Khamis, 13 Mac 2014

Cinta Mat Rock (Part 3)



Mat Rock sudah pening-pening lalat memikirkan baju yang akan dipakai nanti. Dia membuka seluas mungkin pintu almari. Dia menggaru tengkuknya. Kebanyakkan di dalam almarinya adalah bajuT lambang tengkorak dan seluar jeans koyak di lutut. Kalau baju kurung cekak musangnya adalah. Tapi… Sesuai ke untuk dipakai untuk jumpa awek? Ek eh, nampak macam nak nikah pula berbaju melayu bagai. Adoi… manalah dia reti hal-hal ini semua. Sebelum ini tidak pernah pula mana-mana minah ajak dia keluar. Inilah kali pertama seumur hidupnya. Pelik bin ajaib. Sepatutnya dia yang mengajak, ini sudah terbalik.

“Apa gua nak pakai ni? Bab-bab macam ni, gua memang ke laut jawapnya. Selalu main hentam taram aje,” Mat Rock berkata dengan dirinya sendiri.

 Lantas dia menarik keluar sehelai bajuT berwarna hitam. Di hadapannya terdapat gambar gitar dan tengkorak. Kemudian, dia menarik keluar sehelai jeans hitam dari lipatan pula. Kedua-duanya disusun ke atas katil bujang dan di cuba melihat kesesuaian kombinasi dua pakaian itu.

“Atas bawah hitam. Dah la malam. Kulit gua dahlah mambang hitam. Ada pulak Dora tak nampak gua kejap lagi. Hish, tak boleh… tak boleh.” Komennya.

Mat Rock mengeluarkan beberapa helai lagi baju dan seluar. Namun, semua dilihat tak sesuai untuk dikenakan. Habis seluruh biliknya berselerak dengan baju dan seluar sehingga tak ada lagi ruang untuk berjalan. Almarinya juga telah kosong kerana semua isinya dikeluarkan.

“Aduyai… Satu apa pun gua belum tentukan. Ada karang si Dora datang, gua tak siap lagi. Kusut kepala!” Bingung dia jadinya.

Tuk! Tuk! Tuk!

“Masuk. Pintu tak kunci!” jeritnya dari dalam.

Tombol pintu dipulas dan ditolak ke dalam. Terbeliak biji mata Kak Moon mengerling sekeliling bilik. Menganga mulutnya. Sepahnya! Ini bukan dilanda tsunami lagi. Ini… ini... Arghh! Tak tahu nak kata apa.

“Astaghfirullah al azim… Dik, apahal dengan bilik kau ni? Sepah! Kalah tongkang pecah!” Kak Moon mengutip baju-baju adiknya yang bergelimpangan di lantai. Baju-baju itu diletakkan ke atas katil. Kemudian, dia melabuhkan punggung di sisi Mat Rock.

“Ni… Apa pasal tak siap lagi? Karang kena tinggal nanti dengan Dora. Haa… melepas nanti!” Paha Mat Rock ditepuk lembut.

“Kak… Gua dah buntu nak pakai baju apa. Lu tengok sendir, baju-baju gua semua rockers. Mana sesuai buat pergi dating dengan awek. Dora dahlah elit, gua ni…” terhenti kata-katanya. Merasa rendah dirilah pula.

“Lah… Itu pun pecah kepala fikir. Pakai la apa pun yang senonoh. Jangan kau keluar pakai ‘adik-adik’ kau aje, sudah!” ujar Kak Moon dengan selambanya. Di hujung kata dia ketawa.

“Kak, lu ni buat lawak tau tak. Tak membantu langsung,” marahnya. Gua dah la pening, Kak Moon boleh pulak buat lawak antarabangsanya. Haish…

Kak Moon menutup mulutnya menahan tawa. Takut nanti adik kesayangannya ini berkecil hati pula. “Okey… Okey. Bro, lu tunggu sini kejap. Gua nak masuk bilik.” Dia bangun dan berlari keluar dari bilik adiknya. Sepuluh minit kemudian, dia kembali memasuki bilik bujang milik Mat Rock. Di tangannya ada sehelai seluar slack hitam, sehelai kemeja lelaki jalur-jalur dan siap digantung tie berwarna merah hati. Pakaian itu diberikan kepada Mat Rock.

“Pakai yang ni. Sesuai kot.” Kak Moon mengacukan baju kemeja itu ke badan adiknya.

“Gua nak pakai baju Abang Saiful ni? Kak, lu biar betik?”

“Ha’ah la. Baju macam ni la sesuai.”  

“Kak, gua ni mat despatch aje. Bukan mat teacher macam Abang Saiful, suami lu tu. Nak pakai kemeja bertie bagai. Adeh…”

“Apa pulak? Sesuailah. Pakai macam ni baru sesuai untuk menghadiri candle light dinner. Wah… Dik, akak boleh bayangkan macam mana nanti korang berdua jalan bergandingan. Mesti macam pasangan kekasih yang romantik!” Teruja sungguh Kak Moon. Mengalahkan adik dia. Tak sabar rasanya nak melihat Mat Rock dan Isadora bersatu. Inilah kali pertama dia melihat adiknya keluar bersama dengan seorang gadis. Sebelum ini, jangan haraplah. Dan, dia tahu Mat Rock suka dengan si gadis bermata hazel itu. Cara adiknya semalam melayan gadis itu saja dia sudah tahu.

Mat Rock menepuk dahinya. Ting tong sungguh kakaknya seorang ini. Dia baru saja nak keluar dengan Isadora. Kakaknya ini sudah jauh berfikir pula. Dia dan Isadora pasangan kekasih? Mimpi sajalah. Mana si Isadora itu nak dengan rockers macam dia ini. Tetapi, kalaulah sudah tertulis jodohnya dan anak mak saleh itu, dia terima dengan senang hati dan suka hati. Hehe…

“Apa tercongok lagi tu? Pergilah tukar baju. Lambat pulak nanti,” gesa  Kak Moon lantas menarik tangannya. Mat Rock akur, berdiri. Dia memandang kakaknya yang masih tercegat di dalam biliknya dengan dahi berkerut.

“Kenapa?” soal Kak Moon sambil menjongket kening.

“Akak, keluarlah dulu. Macam mana gua nak salin baju.”

“Ek eh, terlupa pulak. Haa, cepat bersiap.” Kak Moon menyengih. Dia terus berlalu meninggalkan adiknya. Pintu ditutup rapat.


~*~*~*~*~*~


Tok! Tok! Tok!

“Mat, dah siap ke? Dora dah ada dekat bawah tu,” laung Kak Moon dari luar bilik. Bersolek ke apa adik aku seorang ini? Lama benar bersiapnya, desis hatinya. Pintu bilik si adik diketuk lagi. Tiada respon.

Kak Moon memulas tombol pintu bilik adiknya yang tak berkunci itu. Pintu dibuka seluas-luasnya. Sewaktu itu Mat Rock sibuk memperbetulkan tie pada lehernya. Berkerut-kerut dahi adiknya itu bagai menanggung masalah besar.

“Dah siap?” tegurnya.

Mak Rock lantas menoleh. Badannya juga dikalihkan berhadapan Kak Moon. Serta merta membuntang biji mata kakaknya. Sekali pandang Kak Moon macam hendak menghamburkan tawa dengan jari jerami menutup bibir. Kenapa dengan dirinya? Rasanya tiada apa yang pelik. Mat Rock menggaru-garu kepala.

“Aduhai… Mat. Pesyen apa kau pakai tie ni, dik. Tak pernah dibuat orang.” Tergeleng-geleng Kak Moonnya. Mana tidaknya, Mat Rock mengikat tali leher dengan ikatan yang entah apa-apa. Bergumpal-gumpal jadinya. Dia terasa ingin benar ketawa, namun segera ditahan. Baju sudah elok. Rambut pula sudah diikat kemas. Tengok tali leher… Hampeh. Lantas dia merapati Mat Rock dengan wajah berkerut itu.

“Gua manalah reti pakai benda alah ni, kak…” rungutnya. Hampir saja dia ingin naik angin disebabkan tali leher ini. Sepanjang dia bekerja sebagai penghantar surat, tak pula dia mengenakan tali leher bagai. Haish… Leceh juga hendak keluar bersama awek cun ni.

“Meh sini, akak tolong.” Tali leher yang diikat Mat Rock kembali dirungkaikan. Kemudian, diikat semula dengan kemas dan betul. Dia sudah biasa mengikat tie. Setiap pagi dialah yang mengikatkannya di leher sang suami. Kak Moon tersenyum memandang adiknya.

“Kalaulah… arwah ayah masih ada. Pasti dia bangga dengan Mat,” bisik Kak Moon perlahan. Sendu nadanya. Manik jernih yang menitis ke pipi segera diseka dengan jari.

Mat Rock turut berasa sendu. Namun, segera dia membuang rasa itu. Dia tak mahu terus bersedih meratapi pemergian abah mereka lima tahun dahulu. Dia yang lebih rapat dengan arwah abah berbanding Kak Moon. Pastilah dia lebih terasa dengan pemergian abahnya. Kesedihan itu disimpan saja dalam diri.

“Kak… apa ni. Tak syok la sedih-sedih macam ni. Tak rock maa…” Mat Rock mencuit dagu kakaknya.

Kak Moon ketawa dalam esak. Dia tahu Mat Rock juga sedih, namun dia pandai menyorokkan perasaannya. Mat… Mat.

“Dah, jom turun!”

Mat Rock terus menarik tangan kakaknya keluar dari bilik bujangnya. Dia menyabarkan hati walaupun ada rasa getaran di dada. Getar kerana sebentar lagi dia akan bertemu dengan Isadora.


~*~*~*~*~*~


“Mat, kenapa senyap aje?” tegur Isadora mengerling ke arahnya seketika. Kemudian dia fokus semula pada pemanduan.

Mat Rock menggaru kepalanya. Sebenarnya dia benar-benar berasa kekok apabila bersama dengan anak mak saleh ini. Ini kali pertama dia keluar bersama seorang minah, sudah tentu-tentunya ada rasa kekok. Apatah lagi minah di sebelahnya ini cun melecun!

“Haa? Err… Gua tak tahu nak cakap apa.”

 Mat Rock sebetulnya juga segan dengan gadis ini. Sudahlah minah ini berniat nak membelanjanya, pergi dan balik pun dia yang ambil. Kalaulah dia pandai naik kereta sudah pasti dia yang mengambil Isadora. Ini, dia cuma punya lesen motor saja. Takkanlah hendak membonceng minah cun ini naik motor buruknya pula. Buat jatuh saham!

Isadora senyum. Dia tahu Mat Rock sedang tidak selesa. Dari tadi asyik pandang luar saja. Mungkin segan dengannya, tebak hatinya.

“Ermm… Mat, Dora nak tanya boleh?” Isadora memancing Mat Rock agar berbual dengannya. Dia tak mahu mereka hanya diam saja.

“Lu nak tanya apa Dora? Tanya la.” Mat Rock memberanikan diri merenung Isadora walau seketika cuma.

“Sebelum ni…  Dah berapa kali Mat date dengan gadis lain?”

Demi mendengar pertanyaan itu, terkeluar ketawa rock Mat Rock. Soalan minah itu sungguh lucu baginya.

“Hai… Dora, gua mengaku ni adalah kali pertama gua keluar date dengan anak dara orang. Siapalah yang nak gua yang rockers ni. Muka harem… tak ada. Pokai aje selalu.” Mat Rock tidak segan mengakui kekurangan dirinya. Mana ada gadis hendakkan dia. Kecuali anak pak saleh mereng tu!

“Ya ke? Mat tipulah!” Walaupun agak musykil namun dalam hati Isadora gembira.

“Betul! Tak guna pun gua nak tipu lu Dora. Bukan dapat duit pun.”

Isadora menyimpan senyum.

“Takkan tak ada sorang pun yang suka dekat Mat? Macam tak percaya aje.” Minah itu mengecilkan mata ke arahnya.

“Ada…”

“Haa? Ada?” Membuntang mata Isadora. Baru saja hatinya berasa gembira kini disapa bimbang.

 Mat Rock mengangguk laju dengan lurus bendulnya.

“Yup, ada. Tapi gua malas nak layan.”

“Kenapa? Siapa?” Isadora teringin hendak tahu. Pengakuan Mat Rock itu bagai ada ais menyimbah ke hatinya.

Mat Rock menjungkit bahu. “ Mona anak Pak Saleh. Duduk dekat kawasan taman gua juga. Gua tak ada hati pun dekat dia. Pasal dia bukan spesies yang gua suka kot.”

Isadora memberhentikan keretanya apabila lampu trafik menunjukkan warna merah.

“Err… Macam mana agaknya kreateria spesies gadis yang Mat suka?” Isadora bertanya lagi. Dia cuba mengorek rahsia perempuan idaman Mat Rock.

Mat Rock menggaru kepala. Lain macam pula dia rasa apabila Isadora menyoalnya dengan soalan sebegitu. Macam ada udang di sebalik mee!

“Gua ni siapalah nak pasangan hidup yang bagaikan bidadari. Gua cuma orang biasa, rocker! Jadi, minah pilihan gua hanya seorang yang biasa-biasa, faham diri gua macam mana dan terima gua seadanya. Gua suka seorang yang simple, tak perlulah menggedik. Spesies gedik awal-awal lagi gua reject! Itu aje.” Mat Rock kembali memandang ke luar tingkap.

Tersungging sebaris senyuman di bibir Isadora tanpa disedari Mat Rock.

“Jangan risau, Dora tak gedik,” bisiknya perlahan dan tidak didengari mamat disebelahnya ini.

“Dora, lu ada cakap sesuatu ke?” Macam dia terdengar minah ditempat duduk pemandu ini berkata-kata. Namun, kurang jelas.

“Tak… Tak ada apa.” Nafi Isadora. Dia menyengih sambil menayang sebaris gigi putih kepada Mat Rock. Dia kembali menggerakkan kereta setelah mendapat isyarat lampu hijau.

“Oh…” Mat Rock sudah tak terkata. Sekali lagi dia melarikan pandangan. Tak sanggup nak merenung Isadora yang tersengih. Sengih, sengih pun cun!


~*~*~*~*~*~


Mat Rock kelihatan gelisah duduk di set kerusi dan meja untuk dua orang makan yang dihias cantik. Matanya melilau mengelilingi restaurant mewah dan ekslusif ini. Gerun pula rasa hatinya berada di dalam ruang yang mewah ini. Mat Rock meneguk laju air liur. Terasa kesat di kerongkong. Tentulah mahal harganya makanan di sini. Orang-orang yang sedang makan di ruang yang sama juga kebanyakkanya golongan elit. Aduh, gua dah tentu tak mampu! Kopak! Kopak! Bisik hatinya. Dia tak biasa dengan keadaan ini. Dalam hati sudah pasang niat mahu mengajak Isadora keluar. Makan dekat kedai mamak lagi best dari di sini!

Tie yang dia rasakan menyekat pernafasan beberapa kali dilonggarkan. Matanya masih melilau sana sini. Isadora di hadapannya kelihatan hairan dengan tingkah Mat Rock. Dia kelihatan gelisah dan tak senang. Dan, matanya asyik memandang ke arah tie yang asyik digoyangkan mamat itu. Mat Rock kelihatan segak apabila mengenakan kemeja dan tie. Seolah-olah dia adalah staff pejabat saja.

 "Adoyai… Pakai benda alah ni dah macam lembu kena tambat pulak,” rungut Mat Rock sendirian dan tak didengari Isadora.

“Mat, kenapa? Macam tak selesa aje.” Tegur Isadora dengan suara perlahan.

“Haa? Err… Tak adalah,” Mat Rock menafikan rasa tak selesanya sejak dari masuk ke sini lagi.

 “Kenapa ni? Cakaplah dengan Dora,” desak Isadora.

Mat Rock memandang tepat ke mata minah di hadapannya ini. Hish, takkan gua nak cakap yang gua tak selesa giler duduk dekat sini kot? Kesian Dora. Beria-ia ajak gua makan kat sini.

“Tak ada. Gua cuma rasa tak selesa. Sebab… sebab pakai tie bagai ni. Rasa macam kena cekik aje.”

Isadora ketawa kecil.

“Mat, tak apa kalau Mat nak buka tie tu. Kitakan cuma nak makan aje. Bukan pergi majlis formal.” Isadora cuba menenangkan Mat Rock.

“Boleh ke?” tanya Mat Rock dungu.

Minah itu mengangguk sambil tersenyum. Tanpa menunggu lama Mat Rock terus merentap tie yang tergantung di lehernya tadi dan dia sangkut di tempat sandar kerusinya.

 “Fuhh… Tadi rasa macam lembu pulak kena ikat kat leher. Ini cadangan Kak Moon la ni. Dia yang suruh gua pakai tie bagai. Kononnya, sesuai hadiri candle light dinner. Rimas!” rungutnya. Lega rasanya apabila lehernya bebas. Senang sikit nak bernafas. 

Lebar senyum Isadora melihat keletah mamat di hadapannya ini. Pelayan mendekati mereka. Kelihatan pelayan ini segak mengenakan seragam lengkap restaurant berdiri di sebelahnya. Sebuah buku menu diletakkan di hadapan Mat Rock dan sebuah lagi di hadapan Isadora. Mat Rock membuka buku menu dengan teragak-agak. Sekali lagi dia meneguk liur. Dia langsung tidak faham apa yang tertulis di permukaan buku keras itu. Semuanya berbahasa inggeris.

‘Aduyai… Ini bukan negara omputih pun menu nak bahasa inggeris. Apa yang dia tulis ni? Gua sikit pun tak faham. Ish… ish…’

“Mat nak order apa? Order aje apa yang Mat nak. Jangan segan-segan.”

Mat Rock mendongak.

“Err… Lu order la apa-apa Dora. Gua ikut aje.” Terus dia menutup buku menu.

Seketika Isadora bercakap-cakap dengan pelayang restaurant. Si pelayan terangguk-angguk sambil mencatit di buku kecilnya. Setelah itu, barulah pemuda berkot hitam berlalu. Sempat juga Isadora melemparkan senyuman kepada pemuda itu.

“Mat nak tahu tak… Dora suka makan kat sini. Beef steak dia sedap tau. The best!” ujarnya dengan riak gembira dan menegakkan dua ibu jarinya. Mana tak gembira, jejaka yang berjaya mencuri hatinya ada di depan mata.

 “Oh… Err… Gua apa-apa pun sedap Dora. Tolak batu dengan kayu aje. Dah lu beria kata sedap, mesti lagi ekstra sedapnya makanan tu.” Di hujung kata Mat Rock ketawa kecil. Sebenarnya dia sendiri tak tahu bagaimana rupa lauk ‘Beef steak’ tu. Apekebenda pun gua tak tahu. Telan aje la Mat!

Terdengar tawa keluar dari mulut minah yang ralit merenungnya.

 “Mat ni kelakar la. Ada-ada aje nak buat Dora ketawa.”

 “Ya ke?”

“Ha’ah… Belum pernah lagi tau, Dora berjumpa dengan seorang kenalan lelaki yang berjaya membuatkan diri ni ketawa setiap masa. Sebelum-sebelum ni biasa aje. Dora lagi suka orang yang ceria macam Mat. Walaupun Mat nampak kasar sikit, Mat jadi diri sendiri dan bukan seorang yang terlalu jaga setiap gerak geri bila bersama dengan Dora,” ujar Isadora bersahaja.

“Jadi sebelum ni lu pernah bercinta?” Entah kenapa dia rasa tertarik untuk bertanya.

Jujur minah itu mengangguk. “ Pernah. Tapi kata orang lebih kepada cinta monyet. Bukan serius pun.” Isadora senyum lagi.

Mat Rock sudah membuka mulut semula hendak bertanya lagi, namun kehadiran pelayan menghidangkan pesanan membantutkan niatnya.

“Yummy… yummy!” Isadora mengerling seketika sebelum fokus pada hidangannya. Dia senyum manis. Garfu dan pisau pemotong steak dicapai. Dia mula memotong daging kepada kepingan kecil dan menyuapnya ke dalam mulut.

Mat Rock hanya memandang dengan dahi berkerut. Makanan apa ni? Hitam aje.

Try la… Sedap tau.” Berselera sekali Isadora menyuap hidangan itu ke mulut dan mengunyah.

Mat Rock hanya mengangguk dan senyum. Dia mencapai garfu dan pisau. Dia cuba menghiris pisau ke daging namun tidak juga terhiris. Dicuba lagi, juga tidak berjaya menghiris daging itu. Liat sungguh! Apa dia orang guna daging import dari gunung Sahara ke? Ke kiri, ke kanan jadinya makanan itu. Pisau steak ditilik. Macam tak tajam aje pisau ni?

Isadora yang perasan dengan keadaan itu, lantas menegurnya.

“Mat, boleh tak?” Nampak susah benar Mat Rock menghiris steak.

“Boleh… Boleh. Cuma liat sikit,” ujar Mat Rock, menyengih.

“Kalau susah, sini Dora tolong potongkan,” pelawa Isadora seraya sudah mahu mengambil pinggan mamat itu. Namun, pantas Mat Rock menolak. Segan pula dia.

 “Eh, tak apa. Gua boleh buat. Lu sambung la makan tu.”

 “Tak apalah. Dora tak kisah. Kesian Mat, susah nak potong daging tu.”

“Gua boleh buat. Tak apa… Dah, lu sambung balik.”

Mat Rock mencuba lagi, namun begitu susah sekali. Dia sudah  fade up dengan makanan itu. Pantas dia meletakkan garpu di tepi pinggan. Susah sangat kan… Ni, gua makan cari Melayu sejati! Tanpa mempedulikan mata yang memandang, Mat Rock terus mengoyakkan steak dengan tangan dan memasukan ke dalam mulut dengan selamba. Langsung dia tidak mengambil pusing mereka-mereka yang memandang jengkel. Ah, suka hati gua la! Dia terus makan dengan cara begitu. Sedap juga makanan ni walaupun hitam, pujinya dalam hati.

Isadora lucu melihat cara Mat Rock makan. Lantas ketawanya lepas. Mat Rock begitu berselera sekali menikmati beef steak yang dipesannya. Comot di tepi mulutnya pun dia tidak sedar. Isadora menarik kain pengelap yang disediakan pihak restaurant di pahanya. Pantas dia mengelap tepi mulut Mat Rock. Ramai mata yang memandang, dibiarkan saja. Dia tahu mereka semua itu jengkel dengan cara mamat di hadapannya ini. Biarlah, dia langsung tidak kisah. Janji Mat Rock jadi dirinya sendiri dan tidak hipokrit. Dia paling benci dengan orang yang hipokrit!

“Err…” Terpaku Mat Rock di saat itu. Terus terbantut seleranya. Mata mereka saling berpandang. Bagaikan ada arus elektrik! Sesaat dua barulah mereka sedar. Cepat-cepat Mat Rock melarikan pandangannya.

“Hmm… Dora cuma nak lapkan tepi mulut Mat yang comot tu.” Cepat-cepat juga Isadora duduk kembali ke tempat duduknya. Dada berdegup kencang sewaktu matanya bertembung dengan anak mata Mat Rock.
 
“Terima kasih,” ucapnya perlahan. Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling dia tunduk menikmati hidangannya semula. Berlakon khusyuk mengunyah padahal hati tak keruan. Dia sudah tak mampu hendak berkata apa. Alah, segan pulak gua!

Isadora juga begitu. Kembali menikmati hidangan yang sudah hilang nikmatnya. Rona merah di pipi cuba dikawal sebaik mungkin. Akhirnya, masing-masing makan dalam keadaan diam tanpa suara. Hanya sesekali apabila bertembung mata, mereka hanya berbalas senyum.


>> Assalam semua! Adeh, dah lama x up apa2 kat blog ni. Busy sangat gamaknya. Hehe. Maaf ye kalau ada kekurangan. Drop komen dkat bawah kalau sudi, insyallah ira akan perbaiki lagi penulisan ira. Apa2 pun enjoy reading! ^_^