Khamis, 23 Oktober 2014

Cerpan : Suara Roh ( Part 3 )



Tepat jam 10.30 pagi. Sebuah kereta BMW 5 series memasuki garaj. Puan Juriah, emak mertua Sakinah keluar dari perut kereta dan berlalu ke pintu hadapan rumah banglo dua tingkat itu. Lonceng pintu dibunyikan beberapa kali. Setelah beberapa saat barulah pintu dibuka oleh Tuti.

“Assalammualaikum…” Puan Juriah memberikan salam kepada pembantu rumah anak dan menantunya. Senyum diukir.

“Wa’alaikumsalam, nyonya. Silakan masuk,” Tuti menyambut salam itu dengan mesra. Pintu dibuka luas-luas memberikan ibu mertua majikannya laluan untuk masuk. Puan Juriah melangkah ke ruang tamu. Pandangan diputarkan ke sekeliling. Sunyi saja.

“Ya, terima kasih.”

“Silakan duduk nyonya…”

Puan Juriah mengangguk. Punggung dilabuhkan ke sofa.

“Sunyi saja. Sakinah mana Tuti?”

“Oh, ibuk ada di atas nyonya. Sedang istirehat. Kelihatannya ngak sihat. Nyonya duduk dulu ya. Saya ke atas panggil ibuk.” Tuti meminta diri untuk ke tingkat atas.

“Oh, ya ke? Yalah.”

Tuti terus melangkah ke tingkat dua. Pintu bilik majikannya diketuk. Sesaat kemudian barulah pintu itu terbuka. Terjengul wajah Sakinah yang sedikit serabut rambutnya dan kedua-dua belah dahi ditampal koyok. Deria bau Tuti juga disumbat dengan bau minyak angin.

“Kenapa Tuti?”

“Ibuk, ibu mertua ibuk ada di bawah. Baru sampai.”

Terkejut Sakinah mendengar perkhabaran itu. Tiada pula mama menelefonnya beritahu hendak datang ke sini. Mama ini memang suka buat kejutan. Sakinah senyum nipis dan mengangguk.

“Mama ni… Suka sangat datang mengejut. Yalah, sekejap lagi saya turun. Tuti turun dulu tanya nyonya dia nak minum apa. Lepas tu Tuti tolong buatkan air ya?” Sakinah memberikan arahan kepada pembantu rumahnya. Dia mahu merapikan diri sebelum keluar dari bilik.

“Baiklah, buk.” Tuti turun semula.

Sakinah membasuh wajah baru bangun tidur seketika selepas menelan panadol. Selepas kejadian malam kelmarin dia diserang oleh demam. Mungkin kerana perasaan takut dan trauma yang terlampau. Tidurnya pula tidak berapa lena. Kepalanya juga sakit akibat kurang tidur. Usai membasuh wajah, dia menuju ke meja solek lalu menyikat rambut yang sedikit kusut. Baju blaus kain kaftan yang compang-camping dibetulkan. Tubuh dipusingkan kiri dan kanan untuk memastikan diri nampak kemas.

 Penampilannya nampak sedikit segar dari sebelum ini. Kemudian, barulah dia turun mendapatkan emak mertuanya. Senyum diukir semampu boleh.

“Mama!”

Tangan Puan Juriah pantas disalam. Dia duduk disebelah wanita itu. “Kenapa mama datang tak cakap? Kalau tak bolehlah Kinah masakkan something special.”

Puan Juriah hanya senyum. “ Saja mama tak bagitau. Nanti kalau bagitau entah apa-apa Kinah buat untuk mama. Mama tak nak susahkan Kinah. Tengok, tak sihat pun ada niat nak susahkan diri buat something special untuk mama. Dah ke klinik belum ni?” Simpati dia lihat keadaan menantunya. Nampak tidak sihat benar. Wajah Sakinah kelihatan pucat. Dia difahamkan, sejak menantunya itu kemalangan, Sakinah sering saja tidak sihat. Keadaan itu sangat merisaukannya.

“Bukan sakit teruk pun, ma. Demam sikit aje ni. Tak pergi klinik pun, ma. Kinah telan Panadol tadi, lepas tu tidur sekejap. Badan Kinah pun dah rasa elok sikit. Nanti baiklah tu, ma.”

Pap! Tangan Puan Juriah laju menepuk paha menantunya.

“Mana boleh macam tu Kinah. Demam sikit pun sekarang kenalah pergi klinik. Takut demam tu bawa penyakit lain pula. Sekarang ni bukannya boleh buat main-main,” bebelnya kepada satu-satunya menantu yang dia ada. Bagai membebel kepada anak kandung sendiri. Jika bab kesihatan keluarga, dia tidak boleh ambil mudah.

Sakinah sudah dianggap bagai anak kandungnya. Sama seperti Idham. Kasihnya tumpah terhadap gadis ini sebaik saja Idham membawa Sakinah pertama kali berjumpa dengannya, ditambah pula apabila mengetahui Sakinah adalah anak yatim piatu. Menantunya adalah seorang menantu yang baik dan pandai ambil hati. Dia tidak pernah sesal menerima Sakinah sebagai teman hidup anaknya dan juga ahli keluarga baru mereka.

Sakinah memeluk lengan emak mertuanya. “Ma, janganlah risau sangat. Kinah okey. Insya-Allah, demam biasa saja ni. Eh, mama datang dengan siapa ni? Papa tak datang sekali ke?” Segera dia menukar topik perbualan. Matanya melilau disekeliling ruang tamu mencari kelibat bapa mertuanya.

Keluhan mama lepas. “Pak Mat yang hantar mama ke sini. Papa kamu tu Kinah biasalah dia. Kalau tak ikut mama, dekat padang golflah tu dia bertapa dengan kawan-kawan dia. Hish, nama aje dah pencen tapi tak lekat dekat rumah.”

Sakinah ketawa kecil. Tahu sangat dengan hobi bapa mertua itu. Gemar sangat main golf. Mungkin hanya itu saja aktiviti mampu dilakukan untuk mengisi masa lapangnya yang banyak terluang sejak pencen. Takkan pula sudah tua-tua hendak bermain bola keranjang, bola baling atau badminton yang memerlukan tenaga yang banyak.

“Ni, mama cadang nak tidur sini semalam. Memandangkan Idham tak ada ni, biar mama temankan Kinah. Itu pun kalau Kinah tak kisah mama tidur sini?”

Sakinah menentang pandangan emak mertuanya. Meminta kepastian. Puan Juriah mengangguk, mengiyakan. Terbit senyum lebar di bibir Sakinah. Dia gembira. Adalah kawan berbualnya hari ini selain Tuti.

“Tentulah boleh mama! Kinah pun sunyi. Tinggal berdua dengan Tuti aje. Tuti pula sibuk dengan kerja dia. Tak ada kawan nak berborak-borak. Tapi, kalau mama tidur sini macam mana dengan papa? Dia tahu ke mama nak tidur sini? Baju mama pula, ada bawa?”

“Hmm, baju tu semua mama dah paking awal-awal. Tentang papa pun mama dah maklumkan. Dia okey aje tapi dengan syarat, untuk semalam saja. Takutlah tu mama bermalam dekat sini lama-lama. Takut tak ada yang teman tidur,” ujar Puan Juriah selamba.

Serentak mereka sama-sama ketawa. Dalam hati Sakinah berasa lega. Malam ini dia adalah kawan hendak berbual sementara Idham tiada di rumah. Dia sudah kebosanan duduk dirumah tanpa berbuat apa-apa, tambahan lagi saat ketiadaan suami.


~*~*~*~*~*~


Sakinah keluar dari bilik air seusai mengambil wuduk. Tadi ralit benar dia melayan emak mertuanya berbual sehingga jarum jam ke pukul 11.30 malam. Menyedari hal itu terkocoh-kocoh dia naik ke tingkat atas mahu menunaikan solat Isyak. Sejadah segera dibentang, kemudian dia capai pula telekung.

Sewaktu dia hendak menyarung telekung, naluri dapat merasakan ada seseorang sedang memerhati. Ya, ada sepasang mata disudut biliknya sedang memerhati setiap gerak gerinya. Dia cuba menafikan perasaan yang mula bercampur baur. Diri cuba ditenangkan walaupun bulu roma sudah menegak.

‘Aku tak kacau kau, jadi kau jangan kacau aku. Pergi kau jauh-jauh syaitan! Aku takkan tunduk pada kau. Aku hanya akan tunduk pada TUHAN aku yang satu iaitu ALLAH! Pergi! Pergi kau dari sini!’ jerit batin Sakinah.

Tanpa mempedulikan, Sakinah terus berdiri tegak menghadap kiblat. Penuh khusyuk dia menunaikan solatnya. Persetanlah pada makhluk yang cuba menganggunya itu.

Usai solat dan mengaji Sakinah menanggalkan telekung.  Wajah diusap beberapa kali, jiwanya sedikit tenang. Dia bangun mahu menggantung kembali telekung serta sejadah di tempat khas. Langkah kakinya terhenti dihujung katil. Telapak kakinya terpijak lantai yang dibasahi oleh air. Dari mana datangnya air ini?

“Ya Allah… dia benar-benar ada di sini tadi ke?” Sakinah berkata perlahan.

Untuk sekian kalinya, bulu roma Sakinah menegak. Matanya teragak-agak mengelilingi segenap ruang bilik. Tidak lama, mata dipejam kuat-kuat. Cuba mengusir perasaan takut yang mulai bertandang. Telinganya seperti dapat mendengar bisikkan namanya dipanggil berkali-kali. Suara itu begitu mendayu-dayu. Dia cuba mengusir suara itu jauh dari halwa telinganya.

“Pergi! Tolong jangan ganggu aku lagi. Tolonglah!” Terkumat-kamit mulutnya.

Tuk! Tuk! Tuk!

Mendengar ketukkan di pintu, pantas dia mencelik semula. Dia tercengang seketika.

“Sakinah!” Puan Juriah melaung namanya dari luar.  

Dahi yang basah dengan peluh segera diseka.

“Ya… ya, ma. Masuklah. Pintu tak kunci.”
           
Pintu di kuak dari luar. Terjengul wajah Puan Juriah sebaik pintu terbuka. Wanita itu tersenyum padanya. Dia membalas senyuman mertuanya, namun juring mata sempat menoleh ke lantai. Kering. Tidak berair seperti tadi. Keluhan lega lepas dari mulutnya. Perasaannya saja agaknya…
          
 “Kinah.”
            
“Ya, ma?”
            
“Boleh mama masuk?”
           
Tangan tua milik Puan Juriah ditarik, masuk ke dalam bilik. Sampai dibirai katil, bahu wanita tua itu ditolak lembut agar duduk.
           
“Eh, masuk ajelah ma. Buat apa minta izin. Rumah ni, rumah mama juga. Jadi, bilik ni pun bilik mama juga.”
            
Puan Juriah ketawa mendengar kata-kata menantunya. “Mama takut ganggu Kinah aje.”
            
“Apa pula ganggu, ma. Tak ganggulah. Mama masuk sini sebab nak tidur dengan Kinah ke?” Sakinah sengaja menduga.
            
Puan Juriah senyum dan mengangguk. “Boleh?”
            
Sakinah serba salah hendak menjawap. Bukan dia tidak benarkan mertuanya tidur sebilik dengannya. Tetapi, dia khuatir jika mengalami mimpi-mimpi ngeri seperti malam sebelum ini dan meracau-racau. Khuatir tidur mertuanya akan terganggu dan akan tertanya-tanya tentang dirinya. Apa yang dia hendak terangkan nanti?
            
“Kinah? Boleh ke mama tidur sini?” Sekali lagi Puan Juriah bertanya apabila tiada respon dari menantunya.
            
“Err… Boleh, ma.” Sakinah menjawap perlahan. Dalam hati dia berdoa agar malam ini dia diberi pengecualian dari mimpi menakutkan seperti malam sebelumnya. Amin…  


~*~*~*~*~*~


Alhamdulillah. Malam tadi tiada mimpi menakutkan di dalam tidurnya. ‘Benda’ itu seolah-olah faham dengan kehendaknya. Sedang dia merapikan cadar tilam, telefon pintar di meja kecil bersebelahan katil berbunyi.
           
Idham!
            
Pantas di mengangkat panggilan itu. Punggung dilabuhkan ke birai katil.
            
“Assalammualaikum, abang!”
            
“Wa’alaikumsalam, sayang. Macam mana isteri abang hari ni? Mama mesej abang beritahu Kinah demam semalam. Kenapa Kinah tak beritahu abang?” Suaminya bertanya dalam nada perlahan bercampur gusar.
            
Sakinah senyum.
            
“Alhamdulillah. Kinah okey. Demam pun dah kebah. Bukan tak nak beritahu abang. Kinah cuma tak nak abang risau disebabkan hal remeh-temeh ni. Hmm, abang nanti Kinah dengan mama nak pergi shopping sama-sama. Kebetulan abang telefon ni, Kinah nak minta izin?” Sakinah lantas menukar topik perbualan. Suara dilembutkan agar perasaan si suami terpujuk.
            
“Hmm… Orang perempuan ni kalau dah berkumpul, tak lain tak bukan shopping aje. Abang izinkan. Tapi, sayang ni betul-betul dah sihat ke?”
            
“Ya, abang. Kinah dah sihat,” jawap Sakinah berserta dengan ketawa kecil. Sungguh dirinya beruntung bersuamikan Idham yang sentiasa mengambil berat.
            
“Yalah. Hati-hati masa drive nanti ya sayang. Kalau rasa tak boleh drive, beritahu mama suruh Pak Mat hantarkan. Abang tak nak apa yang terjadi sebelum ni berulang lagi. Abang sayang Kinah.”
            
Semakin lebar senyumannya.
            
“Kinah pun sayang abang.”
            
“Okeylah sayang. Abang kena off dulu, dah nak mula meeting ni. Jumpa lusa nanti sayang. I miss you so much, darling.”
           
Miss you too, abang. Elok-elok kerja. Assalammualaikum.”
           
“Wa’alaikumsalam.” Talian dimatikan.



Macam biasa, sambung lagi......

~Assalammualaikum. Hai readers! Jemput baca sambungan cerpan Suara Roh (Part 3). Pada yg dah baca arigato! Maaf jika cerita ni bnyak kekurangan. Maaf juga sebab lambat hapdate. Drop komen di bawah jika sudi. ^_^




                       
           
             


           
           



Rabu, 22 Oktober 2014

Cerpan : Dengarlah Bintang Hatiku... ( Part 4 )



“Uitt! Rajinnya… anak siapa ni?” Aminah mencuit pinggang Nurul Ain yang ralit menggam plastik pembungkus kerepek. Sampai terlatah gadis itu dibuatnya.

“Opocott mak kau!” Nurul Ain pantas menutup mulutnya. Merona kulit wajahnya akibat malu dilihat beberapa orang mak cik yang juga berada di situ. Dia sengih saja bagi kepada mereka bagi menutup malu. Pandangan terarah kepada Aminah yang sibuk menutup mulut.

Terkekeh-kekeh Aminah ketawa tetapi dengan suara perlahan. Pantas Nurul Ain menegakkan jari telunjuk ke dua ulas bibirnya. Mata dipicingkan ke arah sahabatnya itu. Aminah ini kalau sudah ketawa jadi tidak ingat dunia.

“Syhhh… diamlah. Nanti kena marah baru tau! Eee… Kau ni kan Minah, buat aku malu ajelah. Lain macam aje mak cik-mak cik ni tengok aku tadi. Kaulah!” bisiknya dengan nada kegeraman.

Opss… Sorry…”

 Aminah tayang sengih. Kelopak mata dikelip-kelip konon buat muka comel. Kedua-dua belah tangan diangkat dan dirapatkan. Sebagai tanda meminta maaf. Nurul Ain hanya menjeling sahabatnya itu. Kalau tidak disebabkan kerja sudah dipicit-picit pipi Aminah yang gebu tu. Geram!

“Kau ke sini ni… dah siap ke kerja goreng kerepek?”

Aminah membiarkan dahulu soalan gadis itu. Dia mengambil sarung tangan plastik dan menyarungkan kedua-dua belah tangannya.

“Belum siap. Mak Cik Siah ganti tempat aku. Dia suruh tolong bahagian sini pula.”

Lincah tangan Aminah memilih kerepek ubi lalu dimasukkan ke dalam plastik pembungkus kerepek. Nurul Ain membiarkan saja sahabatnya itu melakukan kerja. Dia turut menyambung kerja menggam plastik berisi kerepek yang sudah siap ditimbang.

 “Eh, Ain…”

  Nurul Ain menoleh. Dia mengangkat sebelah kening.

 “Hmm?”

“Tadi aku dengar-dengar, mulai esok anak saudara Encik Azhari akan uruskan kilang. Tapi untuk sebulan lebih gitulah. Encik Azhari kan nak ke Australia tengok anak dia yang belajar dekat sana.”

Berkerut dahi Nurul Ain.

“Dari mana kau dengar?” Dia bertanya sekadar berbahasa basi.

“Dari Mak Cik Siah dengan Kak Ton. Dia orang kata, hari tu anak saudara Encik Azhari tu pernah ke sini. Abang Johan bawa tengok keliling kilang. Masa tu kita cuti, jadi tak dapat jumpa dialah. Dia orang kata lagi, anak saudara Encik Azhari tu boleh tahan hensem tau.” Cerita Aminah dengan rasa teruja.

“Oh…” pendek saja jawap Nurul Ain. Bukan dia berminat pun. Sekadar hendak melayan Aminah berbual saja.

“Aku rasa tak sabar pula nak tengok orangnya. Hensem tu macam siapa? Macam Fahrin Ahmad ke? Macam Aaron Aziz ke? Atau, macam Nazim Othman? Wah, tak sabarnya!” ujar Aminah sudah terbayang-bayang wajah aktor lelaki kegemarannya.

Nurul Ain sekadar mendengar dan tidak mencelah. Dia senyum dan menggeleng dengan gelagat sahabatnya itu.

“Ain, kau rasakan rupa anak saudara Encik Azhari tu macam mana ya? Hensem macam siapa?” Lengan Nurul Ain disenggol. Sebelah kening sudah terangkat-angkat. Beriya benar Aminah hendak tahu jawapan darinya.

Nurul Ain mengangkat bahu. Tanda tidak tahu dan tiada klu langsung tentang rupa orang tersebut.

“Manalah aku tahu Minah. Bukan aku pernah jumpa dia pun. Lainlah kalau aku dah jumpa. Boleh banding-bandingkan dia dengan pelakon-pelakon pujaan kau tu semua.”

Aminah cebirkan bibir mendengar jawapan gadis itu.

“Kau ni Ain… Tak membantu langsung! Tapi, tak apa. Tengok esok ajelah rupa dia macam mana. Wah, tak sabarnya!”

Nurul Ain buat tidak dengar saja. Buat kerja lagi bagus. Dia mengangkat kotak yang sudah penuh berisi dengan bungkusan kerepek. Kotak itu ditenggekkan ke atas kotak lain.


~*~*~*~*~*~*~


“Ain!” Terhenti langkah Nurul Ain yang hendak ke tandas. Dia berpaling ke belakang. Johan menggamit supaya dia mendekat. Tanpa banyak soal, dia terus melangkah ke arah jejaka itu.

 Senyum diberikan kepada supervisor muda itu.

“Ya, Abang Joe?”

“Nak ke mana ni?” tanya Johan berbahasa basi.

“Nak ke toilet, basuh tangan.”

Jejaka itu mengangguk faham.

“Oh ya, minggu lepas hari Sabtu Ain tak ada buat OT, kan?”

Nurul Ain menggeleng. Serentak itu berkerut dahinya. Kerja lebih masa di kilang ini dilakukan secara bergilir-gilir. Minggu lepas bukanlah gilirannya dan Aminah.

“Tak ada, bang. Sebab minggu lepas bukan giliran Ain dengan Aminah ambil OT. Err… kenapa?”

Johan diam tidak menjawap. Entah kenapa dia suka pula melihat reaksi gadis bertudung merah jambu itu. Biarpun berkerut dahi, Nurul Ain tetap nampak comel. Gadis ini tidaklah secantik mana tetapi seperti ada daya tarikkan di matanya.

Nurul Ain yang merasa wajahnya ditenung, berasa tidak selesa. Kenapa pula dengan Johan? Wajahnya comotkah? Pantas dia mengesat hujung lengan baju ke pipi. Kemudian, dikerling lengan bajunya. Tiada kesan apa-apa. Dia berdeham kecil.

“Ehem… Abang Joe?” Tangan dilambai-lambaikan ke hadapan wajah Johan. Supaya lelaki itu sedar.

Johan bagai tersedar dari lamunan.      
 
“Kita dekat mana tadi ya?” tanyannya, apabila dia samar-samar tentang arah perbualan mereka tadi. Itulah sibuk merenung anak dara orang.

“Err… Tadi abang tanya Ain tentang OT hari Sabtu lepas. Ain memang tak ambil OT hari tu sebab bukan giliran. Minah pun sama,” jelas Nurul Ain sekali lagi.

Johan ketawa kecil. Dahi ditepuk perlahan. “Oh ya, tentang tu. Sebenarnya masa hari tu bos sementara kita ada datang. Hari ni dia ada datang juga. Tapi dia ke kereta sekejap, ada tertinggal barang katanya. Abang dah perkenalkan dia kepada semua staff yang ada hari tu. Tinggal Ain dengan Aminah aje. Haa, itu dia dah sampai…” Johan lantas melebarkan senyuman dan menoleh ke belakang Nurul Ain.

Nurul Ain juga pantas memusingkan tubuhnya. Di matanya jelas kelihatan susuk tubuh seorang jejaka yang sedang berjalan ke arah mereka. Dia sedikit terkesima apabila bertembung pandangan dengan jejaka itu. Dia… Dia… Bukankah jejaka ini yang memercikkan air lecak ke atasnya dulu? Apa dia buat di sini?

“Encik Ameer, kenalkan ini Nurul Ain. Salah seorang staff di sini. Ain, inilah Encik Ameer Qalish, anak saudara Encik Azhari yang saya cakap tu. Kelmarin masa encik datang, Ain tak bekerja sebab bukan giliran dia OT minggu lepas.”

Ameer Qalish menghadiahkan senyuman buat gadis itu. Akan tetapi, gadis itu hanya membalas dengan senyuman acuh tidak acuh saja. Tidak sangka mereka akan berjumpa lagi untuk kali ketiga. Sekali lagi jodoh berpihak kepada mereka berdua.

“Hai, saya Ameer Qalish.” Tangan dihulurkan.

Nurul Ain hanya pandang saja huluran tangan jejaka itu. Tiada niatnya hendak sambut. Bukankah bukan mahram tidak boleh bersentuhan? Mungkin dia lupa, Nurul Ain menyedapkan hati.

“Saya Nurul Ain. Salah seorang pekerja di sini. Err… Maaf.” Nurul Ain memperkenalkan diri.

Johan yang melihat keadaan itu sudah serba salah.

“Encik Ameer…”

Ameer Qalish senyum. Dia menjatuhkan kembali tangannya. Dia tidak ambil hati. Salahnya. Dia terlupa bahawa perempuan dan lelaki yang bukan mahram tidak boleh bersentuhan. Haram hukumnya.

“Tak perlu minta maaf. Saya yang terlupa tadi. Khilaf saya.” Tenang saja Ameer Qalish berkata.

Nurul Ain berasa lega jejaka di hadapannya ini memahami. Bukanlah niatnya hendak membuat anak saudara kepada majikkannya itu berkecil hati.

“Tak apa, Encik Ameer. Biasalah, kita sebagai manusia biasa sering saja lupa, kan? Sepatutnya kita sesama makhluk TUHAN lah perlu saling mengingati pada yang alpa,” ujar Johan sambil ketawa kecil. Bagi menceriakan suasana yang suram tadi.

“Ya, betul tu Johan.” Ameer Qalish bersetuju. Dia senyum sambil matanya tidak lepas dari gadis di hadapannya ini.

Dada yang berdgup kencang cuba diredakan. Setiap kali bertemu secara tidak sengaja dengan Nurul Ain pasti dadanya buat hal. ‘Bertenanglah wahai hati…’

Nurul Ain merasakan tidak selesa apabila berada diantara dua jejaka ini. Apatah lagi apabila jejaka bernama Ameer Qalish ini asyik memandangnya. Kalaulah dia adalah halimunan, sesaat saja dia sudah menghilangkan diri. Hendak terus berlalu dari situ seperti tidak manis pula. Walaupun jejaka ini hanya pengurus sementara di kilang ini, dia bertaraf majikkan mereka juga. Jadi, perlulah dihormati seperti mana dia hormat Encik Azhari.

Johan pula dari tadi sudah perasan bahawa anak saudara Encik Azhari ini asyik merenung Nurul Ain. Rasa cemburu mulai menyelinap ke dalam diri. Dalam pada masa yang sama, dia juga seperti dapat merasakan sesuatu yang aneh pada mereka berdua ini.

“Err… Encik Ameer, boleh kita teruskan agenda melawat kilang?” tanya Johan tiba-tiba.

“Ya, sure. Hmm, Nurul Ain jumpa lagi nanti ya.” Walaupun berat hati, Ameer Qalish terpaksa juga mengatur langkah. Sebelum melangkah, sempat juga dia melemparkan senyum mesra kepada gadis itu.

Nurul Ain terkesima melihat senyuman jejaka itu. Lidahnya kelu tidak terkata. Matanya pula bagai terpaku untuk terus mengekori setiap langkah Ameer Qalish. Kenapa… kenapa dia seperti berminat dengan jejaka itu pula? Hish! Sedar Ain… Berpijak di bumi yang nyata, okey!

“Ain!” Sergah Aminah di belakangnya. Terkejut Nurul Ain. Mujur kali ini dia tidak melatah. Matanya tajam merenung sahabatnya itu. Aminah sengih saja.

“Apa hal kau tercegat dekat sini lagi ni? Tadi kata nak basuh tangan.”

“Nak pergilah ni. Tadi Abang Joe panggil aku. Dia kenalkan dengan bos sementara kita.”

What?! Alah, kenapa tak cakap awal-awal? Hish, melepaslah aku nak kenal dengan dia. Ain… Ain… Siapa nama dia? Hensem tak rupa dia?” Aminah menggoncang lengan Nurul Ain dengan rasa tidak sabar.

Nurul Ain malas hendak melayan kerenah sahabatnya hanya mengangkat kedua-dua belah bahu. Bibir pula dicebir. Langsung dia tidak berminat hendak memperkatakan tentang jejaka itu. Aminah pula tidak habis-habis dengan soal itu dari semalam.

“Nama dia, Ameer Qalish. Rupa? Entah. Biasa aje kot.” Dia terus melangkah menuju ke tandas. Aminah pula mengekorinya dari belakang.

“Ain!”


~*~*~*~*~*~


Rambut yang basah lantas dikeringkan dengan tuala kecil. Kemudian, Nurul Ain duduk di hadapan meja solek dan menyisir rambutnya yang masih lembab. Sambil dia menyisir rambut, sambil itu juga dia teringat peristiwa sewaktu di kilang tengah hari tadi.

“Ameer Qalish,” serunya dengan dahi berkerut.

Ya, jejaka itulah yang menyebabkan dia kebasahan secara tidak sengaja dulu. Habis bajunya terkena percikkan lecak. Kecil sungguh dunia ciptaan-Nya ini. Dia tidak sangka akan bertemu lagi dengan jejaka itu. Sungguh dia tidak sangka.

“Patut ke aku marah dia lagi disebabkan hal dulu? Disebabkan dialah aku balik dalam basah. Eh, tapikan aku dah maafkan dia. Buat apa nak marah lagi, kan? Lagi pun dia bukan sengaja pun. Plus, dia dah minta maaf masa tu.” Nurul Ain berkata seorang diri. Betul dia sudah memaafkan jejaka itu sewaktu ibu memintanya berbuat begitu.

Dia bangun menuju ke tempat khas tuala. Tuala kecil di tangannya disidai dengan rapi. Setelah itu, tubuh yang letih dihempas ke tilam. Matanya merenung siling putih, kosong.

“Tadi, aku tengok macam dia tak ingat apa-apa tentang kejadian dulu aje. Harap-harap dia tak ingatlah. Malaslah nak panjangkan cerita dah lapuk ni. Lagi-lagi nak ingat cara aku marah dia dulu. Adui… malunya!” Bantal dicapai dan dipekup ke muka.

Terimbau kembali saat kejadian itu di ingatannya. Wajahnya sudah bertukar rona merah. Oleh kerana terlalu geram dan sakit hati, tanpa sedar telah terikut rasa marahnya. Ameer Qalish juga telah diberikan pesanan penaja dengan sinis sekali. Tambahan lagi, jejaka itu siap dijeling dan dijelir lidah lagi! Malu rasanya hendak berdepan dengan anak saudara majikkannya itu di hari mendatang.

“Buruknya perangai kau Ain! Itulah, ikut sangat rasa marahkan. Tak pasal-pasal termalu sendiri. Hish!” Nurul Ain memarahi diri.

Dia berdoa dalam hati, agar Ameer Qalish sudah melupakan kejadian itu. Amin!



Bersambung lagi....


~Assalammualaikum. Hai semua! Jemputlah baca sambungan cerpan DBH ni ya. Maaf lambat up cerita ni, maaf juga bagi yg menunggu ira up bagai menunggu durian jatuh ni. hehe. Drop komen dibawah kalau sudi. Enjoy reading sayang2!! ^_^