Jam
sudah menunjukkan pukul 5.45 petang. Arman keluar dari perut kereta berserta
briefcase dan fail-fail kerja di tangannya. Dia menutup pintu kereta lalu
menekan butang alarm kunci kereta.
Sesampai dia pintu hadapan rumah, pantas dia mengeluarkan kunci dari dalam
poket seluar slack lalu mencucuk ke lubang kunci.
Rumahnya sunyi sepi bagaikan tiada
penghuni. Anak-anak tinggal di rumah kakaknya buat sementara waktu. Hanya dia
dan bidadarinya yang masih setia menghuni rumah tersergam indah ini. Bibir
Arman terukir senyum. Matanya pula meliar mencari susuk tubuh si bidadari. Selalunya
petang-petang begini pasti bidadarinya sedang menonton televisyen atau
termenung di tepi kolam renang. Tetapi hairan, tiada pula. Di manakah dia?
Jika
dahulu, hari-harinya bahagia disambut oleh sang bidadari dengan senyuman
semanis madu. Kini, tiada lagi yang sudi menyambut kepulangannya dari tempat
kerja dengan senyuman. Namun, jauh di sudut hati dia redha jika ini
ketentuan-Nya. Bidadarinya langsung tidak bersalah. Apa yang berlaku sudah
takdir Tuhan yang maha esa. Dia akur dengan ikhlas jika itu adalah yang
tersurat buatnya.
“Nia,”
seru Arman memanggil bidadari penyeri hidupnya selama ini.
Dia
mengerling ruang tamu, kosong.
“Sayang,”
serunya lagi. Namun, tiada sahutan.
Dahi
berkerut seribu. Di mana dia? Rasa cemas dan takut mulai menyerbu diri. Kaki
laju ke bilik tetamu di tingkat bawah yang menjadi bilik dia dan bidadarinya
sejak dua bulan lalu, juga tiada. Dia melangkah pula ke dapur. Baru saja dia
hendak memasuki bahagian dapur, matanya tertancap pada kerusi roda milik isterinya
sudah terbalik di hadapan pintu dapur. Pantas dia mendekat. Dia tergamam dan
kelu lidah apabila melihat sekujur tubuh tertiarap di hadapannya. Pantas dia
mendekat.
“Ya
Allah, Nia!”
“Sayang!
Bangun sayang. Bangun…” Pipi mulus bidadarinya ditampar perlahan berkali-kali.
Tiada sebarang respon. Sekali lagi dicuba, namun tetap juga tiada tindak balas.
Air mata sudah membasahi pipi. Dalam hati dia berdoa agar bidadarinya tidak
apa-apa.
“Sayang
tolonglah buka mata. Jangan tinggalkan abang.”
Pipi
itu sekali lagi ditepuk namun masih juga begitu. Lelehan darah di dahi
bidadarinya semakin membuatkan dia cemas. Amran pantas meletakkan jari telunjuk
di atas bibir bidadarinya itu. Masih bernafas! Tanpa menunggu lama, dia
mencempung tubuh bidadarinya masuk ke dalam kereta.
******
Arman
pantas mendapat Wan Ikmal, doktor merangkap sahabat baiknya sebaik tirai dibuka.
Sedari tadi, dia tidak senang duduk menunggu doktor muda itu memeriksa
bidadarinya.
“Wan, macam mana dengan isteri aku?”
tanya Amran cemas.
Wan Ikmal menepuk bahu Amran.
“Kau jangan risau. Tak ada apa yang
serius pun. Isteri kau cuma pengsan. Mungkin kesan terhantuk. Ada luka sikit
dekat dahi dia. Aku dah rawat pun,” jawap Wan Ikmal. Arman mengerling seketika
pada bidadarinya yang belum sedarkan diri.
Arman menghembuskan nafas lega. Tangan
pantas mengurut dada yang cemas tadi. Terkumat-kamit bibirnya mengucap syukur.
“Syukur. Alhamdulillah…”
“Duduk dulu, Man.” Wan Ikmal
mempelawanya duduk. Amran akur saja.
“Apa
dah jadi sebenarnya?”
“Entahlah, Wan. Masa aku balik tadi,
aku tengok Nia dah tertiarap dekat lantai dapur. Aku… aku panik sangat masa tu.
Dan, aku terus bawak dia ke klinik kau. Aku… aku dah tak dapat fikir apa. Cuma
fikir nak selamatkan Nia saja. Aku tak nak kehilangan dia Wan. Aku takut dia
tinggalkan aku…” kelu lidah Arman untuk berkata lagi. Peristiwa tadi masih
terbayang-bayang di ingatannya.
Wan Ikmal senyum nipis.
“Kau janganlah risau sangat. Cuma
pengsan biasa saja. Sekejap lagi sedarlah tu. Oh ya, isteri kau tinggal seorang
diri di rumah?”
Arman
mengangguk.
“Man, sepatutnya kau tak boleh tinggalkan dia
seorang diri. Bahaya. Kita pun tak tahu apa yang terjadi pada dia dekat rumah
tu. Dengan keadaan dia macam tu. Kau tahukan segala pergerakkan dia terbatas. Kenapa
kau tak upah jururawat atau seseorang yang dapat tengok-tengokkan dia? Tak pun
minta tolong ahli keluarga kau teman isteri kau. Sekurang-kurangnya dia tak
keseorangan.”
Keluhan lepas dari mulut Arman. “Aku
ada cadangkan pada dia. Tapi, dia menolak keras. Puas aku pujuk, dia tetap tak
mahu. Kau sendiri tahukan isteri aku tu macam mana. Dia kalau boleh tak mahu
susahkan sesiapa. Dia nak buat semuanya sendiri macam dulu juga. Hmm… aku pun
tak tahulah nak cakap apa lagi Wan.” Arman mengeluh lemah.
“Man, kau…”
Belum pun sempat Wan Ikmal
menghabiskan kata-katanya, terdengar suara Nia memanggil Arman.
“A… abang. Abang…”
“Dia dah sedar tu. Man, tentang hal penjaga
tu cubalah kau pujuk dia perlahan-lahan.
Insyallah, pasti hati dia terbuka nanti. Kau sabar ya?”
Arman mengangguk. “Insyaalla, Wan…”
“Okeylah, aku keluar dulu. Sementara
biarlah isteri kau rehat dulu di sini. Nanti dia dah stabil, baru bawak dia
balik.”
“Ya. Terima kasih Wan.”
Wan Ikmal membalas dengan senyuman.
Setelah itu dia berlalu keluar dari bilik kecil itu. Arman mendekati
bidadarinya. Dia duduk bertenggek di birai katil menempatkan bidadarinya itu. Wajah
pucat sang bidadari di tenung penuh kasih dan kasihan.
“Sayang…”
“Abang, kita dekat mana ni?” tanya
bidadarinya lemah. Kepala yang bertampal disentuh perlahan.
“Dekat klinik Wan. Sayang pengsan
tadi,” beritahu Arman lantas membantu isterinya duduk bersandar di kepala katil.
Bidadarinya diam seketika. Mungkin
cuba mengingati kejadian tadi. Namun, tiba-tiba Arman terlihat manik jernih
turun ke pipi mulus bidadarinya. Dia tergamam. Kenapa bidadarinya tiba-tiba
menangis?
“Hei, sayang. Kenapa ni?” tanya
Arman lembut. Pipi bidadarinya yang basah segera dilap dengan jari jemari.
“Abang, maafkan Nia. Maafkan Nia…”
sendu bidadarinya tiba-tiba.
“Syhhh… Jangan menangis sayang. Kenapa
tiba-tiba minta maaf ni? Sayang tak perlu minta maaf pada abang. Nia tak ada
salah pada abang pun,” pujuk Arman. Dia sendiri tidak mengerti apa sebabnya
bidadarinya tiba-tiba menangis dan meminta maaf padanya.
Bidadarinya menggeleng laju. Manik
jernih semakin deras keluar.
“Tak! Nia banyak dosa pada abang.
Nia dah tak dapat jaga keperluan abang dan anak-anak kita macam dulu. Nia
memang dah tak berguna. Memang tak berguna!” jerit bidadarinya sambil memukul kedua-dua
belah pahanya bersama tangisan menggila.
Arman pantas menghalang perbuatan
bidadarinya. Tangan bidadarinya yang memukul kedua-dua belah paha sendiri
pantas ditangkap.
“Nia memang tak berguna, bang. Nia
hidup pun tak memberi apa-apa makna lagi. Lebih baik Nia mati saja. Hidup pun
akan menyusahkan abang dan semua orang. Lebih baik mati… lebih baik mati…”
racau wanita itu lagi. Arman pantas menarik tubuh bidadarinya ke dalam
pelukkan.
“Sayang dengar cakap abang ni. Tak baik sayang
cakap macam tu. Berdosa! ”
Husniah masih teresak, namun sudah
tidak memberontak seperti tadi. Arman pantas menarik kepala isterinya ke dada.
Rambut panjang Husniah dibelai lembut. Semoga belaian itu dapat menenangkan
bidadarinya. Dia tidak sampai hati melihat si isteri menyakiti diri sendiri.
Sedih dia dengan keadaan itu. Sakit yang dirasakan bidadarinya, dia jua turut
merasa.
“Walau apapun sayang sekarang, abang
tak pernah salahkan sayang. Sayang… ini ujian-Nya buat sayang. Sayang perlu
sabar dan kuat semangat, bukan menyalahkan diri. Setiap sesuatu yang berlaku
itu pasti ada hikmahnya. Insyallah…” Lembut suara Arman memujuk.
“Abang…” seru isterinya sayu.
Husniah masih teresak di dadanya.
“Syhhh… dahlah sayang. Jangan
menangis lagi. Sayang tak perlu fikir banyak. Abang nak sayang rehat
secukupnya. Stabilkan dulu emosi. Lepas ni dah okey kita balik rumah kita. Okey
sayang?” Arman terus-terusan memujuk untuk meredakan kesedihan si isteri. Tanpa
sedar, setitik air matanya jatuh ke pipi. Segera dikesat dengan hujung jari
agar tidak kelihatan oleh Husniah.
******
Arman
menatang dulang kecil yang berisi dua mug berasap nipis lalu meletakkannya ke atas
meja. Minyak angin yang sempat diselitkan ke poket seluar dikeluarkan. Dia pantas
mendekati bidadarinya.
“Nia, abang ada buatkan milo susu
kegemaran sayang.”
“Terima kasih,” ucap Husniah sedikit
dingin.
“Hari ni abang tolong sayang urut
kaki ya,” pinta Arman lantas meletakkan kaki kanan sang bidadari ke pahanya.
“Kalau abang penat tak payahlah.
Urut hari-hari pun, Nia tetap tak mampu berjalan semula. Buat membazir tenaga
abang saja,” balas bidadarinya dingin. Tangan Arman yang menyentuh kakinya
ditepis lembut.
Arman senyum.
“Haip! Tak boleh putus asa sayang.
Sayang sendiri pernah cakap dengan abang, sesiapa yang tak berputus asa dan
berusaha lagi untuk mencapai kejayaan setelah melalui kegagalan dia adalah winner. Lepas tu sayang cakap, sesiapa
yang mudah berputus asa dan tak mahu berusaha selepas kegagalan dia adalah losser. Masa tu kita sama-sama masih
belajar dekat universiti. Abang ingat lagi kata-kata sayang tu. Sayang ingat
lagi tak?”
“Hmm… Entah. Tak berapa ingatlah,”
jawap bidadarinya acuh tidak acuh.
Arman ketawa lalu mencuit hujung
hidung bidadari tercintanya itu.
“Eleh… buat-buat lupa pula. Apa-apa
pun. abang tetap nak urut kaki sayang ni. Mana tahu, ada rezeki untuk Nia berjalan
semula. Yang penting kena berusaha, berusaha dan berusaha ya, sayang?” Arman
membuka penutup botol minyak angin. Dituangkan sedikit ke telapak tangan lalu
ditekap ke betis bidadarinya. Jari jemari mula menari di atas betis putih itu.
Setiap malam inilah tugasannya. Mengurut kaki bidadari hatinya tanpa rasa jemu.
Walaupun kadang-kala bidadarinya menolak, dia tetap buat juga.
“Hmm… Yalah,” balas sang bidadari tidak
berkata banyak. Mata fokus pada Arman yang sibuk mengurut betisnya.
“Abang…”
Arman mendongak apabila mendengar
namanya diseru.
“Ya, sayang.”
“Kalau… kalau Nia nak bagi ca…
cadangan boleh?” tanya sang bidadari dengan suara tersekat-sekat.
Berkerut dahi Arman. Dia lantas
mengangguk tanda mengizinkan.
“Apa dia sayang?”
Pandangan Arman fokus memandang sang
bidadari. Bidadarinya itu kelihatan gelisah saja. Cadangan apa yang mahu
diutarakan?
“A… apa kata abang… abang cari
seseorang yang boleh jaga abang? Nia tak kisah kalau…” Belum pun sempat
bidadarinya menghabiskan kata-kata, Arman terus mencelah.
“Apa maksud sayang ni? Sayang nak
abang cari isteri lagi satu? Pengganti Nia? Macam tu?” Arman bertanya dengan
nada serius. Pandangan matanya tajam menikam ke anak mata bidadarinya. Urutan
juga serta merta terhenti.
Sang bidadari kelihatan serba salah
untuk menentang pandangan mata Arman.
“Ya. Abang patut cari penganti Nia
dan… dan Nia tahu abang lebih dari mampu untuk mempunyai isteri lebih dari satu.
Nia tak kisah dan rela bermadu sekiranya abang nak berkahwin lain. Nia…” Sekali
lagi Arman menghentikan percakapan bidadarinya. Jari telunjuk tertegak di
hadapan bibir cinta hatinya itu.
“Syhhh… Abang tak nak dengar sayang
cakap macam ni lagi. Abang takkan duakan sayang. Takkan! Dan, abang tahu mulut
ni saja yang kata rela, padahal dalam hati tak benar-benar rela.”
Jari
Arman di bibir Husniah beralih ke dada isterinya pula. Keruh riak wajahnya saat
ini. Mana mungkin dia akan menduakan isterinya. Dia sudah berjanji sejak dari
awal perkahwinan lagi, setianya hanya untuk Siti Husniah Binti Abdul Talib
seorang. Mana mungkin dia memungkiri janji yang dipatri mati. Takkan!
Arman pantas bangun. Dia mahu
berlalu ke dalam rumah. Belum pun sempat dia melangkah, tangannya digenggam
erat.
“Abang… abang sepatutnya dapat
seseorang yang lebih baik dari Nia. Cubalah abang tengok diri ni. Nia dah
lumpuh, cacat. Nia dah tak mampu untuk menjalankan kewajipan sebagai isteri
yang sempurna. Nia dah tak macam dulu lagi, bang. Dan, Nia tak tahu bila kaki
Nia ni akan sembuh. Mungkin juga Nia akan begini untuk selama-lamanya. Abang… sekurang-kurangnya,
bila abang kahwin lagi, ada yang mampu jaga abang dan anak-anak. Makan, pakai
terjaga. Abang tolonglah pertimbangkan cadangan Nia ni. Nia rayu. Please abang…” rayu sang bidadari dengan
tubir mata berkaca-kaca.
Tidak sampai hati Arman melihat
keadaan bidadarinya itu. Dia menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia mendekat
semula. Dia melutut di hadapan kerusi roda bidadarinya. Tangan putih itu
digenggam erat lalu dikucup lembut.
“Abang takkan menduakan sayang.
Selagi abang hidup… hanya sayang dan anak-anak yang akan berada di hati abang.
Abang tak mahu orang lain melainkan sayang. Sayang tolonglah faham. Abang tak
mahu dengar lagi cadangan mengarut ni.” Arman memohon pengertian sang bidadari.
Dia tidak akan sesekali menduakan sang bidadarinya.
“Tapi…”
“Sayang, tolong… Abang tak nak dengar lagi tentang hal ni. Ya?” ulang
Arman lagi dengan nada merayu. Sisa manik jernih di pipi bidadarinya dikesat
dengan hujung jari.
Bidadari cinta hatinya itu hanya
mengangguk lemah.
******
“Abang…”
Arman yang pada itu baru saja mahu melangkah ke dapur terhenti apabila terdengar
namanya dipanggil. Dia pantas mendekat.
“Ada apa sayang? Abang nak ke dapur
kejap, minum air. Sayang nak apa-apa?”
Bidadarinya hanya menggeleng serta
mengukir senyum nipis. Dia menepuk sofa yang kosong di sebelahnya meminta agar
Arman duduk di situ. Arman akur.
“Tak. Nia cuma nak sampaikan salam
mak dan abah pada abang. Masa abang tengah solat tadi, dia orang telefon.”
“Wa’alaikumsalam…” jawap Arman. Dia
menyambung lagi. “Err… mak dengan abah macam mana? Dia orang sihat?”
“Mak, alhamdullillah sihat. Cuma
abah saja yang selalu sakit-sakit kaki. Kata mak, abah dah jarang ke masjid
sebab sakit kaki kerap sangat. Solat dekat rumah saja,” cerita bidadarinya
dengan nada sedikit risau.
Arman mengangguk. Biasalah, orang
tua pastinya sudah semakin lemah seiring dengan usianya. Mereka juga suatu hari
nanti begitu.
“Oh. Hmm… sayang minggu depan abang
fikir nak ambil cuti hari jumaat. Nanti bolehlah kita balik kampung duduk dalam
tiga hari dan bermalam dua malam. Kita ambil Amira dengan Amar dekat rumah Kak
Long dulu, barulah gerak balik Johor. Okey sayang?” Arman meminta persetujuan.
Bidadarinya hanya mengangguk setuju.
“Okey.
Mesti mak dengan abah gembira kita balik.”
“Mestilah sayang. Dia orangkan
paling tak sabar nak jumpa anak-anak kita yang comel lagi nakal tu.” Arman
ketawa kecil mengingatkan telatah Amira dan Amar, anak-anaknya. Selalu bertekak
sesama sendiri. Bagai anjing dan kucing. Riuh rumah ini sekiranya mereka ada.
“Abang nak ke dapur. Sayang betul
tak nak apa-apa?” tanya Arman sekali lagi.
Bidadarinya diam sejenak. Kemudian
bersuara.
“Err…
Kalau tak kisah, abang boleh tolong Nia buatkan milo suam sekali?”
“Boleh sayang. Nia tunggu sini
sekejap, abang ke dapur buatkan milo panas istimewa untuk sayang.” Arman terus berlalu ke dapur.
Mug yang berasap dihulurkan penuh
berhati-hati kepada sang bidadari. Dia kemudian melabuhkan punggung di
tempatnya tadi. Kelihatan, mood bidadarinya baik saat ini. Dia merasakan inilah
masa yang sesuai untuk memujuk bidadarinya berkenaan cadangannya untuk
mengambil pembantu rumah. Mana tahu dalam pada mood baik ini, bidadarinya terus
saja bersetuju.
“Sayang, abang nak bincang sesuatu
dengan sayang?”
“Apa dia?” tanya sang bidadari lalu
menghulur mug kepadanya. Mug yang masih penuh itu diletakkan ke meja kopi.
“Err… sekali lagi abang nak bincang
berkenaan rancangan abang untuk… untuk ambil pembantu rumah.” Teragak-agak
Arman mahu meluahkan kata-kata.
Berubah air muka bidadarinya.
Daripada sedikit ceria, kini bertukar menjadi serius. Kelihatan di bola matanya
terdapat urat-urat merah. Arman menelan liur. Hati kuat mengatakan, pasti
bidadarinya bakal memarahinya sebentar lagi.
“Bukan ke Nia dah cakap, yang Nia
tak nak pembantu rumah. Kenapa abang bangkitkan lagi hal ni?” tanya sang
bidadari dengan suara bergetar.
Arman menarik nafas perlahan-lahan.
Dia perlu menjelaskan sedalam-dalamnya kepada bidadarinya itu. Dia berharap
kali ini bidadarinya itu akan terbuka hati untuk menerima cadangannya.
“Nia… dalam keadaan begini Nia
perlukan seorang teman. Kalau Nia tak bersetuju untuk ambil pembantu rumah, apa
kata kita pujuk mak dan abah tinggal di sini? Nanti Nia ada teman untuk
berborak dan tak sunyi. Abang pun taklah risau sangat tinggalkan Nia seorang. Lepas
tu bolehlah kita ambil Amira dan Amar semula dari rumah Kak Long. Boleh ya
sayang?” Arman memujuk lembut. Dia risau dengan keadaan bidadarinya yang kini
sudah tidak mampu bergerak bebas. Macam-macam boleh berlaku. Setiap saat,
setiap masa dia sangat risau akan keadaan bidadarinya itu.
“Tak payah nak susahkan orang lain. Abang
fikir Nia ni dah tak mampu untuk jaga diri sendiri ke? Abang, Nia tahu… Nia
sekarang dah cacat, tak boleh jalan. Sekarang semua orang pandang rendah dengan
Nia, abang pun sama juga. Tapi, Nia tak perlukan bantuan orang lain. Nia nak
buktikan yang diri ni walaupun cacat, tak perlu bergantung dengan orang lain!”
tengking bidadarinya. Lencun pipi mulus itu dengan lelehan air mata.
Sambungnya lagi. “ Abang, tolonglah.
Tolonglah! Jangan layan Nia macam Nia dah tak mampu untuk buat kerja. Macam orang
lemah. Nia boleh buat tanpa bantuan orang lain. Kalau abang dah tak sanggup
lagi bersama dengan orang cacat ni… tak apalah, Nia faham. Abang lepaskan saja
perempuan cacat ni. Perempuan ni memang dah tak berguna pun. Perempuan cacat ni
dah tak dapat jalankan tanggungjawab dia pada abang. Pada anak-anak lagilah. Sudahlah,
Nia malas nak cakap hal ni lagi.” Sang bidadari pantas menarik kerusi rodanya
mendekat. Susah payah dia mengalihkan tubuh ke kerusi roda. Arman turut
membantu bidadarinya, namun tangannya pantas ditepis kuat.
“Sayang bukan macam tu maksud
abang…” Arman mahu membetulkan salah anggap bidadari tercintanya itu.
\“Sudahlah, bang. Nia dah mengantuk.
Nia masuk bilik dulu. Assalammualaikum.” Tanpa menunggu lama, roda kerusi rodanya digerakkan menuju ke bilik tetamu.
Arman terduduk semula di sofa. Rasa
bersalah menggunung. Tidak sepatutnya tadi dia berbincang hal itu. Dan, tidak
sepatutnya dia merosakkan mood baik isterinya. Dia tahu bidadarinya tidak
bersetuju, tetapi dia masih berdegil juga. Arrghh, ini semua salahnya!
******
“Mama! Mama!”
Amira dan Amar terkedek-kedek berlari mendapatkan mamanya di tepi kolam.
Kedua-dua cahaya matanya itu memeluk erat sang bidadari. Kelihatan terpancar sinar
keceriaan di wajah bidadarinya. Mekar senyum Arman. Senang hati saat terlihat
senyum manis itu terhias cantik di bibir bidadarinya.
“Kakak! Adik! Anak mama dah balik.
Mari sini mama nak cium anak-anak mama ni.”
Pipi kedua-dua kanak-kanak itu menjadi mangsa
gomolan sang bidadari. Arman tahu bidadarinya itu sangat gembira dengan
kehadiran cahaya mata mereka. Sejak bidadarinya kemalangan, dia mengamanahkan
kakak sulungnya untuk menjaga Amira dan Amar buat seketika. Memandangkan
keadaan bidadarinya masih belum stabil fizikal dan emosi, keputusan yang berat
terpaksa diambil untuk duduk berasingan dengan cahaya mata kesayangannya itu.
Awal,
bidadarinya membantah keras keputusannya itu. Namun, setelah berhari-hari dia
memujuk, akhirnya bidadarinya itu akur dan faham kenapa dia berbuat begitu.
Arman berjanji, setiap hujung minggu dia akan membawa Amira dan Amar pulang
bercuti ke rumah mereka. Dan, hampir setiap hari juga isterinya itu berhubung
dengan Kak Longnya bertanya khabar serta bercakap dengan kedua-dua cahaya mata
mereka itu.
“Amira,
Amar… kata tadi ada hadiah untuk mama. Tunjuklah,” pinta Arman yang berdiri di
belakang kerusi roda bidadarinya.
“Ada
hadiah untuk mama? Nak tengok!” Sang bidadari teruja ingin tahu.
Amira
mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya dan diberikan kepada mamanya.
“Kakak
dengan adik buat lukisan ni sama-sama. Istimewa untuk mama.”
Sang
bidadari membuka kertas lukisan yang berlipat dua di tangannya itu. Arman hanya
memerhati. Tiba-tiba kedengaran tangis bercampur ketawa kecil dari mulut bidadarinya.
Mungkin terharu dengan hadiah pemberian malaikat-malaikat kecil mereka.
“Yang
tinggi pakai baju hijau ni papa. Sebelah papa yang pakai baju kurung warna
kuning tu mama. Lepas tu, budak perempuan pakai baju gaun merah jambu, ada
tocang dua tu kakak. Adik pula yang pakai baju warna biru. Kita satu keluarga
gembira. Tengok mama, semua senyum…” petah si adik, Amar menerangkan tentang
lukisan yang telah dilukis oleh mereka.
“Cantik!
Mama sayang sangat anak-anak mama ni. Terima kasih sayang.” Sekali lagi tubuh
kerdil Amira dan Amar dipeluk erat.
“Papa
pun sayang anak-anak papa.” Arman turut serta memeluk mereka bertiga. Kemudian,
mereka sama-sama ketawa. “Okey, anak-anak papa. Pergi naik atas tukar baju
cantik-cantik. Lepas ni papa nak bawa Amira, Amar dengan mama jalan-jalan dekat
taman, lepas tu papa belanja aiskrim!”
“Yeayy!”
Amira dan Amar melonjak gembira. Masing-masing berebut lari naik ke tingkat
dua.
“Hati-hati
sayang!” jerit Arman. Dia tersenyum melihat kenakalan anak-anaknya itu. Sesekali
dia ketawa dengan telatah nakal mereka. Setelah itu, dia mendekati bidadarinya semula.
“Sayang
gembira tak?”
Bidadarinya
itu hanya mengangguk berserta senyuman acuh tidak acuh. Keluhan di bibir Arman
lepas. Dia tahu bidadarinya masih marah terhadapnya
“Sayang
masih marah abang tentang semalam, ya? Abang minta maaf. Bukan macam tu maksud
abang…” Arman mengenggam erat jari jemari bidadarinya. Kemudian, tangan itu
dikucup lembut. Sesaat kemudian, terdengar satu keluhan dari mulut sang
bidadari.
“Abang
tak salah pun. Tak perlu minta maaf dari Nia. Tentang semalam tu… Nia terlalu
emosi sampai tanpa sedar tertengking abang. Nia yang kena minta maaf pada
abang. Abang… maafkan Nia ya?”
Arman
senyum lalu mengucup dahi bidadarinya.
“Sayang
pun tak perlu minta maaf tentang tu. Abang faham, sayang bukan sengaja pun.
Salah abang juga bangkitkan hal yang sememangnya sayang tak suka. Okey, lepas
ni abang takkan sesekali bangkitkan hal tu lagi. Sekarang ni kita kena bergembira
sebab anak-anak comel kita tu dah balik rumah. Sayang, cuba senyum sikit.” Kedua-dua
belah tepi bibir bidadarinya dikuak dengan jari membentuk senyuman. Arman turut
mengukir senyum.
“Haa,
kan manis bila bidadari abang ni senyum. Cantik!” pujinya.
“Papa…
mama, kita orang dah siap. Jomlah!” Amira dan Amar berlari mendapatkan mereka
setelah menyalin pakaian. Sudah tidak sabar hendak berjalan gamaknya.
Arman
mengerling ke arah bidadarinya, kemudian beralih kepada Amira dan Amar.
“Okey,
jom!”
******
Hari
ini Arman pulang awal setelah dia selesai membuat pemantauan di tapak
pembinaan. Kepalanya berdenyut-denyut setelah berpanas seharian. Sewaktu hendak
memarkirkan kereta di garaj, dia terpandang sebuah kereta Honda Jazz merah
diparkir elok di luar pagar. Dia kenal dengan pemilik kereta itu. Pemiliknya
ialah Farhana, sahabat baik bidadarinya. Pasti gadis itu datang untuk melawat
bidadarinya. Dia menutup pintu kereta dan kemudian, melangkah menuju ke pintu
utama.
Sewaktu mahu melewati ruang tamu dia
terdengar suara orang berborak di tepi kolam. Sudah semestinya suara itu adalah
suara isterinya dan Farhana. Tetapi, kenapa kedengaran serius saja suara mereka
berdua? Seperti sedang berbincang masalah yang berat. Sedangkan, Husniah jika
bertemu dan berborak dengan Farhana pasti ada saja gelak tawa antara mereka.
Briefcase dan kod diletakkan ke sofa berdekatan. Berhati-hati dia menapak ke
dinding yang memisah ruang dalam rumah dan kolam renang. Dia cuba menelinga apa
yang dibualkan dua wanita itu. Bukan niatnya hendak menyibuk tetapi perasaan
ingin tahu mencucuk tangkai hati.
“Nia, kau gila!”
“Kau cakaplah aku gila atau kurang
siuman sekali pun. Aku tak kisah. Apa yang aku buat ni hanya untuk orang-orang
yang aku sayang. Terutama sekali suami dan anak-anak aku. Aku cuma perlukan keputusan
dari kau Hana?”
Apa yang dimaksudkan bidadarinya
itu? Isterinya meminta Farhana untuk membuat keputusan. Keputusan tentang apa?
Rasa ingin tahu begitu membuak-buak. Dia kembali menelinga.
“Tak. Aku tak nak. Ini cadangan
gila!”
“Hana, aku merayu… Hanya kau saja
orang yang aku percaya. Tak ada orang lain selain kau yang boleh aku percaya.
Aku tahu, kau boleh lakukan. Mula-mula memanglah susah, tapi lama-lama kau akan
terbiasa. Lagi pun, Amira dan Amar dah serasi dengan kau. Pertimbangkanlah
permintaan aku ni…” rayu Husniah berserta esakkan.
Arman masih belum jelas dengan
percakapan mereka. Farhana mendekati sahabatnya itu. Berteleku di hadapan
Husniah lalu mengenggam erat tangan sahabat baiknya itu. Arman pula masih
menyembunyikan diri di balik dinding. Terus menelinga.
“Nia, memanglah anak-anak kau serasi
dengan aku. Malah, dia orang gelar aku ibu. Aku pun sayangkan dia orang macam
anak sendiri. Tapi, aku tak sanggup lakukan semua ni. Aku tak nak jadi orang
ketiga pada keluarga sahabat baik aku sendiri. Aku tak sanggup!” Farhana tetap
membantah walaupun nadanya lembut.
Tergamam Arman saat itu. Serta merta
lututnya menjadi lemah. Apakah perbualan mereka ini berkisah tentang Husniah
meminta Farhana menjadi isteri keduanya? Ya Allah… apa semua ini?
“Hana, tolonglah aku… Aku hanya nak
nasib suami dan anak-anak aku terbela. Kau tengoklah keadaan aku. Tak berdaya,
lemah dan hanya bergantung dengan kerusi roda ni. Arman dah banyak hadapi
kesusahan dengan keadaan aku ni. Anak-anak aku pula dah lama terabai. Aku dah
tak mampu jadi seorang isteri, seorang ibu yang sempurna, Hana. Arman, Amira
dan Amar perlukan seseorang ibu serta isteri yang mampu jaga mereka dengan
baik. Dan, aku sangat yakin kau mampu. Hana tolonglah…”
“Nia aku… aku…” Kedengaran tersekat-sekat
suara Farhana.
Arman sudah tidak sanggup mendengar
rayuan isterinya. Dia juga tidak sanggup lagi mendengar perbualan mereka
tentang rancanga mengarut ini. Dia keluar dari tempat persembunyian.
“Abang tak pernah rasa susah pun
dengan keadaan sayang…” Basah pipinya dihujani manik jernih. Dia cuba tahan
dari mengeluarkan air mata, namun akhirnya dia kalah.
“Abang!”
“Arman!” Serentak Husniah dan
Farhana terjerit. Terkejut dengan kehadirannya di situ. Dua wanita itu saling
berpandangan. Masing-masing diam dan mengunci mulut.
“Apa sayang cuba buat ni? Nia nak
abang berkhawin dengan Hana? Sampai hati Nia mahu memberi kasih abang kepada
orang lain. Nia dah tak sayangkan abang ke? Mana hati perut Nia untuk
memberikan suami sendiri kepada orang lain?”
Husniah tunduk bagai persalah. Diam.
Arman mendekati bidadarinya.
“Nia sedar tak abang ni siapa? Abang
adalah suami sayang. Sedar tak!”
Arman hilang sabar dengan sikap
berdiam diri isterinya. Saat ini dia sangat terasa hati dengan isterinya itu.
Tergamak Husniah hendak memberikan kasih sayangnya terhadap wanita itu kepada
orang lain. Apa yang sudah merasuk fikiran isterinya? Selama ini, dia tidak
pernah pun rasa terbeban dengan keadaan isterinya itu. Dia terima. Dia redha
dan ikhlas menjaga bidadarinya itu.
“Nia… Nia…”
“Nia ingat abang ni macam barang ke?
Boleh diambil, boleh dibuang begitu saja?”
“Abang… bukan macam tu maksud Nia.”
“Dah tu? Kenapa sayang tergamak buat
begitu? Macam abang ni tak ada hati dan perasaan. Nia dah benci dengan abang
ke? Cakap dengan jujur sayang!” Arman mengasak Husniah dengan pelbagai soalan.
“Abang, jangan cakap macam tu. Nia
sayang abang. Nia tak pernah walau sikit pun bencikan abang. Nia sayang abang. Nia
cuma nak yang terbaik untuk abang dan anak-anak kita. Sebab tu Nia minta Hana
untuk...” Belum pun sempat Husniah menghabiskan kata-kata, Arman mencantas.
“Untuk apa? Untuk jadi isteri kedua abang?
Nia dah hilang akal ke? Nia sendiri tahukan, hanya Siti Husniah Binti Abdul
Talib yang bertakhta di hati abang sampai ke hujung nyawa. Setia, kasih dan
cinta abang hanya untuk sayang. Takkan ada orang lain pun!” Keras suara Arman.
Anak matanya merenung tepat anak mata si isteri.
“Tapi,
dengan apa yang telah Nia buat, abang rasa…” Dia sudah tidak terkata lagi.
Entah kenapa lidah jadi kelu. Sungguh dia terasa hati dengan Husniah. Pantas
dia melangkah menjauh dari isterinya. Takut semakin lama nanti hati semakin
terluka. Dan, dia juga takut nanti pelbagai kata-kata amarah keluar dari
mulutnya dan melukakan hati Husniah nanti. Biarlah dia pergi seketika
menenangkan perasaan.
“Abang!
Abang! Jangan pergi tinggalkan Nia. Abang…”
******
~Abang baliklah ke rumah kita. Maafkan Nia. Nia
janji takkan buat macam tu lagi.
~Nia sayang abang. Baliklah, Nia rindukan abang.
Jangan tinggalkan Nia. Maafkan Nia, bang.
~Abang, janganlah macam ni. Baliklah. Nia nak mohon
ampun pada abang.
Arman
berbaring di sofa sambil lengannya di dahi. Mata ditutup untuk menenangkan
fikiran dan perasaannya yang berkecamuk saat ini. Berpuluh-puluh panggilan dan
pesanan dari Husniah tidak diendahkan.
“Bro, ni air kopi untuk kau.” Wan
Ikmal mendekati sahabatnya itu. Sepertinya lelaki itu punya masalah sedang
difikirkan.
Arman bangun setelah menyedari
kehadiran sahabatnya itu. Mug yang berasap nipis dicapai. Perlahan-lahan dia
meniup dan menyisip kopi yang masih berasap.
“Terima kasih, Wan.”
“Man, aku tengok kau macam ada
masalah saja? Ni, apa hal datang rumah aku malam-malam buta? Dah buang tabiat. ”
Mug yang sudah disisip diletakkan
semula ke atas meja kopi. Keluhan lepas dari mulutnya. Dia tidak menjawab
soalan dari Wan Ikmal, sebaliknya hanya menggeleng. Lalu dia menekur lantai.
“Dah tu? Aku tengok kau ni macam ada
masalah besar gamaknya. Kongsilah dengan aku, mana tahu aku boleh tolong. Eh,
kau datang sini malam-malam… habis isteri kau seorang diri di rumah?”
Arman menyandarkan tubuh ke
penyandar sofa. Dahi dipicit-picit. Pertanyaan Wan Ikmal tidak diendahkan.
“Man, kau kenapa? Cuba kongsi dengan
aku apa masalah kau. Mana tahu ringan sikit kepala kau tu.”
“Aku… aku ada masalah dengan Nia.”
Berkerut dahi Wan Ikmal. “Dah kenapa
pula? Oh, jadi kau ke sini ni, lari rumahlah ya? Alah Man, kalau gaduh hal-hal
kecil ni janganlah sampai melarat, sampai kau lari rumah bagai ni. Tak baik
untuk rumah tangga. Kau pun tahukan keadaan isteri kau sekarang ni macam mana.
Mudah tersentuh.”
Keluhan lepas lagi dari mulut Arman.
“Kau tak faham, Wan. Kali ni Nia
betul-betul dah cabar kesabaran aku. Dia…” Kata-katanya terhenti di situ. Tidak
tahu hendak menerangkan bagaimana. Belum pernah dibuat orang. Si isteri
mencarikan bakal madunya sendiri. Gila!
“Apa yang dia dah buat?”
“Dia… dia minta Farhana, kawan baik
dia tu jadi isteri kedua aku. Aku… aku tak tahulah apa yang tengah bermain
dalam kepala Nia? Ini memang rancangan gila!” Arman mendengus kasar.
Tiba-tiba ketawa Wan Ikmal memecah.
Arman memandang pelik sahabatnya itu. Orang cakap serius, boleh pula dia
ketawa.
“Man… Man. Kalau orang lain dapat
lampu hijau untuk kahwin lain mesti dah melonjak gembira. Lompat bintang bagai.
Tapi, kau marah pula. Peliklah kau ni.” Wan Ikmal mengeleng-geleng berserta
sisa ketawa.
“Wan, aku seriuslah! Bukan
main-main. Memanglah, itu orang lain punya cerita. Tapi aku lain Wan. Aku
sayang sangat dengan Nia dan aku tak sanggup nak menduakan dia. Biar pun dia
dalam keadaan macam tu, rasa sayang aku tak pernah luntur walau sikit pun. Bila
dia buat macam tu… aku rasa macam dia dah tak sayangkan aku. Macam dia nak
buang aku jauh-jauh dari hidup dia. Terasa diri aku ni macam barang pun iya. Aku
terasa hati sangat dengan dia Wan,” luah Arman dengan nada sedih. Setitis air
matanya jatuh ke pipi. Entah kenapa, perasaannya saat ini mudah sangat
tersentuh. Armar meraup wajah sugulnya.
Mati ketawa Wan Ikmal. Dia juga jadi sedih dengan kata-kata sahabatnya
itu. Lantas dia merapati Arman dan menepuk-nepuk belakang tubuh lelaki itu.
“Man… dengar nasihat aku ni. Nia
buat macam tu bukan sebab dia tak sayang kau atau nak buang kau dari hidup dia.
Menurut aku, mungkin dia nak yang terbaik untuk kau dan anak-anak sementara dia
tak berdaya. Dia nak ada orang jaga kau, Amira dan Amar sebaik mana dia lakukan
sebelum dia lumpuh. Kau tahukan keadaan dia macam mana. Lagi pun, kalau kau tak
bersetuju, rancangan tu takkan menjadi. Kan segala keputusan terletak pada
tangan kau.” Wan Ikmal menasihati sahabatnya. Dia kagum dengan Arman. Lelaki
itu sangat tabah dan kuat menghadapi dugaan yang dia beri. Arman juga adalah
lelaki yang sangat setia. Dia memuji sifat yang ada pada diri Arman. Seorang
suami yang baik.
Arman terdiam sejenak. Ada betul
juga apa yang dikatakan Wan Ikmal. Segala keputusan terletak di tangannya. Kalau
dia tidak menyatakan persetujuan, mana mungkin perkara itu akan berlaku. Ya
Allah, kenapalah dia tidak boleh berfikir sebegitu sebelum ini?
“Man, aku bukanlah nak menghalau
kau. Tapi aku rasa baik kau balik sekarang. Isteri kau keseorangan di rumah.
Kau tak takut ke kalau jadi sesuatu pada dia?”
Pertanyaan Wan Ikmal itu membuatkan
jantungnya bergegar. Ya, baru dia sedar dia telah meninggal Husniah keseorangan
di rumah. Apa yang telah dia lakukan ini? Bodoh!
“Ya Allah… isteri aku. Wan, aku… aku
balik dululah. Kesian Husniah di rumah. Terima kasih atas nasihat kau Wan. Aku
balik dulu.”
Kelam kabut Arman bangun mencapai
kunci keretanya. Setelah bersalaman dengan Wan Ikmal dia terus keluar
mendapatkan keretanya. Kereta dipandu sedikit laju. Mahu cepat sampai ke rumah
dan mendapatkan Husniah. Dia berdoa agar Husniah tidak apa-apa duduk
keseorangan di rumah.
‘Nia, maafkan abang sayang…’
******
Tanpa
memberi salam Arman terus meredah pintu hadapan rumahnya. Pintu yang tidak
berkunci membimbangkan hatinya. Sebaik saja pintu dikuak, suasana gelap
menerjah pandangan. Lantas dia mencapai suis lampu bersebelahan pintu.
Sekeliling ruang tamu dikerling mencari si isteri. Kelibat Husniah tiada di
situ. Hati mulai dirajai rasa risau.
“Nia…”
Tiada suara menjawap. Arman naik ke
tingkat atas. Mencari disetiap bilik di tingkat atas. Namun, Husniah tetap
tiada. Dia turun semula ke bawah.
“Ya Allah, di mana dia? Janganlah
apa-apa terjadi pada isteriku.”
Seketika dia teringat peristiwa
dimana Husniah jatuh pengsan. Sewaktu itu isterinya berada di dapur. Tanpa
berfikir panjang dia berlari ke dapur. Dia mencari-cari kelibat isterinya. Tiada
juga di situ, tetapi pintu belakang terbuka. Pasti Husniah berada di taman mini
belakang rumah. Kakinya terus melangkah keluar. Betul jangkaannya, Husniah
sedang duduk di kerusi roda sambal menghadap taman. Di tangan wanita itu
terdapat sehelai baju kemeja putih miliknya. Kemeja yang sering digunakan untuk
ke pejabat. Dan, Husniah sedang teresak sambil memeluk baju kemejanya itu.
“Abang, jangan tinggalkan Nia…”
meruntun suara Husniah.
Sayu Arman melihat keadaan
isterinya. Namun, tidak pula dia berniat mahu menegur. Secara senyap dia berdiri
di belakang isterinya. Mahu mendengar luahan dari si isteri.
“Nia sayang abang. Nia tahu… Nia
salah. Tolong… jangan tinggalkan Nia. Nia tak nak kehilangan abang. Kalau abang
balik, Nia janji takkan sesekali sebut hal tu lagi. Sebenarnya… hati Nia
sendiri tak benar-benar rela untuk abang berkahwin lain, tapi… demi kebahagian
abang dan anak-anak… Nia terpaksa lakukannya. Tapi… sekarang ni Nia hanya nak
abang bersama dengan Nia. Nia menyesal. Maafkan Nia, bang…” Berjuraian air mata
Husniah menghujani pipi mulusnya. Tersekat-sekat suaranya meluahkan.
“Maafkan Nia… maafkan Nia. Baliklah
abang…” Racau Husniah lagi bersama tangisan menggila. Berkali-kali kemeja putih
itu menjadi mangsa ciuman dan pelukkan.
Arman jadi tidak sampai hati. Tidak
sampai hati mahu menyeksa perasaan bidadarinya. Mendengar tangisan itu saja dia
sudah jadi tidak kuat. Perlahan-lahan dia mendekati Husniah. Bahu wanita itu
dipeluk lembut.
“Abang maafkan Nia…” ucapnya dengan
suara perlahan. Ubun-ubun Husniah dikucup lama.
“Abang!”
Tubuhnya
pantas ditarik dan dipeluk erat oleh Husniah. Isterinya itu teresak-esak kuat
sambil memeluk erat pinggangnya. Perlahan-lahan, pelukkan direnggang. Dia
lantas melutut dan menggenggam lembut kedua-dua belah tangan wanita itu.
Kemudian, dibawa pula ke bibir seketika.
“Abang dah balik sayang. Jangan
sedih lagi ya. Maafkan abang sebab tinggalkan Nia tadi. Abang terlalu ikutkan
perasaan…” Arman mengusap kedua-dua belah pipi isterinya yang basah. Rasa
bersalah kerana meninggalkan bidadarinya itu masih menggunung. Tanpa sebarang
kata, Husniah terus memeluknya sekali lagi.
“Tak, abang tak salah apa pun. Nia yang
dah banyak buat salah dengan abang. Nia dah sakitkan hati dan buat abang sedih.
Nia minta maaf. Abang jangan tinggalkan Nia lagi ya?” ucap Husniah masih juga
teresak.
Arman mengangguk dan tersenyum.
Rambut Husniah dibelai. “Tak. Abang takkan tinggalkan sayang.” Dia memeluk dan
menenangkan isterinya. Seketika kemudian tangisan si isteri mereda. Pelukkan
sekali lagi terlerai. Mereka sama-sama tersenyum dan berbalas pandangan.
Terpancar rasa sayang yang tulus ikhlas di pandangan masing-masing.
“Nia sayang abang. Nia tak nak
kehilangan abang… dan Nia menyesal sebab buat sesuatu tanpa berfikir dulu.
Akhirnya, menyebabkan abang…”
Arman menegakkan jari ke bibir
isterinya. “Syhhh… Tak perlu cakap tentang hal itu lagi. Kita lupakan saja ya?
Sekarang kita mulakan hidup baru. Gembira macam dulu-dulu. Bolehkan sayang?”
Husniah mengangguk. Arman senyum.
Punggung dilabuhkan ke kerusi batu bersebelahan isterinya. Tangan Husniah
digenggam erat.
“Nia adalah bidadari yang DIA
turunkan untuk abang. Nia juga adalah anugerah terindah yang tercipta untuk
abang. Abang akan jaga anugerah ni sebaik-baiknya sampai hayat dikandung badan.
Nia, Amira dan Amar adalah amanah yang telah diberikan kepada abang untuk
dijaga. Dan, abang nak Nia tahu. Walau apapun keadaan Nia sekarang ni, kasih
sayang abang takkan pernah berubah. Sayang abang pada Nia masih sama macam
zaman kita baru-baru bercinta dulu. Takkan pernah pudar sedikit pun, sayang…”
Terharu Husniah mendengarnya. Lantas
tangan Arman dibawa ke bibir. Mengucup lama tangan itu.
“Terima kasih abang. Terima kasih
juga untuk kesabaran yang abang beri saat melayan kerenah Nia yang kadang-kadang
dingin. Nia janji lepas ni… Nia takkan buat perangai macam tu lagi. Nia akan
cuba jadi seceria macam dulu untuk abang dan anak-anak kita. Nia janji abang.”
Lega hati Arman mendengarnya.
“Alhamdulillah. Abang lagi suka
kalau isteri abang ni ceria selalu. Senang hati abang. Sayang, jomlah masuk.
Dah malam sangat ni. Tak baik sayang berembun malam-malam macam ni, takut dapat
penyakit pula.”
“Jomlah. Tapi abang tolong Nia tolak
kerusi ni. Boleh?”
“Mestilah boleh.” Arman sudah
berdiri di belakang Husniah. Bersedia untuk tolak kerusi roda isterinya.
“Abang…”
“Ya, sayang?” Terhenti langkah
Arman.
“Malam ni dan tiap-tiap malam, boleh
tolong urutkan kaki Nia lagi? Mana tahu dengan sentuhan tangan ajaib abang tu
kaki Nia boleh jalan semula. Boleh? ”
“Semestinya boleh bidadariku. Sayang
tak minta pun abang akan buat tiap-tiap hari,” ujar Arman lantas mencuit hujung
hidung suaminya.
“Terima kasih, abang. Meh nak cium
sikit.”
Husniah menariknya agar membongkok
sedikit. Pantas pipinya dikucup berkali-kali oleh isterinya itu. Jelas
terpancar kecerian di wajah sembab isterinya. Dia turut mengucup dahi Husniah.
Isterinya itu ketawa kecil.
“Dah,
jom masuk. Abang nak urut kaki sayang.”
Husniah mengangguk laju. Bibir mekar
dengan senyuman.
Tanpa
berlengah Arman terus membawa isterinya masuk ke dalam. Dalam hati dia
sangatlah bersyukur kerana hubungannya dan Husniah kembali baik. Dan, dia juga
berdoa agar suatu hari nanti bidadari penyejuk matanya akan sembuh dan boleh
berjalan semula. Amin. Insyallah…
TAMAT
Psttt! First of all, Ira susun sepuluh jari mohon maaf kpd readers yg sentiasa menunggu sambungan cerita2 dlm blog Ira ni. Kesibukkan dgn hal2 harian membuatkan Ira tak mampu utk menaip dan update blog ni. Buat masa skrg Ira masih mencari mood menulis yg dah hilang entah ke mana. Ira harap sgt readers memahami. Ira update cerpen baru utk kalian semua lepas rindu cerita2 dlm blog Ira. Apa pun happy reading readers. Luv u all