Sakinah
duduk termenung merenung pekat malam di tepi tingkat. Dia asyik memikirkan
tentang dirinya. Sejak dia sedar dari koma, hampir setiap malam dia didatangi
mimpi yang pelik dan menyeramkan. Dalam mimpinya, sekali lagi dia didatangi
seorang gadis yang dalam kebasahan meminta pertolongan darinya. Wajah gadis itu
tidak kelihatan kerana ditutupi oleh rambut yang basah. Pelbagai lagi mimpi
pelik yang dia alami. Sakinah tidak pernah pun bercerita tentang mimpi peliknya
kepada sesiapa termasuklah suaminya. Takut Idham jadi risau dengannya.
Dia
fikir mimpi itu hanya mainan tidur. Dan, mungkin kerana masih trauma dia masih
mengalami mimpi sebegitu. Dia pasti lama kelamaan pasti mimpi itu akan hilang
sendiri. Sedang dia sibuk mengelamun tiba-tiba dia seakan terpandang bayang
seseorang sedang berdiri di seberang jalan. Bayang itu sedang memandang tajam
ke arahnya. Bulu romanya tiba-tiba tegak berdiri. Tubuhnya pula seakan
menggigil walaupun cuaca waktu itu tidak berangin. Susuk tubuh bayang yang
berdiri tegak itu kelihatan seperti susuk seorang perempuan. Siapakah itu? Apa
yang dilakukan malam-malam buta begini di situ?
Tiba-tiba
tubuhnya dipeluk dari belakang. Manakala bahu kanan seperti disentuh sesuatu. Dia
tersentak. Tubuhnya semakin menggigil.
“Sayang…”
Terdengar
saja suara suaminya, dia terus berpaling. Rupanya Idham yang memeluknya dan
menyangkutkan dagu ke bahu kanannya.
“Abang
rupanya. Terkejut Kinah.” Dada yang berdetap laju lantas ditenangkan.
“Kenapa
ni? Sayang macam menggigil saja. Sayang tak sihat ke?”
Idham
hairan saat merasakan tubuh Sakinah seakan bergetar. Di dahi isteirnya pula
kelihatan manik-manik peluk. Hendak kata sejuk, cuaca malam itu tidaklah sejuk
mana. Hendak kata terlalu panas pun tidak. Apa kena dengan isterinya ini?
“Err…
tak. Tak adalah bang. Kinah sihat aje. Cuma cuaca malam ni rasa sejuk sikit.”
Sakinah berbohong.
Bukanlah
dia berniat hendak berbohong. Cuma dia tidak mahu suaminya itu risau. Lagi
pula, sekejap lagi Idham akan berangkat ke Melaka. Outstation selama tiga hari di sana. Dahi yang sedikit basah kerana
peluk segera dikesat dengan telapak tangan.
“Betul
ke ni? Kalau Kinah tak sihat cakaplah dengan abang. Masih sempat lagi abang nak
minta orang lain gantikan abang. Biar abang temankan sayang dekat rumah aje.
Macam tak sedap hati pula nak tinggalkan Kinah dekat rumah.” Idham melahirkan
rasa kerisauannya.
Sakinah
meleraikan perlahan-lahan tangan suaminya yang melingkar di pinggangnya. Dia
mengalihkan tubuh ke belakang. Senyuman paling manis diberikan kepada suaminya
yang tercinta itu. Kedua-dua belah telapak tangan menekap ke pipi kiri dan
kanan lelaki itu.
“Abang…
Kinah okeylah. Janganlah risau. Abang pergi sana bukannya lama pun. Cuma tiga
hari aje, kan? Lagi pun, nanti apa kata bos abang. Dahlah masa Kinah dekat
hospital, abang banyak ambil cuti. Ini baru naik kerja dah nak ambil cuti lagi.
Tak bolehlah macam tu abang sayang.” Sakinah memujuk lembut suaminya.
Idham
mencebir. Sebenarnya dia berat hati hendak membiarkan isterinya tinggal di rumah.
Walaupun Sakinah kelihatan sudah sihat, dia masih risau. Kemalangan yang
menimpa wanita itu bukan saja memberikan trauma kepada isterinya tetapi dia
juga turut merasakannya.
“Hmm…
Apa boleh buat kan? Tak apalah. Abang cuba tahan perasaan ni selama tiga hari.
Kalau tak dapat tahan, abang sanggup ulang alik dari KL ke Melaka.” Rambut
Sakinah yang terjuntai di dahi, di selitkan ke telinga. Dahi isterinya itu
dikucup lembut dan lama.
Sakinah
ketawa kecil.
“Hish
abang ni… Janganlah macam tu. Nanti buat penat abang aje. Tak payahlah buat
macam tu bang. Kinah janji. Setiap hari dua jam sekali Kinah akan call abang.
Okey?”
“Yalah…
yalah. Nanti kalau Kinah nak ke mana-mana bawa Tuti sekali ya. Jangan pergi
sorang-sorang tau. Abang tak izinkan Kinah keluar sorang-sorang. Even, nak ke rumah mama dan papa pun
kena bawa Tuti sekali,” pesan Idham.
“Ya,
abang. Kinah tahu tu. Dah, jom Kinah hantar sampai depan. Jom…”
Sakinah
menarik tangan suaminya turun ke tingkat bawah.
“Sayang,
take care ya.” Sekali lagi Idham mengucup
dahi isterinya. Setelah itu mereka bersalaman.
“Yalah.
Abang pun sama. Drive carefully,
bang. Kalau mengantuk berhentilah dulu, tidur.”
Idham
mengangguk. Dengan berat hati dia meloloskan diri ke perut kereta.
“Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumsalam,
abang.”
Kereta
Idham mula bergerak keluar dari garaj. Sakinah melambai-lambai dari belakang
sehingga kelibat kereta suaminya hilang dari pandangan. Entah kenapa, tiba-tiba
dia merasakan tubuhnya bagai ditiup angin. Serta merta bulu romanya kembali
meremang. Tanpa menunggu lama dia pantas berlari masuk ke dalam rumah.
~*~*~*~*~*~
“Tuti…”
panggil Sakinah sebaik saja terlihat kelibat pembantu rumah warga Indonesia itu
di pintu dapur.
“Ya, buk.”
Tuti mendekati Sakinah.
“Err… nanti sebelum tidur, jangan
lupa cek pintu belakang dengan pagar depan ya. Takut tak berkunci pula. Saya
nak naik atas dulu. Apa-apa hal awak cari saya dekat atas, okey?”
“Baiklah, buk.”
Tanpa
menunggu lama lagi, Tuti pantas menuju ke dapur. Mana Sakinah pula naik ke
tingkat atas. Dia menyelak sedikit comforter dan duduk melunjur di atas tilam.
Setelah itu menarik semula comforter menutup separuh badan. Botol kecil berisi
ubat tidur di atas meja katil sebelah katil dicapai. Kemudian dicapai pula
segelas air masak. Sebiji ubat tidur ditelannya. Sejak kebelakangan ini, dia
mengalami simptom susah mahu tidur. Jadi dia terpaksa mengambil ubat tidur
walaupun sebenarnya dia tidak menggemarinya. Tubuh dibaringkan. Beberapa minit
kemudian, matanya perlahan-lahan tertutup.
Jarum
panjang tepat menunjukkan pukul 2.00 pagi.
“Ja…
jangan! Jangan apa-apa kan aku! Tolong jangan! Ja… jangan!” Tanpa sedar
mulutnya meracau-racau. Mata masih tertutup rapat. Dahi sudah lencun dengan
peluh. Kedua-dua belah tangan pula berada di atas bagai menolah sesuatu. Kepala
pula sudah tertoleh-toleh kiri dan kanan.
“Ja…
jangan! Aku tak nak ikut kau. Aku tak nak mati. Jangan…” Sedaya upaya dia
merayu dan menangis.
“Arghhh!”
Sakinah
lantas terbangun. Pantas dia memandang ke sekeliling. Dia masih di biliknya.
Nafas yang tercungap-cungap tadi perlahan-lahan cuba diredakan. Dahi yang
berpeluk lantas diseka dengan telapak tangan. Dia mencebak rambut panjangnya ke
belakang.
“Astaghfirullah
al-azim… Astaghfirullah al-azim…” Dia beristighfar. “Ya Allah, aku bermimpi
lagi. Apa maksud semua mimpi tu? Kenapa aku asyik bermimpi benda yang sama?” Dada
yang berdegup kencang digosok-gosok agar kembali bertenang. Dia bingung dan
tertanya-tanya. Kenapa mimpi itu sering menganggunnya? Kenapa dia yang dipilih?
Pasti ada maksud yang tersurat di dalam mimpi menyeramkan itu? Tetapi apakah
dia?
Dia
mencapai telefon pintarnya di atas meja. Baru pukul 2.00 pagi. Tekak terasa
kering. Dia mengerling ke gelas kosong di sebelahnya. Dengan malas dia menyelak
comforter dan duduk seketika di birai katil. Tangannya pantas mencapai gelas
yang sudah kosong itu. Perlahan-lahan kaki menuruni anak tangga. Sewaktu
dipertengahan turun, dia terdengar sesuatu jatuh dari arah dapur. Dia diam
seketika.
Prenggg…
Seperti
bunyi tudung periuk jatuh ke lantai. Tuti ke tu? Eh, apa pula yang Tuti buat
malam-malam buta begini dengan tudung periuk? Takkan masak malam-malam buta?
Hendak kata kucing, dia mana ada bela kucing di rumah ini.
“Tuti,
awak ke tu?” laung Sakinah. Tiada respon.
Prenggg…
Bunyi
itu sekali lagi didengari. Dia sudah tidak sabar lagi. Walaupun berat hati kaki
tetap melangkah.
“Tuti…”
panggilnya lagi. Namun, juga tiada sahutan.
Perlahan-lahan
kakinya diatur. Sampai saja di pintu dapur dia mematikan langkah. Mata
diliarkan ke sekeliling dapur yang kelam, mencari kelibat pembantu rumahnya
itu. Jelas di penglihatannya susuk tubuh seornag wanita sedang berdiri di
hadapan singki. Serta merta bunyi air keluar dari paip kedengaran. Dia pelik
dengan Tuti. Semasa dia panggil tidak pula pembantu rumahnya itu menyahut.
“Tuti,
awak buat apa tu? Awak… awak mengigau ke?”
Tuti
hanya diam. Kali ini dia terdengar seperti pisau sedang memotong sesuatu. Rasa
pelik dan seram sejuk bercampur aduk. Sekali lagi Sakinah memberanikan diri
mendekati wanita itu. Bahu Tuti disentuh. Terasa baju tidur di bahagian bahu
Tuti basah seperti kainnya baru dicelup dalam air. Segera dia menarik semula
tangannya.
“Tu…
Tuti?”
Segala
macam rasa hadir dalam diri. Hati sering merasuk mengatakan bahawa itu bukanlah
Tuti. Siapakah dia sebenarnya? Secara automatik kaki melangkah ke belakang
perlahan-lahan. Serentak itu juga susuk tubuh itu berpaling ke arahnya. Sakinah
terkejut besar.
“Ya
Allah… dia bukan Tuti!”
Akibat
terlalu terkejut, dia terduduk. Susuk tubuh wanita itu sedikit demi sedikit
mendekati dirinya. Wajah tidak kelihatan kerana diselindung dengan rambut
panjang. Air menitik dari hujung rambut dan
hujung gaun putih yang dipakai membasahi lantai. Sakinah menggigil
takut.
“Kau…
kau nak apa, haa? Kenapa… kau selalu ganggu aku? Pergi! Pergi! Ja… jangan
ganggu aku lagi!”
“Tolong… aku… Sakinah…” Mendayu-dayu
suara wanita itu.
“Kau… kau nak aku… aku tolong apa?”
Sakinah semakin mengengsot ke
belakang. Manakala wanita tidak kelihatan wajahnya itu semakin mendekatinya.
“Ke… keluarkan… keluarkan aku da…
dari sana. Se… selamatkan ak… aku.”
Bergetar-getar suara itu. Seakan
menanggung sejuk yang amat. Suaranya juga seakan tenggelam timbul.
“Keluarkan? Selamatkan kau?
Apa maksud kau? Kau… kau cuba nak per… perdayakan ak… aku ke syaitan? Pergi! Aku takkan sesekali… percaya cakap ka… kau syaitan laknatullah!”
“Tolonglah… aku… Sakinah. Ak… aku
tak nak… berada di… di sini… lagi…” rayu suara itu lagi.
Sakinah pantas menekup kedua-dua
belah telinga. Dia tergeleng-geleng cuba mengusir suara itu.
“Pergi! Jangan ganggu aku lagi.
Pergi! Tolonglah, pergi!” jeritnya sekuat hati.
Tiba-tiba dia dipeluk dari belakang.
Sakinah menggelabah. Dia pantas menronta-ronta minta dilepaskan. Tangan yang
memeluknya cuba untuk dileraikan, namun tidak berjaya. Tetapi pelukkan semakin
erat.
“Ibuk mengucap, buk. Istighfar. Ingat
Allah…”
Mendengar saja suara Tuti, Sakinah
kembali tenang. Tanpa sedar peluk Tuti dan menangis di bahu wanita itu. Terkumat-kamit bibirnya beristighfar
mengikuti mulut pembantu rumahnya.
“Minum airnya, buk.” Tuti
menyerahkan segelas air masak kepadanya. Dia menyisip perlahan-lahan, kemudian
gelas yang telah kosong diserahkan semula kepada Tuti. Tubuh disandarkan ke
kepala katil.
“Terima kasih Tuti.”
“Sama-sama, buk. Err… tadinya ibuk
kenapa sih? Saya di kamar sedang tidur terkejut mendengar jeritan ibuk di
dapur. Langsung saya berlari ke sana. Err... ibuk mahu saya telefon bapak?”
Serba salah Sakinah. Jeritannya tadi
telah mengganggu tidur Tuti. Dia juga tidak sampai hati hendak menceritakan apa-apa
kepada wanita itu. Khuatir menakutkan Tuti pula. Biarlah cerita itu disimpan
sendiri.
“Tak perlu. Tak perlu. Jangan telefon bapak. Takut dia risau nati. Maaf ya Tuti. Tak sangka jeritan
saya dah ganggu tidur awak. Tadi saya… saya… Tak ada apalah Tuti. Halusinasi
saya aje tadi. Awak pergilah masuk bilik, sambung tidur semula.”
Tuti faham. Dia tidak bertanya lagi.
“Ngak apa-apa kok, buk. Kalau gitu
saya pamit ke kamar dulu ya. Ibuk berehatlah.”
Sakinah mengangguk.
“Ibuk, sebelum tidur saya sarankan
ambil wuduk. Biar ngak diganggu makhluk halus,” pesan Tuti sebelum menutup
pintu bilik. Pembantu rumahnya itu sempat memberikan senyuman.
“Yalah. Teirma kasih Tuti.”
Seperti saranan pembantu rumahnya.
Dia menggagahkan diri ke bilik air untuk mengambil wuduk. Kemudian, dia kembali
melelapkan mata.
Sambung....
~Assalam. Jemputlah baca sambungan cerpan SR ni. Drop komen di bawah kalau sudi. Ira terima sebarang teguran dengan hati terbuka & akan cuba perbaiki. Maaf, updatenya kelamaan. Hehe. Kesibukkan membataskan ira utk update apa2 di blog ni. Apa2 pun enjoy reading!