Terkekeh-kekeh
Nurul Ain ketawa melihat lakonan Johan di dalam rancangan Edisi Khas, TV3.
Rancangan ini sememangnya rancangan kegemarannya. Apatah lagi ada Johan adalah
artis pelawak kesukaannya. Lawak Johan cukup menjadi dan membuatkan dia gelak
tidak kering gusi. Ibu sibuk menyudahkan lipatan kain baju yang sudah kering.
Sambil-sambil itu ibu juga turut menonton. Abah pun turut menyertainya menonton
rancangan tersebut.
“Bang, jadi ke kawan awak nak ke
mari?” tanya ibu. Tangannya masih lagi dengan kerja melipat kain.
Abah menoleh sekilas. “Jadi. Tapi
katanya dia mungkin lambat sikit. Ada urusan yang perlu diuruskan dulu. Selepas
tu, baru dia ke mari,” jawap abah.
“Oh… Tak apalah, janji dia jadi ke
rumah kita ni. Saya dengan Ain pun dah rancang nak masak lauk yang istimewa
sikit. Nak sambut tetamu merangkap kawan baru abang tu…”
“Apa yang awak rancang nak masak,
Pah?”
Nurul Ain, walaupun matanya fokus
pada televisyen, dia juga menelinga perbualan antara abah dan ibu. Semua
berkisah tentang kedatangan tetamu abah hujung minggu nanti. Siapalah agaknya
gerangan orang itu? Teringin pula dia hendak tahu.
“Hmm… Saya ingat nak masak nasi
beriani, ayam kurma dengan pajeri nanas. Sesuai ke menu tu, bang?” tanya ibu
semula. Ketiga-tiga menu itu telah disepakat dengan Nurul Ain. Tinggal mahu
kelulusan suaminya saja.
“Sesuai sangatlah tu, Pah. Sesekali
masak yang sedap-sedap untuk tetamu apa salahnya. Lagi pun dia tu orang baru di
sini kenalah raikan. Pah jangan risau… nanti abang bantu awak dan Ain masak
sekali ya?” Abah bersetuju dengan menu yang diutarakan ibu.
Ibu senyum senang hati. Laju saja
kepalanya mengangguk. Bangga dia kerana suaminya seorang yang tidak ringan
tulang membantu memasak dan melakukan kerja rumah. Bertuah badan mendapat suami
seperti suaminya. Tidak salah pun jika suami meringankan tulang membantu
isteri. Rasulullah S.W.T sendiri membantu Saidatina Aisyah melakukan kerja
rumah. Takkan kita manusia biasa tidak boleh lakukan?
“Siapa nama tetamu abang tu? Muda ke
dah berumur?” tanya ibu lagi.
“Orangnya muda lagi. Nama dia,
Ameer. Abang tak tahu pula nama panjangnya apa. Tak tanya. Cuma tahu nama
pendek aje. Budaknya pun nampak macam budak baik,” cerita abah.
Fikirannya
terkenang kepada pemuda bernama Ameer itu. Orangnya kelihatan seperti orang
baik-baik. Kalau tidak masakkan mereka boleh bertemu di masjid. Penampilannya
juga terjaga dan sentiasa terurus. Selama dia mengenali anak muda itu, dia
sangat senang dengan sifatnya. Hormat orang tua dan tidak kekok untuk bergaul
dengan orang-orang di dalam masjid. Cuma, suatu permintaan Ameer terhadap
dirinya membuatkan dia sedikit runsing. Bolehkah dia lakukan, padahal dia
bukanlah orang yang pandai sangat dalam bab agama?
Nurul Ain pula seakan terkesima
mendengar nama itu disebut. Ameer? Ameer Qalish? Serta merta dia teringat si
empunya raut wajah. Mungkinkah orang yang dimaksudkan abahnya itu Ameer Qalish?
Ah, tidak mungkinlah! Kan banyak lagi orang yang bernama Ameer. Bukan anak
saudara majikannya saja.
“Ya ke, bang? Tak sabar pula saya
nak tengok. Mesti elok orangnya, kan bang?”
Abah mengangguk dan senyum nipis.
“Kalau ikut mata abang, budaknya
memang nampak baik. Tak sombong nak berborak dengan orang-orang sini. Peramah
sangat. Murah dengan senyuman. Cuma dia ada permintaan. Abang tak pasti boleh
lakukan ke tidak.”
Dahi ibu sudah berkerut. Tangannya
yang melipat kain terhenti lagi. Nurul Ain juga seperti ibunya. Pendengarannya
diperjelaskan lagi. Dia tertanya-tanya, apakah permintaan lelaki itu?
Harap-harap permintaan itu bukanlah permintaan yang bukan-bukan. Dan, tidak
berat untuk ditunaikan abahnya.
“Permintaan apa, bang? Cuba cerita
sikit dengan saya.”
Terdengar keluhan dari mulut abah.
Keluhan yang berat sekali. Seperti menanggung masalah yang amat besar.
“Sebenarnya budak tu ada buat
permintaan dengan abang. Dia minta abang ajarkan dia untuk mendalami ilmu agama
kita. Abang… abang tak pasti sama ada boleh ajar dia atau tidak. Abang sendiri
masih berguru dengan Imam Mahad. Abang ada juga cadangkan suruh dia berguru
dengan Imam Mahad saja, tapi dia berkeras nak abang ajar juga. Abang bukan
lokek untuk berkongsi ilmu. Cuma, nak mengajar orang ni kena penuh ilmu di
dada, Pah. Terutama sekali bab-bab yang menyentuh agama suci kita. Kalau salah
mengajar takut terpesong pula. Itulah yang abang takutkan…”
Oh, itu saja permintaan lelaki itu. Bukanlah
permintaan yang berat atau bukan-bukan pun. Nurul Ain tersenyum bercampur lega.
Dia bangga dengan abah yang suka merendah diri walaupun banyak belajar. Dalam
pelajaran ini kita janganlah terlalu mendongak ke langit sangat. Sentiasalah
merendah diri dalam menuntut ilmu dan bertanya pada guru atau yang lebih mahir.
Sekiranya seseorang itu banyak bertanya, nescaya akan menjadikan diri semakin
baik berbanding dengan orang yang berdiam diri saja. Nurul Ain terpanggil untuk
menyampuk.
“Abah… apa kata abah terima saja
permintaan orang tu. Bukannya dia minta benda buruk pun, bah. Benda baik. Nak
mendalami ilmu agama Islam. Insya-Allah, abah pasti akan dapat ganjaran pahala.
Kalau abah rasa ragu-ragu dalam sesuatu hal, abah rujuklah pada Imam Mahad. Tak
pun abah bawa dia pergi jumpa imam, minta imam sendiri yang terangkan. Abah…
Ain yakin. Abah boleh buat punya!” Nurul Ain cuba meyakinkan abahnya.
Abah terdiam. Memikirkan kebenaran
kata-kata Nurul Ain. Ibu pula terangguk-angguk kepalanya bersetuju dengan
kata-kata Nurul Ain itu.
“Lagi pun abah, berkongsi ilmu agama
adalah satu dakwah. Dakwah untuk membawa atau memimpin orang yang kita ajar ke
jalan Allah. Macam-macam manfaat yang abah dapat nanti selain orang yang abah
ajar tu. Antaranya abah sendiri boleh mempertingkatkan lagi pengetahuan dalam
hal-hal yang tak berapa mahir dengan bertanya kepada orang lebih
berpengetahuan, contoh Imam Mahad. Bak kata orang putih, the more you give, the more you get.”
Abah senyum. Tangannya lantas
mengelus rambut panjang Nurul Ain.
“Bijak anak abah! Pandai Ain cuba
yakinkan abah ya. Siap dengan bahasa Inggeris bagai lagi,” puji abah.
Nurul Ain sengih panjang.
“Tengoklah anak siapa! Anak abah
dengan ibu juga, kan? Ain bijak pun disebabkan abah, ibu dan cikgu-cikgu dekat
sekolah yang selalu bimbing. Terima kasih… Jadi, abah setuju nak jadikan orang
tu murid abah?”
Abah mengangguk laju.
“Alhamdulillah…” ucap Nurul Ain dan
ibu serentak.
Nurul Ain, ibu dan abah tersenyum sesama sendiri. Syukur, Alhamdulillah. Akhirnya abah terima juga permintaan kawan barunya itu. Benda yang baik perlulah diterima tanpa ragu-ragu.
~*~*~*~*~*~
“Ibu,
kawan abah tu masih tak datang lagi ke?” tanya Nurul Ain yang muncul di pintu
dapur.
Dia
baru saja selesai menghantar lauk-pauk ke rumah jiran mereka. Kebiasaannya jika
mereka memasak masakan yang agak istimewa, makanan itu bakal dikongsikan dengan
jiran tertangga. Biarlah berkongsi rasa dan rezeki sesama sedikit. Dan, ia
umpama mereka bersedekah terhadap jiran tertangga. Selain dapat merapatkan
hubungan silaturahim antara jiran tertangga.
“Belum
lagi. Sekejap lagilah kut. Kata abah dalam pukul dua belah setengah gitu. Alah,
sekejap lagilah tu Ain,” jawap ibu sambil sibuk mengacau ayam kurma di dalam
periuk.
Jag
kaca di dalam kabinet dikeluarkan. Dia hendak membancuh air Sunkiss seperti
diarahkan ibu tadi terlebih dahulu. Nanti senang, tinggal letak ais saja. Dalam
pada Nurul Ain dan ibunya sibuk menyiapkan hidangan, bunyi hon kereta
kedengaran di luar rumah. Terhenti seketika pekerjaan mereka.
“Haa,
sampai dah tu. Ain, nanti air dah mendidih bancuhkan kopi ya. Ibu nak ke depan
sekejap. Nak tengok kawan baru abah tu,” pinta ibu dengan nada teruja. Api
dapur ditutup.Periuk berisi ayam kurma ditutup dengan tudung periuk.
“Baik,
ibu.”
Nurul Ain teringin juga hendak
melihat siapakah gerangan lelaki itu. Tetapi, arahan ibu membantutkan niatnya.
Lagi pula, dia berasa tidak manis jika terlalu beria sangat hendak lihat. Apa
pula kata tetamu abahnya nanti. Cerek tiba-tiba berbunyi ‘prittttt….’
Cepat-cepat apinya dimatikan. Dia lantas membancuh kopi pula. Beberapa minit
kemudian barulah ibu masuk semula ke dapur. Bibir wanita itu lebar dengan
senyum dan nampak lain macam saja
senyumnya. Seperti ada sesuatu yang membuatkan ibunya begitu. Hairan Nurul Ain.
“Ibu senyum-senyum ni, kenapa?”
Ibu tetap senyum. Lantas merapati
Nurul Ain.
“Entah kenapa, rasa sejuk mata ibu tengok kawan
abah tu. Nampak baik-baik saja orangnya. Rupa dia pun boleh tahan hensem
macam abah Ain juga. Hehehe…” ujar ibu dalam berbisik. Di hujung katanya ibu
ketawa kecil.
Hmm, itu rupanya buat ibu tersenyum
lebar. Mendengar kata-kata ibu membuatkan Nurul Ain bagai tidak sabar hendak
melihat orangnya. Namun, perasaan itu disabarkan saja. Nurul Ain hanya senyum
saja membalas kata-kata ibunya.
“Ibu, air Ain dah siapkan. Kuih pun
Ain dah susun dalam piring.”
“Oh ya, jomlah kita hidangkan ke
depan.”
“Err… ibu ajelah keluar. Ain segan.
Biar Ain buat apa yang patut dekat dapur ni.” Entah kenapa Nurul Ain tiba-tiba
berasa segan hendak keluar. Tadi beria sangat, sekarang segan pula. Jantungnya
pula tiba-tiba saja berdegup kuat tanpa sebarang isyarat.
“Lah… Hari tu kata Ain nak tengok juga
orangnya macam mana. Lagi pun semua kerja dah siap, tinggal nak hidang aje
nanti. Dah, cepat pakai tudung tu. Jom kita keluar sama-sama,” gesa ibu.
Nurul Ain kelam kabut mencapai
tudung sarungnya yang digantung di penyandar kerusi. Tudung itu pantas disarung
ke kepala. Dulang berisi seteko kopi yang dibancuh tadi, lantas ditatang. Ibu
pula membawa piring kuih. Mereka berjalan seiring. Namun, sampai dipertengahan
jalan menuju ke ruang tamu langkah Nurul Ain terhenti. Dia seperti terdengar
suara abah berbual dengan seseorang. Dan, suara seseorang itu seperti pernah
dia dengar. Tidak mungkin dia!
“Ain, kenapa ni? Ain…” tegur ibu.
Lengan anaknya digoncang. Hairan dia dengan Nurul Ain yang tiba-tiba saja
berdiri tegak di situ.
Nurul Ain tersedar. “Err… Ya, ibu?”
“Ain tak sihat ke?”
“Eh, tak adalah, bu. Ain okey aje.
Jomlah, bu.”
Mereka kembali jalan seiring.
Semakin dekat, semakin berdegup laju pula jantungnya. Ya Allah, kenapa dengan
aku ni? Rasa tak sedap hati saja, omel Nurul Ain dalam hati.
“Abang, nak Ameer… Jemput minum. Air
pun dah siap ni.”
Nurul Ain bagai terpaku di situ.
Bibirnya pula bagai terkunci rapat untuk berkata-kata. Dia memandang tajam ke
arah tetamu abahnya, dan lelaki itu juga melakukan perkara yang sama. Mereka
saling berpandangan seketika. Masing-masing membisu seribu kata. Hanya
pandangan menjadi isyarat bahasa mereka. ‘Bagaimana dia boleh ada di sini?’
Soalan hati Nurul Ain dan Qalish dalam diam. Sungguh perjumpaan ini tidak sama
sekali dijangka.
“Err… Nurul Ain!” tegur ibu yang
sudah pun melabuhkan punggung di sebelah abah.
Nurul Ain tersentak.
“Ya… ya, bu?” terketar-ketar suara
Nurul Ain.
“Hidangkan airnya,” arah ibu.
Nurul Ain mengangguk. Dulang berisi
air kopi diletakkan ke atas meja. Satu persatu cawan dituang dengan air kopi
yang masih berasap. Kemudian, cawan yang sudah berisi disusun pula di hadapan
abah, ibu dan lelaki bernama Ameer Qalish itu. Sewaktu menyusun cawan Nurul Ain
langsung tidak mengangkat wajah. Dia hanya fokus dengan kerjanya. Namun, dia dapat
merasakan bahawa Ameer Qalish sedang merenungnya dari tadi.
Ameer Qalish, sungguh dia tidak
menyangka akan bertemu dengan Nurul Ain di rumah bakal guru agamanya. Dia juga
tahu, pasti Nurul Ain terkejut melihatnya di sini. Lihat saja reaksi pertama kali
mereka bertentang mata tadi. Entah kenapa saat ini dia ralit memerhati wajah
putih bersih milik Nurul Ain sedang melakukan kerja. Bagai tidak boleh lepas
biji matanya di situ. Tenang dan damai dapat dia rasakan. Namun, teguran Pak
Hassan membuatkan dia segera mengalihkan pandangan ke arah lelaki berusia itu.
“Ameer, inilah keluarga kecil pak
cik. Pak cik, isteri pak cik, Arfah dan anak dara pak cik, Nurul Ain,” abah
memperkenalkan keluarganya kepada anak muda itu.
Ameer Qalish hanya senyum dan
mengangguk.
“Err… ibu, abah. Ain masuk ke dapur
dulu ya.” Nurul Ain pantas meminta diri. Dia bukan terus ke dapur, tetapi dia
menyorokkan diri disebalik dinding yang berdekatan dengan ruang tamu. Dia ingin
mendengar perbualan antara ibu bapanya dan Ameer Qalish.
“Nurul Ain satu-satunya anak yang
kami ada. Dialah penawar, dialah racun dan dia juga harapan kami suami isteri.
Nurul Ain lepasan SPM dan sedang menunggu keputusan universiti. Sebelum
mendapat keputusan dia bekerja di kilang memproses kerepek dekat pekan sana,”
cerita abah lagi. Pipi Nurul Ain memerah. Tidak dia sangka abah akan membuka
cerita tentang dirinya kepada lelaki itu. Dia merasakan bahawa tiada keperluan untuk abah bercerita tentang dirinya kepada Ameer Qalish.
“Sebenarnya saya dah pun kenal
dengan Nurul Ain, pak cik… mak cik,” ujar Ameer Qalish berterus terang.
Nurul Ain pula hanya ketap bibir
mendengarnya.
“Oh, ya ke? Di mana nak Ameer kenal
dengan Nurul Ain?” tanya ibu.
“Kilang memproses kerepek yang Nurul
Ain kerja tu adalah kilang pak cik saudara saya. Pak cik saya ke luar negara.
Sementara tu sayalah yang membantu dia tengok-tengokkan kilang itu. Dari
situlah saya kenal dengan Nurul Ain, pak cik, mak cik…” terang Ameer Qalish
berserta senyum di bibir.
Abah dan ibu saling berpandangan
sesama sendiri. “Oh, kisahnya…”
“Dah jodoh kamu berdua jumpa di
rumah pak cik. Oh ya, jemputlah minum Ameer. Sejuk karang dah tak sedap nanti.”
“Ya. Terima kasih pak cik, mak cik.”
Perlahan-lahan Ameer Qalish menghirup air kopi yang masih berasap.
“Abang dengan Ameer boraklah dulu
ya. Saya nak ke dapur sekejap. ”
Ibu
meminta diri. Mendengar saja ibu mahu ke dapur, cepat-cepat Nurul Ain berlalu
ke dapur. Pantas dia mengambil sebiji mangkuk dari kabinet dan menyenduk lauk
ayam kurma ke dalamnya. Ibu yang baru masuk ke dapur buat-buat tidak diendahkan
saja. Fikirannya melayang kepada pemuda di ruang tamu bersama dengan abahnya. Nampaknya
kerap kalilah dia berjumpa dengan Ameer Qalish memandangkan abah sudah menjadi
guru lelaki itu. Tepi bibir digigit. Kalaulah dia tahu dari awal Ameer Qalish
adalah kawan baru abahnya itu, sudah pasti tidak beria dia memujuk abah agar
menerima permintaan lelaki itu.
‘Hish,
Ain! Tak baiklah kau fikir macam tu. Permintaan dia tu untuk mendalami ilmu
agama Islam. Suatu permintaan yang baik dan tak boleh dibiarkan begitu saja.
Abah memang patut terima pun,’ Nurul Ain memarahi dirinya dalam hati.
“Ain…”
panggil ibu.
Nurul
Ain menoleh ke belakang.
“Betul
ke Ameer tu anak saudara bos Ain?”
Nurul
Ain mengangguk perlahan. “Ya, ibu.”
“Lah…
kenapa tak beritahu ibu awal-awal?”
Kepala
yang tidak gatal digaru-garu. Bibir tersengih. “Ain sendiri pun tak sangka Ameer yang abah sebut
kelmarin adalah Encik Ameer. Ain fikir Ameer tu orang lain, bu,” jawap Nurul
Ain.
“Hmm…
Ya tak, ya juga kan? Tak apalah. Mungkin ada hikmah disebalik perjumpaan ini. Dah
siap ke Ain bubuh lauk tu?” tanya ibu yang sibuk memotong puding roti dari
dalam loyang.
“Dah.
Tapi Ain baru bubuh satu lauk saja ni. Yang lain belum lagi, bu.”
Itulah tadi sibuk sangat menelinga perbualan orang. Kerjanya pun jadi tergendala.Mangkuk
yang sudah penuh dengan kurma ayam di letakkan ke atas meja.
“Nanti
tolong keluarkan pinggang-pinggan dalam kabinet bawah tu ya. Lepas tu susun
dekat meja makan di depan tu. Yang lain nanti ibu siapkan.”
“Okey,
bu!” Nurul Ain pantas mematuhi arahan ibunya.
Bersambungggggg.......
~Assalam semua readers! Jemputlah baca sambungan DBH (Part 7). Maaf atas kelewatan ira menghapdate. Maklumlah agak sibuk menyiapkan persiapan majlis kahwin kakak sulung. Apa2 pun, sila drop komen di bawah sekiranya sudi. Sambungan? Okey, yang tu nanti dulu ya! Selamat membaca ^_^