil itu yang merengek mahu tidur. Mulus wajah kecil itu apabila dia nyenyak
tidur. MaK Usu tersenyum sendiri.
“Mak Usu, Ita ingat nak cari kerja
dekat KL lah”, Ita yang sibuk melipat kain dari jemuran menyatakan hasratnya.
“Buat apa nak ke sana semula. Bukannya ada sesiapa pun”.
“Ita nak cari kerja dekat sana. Mana tahu boleh bantu Mak Usu sikit-sikit di
sini. Lagi pun rumah arwah abang tak ada
siapa tolong jenguk. Sayang nak
tinggalkan begitu saja”, Ita beralasan.
“Kalau kamu ke sana macam mana
dengan Zawana? Siapa nak jaga dia? Tak
usahlah Ita. Di sini pun ada kerja. Cari
aje dekat-dekat sini”, tegah Mak Usu.
Dia khuatir jika Ita ke Kuala Lumpur tiada siapa sanggup membela Zawana
yang memerlukan penjagaan rapi. Dia juga
risau nanti Ita tidak mampu membahagikan masa kerja dan masa menjaga anaknya.
“Mak Usu, kerja dekat kampung ni
memang ada tapi tak banyak. Gaji pun sikit aje.
Tentang Zawana, Ita nak minta tolong Mak Usu jagakan dia dulu. Boleh?”,
Ita tetap bertegas mahu kembali ke kota besar itu.
“Mak Usu bukan tak bagi, Ita. Mak
Usu pun tak kisah kalau nak jaga
Zawana. Tapi… Ita tak rasa kesian ke
pada dia yang masih kecil ni. Takkan Ita
sanggup nak berpisah dengan dia?”
“Mak Usu…”, emak saudaranya yang
sibuk menghenjut buaian dirapati.
Pinggang wanita berusia itu dipeluknya.
“Ita janji. Nanti bila dah kerja dekat KL, Ita baliklah
hujung-hujung minggu bila free. Ita tengok Mak Usu dan Zawana”, pujuk Ita. Berharap Mak Usunya akan bersetuju.
Emak saudaranya itu tidak mampu
berkata apa lagi. Terpaksa akur dengan
kehendak Ita. Harap-harap Ita tidak lupa dengan tanggungjawabnya terhadap si
anak kecil ini.
“Hmm… Yalah”.
Ita tersenyum puas dengan
persetujuan yang diberikan Mak Usu.
Nampaknya dia tidak perlu lagi menjaga Zawana sepenuhnya. Itulah sebab dia beriya mahu bekerja di Kuala
Lumpur. Bukan dia membenci dan tidak
bersyukur dengan kelahiran itu. Namun, hatinya
seakan tidak mampu menerima kenyataan bahawa bayi perempuannya itu cacat.
Biarlah Mak Usu kata kelahiran Zawana itu adalah wasiat dari arwah suami
tercinta tetapi bila hati tidak mampu menerima, dia sudah tidak mampu berbuat
apa.
~*~*~*~*~*~
Tangisan
bayi perempuan memenuhi segenap ruang rumah.
“Syyhhhh… sayang kenapa menangis ni?
Kenapa dengan anak mak? Hmm?”, risau Mak Usu jadinya. Zawana seharian menangis. Ibunya baru dua hari meninggalka dia untuk
mencari kerja di Bandar.
Zawana masih lagi belum reda
rengekannya walaupun dipujuk. Segera dia membaringkan bayi itu dan menyelak
bajunya. Perut bayi itu di rasa. Tidak ada tanda-tanda kembung tetapi kulitnya
panas. Dia merasa pipi bayi itu pula.
“Ya Allah! Dia demam rupanya. Apa
aku nak buat ni?”
Pagi tadi sewaktu memandikannya elok saja.
Mungkin demam baru menyerangnya.
Patutlah dia seperti tidak selesa. Mungkin dia rindukan ibunya. Segera
Mak Usu berlari ke dalam bilik mengambil beg duit dan mendukung Zawana. Pintu
rumahnya ditutup rapat.
Dia mahu meminta tolong jirannya
menghantarkan dia ke klinik.
“Syukur…mujurlah dia tak apa-apa”,
senang hati Mak Usu apabila doctor kata Zawana hanya demam biasa. Demam rindu agaknya. Mujur ada Aminah
sekeluarga yang sudi membantunya.
“Akak janganlah risau. Dia cuma
demam biasa aje”, ujar Aminah jiran Mak Usu yang duduk di hadapan bahagian
pemanduan bersama suaminya.
“Aku bukan apa Minah. Aku dah
lama tak jaga budak kecil. Dah ingat-ingat lupa. Terakhir akak jaga Italah tu”.
“Mungkin dia demam sebab rindu
dengan ibu dia agaknya. Ita pun sepatutnya biarlah anak tu besar sikit baru
berhijrah ke bandar. Kesian dekat anak ni”, bebel Aminah.
Keluhan kecil dari mulut Mak Usu
terlepas jua. “Dah berbuih mulut aku pujuk sebelum dia pergi tapi dia tetap
berdegil juga. Kau tahulah Ita tu macam
mana. Hmm, nanti dia rindu baliklah dia
menjenguk Zawana”.
Bayi itu nyenyak tidur
dipangkuannya. Iman anak Aminah dan Razlan sibuk mencuit pipi si kecil,
Zawana. Suka benar dia dengan
Zawana. Mak Usu hanya senyum melihat
gelagat kanak-kanak lekai itu.
~*~*~*~*~*~
“Wana!”,
laung Mak Usu dari dalam dapur.
Terkedek-kedek Zawana lari
mendapatkan emaknya. Dia dari pangkin
melihat kanak-kanak seusia dengannya bermain layang-layang di bendang.
“Ya, mak”, Zawana merapati Mak Usu yang sibuk membubuh
nasi dipinggan. Kini Zawana sudah pun
berusia sebelas tahun. Wajahnya saling
tak tumpah dengan wajah ibunya.
“ Mari makan. Mak dah siap masak. Pergi basuh tangan dulu”, arah Mak Usu.
Zawana akur dengan arahan itu. Kemudian dia mengambil tempat di hadapan Mak
Usu.
“Wah, masak lemak ketam. Kegemaran Wana ni mak!”
Mak Usu senyum melihat gelagat gadis
kecil itu. Zawana sememangnya gemar
dengan masakkan lemak ketam. Sama
seperti Ita. Entah bagaimana keadaan Ita di sana. Ita yang sudah berkeluarga baru dan punya dua orang anak baru dengan suaminya,
jarang sekali hendak balik ke kampung. Jika
balik pun hanya sekejap saja. Itu pun
semasa hari raya. Dia seolah-olah lupa
dengan janjinya sewaktu dahulu. Kasihan anaknya, Zawana. Sayu Mak Usu memandang wajah milik gadis kecil
itu. Tidak mengapalah, dia akan sentiasa
ada di sisi Zawana walau apa juga keadaan. Biarlah kanak-kanak itu tinggal bersamanya
saja.
“Makan… makan. Mak tahu anak mak
mesti suka makan lauk ni”.
“Mak tak makan?”, tanya Zawana
apabila melihat tiada pinggan di hadapan emaknya.
“Wana makan dulu. Mak belum lapar.
Mak nak teman anak mak makan aje”.
Zawana tersenyum manis dan dia mula
menyudu lauk ke dalam pinggan. Tanpa dia sedar air mata Mak Usu menitis di pipi.
Dia terharu melihat Zawana begitu selera menikmati masakannya yang tidak
seberapa.
“Makan nak. Makan”, ujar Mak Usu
sambil mengutip nasi di tepi bibir anak itu.
Langit hitam mula menyelimuti alam.
Mak Usu sibuk menjahit pakaian sambil bersandar didinding.
“Mak…”, tegur Zawana. Lantas dia
mengambil tempat di sebelah emaknya.
“Dah solat?”, tanya Mak Usu sambil
menjatuhkan sedikit cermin matanya dan memandang Zawana
“Dah mak”. Jawapan itu menerbitkan
senyum di bibir Mak Usu.
“Kerja sekolah dah buat?”, tanya Mak
Usu.
“Dari petang tadi dah siap mak”,
jawap Zawana yang tekun melihat Mak Usu menyembat leher baju kurung.
Mak Usu senyum lagi. Alhamdulillah, Zawana sememangnya seorang anak yang
mendengar kata dan tidak menyusahkan. Tidak perlu di suruh, dia sudah
menyiapkan.
“Mak… minggu depan dah start cuti
sekolah. Ibu balik kampung tak?”, tanya
Zawana tiba-tiba.
Terhenti kerja menjahit Mak
Usu. Dia agak terkejut dengan soalan
anak itu. Sebelum ini tidak pernah pula
dia bertanya.
“Wana rindukan ibu?”
Zawana mengangguk laju. Mak Usu menarik nafas panjang. Tidak tahu
mahu menjawap apa.
“Ibu balik tak mak?”, tanya Zawana
lagi.
Serba salah Mak Usu mahu menjawap.
“Mak tak tahu sayang. Nanti mak telefon ibu ya?”
“Okey…”, sepatah saja Zawana menjawab.
Mak Usu dapat menangkap riak wajah anak itu yang seakan-akan mengharap. Tidak
sampai hati pula dia.
~*~*~*~*~*~
“Assalammualikum,
Ita”, Mak Usu memberikan salam setelah panggilan diterima oleh penerima.
“Wa’alaikumsalam, Mak Usu”.
“Ita sibuk ke?”, tanya Mak Usu
teragak-agak.
“Eh,taklah Mak Usu. Ita tengah
tengok tv sambil layan budak-budak ni.
Mak Usu sihat? Ada hajat apa telefon Ita ni? ”
“Alhamdulillah. Mak Usu dan Wana
sihat-sihat saja”, sengaja dia menyebut nama Zawana sekali. Ita tidak bertanya pun perihal anaknya itu
sama ada sihat atau tidak. Apa dia sudah
lupa dengan kewujudan anak itu?
“Err…baguslah kalau macam tu Mak
Usu”.
Pasti dia terasa bila aku sebut nama
Zawana tadi, bisik hatinya. “Ni…Mak Usu
nak tanya, minggu depan dah cuti sekolah.
Kamu balik kampung ke tak? Wana rindu dengan kamu sangat-sangat”.
“Mak Usu…err.. Ita tak pasti lagi.
Lagi pun Abang Man kerja”.
Mak Usu sudah dapat mengagak itu
yang bakal dijawab Ita. “ Ita…kamu baliklah. Dah lama kamu tak balik kampung
ni. Cuma harapkan masa raya, itu pun
kamu balik sehari dua. Wana tu betul-betul rindukan kamu. Dia asyik tanya kamu balik ke tidak”, Mak Usu
cuba memujuk anak saudaranya itu.
“Mak Usu, Ita tak boleh nak janji.
Nantilah Ita tanya Abang Man dulu macam mana”.
Mak Usu merengus kesal. “Kamu
baliklah walaupun sekejap. Biar kurang
sikit rindu wana tu”.
“Yalah, Mak Usu. Ita akan cuba
berbincang dengan Abang Man dulu”.
Mendengar kata-kata Ita menyebabkan
keluhan berat Mak Usu terlepas juga.
“Ikut kamulah Ita. Aku ada kerja nak buat ni. Assalammualaikum”, Mak Usu tidak kuasa lagi
mahu memujuk.
“Wa’alaikumsalam”.
Terus talian dimatikan. Ya Allah,
apa aku nak jawap pada Zawana nanti? Kasihan dia jika Ita tidak pulang minggu
hadapan.
“Mak, masa mak telefon ibu tadi dia
ada cakap nak balik tak?”, tanya Zawana usai mereka makan malam.
Mak Usu mengangkat pinggan kotor ke
singki. Paip dibuka airnya. Buat-buat
tidak mendengar pertanyaan Zawana.
Lantas Zawana merapati emaknya. Fikirnya, mungkin emak tidak mendengar apa
yang dia cakap. Dia menghulurkan tangan
ke bawah paip untuk membasuh tangan.
“Mak, ibu ada cakap tak dia nak
balik masa mak telefon tadi?”, tanya Zawana lagi sambil bersandar di sebelah
singki.
“Err…ada. Ibu ada cakap tapi dia nak
bincang dengan ayah Man dulu. Kalau masa
mengizinkan ibu balik. In sha Allah…”,
ujar Mak Usu tersekat-sekat. Dia tidak
mahu memberikan harapan yang tinggi, takut kelak anak kecil itu kecewa.
Terdengar keluhan kecil dari mulut
itu. “Wana harap ibu balik. Wana rindu nak main dengan adik-adik. Masa raya tahun lepas dapat main dengan dia
orang sekejap aje”.
“Wana doa supaya ibu lembut hati
balik ya, sayang”, hanya itu yang mampu Mak Usu katakan.
Zawana mengangguk lemah. Simpati
datang menyelinap melihat wajah muram anaknya itu.
~*~*~*~*~*~
Akhirnya
Ita dan keluarga barunya pulang juga ke kampung. Pada awalnya dia fikir Ita hanya mahu
menjenguk Zawana setelah di asak beberapa kali tetapi Ita menyatakan dia mahu
membawa Zawana pulang ke Kuala Lumpur sekali.
“Mak kalau mak tak bagi pergi, Wana
tak pergi”.
Sebetulnya, Mak Usu agak berat
mahu melepaskan gadis kecil itu. Tetapi
demi memikirkan Zawana ada berkata dengannya bahawa dia rindu akan
adik-adiknya, Mak Usu merelakan saja.
“Wana pergi. Kan Wana rindukan adik-adik. Bukan lama, seminggu aje kan”.
“Tapi…”
“Tak apa. Pergilah. Jangan risau mak
dekat sini. Mak cik Minahkan ada. Pergilah, ibu dah tunggu tu”, pujuk Mak Usu
apabila sudah dapat membaca riak risau Zawana.
Akhirnya Zawana akur juga. Mak Usu menemani langkahnya sehingga masuk ke
dalam kereta. Sayu sungguh hatinya di
kala melihat langkah lemah Zawana.
“Mak Usu, kami pergi dulu!”, laung
Ita sebelum masuk ke dalam perut kereta.
“Ya…”, tertumpah jua air mata
tuanya. Selama ini dia belum pernah
berpisah dengan anaknya itu. Kereta
milik suami Ita sudah mula mahu bergerak. Dia sempat melihat lambaian terakhir
daripada Zawana sebelum kelibat kereta hilang dari halaman rumah.
Mak pasti akan merindui Wana,
bisiknya.
~*~*~*~*~*~
Ternyata
benar kata hatinya bahawa dia akan merindui si anak. Baru tiga hari Zawana mengikut ibunya dia di
sini sudah nanar dengan kerinduan.
“Apalah yang Wana buat
sekarang? Dah makan ke belum?”
Setiap hari dia akan membayangkan
bahawa Zawana ada bersamanya. Membayangkan
kanak-kanak itu menemaninya menjahit,
mereka makan bersama, bercerita
dan bergelak tawa.
“Ya Allah, aku rindukan dia. Walaupun dia bukanlah anak kandungku, tapi
aku yang menjaganya semasa kecil. Dia
anak aku juga. Berikanlah dia kegembiraan sewaktu
dia di sana bersama ibunya Ya Allah....” Mak Usu meraup muka setelah selesai berdoa. Menitis air matanya saat ini.
Selang tiga hari Mak Usu masih lagi
murung. Makan tak lalu, air mata asyik
mahu mengalir. Aminah yang sering
menjenguknya pun berasa kasihan dan simpati.
“Sabarlah kak. Lagi dua hari nanti dia baliklah”, pujuk Aminah.
Mak Usu mengesat sisa-sisa air mata
di pipinya. “Aku fikir aku boleh
berjauhan dengan dia Minah. Tapi rupanya
tidak. Sedetik pun aku tak mampu nak
berpisah dengan dia”, luahnya.
“Sabar sajalah kak. Akak ada telefon dia tak?”
Mak Usu menggeleng laju. Dia takkan buat begitu kerana takut hatinya
makin tidak kuat. Lagi pula dia mahu
Zawana meluangkan lebih masa dengan ibunya dalam masa seminggu ini.
Aminah tidak bertanya lagi kerana
memahami situasi wanita berusia itu.
Pon!
Pon! Pon!, bunyi seperti hon kereta menganggu perhatian
mereka. Serta merta Aminah menjenguk ke
tingkap.
“Siapa minah?”
“Hmm… macam kereta suaminya Ita aje”,
jawap Aminah. Dia tidak pasti kerana
penglihatannya kurang baik.
Mendengar saja kata-kata
Aminah, Mak Usu bergegas keluar
rumah. Betul, kereta milik suami anak saudaranya. Pintu
belakang kereta tiba-tiba terbuka.
Kelihatan Zawana keluar dari dalamnya.
“Mak!”, jerit Zawana sambil berlari terhinjut-hinjut
dan terus memeluknya.
“Ya Allah, anak mak dah balik! Anak
mak dah balik!”, dalam sendu Mak Usu
membalas pelukan Zawana.
“Mak, Wana rindukan mak”, ujar kanak-kanak itu dalam tangis.
“Mak pun sama… Mak rindukan Wana”.
Aminah yang melihat dua beranak itu
dari jauh terasa sebak. Air matanya
tertumpah. DIA mendengar segala rintihan
kerinduan Mak Usu selama ini.
Alhamdulillah. Dua beranak itu
melepaskan kerinduan beberapa saat dengan berpelukan.
“Mak Usu, maaflah Ita terpaksa bawa
dia balik awal. Dia asyik cakap rindukan
Mak Usu”, ujar Ita yang riaknya seakan takut-takut.
“Tak mengapalah Ita. Mak Usu pun rindu dengan dia”.
Ita tersenyum tawar. Entah kenapa Mak Usu merasakan anak
saudaranya bagai tidak selesa saja. Sering
juga dia memandang suaminya. Dua orang
ini bagai menyembunyikan sesuatu. Oleh
kerana tidak mahu bersangka buruk dia diamkan saja dan membiarkan.
“Ita, Man marilah masuk. Minum dulu”, pelawa Mak Usu. Zawana di sebelahnya memeluk pinggannya erat.
“Err… tak apalah Mak Usu. Kami dah nak kena balik ni. Malam ni Abang Man ada kerja malam ni. Kami minta diri dululah”, segera Ita meminta diri.
“Kenapa cepat sangat? Minum pun
belum. Dah tak sudi ke nak masuk rumah
Mak Usu ni? ”
“Eh, bukan macam tu Mak Usu. Kami
betul-betul tak boleh. Lain kali
sajalah”, tanpa berlengah Ita terus
menyalami Aminah, kemudian menyalami Mak Usu pula.
Mereka bertiga sama-sama menghantar
pemergian kereta milik suami Ita keluarga dari halaman rumah Mak Usu.
“Jom masuk. Minah marilah masuk”, pelawa Mak Usu kepada
Aminah. Wanita itu hanya mengangguk dan
mengekori dua beranak itu masuk ke dalam rumah.
~*~*~*~*~*~
“Anak
mak sihat?”
Zawana mengangguk saja.
“Dah makan ke?”, soal Mak Usu
lagi. Kali ini juga Zawana menjawap
dengan anggukan.
Mak Usu menggenggam bahu kanan
Zawana untuk memeluk kanak-kanak itu.
Namun reaksi dari Zawana langsung tidak di jangka. “Arrghh…”, erangnya.
Berkerut dahi Mak Usu. Kenapa dengan dia? Tanpa berlengah tangan Zawana ditarik. Lengan baju kurung yang dipakainya di
singsing ke atas.
“Sakit mak!”
Terperanjat Mak Usu dengan apa yang
jelas di pandangan mata kini. Aminah
juga begitu. Lengan Zawana penuh dengan
garis-garis merah dan lebam. Seperti bekas rotan atau tali pinggang. Masya-Allah!
Apa sudah jadi?
“Siapa yang buat anak mak macam
ni?”, soal Mak Usu yang masih terkejut.
Zawana diam saja.
“Kalau Wana sayang mak, bagitau siapa yang buat sampai macam ni
sekali?”, Mak Usu terpaksa mengugut kerana dia tahu Zawana seorang yang pendam
rasa.
Kanak-kanak itu menunduk. “Ayah… Ayah Man”, jawapnya takut-takut.
“Astaghafirullah! Kak ini kes dera
ni!”, ujar Aminah.
“Kenapa dia buat Wana macam ni? Apa sebabnya?”
Zawana sudah mula teresak-esak. Pasti dia trauma. “ Se…
sebab Wana pecahkan pinggan masa nak tolong suapkan adik-adik makan”.
Mak Usu beristighfar panjang dalam
hati. Ita, Man apa kau dah buat ni? Dia anak kau orang juga. Sampainya hati kamu berdua buat dia begini. Jadi sebab inilah mereka beria mahu balik
segera tadi.
“Mak… Mak jangan marah ibu dengan ayah Man. Mereka tak salah. Wana yang salah sebab tak berhati-hati”, halang Zawana apabila melihat Mak Usu bangun
mendapatkan telefon rumah.
Mak Usu terduduk semula di sebelah
Zawana. Sememangnya kala ini dia panas hati dengan anak saudaranya itu. Dia sendiri tidak pernah menyentuh Zawana
sebegitu sekali. Namun dia bangga dengan
Zawana yang tidak berdendam walaupun mereka telah memperlakukannya seperti
itu. “Ibu ada pukul juga ke? Ada ibu tolong?”, tanyanya lagi.
Zawana menggeleng lagi. Bermakna Ita tidak memukulnya. Hanya Man saja yang melakukannya. Namun Ita juga tidak membantu.
“Maafkan mak Wana. Mak tak sepatutnya biarkan Wana pergi. Kalaulah mak tahu…”, lantas tubuh kecil itu dipeluk.
Air matanya kembali deras. Ita… sampai hati kau! Dahi Zawana dicium bertalu-talu.
~*~*~*~*~*~
Hari
ini Mak Usu mengajak Zawana ke pekan.
Niatnya mahu membelikan keperluan untuk Zawana dari duit pencen arwah
suaminya. Sesekali bawa dia berjalan dan
berbelanja, kanak-kanak itu gembira
sekali. Dia senang dengan senyuman yang
terhias di bibir Zawana.
“Dah banyak kita beli ni. Jomlah balik?”, ajak Mak Usu yang sudah
keletihan. Sudah banyak kedai yang
mereka masuki.
“Jomlah mak. Wana pun dah penat. Tapi boleh tak mak kita pergi beli air cendol
dulu dekat depan tu? Wana haus sangat”. Cuaca yang panas membuatkan dia kehausan.
Mak Usu senyum pada Zawana. Tentu saja boleh. Apa saja kemahuan Zawana yang tidak melampaui
batas pasti akan dituruti. Ini kerana
dia terlalu menyayangi gadis kecil ini.
Sayang sangat.
“Boleh. Jom kita pergi”.
Mereka seiring berjalan. Mak Usu di belah kanan manakala Zawana di
belah kiri. Tanpa mereka sedar ada
sepasang mata tajam sedang mengekori mereka.
Lantas menghampiri perlahan-lahan.
Zzaapp! Beg tangan Mak Usu di ragut dengan sekelip mata. Mak Usu hilang imbangan dan jatuh tersungkur
di jalan raya.
“Mak!”, pantas Zawana berlari mendapatkan
maknya. Namun malang tidak berbau. Tanpa di sedari mereka ada sebuah van dipandu
laju menuju ke arah mereka dan sesaat
dua merempuh kedua-duanya.
~*~*~*~*~*~
Aminah
menggeleng-geleng kepala melihat gelagat Ita yang menangis bagai orang
gila. Mulutnya meracau-racau memanggil
kedua-dua insan yang sudah terbaring kaku.
Apa yang diluahkan hanya kekesalan dan kemaafan. Namun, apakan daya semua itu sudah tidak
berguna lagi. Kedua-duanya sudah tiada
untuk dia mengucapkan kemaafan atas kesilapannya.
“Sudahlah Ita. Yang pergi akan tetap pergi. Tak elok kita menangis, meraung begini”,
pujuk Aminah memeluk Ita dari belakang.
“Saya tak nak mereka pergi,
kak. Saya belum minta maaf lagi pada
mereka. Saya banyak buat salah pada
Zawana dan Mak Usu. Ita mengabaikan
mereka masa mereka hidup. Ita tak pernah
ambil perduli dengan Zawana. Ita bukan
ibu yang baik untuk dia. Ita kejam, kak!”,
raungnya lagi menyesali kesilapan demi kesilapan.
“Istighfar banyak-banyak Ita. Istighfar!
Kamu ingat dengan meraung begini mereka akan hidup? Untuk pengetahuan kamu, arwah Zawana dan Mak Usu tak pernah berdendam
dengan kamu walaupun macam-macam benda kamu buat. Mereka sayangkan kamu. Sudahlah Ita,
biarkan mereka pergi dengan tenang.
Allah lebih sayangkan mereka”, berderai air mata Aminah semasa
menenangkan Ita. Dia juga sedih dengan
pemergian dua beranak itu yang sudah di anggap keluarga.
Sedikit demi sedikit pujukan dari Aminah
membuatkan Ita kembali tenang. Dari
pelukkan Aminah bertukar pula pada pelukkan suaminya. Dia hanya mampu memandang dua jenazah di
angkat ke keranda dengan tangisan yang belum mahu reda. Maafkan Ita, Mak Usu! Maafkan ibu, Zawana!
Tangis-tangis sendu mengiringi
pemergian dua jenazah itu. Semoga mereka
di tempatkan dengan orang-orang beriman.
Semoga mereka juga akan mendapat
kebahagian di sisi-Nya . Amin… Doa
Aminah dan hati.
TAMAT
P/s Cik Writer ~> Semoga cerpen ini mampu memberikan pengajaran dan pendoman kepada pembaca. Sebenarnya cerpen ini Ira karang adalah dari kisah yg nyata namun Ira olah agar tidak ada siapa yg terasa. Kanak-kanak yg menjadi sumber inspirasi Ira ini dikatakan hidunya sehingga 12 tahun saja disebabkan penyakit tertentu dan ibunya sendiri kurang memperdulikannya. Namun kuasa Allah tidak siapa yg tahu kan? Semoga Allah memanjangkan usianya dan memberikan dia kesihatan. Amin.
4 ulasan:
BEST SAMBUNG PLEASE.....
baby mio, ceritanya dah habis dah. Endngnya sampai situlah. Terima kasih sudi baca ye.Hehe..^__^
Writer buat saya rase nak tumbuk je ita tu..geram rasenyer,bila dh takde baru nk nyesal..apepon,good job:-)
👍🏻
Catat Ulasan