“Yeahh…
yeahh. Gaji dah masuk. Syoknya!” Aminah menjerit sambil melonjak-lonjak
gembira. Beberapa orang yang baru keluar dari pejabat memandangnya dengan
pandangan pelik. Wajah gadis itu bersinar-sinar.
“Minah, kot ya pun senyaplah sikit. Orang
tengok, malu aje. Hish, kau ni…” Nurul Ain pantas menarik lengan sahabatnya
itu. Naik segan dia apabila ada beberapa orang mak cik-mak cik memandang pelik
ke arah Aminah.
Aminah tersengih bagai kerang busuk
saat menyedari dirinya diperhatikan. Terlepas laku pula dia. Dia mengangkat
tangan sambal tersenyum ke arah sekumpulan mak cik-mak cik di hadapan pintu
pejabat.
“Sorrylah
beb. Keterujaan aku ni terlebih sudah.”
Nurul Ain sudah tergeleng-geleng
melihat perangai sahabatnya seorang itu. Macam kanak-kanak Ribena.
“Ain… Ain. Esok kan kita cuti. Apa
kata kita pergi bandar, tengok wayang? Aku belanja kau tambang bas pergi dan
balik. Nak tak?”
Nurul Ain terdiam sejenak.
“Hmm… aku rasa taklah kot,” jawapnya
sambil menggeleng perlahan.
“Alah, Ain jomlah. Bukan selalu kita
keluar pun kan. Jomlah…” Beria Aminah memujuknya.
Dia tetap menggeleng. Tetap dengan
keputusannya.
“Tak naklah, Minah. Esok aku nak rehat
dekat rumah aje, teman ibu. Lagi pun, abah aku esok tak ada dekat rumah. Pergi
ikut rombongan bertunang anak Pak Haji Hussien dekat Pahang. Lusa baru dia balik. Nanti
kesianlah ibu tinggal rumah sorang-sorang.” Nurul Ain beralasan menolak ajakkan
Aminah. Memang betul pun abahnya esok tiada. Dia tidak sampai hati mahu
membiarkan ibunya keseorangan di rumah.
Berubah raut wajah Aminah. Menjadi
muram.
“Alah, kau ni Ain. Susah betul nak
ajak kau keluar tau. Bulan lepas aku ajak kau kata nak balik kampunglah,
apalah. Sekarang aku ajak kau tak nak juga. Bosanlah kau ni,” rungut Aminah
dalam nada merajuk dan memeluk tubuh. Sudah acap kali dia mengajak Nurul Ain
keluar ke bandar, tetapi sahabatnya itu pasti menolak dengan pelbagai alasan.
Alasan itulah, alasan inilah.
Serba salah Nurul Ain jadinya. Sebetulnya,
dia bukan sengaja mahu menolak setiap ajakkan Aminah. Semua penolakkan pasti
bersebab. Tambahan pula, dia bukanlah seorang gadis yang suka merayau tanpa sebarang
tujuan. Kalau keluar pun pasti bersama ibu dan abahnya. Sejak dari zaman
sekolah lagi dia lebih senang menghabiskan masa di rumah apabila tiba musim
cuti sekolah. Sehingga semua sahabatnya menggelar dan mengejek dia sebagai
katak bawah tempurung. Terlalu skema. Cuti-cuti pun duduk rumah macam puteri
lilin. Dia pekakkan telinga sajalah. Penat bercakap diamlah mereka.
“Minah, lain kali eh?” Lengan Aminah
dipaut mesra untuk memujuk gadis itu.
“Ain, kita sekarang bukan lagi zaman
sekolahlah. Kita dah kerja. Tak salahkan sekali-sekala nak keluar
rehat-rehatkan diri, rehatkan minda. Sesekali kita kenalah keluar bersosial
tapi kena pandai jaga batas. Bukan terperuk dekat rumah aje. Jomlah, please…” pujuk Aminah lagi dengan wajah
minta belas.
Diri semakin dihimpit rasa serba
salah. “Itu aku tahu. Tapi, aku memang…”
“Tengok tu… mesti nak bagi alasan
lagi. Sudahlah. Aku nak merajuk dengan kau. Bye!”
Menonong Aminah meninggalkan dirinya. Langsung tidak dipedulikan dia di situ.
‘Alahai, Minah ni merajuk pula dia.
Macam mana nak pujuk ni? Aku bukan reti sangat bab-bab memujuk orang. Itukan
Ain… Minah dah merajuk dengan kau. Hishh…’ Nurul Ain sempat mengomel dalam
hati. Tnapa berfikir panjang dia pantas mengejar langkah Aminah. Lengan gadis
itu dicengkam dan serta merta langkah terhenti.
“Minah, janganlah macam ni.
Janganlah merajuk dengan aku. Kau tahukan, kaulah satu-satunya kawan yang aku
ada. Janganlah merajuk eh?” Nurul Ain mengerdip-ngerdipkan kelopak matanya.
Buat-buat muka comel. Namun, Aminah seakan buat tidak kisah. Wajahnya monyok.
Sebenarnya, tercuit juga rasa hati
melihat perlakuan Nurul Ain itu. Mahu terhambur ketawa tetapi sedaya upaya ditahan.
Nurul Ain mengaru-garu kepala. Buntu hendak memujuk Aminah.
“Okeylah. Okeylah. Aku setuju ikut
kau ke bandar. Tapi, aku kenalah tanya abah dengan ibu dulu. Kalau dorang
izinkan, aku pergi. Kalau tak faham-faham ajelah ya.”
Senyum lebar terukir di bibir
Aminah.
“Yeahh… Haa, macam itulah. Okey,
apa-apa pun minta izin abah dengan ibu kau dulu. Lepas kau dah bincang dengan
dorang, kau terus telefon aku tau. Dah, jomlah pergi sana. Karang tertinggal
van pula. Alamatnya, balik jalan kakilah kita nanti.” Tangan Nurul Ain pantas
di tarik mengekori langkahnya.
Nurul Ain senyum dan mengangguk.
Lega hatinya melihat Aminah sudah tidak merajuk dengannya. “So, kau dah tak
merajuklah ni?” tanyanya meminta kepastian.
“Sekarang dah tak. Tapi sebenarnya
tadi bukan aku berniat nak merajuk pun. Saja nak uji kau. He he he…” balas
Aminah dengan wajah tidak bersalah.
“Minah!”
Aminah tersengih-sengih.
~*~*~*~*~*~
Usai
mengerjakan solat Isyak, Nurul Ain terus menuju ke dapur. Mahu membantu ibunya
menghidangkan makan malam. Dia juga berura-ura hendak meminta keizinan dengan
ibu dan abahnya untuk mengikut Aminah ke bandar esok. Sejak dari tadi lagi dia
menyusun ayat untuk diluahkan kepada kedua-dua orang tuanya. Dia berdoa dalam
hati agar mereka memberikan keizinan kepadanya.Bukanlah dia hendak sangat ke
bandar, tetapi dia tidak sampai hati pula hendak mengecewakan Aminah,
sahabatnya itu.
Nurul Ain membuntuti ibunya ke
tempat masak. Ibunya sedang sibuk menyeduk lemak ketam ke dalam mangkuk. Dia
masih berkira-kira hendak meluahkan kata-kata. Cakap sekarang… atau nanti ya?
Hmm… cakap nantilah lagi mudah. Lepas makan nanti adalah masa yang sesuai untuk
dia meminta keizinan. Kata orang, perut kenyang hati pun senang. Mana tahu abah
dan ibunya terus memberi izin.
“Eh, Ain. Terperanjat ibu tiba-tiba
aje ada dekat belakang. Hish kamu ni…” Omel ibu sambal mengurut dadanya. Tidak
perasan dengan kehadiran Nurul Ain di belakangnya.
“Err… dah siap ke, bu? Ain nak
tolong apa ni?” Nurul Ain terus bertanya. Menyimpang dari niat awalnya yang
tadi.
“Sudah. Semua dah siap. Cuma air aje
ibu belum sediakan. Ain tolong buatkan airlah. Buat air sirap, letak ais sikit,”
pinta ibu sedang tanganya lincah menyusun pinggan di atas meja.
“Baik ibu.” Tanpa membantah Nurul
Ain membancuh air sirap di dalam jag. Dia baru perasan kelibat abahnya sedari
dia keluar dari bilik tadi tiada. Ke mana pula abah pergi? “Ibu, abah mana?
Dari tadi Ain tak nampak.”
“Oh, abah Ain tu macam biasalah. Ke
masjid. Agaknya leka berbual dengan kawan-kawanlah tu. Tak apalah, biar ibu
pergi telefon abah sekejap”
Ibu terus meninggalkannya menuju ke ruang
tamu. Menelefon abah katanya. Nurul Ain duduk di kerusi meja makan sambil
memandang penuh berselera pada lauk-lauk di atas meja. Semua memikat seleranya.
Terutama sekali ketam masak lemak. Itu sememangnya lauk kesukaannya. Telan air
liur dia dibuatnya. Perut yang sudah berbunyi segera dipujuk agar bersabar.
Tidak sabar mahu menunggu abahnya balik.
“Assalammualaikum.”
Kedengaran suara abah memasuki gegendang telinga.
“Wa’alaikumsalam,”
sahutnya di dapur.
“Semua
dah tersedia? Hmm… baguslah, tinggal nak isi perut aje ni.”
Abah memasuki ruang dapur lalu mengambil
tempat di hujung meja. Abah senyum padanya, dia membalas senyuman itu. Tangan
ditadah, doa makan dibaca. Setelah itu mereka tiga beranak makan dalam keadaan
senyap dan tenang. Tidak baik bercakap sambal makan, ditakuti tercekik nanti.
Setelah selesai sesi makan malam, mereka beralih pula ke ruang tamu. Menonton
berita terkini di TV3. Sambil menonton, Nurul Ain membantu ibunya melipat kain.
Sambil itu juga Nurul Ain menyusun kembali kata-kata bagi meminta izin dari
orang tuanya tentang ajakkan Mona petang tadi.
“Err…
ibu, ayah kalau esok… Ain nak minta izin ke bandar dengan Minah boleh?” Dia
memberanikan diri untuk bertanya.
Abah
yang sibuk menonton televisyen memandang ke arahnya. Ibu juga begitu. Dia jadi
serba salah hendak berkata. Dalam gagap diluahkan juga.
“Pe…
petang tadi Minah ajak Ain pergi bandar, tengok wayang. Ain… Ain sebetulnya
tak… tak nak pergi, nak teman ibu dekat rumah aje. Yalah, abahkan esok tak ada
di rumah. Tapi, Ain tak sampai hati pula nak tolak ajakkan Minah tu. Dia macam
beria sangat. Kalau abah dengan ibu tak izinkan pun tak apa. Nanti Ain bagitau
Mona."
“Pergilah
Ain. Ibu tengok Ain ni pun asyik terperap aje dekat rumah. Jarang keluar dengan
kawan-kawan. Ibu tak kisah kalau Ain nak pergi. Pergilah, ibu izinkan.” Tanpa
disangka cepat saja ibu memberi keizinan. Nurul Ain pandang abah pula. Abahnya
hanya mengangguk dan senyum. Terukir senyumannya.
“Pergi
dengan Minah aje, kan? Ain, nak keluar boleh tapi kenalah jaga kelakuan. Jangan
buat perkara yang lagha ya sayang.” Sempat ibu memberi nasihat kepadanya.
“Betul
cakap ibu tu, Ain. Ibu bapa mana yang tak risau bila anak daranya keluar dari
rumah walaupun cuma sebentar. Selagi Ain belum berkahwin, selagi itu abah
dengan ibu bertanggungjawab ke atas Ain. Jadi Ain kena jaga diri dan maruah.”
Abah pula berkata.
“Ya,
bu… pergi dengan Minah aje, naik bas. Insyallah abah, ibu. Ain akan ingat
nasihat abah dengan ibu. Jadi, Ain boleh pergilah ya?" Sekali lagi Nurul Ain
meminta kepastian.
Serentak
abah dan ibu mengangguk.
“Kalau
macam tu, Ain nak minta diri kejap. Nak telefon Mona."
Nurul
Ain berlalu ke biliknya setelah siap melipat kain.
~*~*~*~*~*~
Aminah
menarik tangan Nurul Ain mencari tempat duduk mereka.
“Minah dekat mana tempat duduk kita
ni? Jauh lagi ke?” bisik Nurul Ain di telinga sahabatnya. Dia berjalan penuh
berhati-hati. Khuatir terpijak kaki orang-orang yang duduk di tempat
masing-masing. Maklumlah keadaan suram, penglihatan pula tidak berapa jelas.
“Itu… dekat sana tu. Kita dah nak
sampai dah,” balas Aminah dalam berbisik juga.
Akhirnya,
mereka sampai juga di kerusi paling hujung. Aminah mengambil tempat duduk paling
hujung sekali, manakala dia di sebelah kanan. Tidak lama kemudian filem Ombak
Rindu sudah mula ditayangkan. Hampir setengah jam menonton, Nurul Ain terdengar
suara esakkan. Dia toleh ke sebelah. Dalam suasana yang samar-samar dia dapat
lihat gadis di sebelahnya sudah teresak-esak sambil mengesat pipinya dengan tisu.
Siapa lagi kalau bukan Aminah. Tergeleng-geleng dia.
‘Hish,
Minah ni… Tengok cerita pun boleh meleleh. Minah cengeng betul. Entah
apa-apalah,’ ejeknya dalam hati.
Mata
kembali difokuskan pada skrin besar itu. Dia bukanlah gemar sangat menonton
filem cintan-cintun ini. Tetapi disebabkan Aminah yang memilih filem itu,
dilayankan saja. Kesejukkan hawa dingin dan suasana gelap membuatkan matanya
bagai hendak tidur. Puas dia cuba menahan mata supaya tidak lelap. Semakin dia
cuba, semakin matanya degil hendak tutup. Akhirnya, dia kalah. Tanpa sedar dia
terlelap. Sedang dia terlelap, seorang lelaki mengambil tempat di sebelah
kanannya.
“Ain…
oh… Ain.”
Sayup-sayup
suara memanggilnya di telinga. Serentak lengannya digoncang lembut.
“Ain
bangunlah. Ain…”
Apabila
terasa lengannya digoncang semakin kuat. Perlahan-lahan dia membuka mata dan
mengangkat kepala. Masih mamai. Suasana di dalam dewan kecil itu sudah terang.
Dia pandang Mona yang kelihatan pucat dan risau. Kenapa dengan Aminah? Macam baru
lepas berjumpa dengan Cik Ponti.
“Hmm…
Dah habis ke ceritanya?” tanya Nurul Ain lalu menguap.
“Dah.
Hish, kau ni buat malu ajelah.”
Tiba-tiba
Aminah memarahinya dengan suara masih berbisik. Kemudian, sahabatnya itu
memberi isyarat mata supaya dia pandang ke sebelah. Serta merta dia pandang ke
sebelah kanan. Ada seorang lelaki berbaju T belang putih dan merah serta bercap
duduk di kerusi sebelah. Wajah dia tidak nampak sangat sebab tertutup dengan
cap. Eh, sejak bila pula ada orang ni? Tadi sebelahnya kosong. Dia pandang
Aminah semula.
“Minah,
sejak bila ada orang sebelah aku ni? Tadi tak ada pun.”
“Entah,
aku pun tak tahu. Tadi habis aje cerita, aku tengok kau dah sedap landing atas bahu dia!”
Gulp!
Terkejut Nurul Ain. Patutlah dia rasa macam tidur guna bantal. Lena saja
tidurnya. Rupa-rupanya bahu orang sebelah. Ya Allah, Nurul Ain… buat malu saja!
Mujurlah tiada air liur basi. Dia sudah menggelabah. Serta merta dia menarik
tangan Aminah supaya bangun.
“En…
encik, saya… saya minta maaf ya. Ta… tak sengaja.” Sempat dia meminta maaf
sebelum melangkah laju keluar dari dewan itu. Entah lelaki itu dengan atau
tidak, dia tidak ambil kisah lagi. Malu, malu, malu!
Lelaki
bercap itu pula hanya senyum melihat langkah kaki mereka yang tergesa-gesa mahu
keluar. ‘Mungkinkah ini yang dinamakan jodoh?,’ bisik hatinya.
Terbahak-bahak
Aminah yang duduk di hadapannya. Dia pula jadi bengang. Sesudah keluar tadi
mereka terus menuju ke KFC.
“Minah,
sudah-sudahlah tu. Aku malu tau tak?”
Melihat
wajah Nurul Ain yang serius, sedikit demi sedikit ketawa Aminah mati.
“Kau
ni Ain, sesuka hati aje jadikan bahu mamat tu bantal. Nasiblah orang tu tak
marah.”
“Aku
bukan sengaja pun. Masa tidur tadi, aku dah tak tahu apa-apa dah. Manalah aku
tahu yang aku terlanding tu bahu dia,” ujar Nurul Ain dengan wajah sudah bertukar
merah. Roti burger dicubit-cubit.
Aminah
ketawa kecil. Mata tiba-tiba terpandang seseorang. Pantas dia mencuit tangan
Nurul Ain.
“Weh,
Ain bukan tu ke mamat yang dekat sebelah kau tadi? Yang duduk meja hujung tu.
Yalah, aku ingat lagi… dialah orang dalam panggung tadi.”
Nurul
Ain menoleh ke arah yang Aminah tunjuk. Diamati susuk tubuh lelaki berbaju T
merah belang putih itu betul-betul. Betul memang dialah. Dia diserbu rasa
bersalah. Terbayang-bayang situasi di dalam panggung tadi. Memalukan betul!
Sekali lagi dia amati wajah lelaki itu. Beberapa saat kemudian dia terlihat
jelas wajah lelaki bercap putih jenama Nike, saat lelaki itu membetulkan
capnya. Eh, kenapa dia merasakan wajah itu seakan-akan pernah dia lihat? Ya,
rasanya dia pernah lihat lelaki itu, tetapi di mana ya?
Saat
dia sibuk merenung, tiba-tiba anak matanya bertembung dengan anak mata lelaki
itu. Lelaki itu tersenyum manis ke arahnya. Bagai ada arus elektrik yang
mengejutkan. Dia terus mengalihkan mata. Malu berganda kerana tertangkap
merenung anak teruna orang. Dia menutup sedikit wajah dengan tangan.
‘Nurul
Ain, untuk hari ni dah dua kali kau memalukan diri sendiri. Haish…’ Nurul Ain
memarahi diri.
“Ain…
Ain, dia tengah tengok arah kitalah! Hensem!” ujar Aminah dengan nada teruja.
Nurul
Ain buat tidak tahu saja. Wajah semakin ditutup.
“Eh,
Ain. Apa pasal dengan kau ni?” Mungkin kerana hairan dengan tingkahnya, Aminah
lantas bertanya.
“Err…
Tak ada apa-apalah. Cepatlah makan. Lepas ni boleh kita pergi tempat lain pula.
Kau kata tadi nak pergi kedai Red Modani, cari kasut.” Nurul Ain pantas menukar
topik.
Malas
lagi dia hendak bercakap tentang lelaki di hujung sana itu. Dia juga sudah
tidak berani lagi menoleh ke arah sana. Dia cukup yakin lelaki itu masih
merenung ke arahnya. Terasa panas wajahnya saat itu. Pastinya kulit wajah juga
sudah bertukar merah. Mahu saja dia menyorokkan diri ke bawah meja kalau boleh.
Bersambung lagi...
~Assalammualaikum reader. Maaf jika ada kekurangan @ typo. Silalah drop komen di bawah jika sudi. Enjoy reading! ^_^