Nurul
Ain berjalan menuju ke tempat simpanan beg berhadapan kantin. Pintu loker
nombor dua belah dibuka. Botol air berwarna hijau cair dikeluarkan dari loker.
Tekak yang kering tadi dibasahi dengan air. Baru saja dia hendak menutup pintu
loker, tiba-tiba terjengul susuk tubuh seorang pemuda di sebelahnya.
“Eh, Encik Ameer.”
Pemuda itu berwajah tanpa riak Teragak-agak
dia memberi senyuman kepada bos sementaranya itu.
“Dah waktu rehat ke?” tanya Ameer
Qalish serius. Kedua-dua belah tangan diseluk ke poket.
Mati senyum Nurul Ain. Serba salah
dia hendak menjawap. Wajah Ameer Qalish dipandang takut-takut. Bibir
terketar-ketar hendak menjawap.
Sekarang
sememangnya bukanlah waktu rehat. Dia keluar ke loker pada waktu ini adalah
untuk minum. Pekerja-pekerja yang lain juga biasanya begitu. Tidak pula mereka
dimarahi oleh Encik Azhari atau orang atasan lain. Pasti Encik Ameer akan
memarahinya kerana keluar sesuka hati pada waktu bekerja. Dia tidak sangka anak
saudara Encik Azhari seorang yang lebih tegas berbanding bapa saudaranya.
“Sebenarnya be… belum. Waktu rehat…
lagi satu jam. Saya keluar sekejap… sebab nak minum air. Tekak saya... kering,”
terang Nurul Ain gagap dan tunduk bagai pesalah.
Ameer Qalish cuba menahan tawa. Lucu
dengan reaksi spontan gadis itu. Beberapa saat dia tidak bersuara. Sengaja dia
begitu. Dari pandangan matanya, dia lihat Nurul Ain hanya diam tidak berkutik
dan masih tunduk memandang lantai. Wajah gadis itu bertukar pucat. Dia berdeham
kecil, kemudian berubah serius. Sengaja hendak menguji gadis itu.
“Awak tahu, awak salahkan?”
Berani dan tidak, Nurul Ain
mendongak. Namun, hanya sesaat. Dia menunduk kembali dan mengangguk kecil.
Betul-betul bagai pesalah yang sedang disoal siasat.
“Ya, saya… saya salah encik. Ma…
maafkan saya,” perlahan saja Nurul Ain mengucapkannya.
“Apa dia? Saya tak dengar apa awak
cakap.”
Ameer Qalish mendekatkan sedikit
jarak antara mereka. Nurul Ain yang menyedari hal itu lantas menjauhkan semula
jarak mereka dengan selangkah ke kiri. Dia tidak selesa dan dirasakan tidak
manis jika kedudukkan mereka terlalu dekat. Kemudian, dia kembali tunduk
menekur lantai.
“Memang saya salah, Encik Ameer.
Lain kali saya tak buat lagi. Maafkan saya,” ucap Nurul Ain. Kali ini dengan
suara yang sedikit ditinggikan. Biar lelaki itu dengar.
“Oh, minta maaf.” Ameer Qalish
terangguk-angguk. Pandangannya pada gadis di hadapannya, sinis sekali. “ Kalau
orang dah buat salahkan, mudah aje minta maaf. Tapi, dia orang susah nak
belajar dari kesilapan lepas. Selepas minta maaf, nanti esok lusa buat lagi. Jadi,
apa guna ucapan minta maaf tu, kan?”
Nurul Ain diam saja. Sebenarnya dia
terpukul dengan kata-kata itu. Terasa hati. Namun, dia tidak berani hendak
membalas. Khuatir apabila dia membiarkan mulutnya membalas, nanti jadi lain
pula. Walaupun saat ini dia sakit hati, namun dia perlu menghormati lelaki di
hadapannya ini.
“Awak tak nak cakap apa-apa ke?”
tanya Ameer Qalish apabila gadis itu masih berdiam diri.
“Cakaplah!”
Melengking suaranya namun masih terkawal. Dia cuba memprovokasi gadis itu. Dia
sengaja hendak menjolok tahap kesabaran Nurul Ain.
Terlonjak sedikit tubuhnya Nurul
Ain. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa sebak kerana ditengking begitu. Tubir
matanya sudah berair. Hanya tunggu masa hendak tumpah.
“Saya…
saya dah pun minta maaf. Sama ada encik nak terima atau tak ucapan maaf saya,
itu hak encik. Tapi… apa pun saya harap encik dapat terima maaf saya tu, sebab
saya tak sengaja. Sebelum ni, kami boleh aje…”
Ameer Qalish terus memotong. “Boleh
apa? Boleh sesuka hati keluar bukan waktu kerja? Awak tahu tak tindakkan awak
ni, menyalahi disiplin bekerja? Dan, awak boleh dikenakan tindakkan oleh pihak
kilang? Awak nak kena buang kerja? Nak ke?” tanyanya dengan nada tegas.
Nurul Ain terkedu. Dia tunduk
kembali. Terasa dirinya kerdil saja saat ini. Dirasakan, pipinya sudah mulai
basah. Air mata mula gugur!
“Saya… saya…”
Tiba-tiba
Ameer Qalish terdengar esakkan halus yang datangnya gadis di hadapannya. Dia
jadi kaget. Betulkah dia menangis? Nurul Ain pula tidak tahu kenapa perasaannya
tiba-tiba tidak kuat. Baru saja dimarahi sedikit terus mudah cengeng. Dan, ini
merupakan kali pertama dia dimarah sepanjang bekerja di sini. Malang betul
harinya hari ini.
“Ain… err… awak, awak jangan nangis.
Syhhhh…. Jangan nangis. Saya cuma main-main aje tadi. Saya saja nak uji awak. Janganlah
nangis. Syhhhh… syhhhh…” Menggelabah Ameer Qalish memujuk sambil jari telunjuk
di bibir.
Nurul Ain masih juga teresak. Entah
kenapa, rasa sedihnya tidak boleh surut. Malah dia tidak mendengar langsung
kata-kata maaf dari Ameer Qalish. Kata-kata penerangan lelaki itu pun dia tidak
mendengar langsung.
“Awak, saya minta maaf. Saya
main-main aje. Janganlah nangis lagi. Syhhhh…. Syhhh…” Mahu saja rasanya dia
mengusap belakang Nurul Ain bagi menenangkan. Tetapi itu tidak mungkin! Nurul
Ain tidak mungkin membenarkan dia berbuat begitu walaupun berlapik. Dia bingung
memikirkan cara terbaik untuk menghentikan tangisan gadis itu.
Dari jauh Johan dapat lihat adengan
mereka berdua. Dia sedikit hairan. Dia lihat gadis pujaannya, Nurul Ain seakan
sedang menangis, sementara anak saudara majikkannya pula seperti sedang memujuk
gadis itu. Apa yang telah berlaku antara mereka berdua ini? Dengan rasa ingin tahu
yang membuak, dia mendekat.
“Encik Ameer? Ain? Ada masalah ke?”
Nurul Ain yang menyedari kehadiran
Johan di situ lantas mengesat pipi yang basah. Namun, dia masih lagi tidak
mengangkat wajahnya.
“Err… Tak. Tak ada apa.” Ameer
Qalish tidak tahu hendak kata apa. Dia serba salah.
“Tapi…”
“Saya minta diri dulu,” Nurul Ain
pantas meminta diri. Dia malu sekiranya Johan melihat dia menangis disebabkan
kena marah.
Johan memandang Ameer Qalish dan
langkah kaki Nurul Ain silih berganti. Ameer Qalish cuba berwajah selamba
tetapi kelihatan gelisah. Bibir diketap. Dia tahu pasti ada sesuatu yang
disembunyikan oleh mereka berdua.
~*~*~*~*~*~
“Minah,
Ain mana?” tanya Johan sambil melabuhkan punggung di hadapan Aminah. Bekas
makanan yang dibawa sekali ke kantin ditolak ke tepi.
“Eh, Abang Joe. Hish… Abang Joe ni
kan, tak habis-habis cari Ain dia. Minah ni tak nak cari pulak. Balik-balik
Ain, balik-balik Ain,” omel Aminah merajuk dalam bergurau.
Johan ketawa. Dia tahu gadis itu
hanya bergurau.
“Minah dah ada dekat sini kan, buat
apa abang nak tanya lagi. Ain tak ada dekat sini. Sebab itu abang tanya. Yalah,
kau orang berdua ni kan macam belangkas. Mana-mana berdua.”
Aminah turut ketawa.
“Dia pergi toilet kejap. Sekejap lagi adalah dia tu. Abang ni takut sangat
gadis pujaan dia tu hilang. Abang Joe, takkan lari gunung yang dikejar,” ujar
Aminah menyindir jejaka itu. Dagu ditongkat sambil memandang Johan.
“Apa yang Minah cakap ni? Apanya
yang tak lari gunung dikejar? Abang tak fahamlah.”
“Eleh, tak faham ke… buat-buat tak
faham ni? Abang Joe, Minah tahulah abang ada hati dekat Ain. Dari cara abang
layan Ain macam ada apa-apa aje. Betulkan, abang sukakan Ain? Kan? Kan?” Aminah
menundingkan jari telunjuk di hadapan muka Johan. Mata dikecilkan.
“Syhhh… jangan cakap kuat-kuat.
Karang orang lain dengar, salah faham nanti. Memang abang suka Ain, Minah pun
abang suka. Kau orang berdua dah macam adik abang. Tak lebih pun,” ujar Johan
menyelindungi perasaan sebenarnya. Betul dia sukakan Nurul Ain tetapi segan
hendak mengakuinya.
“Eleh, tak payah nak
selindung-selindunglah, bang…”
“Dah. Tak payah cakap hal tu lagi.
Ni, tadi abang nampak Ain berbual dengan Encik Ameer. Abang nampak Ain macam
menangis tapi abang tak tahu kenapa. Minah tahu apa-apa ke? Dia tak ada cerita
apa-apa dekat Minah?”
Berkerut dahi Aminah. “Erk, tak ada
pula. Minah pun perasan mata dia bengkak. Minah tanya tapi dia kata tak ada
apa-apa. Minah pun malaslah nak tanya lebih-lebih. Tapi… ish, tak patut
betullah Ain ni. Berbual dengan bos hensem tak ajak orang. Huh!” Aminah menepuk
meja dan kembungkan pipi. Dia geram.
“Eh, tu Ain dah datang.”
Mata Johan dan Aminah terarah pada
langkah lemah Nurul Ain.
“Err… Abang Joe pun ada.” Nurul Ain mengambil
tempat disebelah sahabatnya. Serba salah dia hendak pandang lelaki di
hadapannya ini. Johan lihat kejadian tadi tetapi tidak tahu apa yang sebenarnya
terjadi.
Johan senyum nipis.
“Ain… Ain okey ke ni?”
Lelaki itu dipandang dengan dahi berkerut.
“Ain okey aje. Kenapa abang tanya
macam tu?” soal Nurul Ain balik sambil memandang Johan dan Aminah silih
berganti.
“Tak adalah, tadikan Ain dengan
Encik Ameer…”
“Tak. Tak ada apa-apa pun. Betul!
Kami bual tentang kerja. Yup, tentang kerja!” Nurul Ain berkata tegas. Sekali
gus mendiamkan Johan.
Nurul Ain pantas bangun membasuh
tangan. Sesudah itu dia duduk kembali ditempatnya. Tanpa menunggu masa, dia
mengeluarkan bekas makanan dari dalam beg kertasnya. Semua penutup bekas
makanan itu dibuka. Sebelum menggaul nasi di dalam bekas, dia memandang Johan,
kemudian Aminah. Dua insan itu diam sambil fokus pandangan ke arahnya.
“Err… kau orang kenapa tak makan ni?
Diet ke?” Selamba dia menyuap nasi ke dalam mulut. Tidak dipedulikan pandangan
mereka yang jelas masih bertanda tanya.
Melihat Nurul Ain, Johan faham
bahawa gadis itu tidak mahu mengulas tentang hal tadi. Dia diam dan tidak
mengungkit lagi soal itu. Bekas makanannya dibuka dan mula menjamah makanan
yang dibawa. Aminah juga begitu.
~*~*~*~*~*~
Aminah
menahan langkah Nurul Ain sebaik turun dari van pekerja.
“Ain, tolong ceritakan hal sebenar
dekat aku,” pinta Aminah tiba-tiba. Selagi dia tidak tahu cerita sebenar,
selagi itulah hati tidak tenteram.
“
Apa?”
Aminah menjulingkan mata ke atas.
Dia tahu sahabatnya itu bukan tidak faham, tetapi sengaja pura-pura tidak
faham. Dia menentang pandangan mata Nurul Ain. Kedua-dua belah tangan dicekak
ke pinggang.
“Ain! Jangan cakap kau tak faham
eh.” Jari telunjuk ditegakkan betul-betul di hujung hidung Nurul Ain.
“Apa halnya kau ni Minah? Aku
betul-betul tak fahamlah. Kau nak aku cerita tentang apa? Cuba cakap secara detail. Ini tiba-tiba aje,” rungut Nurul
Ain. Dia betul-betul tidak mengerti dengan kehendak Aminah.
Aminah mengeluh.
“Tentang kau dengan Encik Ameer, bos
sementara kita tulah. Apa dah jadi sebenarnya Ain? Janganlah rahsia-rahsia
dengan aku. Kau tahukan, aku ni tak boleh kalau orang nak berahsia-rahsia
dengan aku. Nanti aku tak boleh tidur malam tau.”
Nurul Ain ketawa. Tahu sangat dengan
perangai sahabatnya yang suka ambil tahu itu.
“Alah, tak ada apalah,” jawapnya
acuh tidak acuh. Dia mula melangkah semula. Malas dia hendak bercakap tentang hal
itu. Sungguh memalukan untuk diceritakan. Biar dia dan lelaki itu saja yang
tahu.
Aminah mengejar langkah gadis itu.
“Mana boleh tak ada apa-apa. Yang
mata kau bengkak macam baru lepas nangis Lepas tu Abang Joe kata tadi dia ada
nampak kau berbual dengan Encik Ameer, takkan tak ada apa-apa kot?” Aminah
masih tidak berpuas hati. Dia akan terus tanya dan tanya hingga Nurul Ain
cerita. Tangan gadis itu ditarik.
Terhenti lagi langkah kaki Nurul
Ain. Keluhan lepas juga. Tidak mahu cerita pun, tetap juga kena cerita. Aminah
akan terus mendesak sampai dia buka mulut.
“Okey… okey. Sebenarnya, aku tadi
ada buat salah. Kena marah.” Perlahan saja suara Nurul Ain.
Berkerut dahi Aminah. “Salah apa?
Encik Ameer marah kau?”
Nurul Ain mengangguk.
“Sebab aku keluar waktu kerja untuk
minum air tadi. Tak tahu pula tak boleh keluar sekejap. Dan, tak tahu kenapa,
masa kena marah tu aku rasa nak menangis. So, aku menangislah. Minah, yang ni
kau jangan cerita kat siapa-siapa eh. Malulah aku kalau orang tahu nanti.” Malu
dia mengakui. Jari kelingking dihulurkan kepada Aminah, gadis itu sambut dengan
jari kelingkingnya.
“Okey, janji. Sebab itu aje. Erk,
takkan sebab keluar minum air kejap boleh kena marah? Sebelum ni, tak ada pun
yang melarang. Encik Azhari pun tak kisah. Pelik.” Aminah mengetuk-ngetuk
bibirnya. Wajah Nurul Ain dipandang pelik.
Nurul Ain hanya angkat bahu. “Entah.
Mungkin Encik Ameer orang yang tegas kot. Terlalu berdisiplin mungkin.”
“Agaknya kot. Hmm, susahlah aku
macam ni…” Aminah berkata lemah.
Wajah Aminah dipandang. Dahinya
berkerut tidak faham. “Kenapa kau pula yang susah?”
“Susahlah aku nak pikat dia. Nampak
macam garang aje. Habislah aku nanti bila dah jadi bini dia. Mesti besar
telinga aku dengar dia membebel nantikan?”
Nurul Ain ketawa. Lucu mendengar
angan-angan sahabatnya itu yang tidak sudah-sudah.
“Kau ni ada-ada ajelah Minah. Dah,
jomlah balik. Dah nak maghrib ni. Risau pula mak abah kita kat rumah tu.”
Nurul Ain menarik tangan Aminah agar
seiring dengannya.
“Tapikan Ain… Kenapa aku rasa Encik
Ameer tu semacam erk?” kata Aminah tiba-tiba. Untuk sekian kalinya, terbantut
lagi langkah kaki Nurul Ain.
“Semacam? Maksud kau?”
“Dia macam suka kaulah Ain,” ujar
Aminah dengan wajah serius.
“Apa kau merepek ni Minah oii? Kena
sampuk jembalang petang ke apa ni?” Sungguh dia terkejut mendengar kata-kata
sahabatnya itu.
“Betul. Aku rasa Encik Ameer tu macam
ada something aje dengan kau. Kau nak
tahu tak? Masa waktu kali pertama perjumpaan secara rasmi dengan dia, aku
perasan mata dia asyik dekat kau aje. Kau tak perasan ke?”
Itu lagi membuatkan Nurul Ain
terkejut. Betul ke begitu? Dia tidak perasan langsung pun lelaki itu
merenungnya. Ah, perasaan Aminah saja tu. Mungkin Encik Ameer pandang orang di
sebelah atau di belakangnya.
“Eh, mana adalah. Agaknya kau salah
tengok kot. Dahlah, biarlah dia nak tenung siapa pun. Mata dia. Tak ada kena
mengena dengan kita.”
“Hmm, entahlah. Tapi, perasaan aku
kuat mengatakan ada something dengan
Encik Ameer tu. Tapikan Ain, aku tak kisah punlah dia suka kau. Kalau kau dengan
Encik Ameer, biar aku ambik Abang Joe. Hensem juga. He… he… he…” gurau Aminah merepek
dengan ketawa gatal.
Nurul Ain tepuk lengan Aminah.
“Gatal! Dah, tak payah nak berangan
sangatlah. Kalau nak bercinta bagai tunggu lepas habis belajar ya Cik Aminah
sayang. Sekarang belum masanya lagi. Sekarang ni, jom balik!” Sekali lagi
tangan Aminah ditarik. Laju langkahnya, begitu juga Aminah.
Encik Ameer sukakannya? Hish,
merepek sungguhlah Aminah ini, omelnya dalam hati.
~Assalammualaikum reader blog serabut ira! Jemput la baca sambungan DBH erk. Sila drop komen di bawah kalau sudi. Komen je, ira tak marah @ kenakan tol. hehe. Maaf kalau ada kekurangan. Enjoy readingg! ^_^
6 ulasan:
Nak lagi....bestla1hehe.akak ni bekas pekerja kilang pun xpandai nak buat cerita macam ni tau.hehe.xde gmbr ameer ke?
hehehe..arigato akak! Ira pn pernah kerja kilang lepas SPM. Ada pgalaman skit tulis tu yg tulis tu. Malas nak cari gambar sbb tu la x letak. hehehehe
Oit.bukan dulu akak dah crikan ke?????
ada, ira dah terbuang masa kemas fail dlm lappy ni...hehehe
BEST... cepat sambung :)
Tq kak thanusya sudi baca.. nt ira smbg lg erk..hehe
Catat Ulasan