Rabu, 2 April 2014

Dengarlah Bintang Hatiku... (Part 2)


Rungutan Nurul Ain dibawa sehingga ke rumah. Semua berkisah tentang kejadian tadi. Wajahnya masam mengalahkan asam kedondong sahaja. Geramnya masih memuncak. Yalah, disebabkan orang lain tidak berhati-hati dia pula yang terkena tempiasnya. Siapa tidak marah. Huh!

“Assalammualaikum.” Dia memberi salam kepada ibu yang menunggu di hadapan ambal pintu. Wajahnya masih juga mencuka dan mulutnya muncung. Plastik di bakul basikal diambil dan dia melangkah ke arah wanita kesayangannya itu.

Berkerut dahi ibu melihat keadaan anaknya. Kenapa dengan Nurul Ain? Baju berpeta bagai terkena percikan air berwarna coklat. Corak itu jelas di penglihatannya. Wajah masam anaknya semakin membuatkan dia tertanya-tanya. Apa sudah jadi?

“Wa’alaikumsalam. Err… Kenapa dengan baju Ain? Jatuh masa bawak basikal tadi ke?” Kedua-dua bahu anaknya dipegang kejap. Atas ke bawah penampilan anaknya ditilik. Mana tahu ada cedera di mana-mana.

 “Tadi, bu… Adalah mamat ni bawak kereta macam pelesit. Selamba aje dia langgar lopak air. Sampai terpercik dekat Ain, bu…” adu Nurul Ain pada ibunya.

“Lah, ya ke? Ya Allah… Kesian anak dara ibu. Mungkin dia tak sengaja tu.” Ibu tidak mahu bersangka buruk.

 “Tak sengaja apanya, bu. Bawak kereta tak tengok kiri kanan. Main langgar aje. Tengok, Ain yang kena,” bentaknya kesal lalu berpeluk tubuh. Geram sungguh dia dengan lelaki itu tadi. Sudahlah bersalah, selamba sahaja wajahnya. Grr…

 “Dah… Dia tak sengaja tu, sayang.” Ibu menenangkan si anak.

 Nurul Ain mengeluh. Mana boleh dibiarkan sahaja orang sebegitu. Ibu sememangnya berhati lembut dan mudah memaafkan. Tapi, dia? Hmm… Hailah, Nurul Ain. Sedangkan nabi pun ampunkan umatnya. Apatah lagi kau hamba Allah yang biasa dan kerdil ini.

“Orang tu ada minta maaf dekat Ain tak? Kalau ada maafkan saja sayang. Dia bukan sengaja pun. Kalau tak ada pun, ikhlas maafkan juga. Tak baik simpan marah lama-lama. Takut nanti jadi bara api dendam pula. Tak baik, sayang,” ibu memberi nasihat kepada anaknya.

Nurul Ain menunduk. Terkesan juga hatinya dengan nasihat diberikan ibu. Betul, tadi lelaki itu ada meminta maaf padanya. Namun, dia masih tidak memaafkan lagi kerana diri sudah dikuasai amarah. Seusai dia ‘mencuci’ lelaki itu tadi, dia terus berlalu begitu sahaja. Panggilan itu pun tidak diendahkan. Malah dia spontan menjelirkan lidah pada lelaki itu. Ditambah juga dengan jelingan mautnya.

Ya Tuhan… Jahat betul kau Nurul Ain. Tidak baik kau buat dia begitu. Barulah dia tersedar kesalahan yang telah dia lakukan tadi.  Nurul Ain… Nurul Ain. Mudah sungguh diri kau dikuasai syaitan laknatullah. Makhluk terkutuk itukan suka melaga-lagakan hamba Allah diantara satu sama lain. Hish! Syaitan… shuh… shuh!

“A… ada, bu,” tersekat-sekat nadanya mengakui.

“Ikhlas, maafkan saja. Ya, sayang?” Ibu menggenggam jari jemarinya. Mata anaknya itu ditenung. Penuh mengharap.

Nurul Ain mengangguk dan senyum.

‘Awak, yang saya tak tahu nama. Saya maafkan kesalahan awak tadi. Ikhlas. Tapi lain kali… Jangan buat lagi!’ bisik hati Nurul Ain walau dia tahu kata-katanya ini bukan pun didengari oleh lelaki itu.  Tetapi tiidak mengapalah, janji dia ikhlas memaafkan. Kosong, kosong.

“Hmm… Ibu, Ain masuk dululah. Nak mandi kejap. Nanti lepas mandi Ain tolong ibu dekat dapur eh,” janjinya. Setiap kali hari cuti dia rajin membantu ibunya. Kasihan ibu selalu masak berseorangan.

Sebelum meminta diri, Nurul Ain menyerahkan plastik di tangannya kepada ibu.

“Hmm… Yalah.” Ibu mengangguk dan tersenyum padanya. Nurul Ain sememangnya seorang anak yang rajin! Sejuk perutnya.


~*~*~*~*~*~


Ameer Qalish tidak dapat melelapkan mata. Berkali-kali dia mencuba untuk menutup mata namun tetap juga tidak berhasil. Dia menyandarkan tubuh pada kepala katil. Kedua-dua belah tangan dibawa ke tengkuk. Jam di dinding menunjukkan angka dua belas. Matanya tetap juga celik. Wahai mata… Kenapalah susah sangat hendak lelap.

Dalam pada fikirannya merayau-rayau memikirkan soal kerja. Tiba-tiba otaknya mengulang tayang situasi pagi tadi. Situasi di mana dia secara tidak sengaja melanggar lopak air sehingga terpercik ke gadis itu. Sewaktu itu dia benar-benar tidak sengaja dan tidak tahu akan terjadinya insiden seperti itu. Ini semua gara-gara dia sibuk berbual di talianlah. Dalam pada marah, gadis itu nampak comel dengan wajah kemerah-merahan. Dia sangat tertarik untuk merenungnya.

‘Cantik sungguh dia,’ puji dalam diam. Keayuan gadis tidak diketahui namanya itu semakin terserlah apabila dia mengenakan tudung. Kecantikkannya adalah  kecantikkan yang asli tanpa sebarang solekan. Manis di matanya. Siapakah dia? Apa namanya? Dan… anak siapa? Persoalan itu berlegar-legar di segenap ruang fikirannya.

“Ya Allah… teringatkan dia membuatkan hati aku jadi tak tenang. Dup dap dup dap. Teringatkan dia aku menjadi semakin tertanya-tanya siapakah dirinya. Ya Allah, apakah kau hadirkan rasa ini untuk si dia? Dia yang aku tidak tahu namanya dan asal usulnya.”

Wajah itu semakin membayanginya. Dia tersenyum sendiri. Aduhai, Am apa kau sudah gila bayang? Ah, mana mungkin! Baru sekejap saja bertemu, takkanlah kau boleh jatuh suka. Merepek! Sedang dia sibuk mengelamun, Iphone 4nya berdering. Segera dia mendapatkan gajet itu di atas meja sisi katilnya. Skrin ditilik. Terpapar nama ‘ISMA’ di atasnya. Keluhan berat lepas. Dengan rasa berat dan malas akhirnya butang hijau ditekan juga. Gajet itu ditekap ke telinga.

 “Sayanggg…” Seru suara manja lagi gedik di hujung talian. Mahu sahaja dia mematikan talian. Namun, demi menjaga hati terbantut niatnya.

“Assalammualaikum,” ucap Ameer Qalish.

 “Err… Wa’… alaikumsalam,” jawap suara disebelah sana lambat-lambat.

“Hmm…” balasnya acuh tidak acuh.

“Sayang… Malam ni teman I pergi clubbing? I ambil you okey,” pujuk si gadis bersuara manja lagi.

 Buat kali entah ke berapa, keluhan lepas dari mulutnya.

“Isma, you ni tak faham ke? Kan I dah tak pergi tempat-tempat macam tu.” Keras suara Ameer Qalish mengingatkan pemanggil di sebelah sana.

Kalau dulu memang iya dia sering pergi ke tempat sarang maksiat seperti itu. Sekarang dia sudah insaf dan menjadi Ameer Qalish yang baru. Bukan lagi Ameer Qalish yang jahil seperti dahulu dengan perempuan keliling pinggang. Entah berapa ramai yang menjadi teman wanita sementaranya. Semua diputuskan setelah puas mereka berseronok. Ismalah paling setia dengannya. Namun, setelah dia mengambil keputusan untuk berubah, dia dan Isma telah pun putus. Cuma Isma sahaja yang sibuk mengejarnya dan tidak berputus asa memujuknya ke lembah yang sudah lama ditinggalkan.

 “Am, you cuma temankan I aje pun. Bukannya I suruh you pergi minum ke apa.  Just, teman I pergi clubbing dan menari dengan I. Sayang… Kita dah lama tak have fun bersama.” Isma tidak berputus asa memujuk.

“Isma you faham tak! Yang I takkan dah pergi tempat macam tu. You jangan nak paksa I!” Marah Ameer Qalish. Susah hendak memahamkan orang yang tidak reti bahasa ni.

“Sayang, pleaseee…” rayu si gadis itu lagi.

Ameer Qalish menggeleng sendiri.

 “Sudahlah Isma… Jangan ganggu I. I nak lupakan zaman jahiliah I dulu.” Lembut sedikit suaranya memohon pengertian dari Isma. Dia sudah tidak mahu ingat lagi kisah silamnya. Penuh dengan noda hitam.

 Terdengar keluhan berat di hujung talian. “Sayang, I tak percaya you boleh berubah seratus peratus jadi orang baik. I tahu dalam hati you, jiwa you masih ada Am yang I kenal dulu. Am yang lincah dengan aktiviti malam dan clubbing. Come on, sayang. Kita sepatutnya enjoy puas-puas masa muda ni. Nanti bila dah tua, you takkan dapat nikmati hidup macam ni lagi. You dah jadi lemah selemah lemahnya. So, masa nilah nak joli!”

Yes. Isma, I mengaku dulu I jahat. Langgar hukum hakam. Tapi, sekarang I dah berubah. Tolonglah faham. Dan… Sepatutnya you pun kena bertaubat dan insaf sama. You kena ingat bahawa nyawa kita boleh ditarik setiap masa. Kita hanya pinjaman oleh-Nya. You nak mati dalam keadaan memalukan? Dalam keadaan you tak sempat bertaubat?” Ameer Qalish memberi sedikit nasihat kepada gadis yang pernah mendampinginya sewaktu dahulu. Mereka pernah sekatil waktu itu dan dia amat menyesal dengan perbuatannya yang tidak bermoral. Waktu itu dia tahu, melakukan hubungan dengan bukan mahram adalah berdosa besar. Namun, dia melupakan itu semua semata-mata gelap mata dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini. Ya Allah, banyak dosa yang telah aku buat dulu. Semoga taubatku Kau terima.

Isma terasa membara apabila Ameer Qalish menegurnya sebegitu. Membuak-buak darahnya saat ini. Berlagak ustaz! Baru sahaja bertaubat sudah tunjuk lagak.  

“Hei! Kalau you tak nak ikut sekali pun tak perlulah bagi ceramah agama percuma dekat I. Tak inginlah nak dengar. Bernanah telinga I tahu tak? Huh!” tengkingnya. Siapa Ameer Qalish hendak menegurnya? Sedangkan mama dan papanya pun tidak kisah. Malah tidak pernah tegurnya perihal agama.

 “Terpulang pada you Isma. I cuma bagi nasihat aje. Okeylah, I mengantuk. Selamat malam. Assalammualaikum.”

“You! You!” nyaring sekali suara jeritan Isma.

Ameer Qalish terus mematikan taliannya. Langsung tidak dipedulikan Isma yang memanggilnya. Telefon pintar itu diletakkan semula ke meja sisi katil. Dia merebahkan kepala ke bantal. Selimut ditarik sehingga menutup dada. Walau apapun dia harus cuba melelapkan mata. Esok diperlu kerja. Manalah tahu nasibnya baik dapat bertemu lagi dengan gadis bertudung itu di alam mimpinya. Dia senyum dan mula menutup mata.

           
~*~*~*~*~


Waktu rehat, Azhari Food Enterprise. Nurul Ain dan Aminah, sahabat baiknya duduk di sebuah meja di hujung kantin. Beg bekal masing-masing diletakkan ke atas meja dan mengeluarkan kesemua bekas yang ada di dalamnya.

“Yummy… Sedapnya! Lapar aku!” Aminah menjerit kecil. Matanya melilau melihat bekas makanan sendiri dan bekas Nurul Ain. Perutnya sudah berdondang sayang. Tanpa menunggu lama sudu dan garpu terus dicapai.

“Haip! Baca doa makan dulu,” tegah Nurul Ain apabila melihat sahabatnya sudah mahu menyuap nasi ke dalam mulut. Terus Aminah menurunkan sudunya semula. Dia mengekuti Nurul Ain yang sudah menadah tangan, bersedia untuk membaca doa makan.

Belum pun sempat Nurul Ain bersuara, ada suara lelaki menegurnya.

“Assalammualaikum.”

Serentak Nurul Ain dan Aminah menoleh ke arah belakang.

“Wa’alaikumsalam,” balas kedua-duanya. Aminah sudah tersengih-sengih pada Nurul Ain. Berkerut dahi gadis itu melihat sengihan sahabatnya. Hendak memerlilah tu. Eee… Minah ni!

“Err… Boleh Abang Joe join korang?” tanya Johan dengan senyuman manis. Johan juga merupakan salah seorang pekerja di kilang ini dan merupakan senior kerana sudah bekerja enam tahun berkhidmat di sini. Berpangkat supervisior di kilang ini. Semua orang tahu bahawa Johan ada hati pada Nurul Ain kerana lelaki itu sering kali cuba mendekati gadis ini.

“Semestinya boleh! Silalah.” Pelawa Aminah masih lagi menayang sengih pada gadis yang duduk bertentangan dengannya. Kelihatan Nurul Ain tertunduk. Mungkin kerana segan.

Johan mengambil tempat di sebelah Nurul Ain dan gadis itu menjarakkan sedikit kedudukan. Memberi ruang untuk lelaki itu dan bagi mengelakkan dari kontroversi!

“Ain, bahawa bekal apa hari ni?” tanya Johan, mengerling kea rah Nurul Ain di sebelahnya.

Bagai ada arus elektrik. Terus sahaja dia menegak apabila lelaki itu menegurnya.

“Haa? Err… Ain, bawak lauk kampung aje. Abang nak?” Nurul Ain menyua bekas berisi ikan keli masak sambal cili kepada Johan. Kebetulan ibunya membekalkan lauk lebih. Kata ibu boleh kongsi dengan kawan-kawan.

“Boleh juga. Abang minta satu ya.” Tanpa segan Johan menyudu seekor ikan keli masak sambal cili itu ke dalam bekas makanannya. Setelah itu dia memberikan senyuman tanda terima kasih kepada Nurul Ain. Seketika mata mereka terpaut. Bagaikan ada gam!

“Ehem… Aku tak nak pelawa ke?” Teguran Aminah membuatkan mereka tersedar. Cepat-cepat Nurul Ain melarikan pandangan. Pantas dia mengambil bekas dan menolaknya ke arah Aminah. Johan pula selamba menyuap makanan ke mulut. Sesekali terbit senyum dibibirnya.

“Minah, kau pun ambillah.” Merona merah pipinya sewaktu bertentangan mata dengan Aminah. Sahabatnya itu ketawa kecil sambil menyambut huluran bekas darinya.

“Bagai pinang dibelah dua,” bisik Aminah yang hanya di dengarinya.

“Minah!” Terus dia menyepak sedikit kaki Aminah di bawah meja. Mata dibesarkan memberi amaran kepada sahabatnya yang suka mengusik dia itu. Kalau Johan dengar, malulah dia. Haish!

Johan pelik dengan dua orang gadis ini. Mereka seperti berbisik. Apa yang dibisikkan? Mengatanya ke?

“Korang bisik apa tu?” tanya Johan memandang Nurul Ain dan Aminah silih berganti.

 Nurul Ain dan Aminah saling berpandangan sebelum fokus pada Johan.

 “Tak. Minah cakap dengan Ain yang…” Belum pun Aminah menghabiskan kata-kata, tangannya sudah dikutil oleh Nurul Ain.

“Auww!” Aminah sedikit menjerit. Digosok-gosok tangannya yang menjadi mangsa kutilan gadis di hadapannya.

“Eh, Minah cakap… Kalau ikan keli masak pindang pun sedap. Kan… kan?” cepat-cepat Nurul Ain membalas. Beria dia meminta Aminah menyokongnya.

Aminah membesarkan mata. Nurul Ain membalas dengan membesarkan mata juga. Memberikan amaran kepada sahabatnya supaya mengiyakan.

“Ya, betul tu abang Joe. Hee…” balas Aminah sengih.

“Oh…Ingat korang mengata abang ke apa.”

“Hish, mana ada bang. Nanti dapat dosa aje,” nafi Nurul Ain lembut.

Johan senyum sahaja. Nurul Ain segera melarikan pandangan dari merenung senyum lelaki yang sedikit berkumis itu. Takut ada jantung yang tercampak keluar dari tempat asalnya! Bahaya!

“Err… Kita asyik bercakap aje. Takut tak sempat pula nak makan nanti,” ujar Nurul Ain mengalih cerita. Takut makin lama, macam-macam mulut becok Aminah terlepas kata nanti.

“Oh, yalah. Jom!” Johan pantas mengangkat tangan membaca doa makan. Nurul Ain dan Aminah sekadar mengaminkan.

Seketika suasana bisu kerana masing-masing menghabiskan bekal yang dibawa.

 “Abang pergi dululah. Nak ke pejabat. Encik Azhar ada pesan suruh jumpa dia,” maklmunnya seraya mengerling jam tangan. Masih ada sepuluh minit lagi habis waktu rehat. Lincah tangan Johan memasukkan semula bekas makanannya ke dalam beg plastik.  Setelah itu barulah dia berlalu.

“Weh, kau memang sepadanlah dengan Abang Joe tu. Kau cantik, Abang Joe pula boleh tahan hensem. Wah! Bagai pinang dibelah dua,” ujar Aminah bertepuk tangan.

“Merepeklah kau ni.” Sangkalnya laju. Padahal pipi sudah jelas merona merah.

“Eleh, kau tak payah nak sembunyi-sembunyi dengan aku. Bukannya aku tak tahu. Kau sebenarnya ada hati jugakan dengan Abang Joe? Abang Joe pun sama, ada hati dekat kau. Cuma korang berdua ni malu-malu kucing nak mengaku. Betul tak?”

Sekali lagi tangan Aminah menjadi mangsa kutilan Nurul Ain.

 “Pepandai aje mak nenek ni. Mana adalah!” Dia masih menafikannya. Entah. Dia pun tidak pasti sama ada dia ada hati pada Johan ataupun tidak. Tetapi, dia agak menyenangi lelaki itu. Johan baik, peramah dan tidak sombong walaupun dia berpangkat supervisor di kilang itu.

“Rugi tau kau tak ambil peluang ni. Kalau akulah dekat tempat kau, dah lama aku pikat Abang Joe tu. Dahlah hensem, baik. Ada pangkat lagi.” Aminah giat menaikkan saham Johan kepada Nurul Ain.

 “Hello, mak nenek. Aku cari calon tak kira pangkat bagai. Cukuplah orang tu patut suruhan agama dan hormat orang tua serta pasangan. Lagi pun aku belum sedia nak bercinta bagai. Umur baru setahun jagung dah sibuk nak bercinta. Buat masa ni aku cuma tanam hasrat nak sambung belajar. Bab-bab cinta nanti dululah.” Penuh perasaan Nurul Ain menyampaikan hujahannya.

“Hmm… Yalah, yalah.” Akhirnya Aminah beralah. Dia tahu dia takkan menang jika berhujah dengan sahabatnya itu. Nurul Ain pandai berhujah. Maklumlah, johan berpidato selama tiga tahun di zaman mereka sekolah menengah. Mana boleh lawan!

 Melebar senyuman Nurul Ain. Diam pun dia. Fuhh… lega.

  “Dah, jom. Waktu rehat dah nak habis ni.” Dia dan Aminah pantas mengemas bekal masing-masing.
           
 ~Maaf kalau ada kekurangan dalam DBH, maaf juga sebab lambat menghapdate. Sudi2 la drop komen di bawah. Enjoy reading! ^_^