“Yeahh! Sampai jugak
akhirnya,” Elly Nadia menggeliat sesudah keluar dari perut bas. Perjalanan
memakan masa 8 jam membuatkan pinggangnya bagai mahu tercabut. Kalaulah dia
punya sebuah kereta pasti setiap bulan dia tidak perlu melalui kesukaran
seperti ini. Kalau tidak mengenangkan kos sara hidup di bandar metropolitan ini
tinggi sudah lama dia memiliki sebuah kereta idamannya. Bekerja sebagai kerani
cabuk manalah cukup gajinya setiap bulan untuk membayar bulanan kereta.
Bunga Mawar di
sebelahnya sibuk membetulkan rambut yang kusut masai. Habis rambutnya yang
disisir rapi menjadi tidak tentu arah akibat rempuhan tadi. “Dah tak cantik…”
rungutnya sendirian.
Elly Nadia mendengar
rungutan itu terus berpaling. Dia tersenyum memandang sahabat sekampungnya yang
begitu sibuk membetulkan rambut. “Welcome
to Kuala Lumpur, Bunga! Sekarang Bunga dah jadi orang bandar. Bukan lagi
orang kampung yang asyik kena buli dengan kakak-kakak tiri.”
Dia kasihan melihat
rakan karibnya ini. Di kampung Bunga Mawar asyik didera oleh Anggerik dan
Melur. Tiap-tiap hari ada sahaja mereka mahu memerintah. Bunga itu, Bunga ini.
Mentang-mentanglah Bunga Mawar orang yang lurus dan kadang-kala kelam-kabut,
dengan sewenang-wenangnya dia dipergunakan.
Mujur dia dapat memujuk
Pak Hashim untuk memberikan kebenaran kepadanya membawa Bunga Mawar ke Kuala
Lumpur mencari kerja. Perbincangan itu dipermudahkan lagi dengan persetujuan
Mak Bedah, ibu tirinya yang tidak suka akan
Bunga Mawar.Dia teringat sewaktu berkumpul di ruang tamu kecil bersama
keluarga Bunga Mawar.
“Pak benarkanlah Bunga ikut Nad ke KL.
Sekurang-kurangnya Bunga boleh belajar
berdikari. Boleh mencari wang dan menolong keluarga di sini,” pujuk Elly Nadia.
Cuba meyakinkan Pak Hashim.
Pak Hisham diam sejenak.
Memikirkan pujukan itu. “Pak bukan tak nak Bunga ni nak belajar berdikari. Cuma
Pak risau kalau Bunga nak ke Kuala Lumpur.KL tu hutan Bandar, mana Bunga biasa
di sana,” katanya seraya memandang Bunga yang tunduk menekur tikar. Sedari tadi
Bunga Mawar tidak berkata banyak. Cuma Elly Nadia sahaja yang banyak bercakap.
“Pak…Insya-Allah, Bunga pasti biasa tinggal di
sana lama-kelamaan. Nad kan ada. Nad boleh tengok-tengokkan Bunga. Lagi pun
Bunga bukan duduk seorang, Nad dan seorang lagi kawan Nad tinggal bersama dia,
pak,” Elly Nadia masih belum berputus asa memujuk.
Pak Hashim mengurut
tengkuknya. Dia kalau boleh mahu anak-anaknya serta isteri tinggal sebumbung.
Tidak mahu terpisah biar susah sekali pun. Namun, perkara yang diutarakan Elly
Nadia ini cukup membuatkan dia pening kepala. Dia tahu gadis itu datang
berunding ke rumahnya atas permintaan Bunga Mawar sendiri. Mana mungkin Bunga
Mawar sendiri mahu meminta darinya.Anak bongsu kesayangannya ini takkan
membangkang setiap kata-katanya.
Dia tahu Bunga Mawar
sering menjadi mangsa buli kedua-dua kakak tirinya. Sudah berbuih mulutnya
menasihati dua anak gadis dari isteri pertamanya. Mak Bedah pun sering membela
kedua-dua anaknya itu walaupun mereka telah berbuat salah. Kasihan Bunga Mawar.
Nampak benar anak dan bininya tidak suka akan anak dari bini keduanya.
“Bapak biarlah Bunga
ikut Nad. Kalau dia duduk sini pun buat apa. Buat sakit mata kita orang aje,”
Anggerik berkata dengan selamba.
“Yalah bapak. Bunga ni
menyusahkan orang saja. Dahlah duduk sini semuanya free. Makan free, minum
free, tempat tidur pun free jugak. Kita orang ni penat hari-hari bekerja, yang
dia sibuk melantak,” pedas ayat Melur. Cukup menghiris hati Bunga Mawar. Dia
semakin menundukkan kepala bagai pesalah.
“Anggerik! Melur!,”
tegur Pak Hashim.
Elly Nadia geram
mendengar kata-kata dua orang kakak tiri Bunga Mawar. Dia menjeling meihat kedua-duanya. Mulut dia
orang ni lezer, insurans dah mati agaknya. Sesedap rasa mengata adik sendiri.
Darah daging sendiri pun dia orang nak mengata. Apa punya manusia?
“Abang ada betul kata
Anggerik dan Melur. Biarlah Bunga ke KL. Sekurang-kurangnya beban kita
berkurangan. Kalau nak harapkan sangat Anggerik dengan Melur, berapa sen
sangatlah gaji dia orang. Awak tu, nak harapkan kudrat empat kerat awak, tak payahlah.
Dengan kebun yang tak seberapa mana cukup, bang. Lagipun buat apa awak nak
simpan Bunga dekat rumah ni. Nak berkerja awak tak bagi. Dia bukan puteri raja
pun,” Mak Bedah pula menyindir sambil menjeling tajam Bunga Mawar. Anak beranak
sama sahaja. Kalau cakap tak menyakitkan hati orang memang tak sah.
Pak Hashim
menghembuskan nafas berat. “Bunga betul nak ikut Nad ke KL?” dicapai tangan
Bunga Mawar.
“Ya, bapak,” balas
Bunga Mawar tetap menunduk.
Mungkin inilah yang
terbaik untuk anaknya ini. “Baiklah. Bapak izinkan tapi dengan syarat Bunga
kena pandai jaga diri. Jangan terikut-ikut budaya orang bandar.”
“Bunga tahu bapak.
Bunga janji,” Bunga Mawar mengangkat muka dan tersenyum.
Mak Bedah, Anggerik dan
Melur tersenyum puas. Selepas ini Bunga Mawar tidak ada lagi di dalam rumah
mereka.
“Pak Hashim jangan
risau. Nad akan jaga dia baik-baik.”
Manakala Bunga Mawar
dan Elly Nadia tersenyum lega dengan keizinan yang diberi lelaki tua itu.
Zarul |
~*~*~*~*~*~
Kak Zira housemate Elly
Nadia menjemput mereka dari Terminal Puduraya. Elly Nadia dan Bunga Mawar
menjinjit beg pakaian mereka sementara Kak Zira membuka pintu geriji rumah.
“Mari masuk. Haa…inilah
rumah kami Bunga. Sempit sikit tapi bolehlah nak duduk tiga orang dekat sini.
Harap kau selesa duduk sini,” Elly Nadia memperlawanya.
“Syukur ahamdulillah.
Ini pun dah okey Nad. Bunga tak kisah, janji ada tempat tinggal.”
“Air Nad, Bunga,” Kak
Zira menghulurkan dua gelas air sirap limau kepada Elly Nadia dan Bunga Mawar.
“Terima kasih, kak.”
Bunga Mawar duduk di
sofa bentuk L. Sambil itu dia menikmati air yang di bancuh Kak Zira.Sementara
itu Elly Nadia sudah naik ke tingkat atas. Mahu mandi katanya.
“Bunga dah rancang
hendak kerja di mana?”
“Belum lagi kak. Nad
kata esok dia nak bawak Bunga ke bandar cari kerja.”
Kak Zira mengangguk.
“Berapa umur Bunga?”
“Sebaya Nad. Baru nak
masuk 21 tahun.”
“Muda lagi. Sebelum ni
kerja apa?”
Kak Zira rasa senang
dengan Bunga Mawar. Gadis ini nampak baik-baik sahaja. Kelihatan polos. Namun
ada sesuatu yang membuatkan dia tertarik dengan gadis ini. Pakaian gadis ini
berwarna-warni, baju warna kuning, kain skirt berwarna biru dan berstokin hijau
belang merah. Begitu berani sekali cara pemakaiannya. Mungkin itu sememangnya
style dia.
“Bunga tak pernah
kerja. Bapak tak bagi Bunga kerja.”
“Habis datang sini nak
bekerja ayah Bunga bagi ke?”
Bunga Mawar tersenyum
manis.
“Bapak benarkan. Bunga takut nak cakap dengan
bapak, Bunga minta tolong Nad cakapkan. Mula-mula bapak tak bagi, tapi Nad
beria pujuk. Alhamdulillah, akhirnya Bunga dapat jugak ke KL,” sungguh lurus
dia bercerita.
“Baguslah. Tapi dekat KL ni Bunga kena
berhati-hati. KL tak sama dengan kampung,” Kak Zira menasihati Bunga Mawar
bagai menasihati adik sendiri.
“Bunga tahu kak. Bapak pun pesan sama dekat
Bunga. Terima Kasih kak.”
~*~*~*~*~*~
Keesokan harinya.
“Mana-mana semua kita dah cari. Tapi semua tak
ada kerja kosong. Ada pun dia orang nak yang ada setahun dua pengalaman. Kalau semua dia orang nak yang
banyak pengalaman habis yang baru nak cari makan ni macam mana? Cerewet
betul!,” rungut Elly Nadia dengan kasar menghempas punggung di kaki jalan di
tepi penjaja cendol berniaga.
Bunga Mawar
menghulurkan seplastik air cendol untuk Elly Nadia. Kasihan rakannya ini.
Sudahlah cuaca terik, terpaksa merayau-rayau mencarikan dia pekerjaan pula. Dia
juga kecewa. Dia terlalu mengharap untuk mendapat pekerjaan di kota raya ini.
“Tak apalah Nad. Dah bukan rezeki Bunga. Buat
susahkan Nad aje ikut Bunga cari kerja. Disebabkan Bunga, Nad terpaksa ambil
cuti nak tolong Bunga.”
“Bunga, kenapa cakap macam tu? Aku kan dah
janji nak tolong kau. Cuma aku kesal dengan kebanyakkan majikan. Asyik nak yang
dah ada pengalaman aje.”
Bunga Mawar tersenyum
tawar.
“Tak apa, kalau bukan hari ni, esok-esokkan
ada lagi. Bunga jangan risau ya. Nad akan tolong Bunga sampai dapat pekerjaan
yang betul-betul sesuai, okey?” Jari kelingking dihulurkan ke hadapan Bunga
Mawar. Pantas Bunga Mawar menyambutnya menggunakan jari kelingkingnya juga.
Kemudian ibu jari digesekkan.
Masing-masing tergelak
kecil. Begitulah cara mereka jika berjanji sejak kecil. Sehingga sekarang cara
itu masih kekal.
Elly Nadia |
“Jom balik. Dah nak masuk waktu zuhur ni. Tapi
sebelum tu kita singgah dulu mana-mana masjid ya.” Elly Nadia bangun dan
menghulurkan tangan kepada Bunga Mawar. Bunga Mawar mengangguk dan terus
mencapai huluran rakannya.
Hampir dua minggu Bunga
Mawar di rumah Elly Nadia dia sudah mula tidak sedap hati. Sudahlah tidak
bekerja, tinggal secara percuma. Dia masih berkira-kira mahu pulang semula ke
kampung.
“Nad… Bunga rasa esok Bunga nak balik
kampunglah.”
Terkejut Elly Nadia
yang ketika itu sedang menonton televisyen.
“Haa? Bunga nak balik kampung buat apa?”
“Bunga tak nak susahkan Nad dengan Kak Zira.
Bunga duduk sini tanpa kerja. Bunga tak sedap hati nak tinggal dekat sini.”
“Apa yang susahnya Bunga? Kalau Bunga balik kampung Bunga nak kerja
apa? Atau Bunga nak kena buli lagi dengan Kak Anggerik dan Melur? Tak payahlah
Bunga.” tahan Elly Nadia. Dia tidak membenarkan Bunga Mawar pulang ke kampung
kerana dia tidak mahu Bunga Mawar menjadi bahan buli kakak-kakak tirinya lagi.
“Betul Bunga. Buat apa nak balik kampung. Kami
tak kisah pun kalau Bunga nak duduk sini,” sokong Kak Zira.Dia juga tidak
setuju. Dia juga telah mendengar kisah hidup Bunga Mawar daripada Elly Nadia.
“Tapi kak, Bunga ni nanti akan menyusahkan
orang lain aje. Dahlah duduk percuma, makan pun percuma. Betul kata kak
Anggerik dan Kak Melur. Bunga ni memang suka menyusahkan orang,” Bunga Mawar
tunduk malu hendak menatap Kak Zira dan Elly Nadia.
“Bunga… Bunga bukannya menyusahkan sesiapa di
sini. Kami tak anggap Bunga menyusahkan. Malah kami suka Bunga tinggal dengan
kami. Haa!…akak baru teringat. Minggu lepas bos akak ada cakap yang kawan dia
memerlukan pekerja. Kawan dia tu buka kedai bunga. Sekarang kedai dia dah
besar, dia cuma ada dua orang pekerja. Katanya dia nak tambah lagi seorang
pekerja. Dia minta tolong bos akak carikan sebab dia tak sempat. Selama sebulan
ni dia ke London jenguk anak bujang dia. Kalau Bunga setuju akak boleh tolong
rekoman dekat bos akak.”
Bersinar bola mata
Bunga Mawar mendengarnya. Bekerja di kedai bunga? Dia suka bunga. Kalau
dikampung dia yang rajin menanam bunga dihalaman belakang rumah. Bila sudah
besar dipetik untuk membuat mandian bunga.
Teruja dia mendengar
khabar Kak Zira. “Wah Bunga memang suka bunga-bungaan ni kak,” Senyumnya sampai
ke telinga.
“Sukalah tu,” usik Elly Nadia.
“Jadi Bunga setujulah?”
Bunga Mawar mengangguk
laju. Elly Nadia dan Kak Zira senyum senang.
~*~*~*~*~*~
Pejam celik, pejam
celik sudah tiga bulan Bunga Mawar bekerja dengan Puan Jannah pemilik Jannah’s
Florists. Bekerja di bawah Puan Jannah membuatkan Bunga Mawar berasa disayangi,
majikannya itu melayan pekerja seperti ahli keluarga sendiri. Sungguh mesra.
Sebab itu Bunga Mawar sentiasa bersemangat ke tempat kerja.
“Bunga, Sue… tolong saya angkatkan
barang-barang dalam bonet kereta saya tu. Banyak sangat, tak larat saya nak
angkat semua.”
“Baik, puan,” serentak Bunga Mawar dan Sue
menyahut.
“Selamat pagi Puan Jannah.”
“Selamat pagi Jojo.”
Puan Jannah duduk di
kerusi kaunter. Melihat buku jualan bunga.
“Puan mana nak letak barang-barang ni?” tanya
Bunga Mawar.
“Letak saja di meja sana tu,” arah Puan Jannah
sambil menunjuk ke arah meja bulat di hadapan meja kaunter. Bunga Mawar dan Sue
menjinijit masing-masing dua beg plastik besar ke meja yang ditunjukkan Puan
Jannah.
Setelah berpuas hati menatap
buku jualan, Puan Jannah beralih pula ke meja menempatkan semua beg plastik di
bawa pekerjanya. Dia meneliti setiap plastik.
“Bagus semuanya dah complete. Bunga…,”
pandangan beralih pula kearah Bunga Mawar yang berdiri di tepi meja.
“Barang-barang ni semua untuk stok kita yang dah berkurangan. Nanti awak tolong
top-up apa yang kurang. Susun cantik-cantik ya.”
“Baik , Puan Jannah.”
“Sue dan Jojo pulak sekejap lagi ikut saya
pergi hantar tempahan gubahan bunga pelanggan kita untuk majlis syarikat swasta
tu. Ada berapa gubahan yang perlu dihantar ke sana?”
“Ada dua puluh lima gubahan, puan. Waw! Banyak
tu puan.” Jojo lelaki tapi perangainya bak perempuan. Lembut semula jadi
katanya. Hendak buat bagai mana,sudah dia begitu.
Puan Jannah menadah
tangan. “Alhamdullillah. Rezeki kita semua. Kalau tak ada awak semua pasti saya
tak boleh siapkan tempahan ni semua dalam masa tiga minggu. Terima kasih ya.”
“Dah memang kerja kami membantu puan. Kami
lakukan semua kerja dengan ikhlas dan suka hati. Betul tak kawan-kawan?” sahut
Bunga Mawar.
“Betul, betul, betul.” Sue meniru lagak Upin
Ipin. Jojo pula mengangguk.
Senang hati Puan Jannah
melihat gelagat pekerja-pekerjanya.
“Yalah…yalah. Awak semua memang terbaik dan
tak ada tandingan. Dah jom kita angkat semua bunga ni ke dalam kereta saya.
Lambat pulak nanti”.
Bunga Mawar, Sue dan
Jojo membantu Puan Jannah mengatur semua gubahan bunga ke dalam MPV milik
majikan mereka itu. Setelah semua telah di masukkan, Puan Jannah menutup bonet
keretanya.
“Tak apakan Bunga jaga kedai ni seorang?”
Bukan apa, dia khuatir
Bunga Mawar tidak mampu menguruskan kedai seorang diri sementara dia membawa
Sue dan Jojo menghantar tempahan.
“Puan janganlah risau. Saya boleh jaga. Semua
ditanggung beres.” Bunga Mawar menegakkan ibu jarinya.
Puan Jannah tersenyum
sambil menepuk bahu Bunga Mawar.
“Puan jangan risau ya,” cuba meyakinkan
majikannya.
“Yalah. Jaga kedai baik-baik,” pesan Puan
Jannah terus menghilang ke perut kereta.
Bunga Mawar masuk
semula ke dalam kedai. Selang lima minit dia mula merasakan kesunyian. Radio
dibuka bagi mengisi ruang sepi. Sambil itu dia mengatuk barangan di dalam rak
belakang meja kaunter. Sedang dia sibuk mengemas telefon bimbitnya berbunyi
nyaring. Kring! Kring! Kring! Siapa yang telefon ni? Tanyanya sendiri. Telefon
Nokia 3360 dicapai dari kocek apron.
“Hello! Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumsalam. Haa! Bunga. Aku ni Melur!”
sergah suatu suara dihujung talian.
“Kak Melur, ada apa call Bunga?” suara yang
ceria bertukar menjadi mendung.
“Wah… sekarang ni kau sombong ya.
Mentang-mentang kau dah duduk KL, kau nak menyombonglah.”
Segera Bunga Mawar
mencatas. “Bukan begitu Kak Melur.Bunga cuma…”
“Dah tak payah kau nak jelaskan. Sampai esok
pun tak habis kau cakap nanti. Aku telefon ni sebab mak yang suruh."
Bunga Mawar sudah dapat
mengagak. Pasti sebab hendak minta duit darinya.
“Mak tanya bila kau nak masukkan duit lagi?
Mana cukup dua ratus aje. Hei, Bunga! Kau jangan buat-buat lupa pulak dekat
kami di kampung ni. Kau sepatutnya hantar duit ke kampung empat ratus ringgit
tiap-tiap bulan. Kita orang ni kekurangan duit tahu tak. Anak jenis apalah kau
ni!” bentak Melur tanpa memikirkan perasaan Bunga Mawar.
“Tapi kak, Bunga dah pesan sama bapak yang
bulan ni Bunga dapat hantar sikit aje ke kampung. Bunga nak guna duit tu dulu.
Duit rumah, api air, makan dan keperluan.” Teragak-agak Bunga Mawar bersuara.
“Oh…sekarang kau dah berani ya pentingkan diri
sendiri. Sepatutnya kau dulukan yang dekat kampung ni, barulah kau fikir diri
kau. Aku tak kira, apa pun alasan kau, aku tahu kau masukkan duit dalam akaun
Kak Anggerik hari ni juga.”
“Maaf kak. Bunga tak dapat nak bagi sebanyak
itu bulan ini. Bunga harap akak faham,” Bunga Mawar menekan butang merah
“Bunga! Bunga!” Sebelum mematikan panggilan
dia terdengar jeritan nyaring Melur memanggil namanya.
Biarlah Kak Melur, Kak
Anggerik dan Mak nak marahkannya. Dia tidak mahu ambil peduli. Biarlah bulan
ini mereka terpaksa bertolak ansur. Pak Hashim ada berpesan kepadanya supaya
tidak perlu menghantar duit belanja sebanyak empat atus ringgit di kampung
namun dia tidak pernah endahkan. Dia fikir duit itu betul-betul digunakan untuk
perbelanjaan. Namun berdasarkan cerita Pak Hashim, duit pemberiannya di gunakan
oleh tiga beranak itu untuk membeli belah.
Sejak itu dia mengambil
keputusan mengurangkan jumlahnya, yang lebih sepatutnya dihantar kekampung
disimpan ke dalam bank saja. Kali ini dia takkan terlalu berlembut lagi. Pak
Hashim juga setuju dengan tindakannya. Untung-untung duit simpanannya nanti
cukup untuk membawa bapak mengerjakan umrah. Bunga kembali menyibuk diri
mengemas sambil itu dia mendengar lagu ‘Lamunan Terhenti’ alunan suara Eizllyn
dan Awie. Mulutnya mengikut tempoh nyanyian.
Tanpa sedar seorang
lelaki berkaca mata hitam terhendap-hendap memasuki kedainya. Senyap tanpa
sebarang bunyi. Bunga Mawar sedang sibuk langsung tidak menoleh ke belakang.
Dia bersila dilantai, mudah untuk menyusun barang.
“Ehemm…” lelaki itu
berdehem.
Gadis di hadapannya
masih tidak berpaling.
“Ehemmmmm!” dehemnya
kali ini kuat dan panjang.
Barulah gadis itu
memberikan respon. Dia berpaling ke belakang dengan muka yang berkerut.
Kemudian matanya membulat. Dengan pantas dia berdiri.
“Encik ni siapa? Macam
mana encik boleh masuk ke sini? Saya tak dengar bunyi lonceng pintu pun.”
Lonceng di pintu sepatutnya berbunyi apabila pintu dibuka menandakan ada
pelanggan.
“Saya lalu pintu
belakang tadi.”
“Apa? Pintu belakang?”
Oh tidak! Dia tadi lupa
untuk mengunci pintu belakang kedai.
“Ya, saya lalu pintu
belakang. Tak berkunci jadi saya masuklah,” kata lelaki itu sambil menanggalkan
kaca mata hitamnya.
Terpana Bunga Mawar
melihatnya. Wah, rupa dia macam Adi Putra, pelakon terkenal yang dia minat itu.
Haish, Bunga sedar, okey. Entah-entah dia ni penyangak. Nak merompak atau lebih
parah nak merogol kau. Serta-merta dia berlari mendapatkan kaki payung di tepi
meja kaunter.
Kaki payung itu
diangkat ditujukan ke arah muka lelaki itu. “Bohong! Saya tahu awak ni
penjahat. Jangan dekat!”
Zarul |
“Wow! wow! cik sabar.
Saya ni bukan penjahat. Saya ni…” lelaki itu menegakkan kedua-dua telapak
tangannya. Sedikit demi sedikit dia menghampiri Bunga Mawar.
“Jangan dekat saya
kata! Kalau tak saya pukul awak dengan payung ni. Jangan dekat!” garang wajah
Bunga Mawar ketika ini.
Lelaki itu tersenyum.
Gadis di hadapannya tampak begitu comel walaupun dalam keadaan marah.
Kecil-kecil cili padi. Dia sempat mengamati penampilan gadis itu. Bertoncang
dua, kiri kanan. Kecil saja, mungkin paras bahunya. Dan, yang membuatkan dia
lagi tertarik gadis ini begitu berani berpakaian. Pakaiannya dari atas sampai
ke kaki berlainan warna. Begitu kontra namun tidak melepasi batas-batas
berpakaian.
“Kenapa encik senyum?
Oh…encik ni sebenarnya ada niat tak
baikkan pada saya ya,” tuduh Bunga Mawar melulu.
“Saya cuma…” belum
sempat dia menghabiskan kata-kata matanya disembur dengan cecair. Pedih!.
Bunga Mawar sempat
mencapai minyak wangi jenama Playboy milik Jojo. Mungkin Jojo tertinggalkannya.
Tanpa membuang masa kaki payung itu di pukul ke badan lelaki itu. Buk! Buk! Buk!
“Adoi, adoi,
adoi!...Hei, jangan pukul saya. Sudah! Berhenti!” berkali-kali dia cuba
mengelak tetapi dia tetap kena pukul. Matanya pula tidak habis-habis digosok
kerana pedih.
Lonceng pintu berbunyi
menandakan ada pelanggan masuk. Terkejut Puan Jannah melihat situasi di dalam
kedainya. Bunga Mawar dan lelaki itu dipandang silih berganti. Sue dan Jojo
membuntuti Puan Jannah turut tertanya-tanya
~*~*~*~*~*~
Puan Jannah tidak
henti-henti ketawa. Dia lucu mendengar cerita Zarul.
“Mama ni tak henti-henti ketawa, kenapa? Mata
orang dahlah sakit ni,” rungut Zarul sambil melihat-lihat matanya di cermin.
Urat-urat merah timbul di sana sini.
Sementara Bunga Mawar
yang berdiri jauh sedikit dari Puan Jannah dan Zarul menunduk. Dia tahu dirinya
salah. Itulah tadi orang sibuk nak cakap kau pergi potong. Inilah padahnya.
Salah faham.
“Mama rasa kelakar pulak. Yang Zarul lalu
pintu belakang siapa suruh? Biasakan lalu pintu depan. Kan dah terkena,”
Tawanya masih bersisa.
“Zarul saja lalu belakang. Ingat nak surprise kan mama. Tak sangka Zarul yang
kena surprise dulu,” tajam mata Zarul
merenung Bunga Mawar. Macam tak makan setahun saja.
Bunga Mawar perasan
Zarul merenung maut padanya. Dia tidak berani menatap wajah anak lelaki
majikannya.
“Saya minta maaf Encik Zarul. Saya tak
sengaja. Saya fikir encik ni penjahat. Saya tak tahu encik. Saya minta maaf
banyak-banyak.”
“Maaf, maaf… Tahu minta maaf aje. Masa buat tu
tak selidik dulu. Main potong aje. Apa awak ingat muka saya ni perogol bersiri
ke? Kalau saya ni perogol dah lama saya masuk penjara. Tak adanya saya jumpa
awak dekat sini. Huhh!” sinis sindiran Zarul.
Bunga Mawar semakin
menunduk. Sue dan Jojo pula tergelak-gelak kecil di belakang Bunga Mawar.
Mereka geli hati menggambarkan peristiwa antara rakan sekerja dan anak
majikannya itu. Zarul perasan itu terus menjengil mata ke arah mereka.
Masing-masing hilang senyuman dan terus melakukan kerja.
“Sudahlah Zarul. Masalah kecil saja. Lagipun
Bunga dah minta maaf pun.” Puan Jannah menenangkan anaknya. Hal kecil seperti
ini biarlah tidak berpanjangan.
“Kecik mama kata. Boleh membutakan mata tau
mama. Nasib boleh nampak lagi. Kalau tak anak mama ni tak boleh nak lihat lagi
dah.”
“Encik Zarul, saya betul-betul minta maaf.
Saya tak sengaja,” ucap Bunga Mawar lagi. Dia betul-betul rasa bersalah.
Zarul mencebik. Dia
sudah muak dengan ucapan ‘minta maaf’ dari Bunga Mawar.
“Saya tahu saya salah.Sebagai tanda mohon maaf
saya dan tebus kesalahan saya tadi, saya sanggup melakukan apa-apa saja yang
Encik Zarul suruh.” Dia terpaksa. Ini sajalah jalan yang difikirnya terbaik
supaya kesalahannya dimaafkan Zarul.
“Apa-apa saja?”
“Ya. Apa-apa saja boleh. Kalau Encik Zarul nak
suruh saya cuci tandas pun boleh,pergi buat air ke apa-apa,saya akan buat."
Zahrul berfikir
sejenak. “Okey. Apa yang I suruh you akan buatlah?”
Bunga Mawar mengangguk
lemah. Dia masih memikirkan kewajarannya buat begitu. Ahh…sepatutnya dia tidak
perlu melakukan itu semua tetapi dia telah terlepas cakap. Terpaksa dia turut
juga.
“Bunga… Bunga tak perlu buat itu semua,” Puan
Jannah berkata. Buat apa hendak menghukum orang hanya kerana perkara kecil ini.
“Ma…Biarkan. Dia buat salah, dia yang kena
tanggung semuanya. Kan?” sindir Zarul merenung tepat pada wajah Bunga Mawar.
Gadis itu cuma berdiam.
Puan Jannah mengeluh.
Kasihan Bunga Mawar nanti dibuli anaknya. Dia sudah tidak dapat berbuat apa
kerana Bunga Mawar sendiri sudah berjanji.
~*~*~*~*~*~
Dua minggu selepas
kejadian Bunga Mawar berasa selesa dan selamat kerana Zarul tidak datang ke
kedai mamanya. Mungkin dia sedang bekerja. Dia fikir pasti Zarul tiada masa ke
kedai kerana dia terselamat dari lelaki itu. Kalau ada pun pasti jarang sekali.
Tanpa disangka-sangka
tengah hari itu Zarul muncul dihadapan kedai. Bunga Mawar menarik nafas
panjang. Dia tahu sekejap lagi dia akan menjadi kuli Zarul. Zarul tidak terus
masuk, dia berdiri di luar dan mengetuk pintu kaca beberapa kali.
“Bunga, cik abang awak datang tu. Dia nak
suruh awak bukakan pintulah tu,” Jojo mencuit bahu Bunga Mawar.
“Perlu ke?” tanya Bunga Mawar malas.
“Perlu. Kalau tak cik abang awak tu takkan
masuk. Selagi awak tak buka selagi tulah dia berdiri dekat situ. Baik awak
pergi,” jawab Sue yang tiba-tiba saja berdiri di sebelahnya.
Dengan rasa malas Bunga
Mawar berjalan perlahan-lahan ke arah pintu kaca. Dia nampak Zarul senyum sinis
sekali.
“Hmmm… panasnya dekat luar tu. Tekak ni rasa
nak minum jus pulak. Bibik tolong ambilkan jus untuk saya,” arah Zarul selamba
dengan duduk bagai bos besar. Kaki disilang naik atas meja, tangan pula memeluk
tubuh yang sedang bersandar di atas kerusi.
Bunga Mawar terpaksa
turuti juga. Gelas berisi jus oren diletakkan dengan kasar di hadapan Zarul.
Pantas dia beralih ke meja kaunter. Duduk di situ berpura-pura menyelak buku
jualan. Malas dia hendak melayan.
“Hish, ganasnya. Marah ke bibik? Janganlah
marah. Itukan memang kerja awak. Nak buat macam mana, awak yang berjanji,”
seloroh Zarul. Sengaja hendak menyakitkan hati Bunga Mawar.
Gadis itu mencebik.
Meluat dengan perangai mengada-ngada itu. Zarul pula menyimpan tawa dalam hati.
Comel sungguh melihat wajah gadis itu yang cemberut.
~*~*~*~*~*~
Sejak dari hari itu
hubungan antara Bunga Mawar dan Zarul menjadi mesra . Mereka menjadi teman tapi
mesra. Tetapi Allah lebih mengetahui isi hati masing-masing. Bunga Mawar
mahupun Zarul dapat merasakan suatu perasaan aneh timbul dalam hati mereka
namun tak terungkap. Masing-masing memendam rasa, tidak mahu mengaku.
“Bunga saya tanya awak sikit boleh?”
“Nak tanya apa? Tanyalah.”
“Sorry
kalau menyinggung perasaan awak. Saya tengok style awak lain dari yang lain.
Awak memang suka begini ke?”
Bunga Mawar ketawa.
“Lah…itu aje awak nak tanya. Hmm… saya suka pakai macam ni sebab saya suka aura
warna. Boleh buat saya ceria, kalau saya sedih pun pasti orang akan tengok saya
macam saya tak ada masalah. Lagi satu… nama saya kan Bunga. Bunga kan banyak
warna. Jadi sebab tu saya suka berpakaian seperti ini. Biarlah orang kata saya
ni serabut ke apa. Janji saya jadi diri saya dan tak melampaui batas.” Bunga
Mawar memberikan penjelasan sambil tersenyum.
Terangguk-angguk Zarul
mendengar penjelasan gadis di sebelahnya.
“Saya suka awak seperti ini. Nampak unik dan
lain dari yang lain. Dan…nampak cute.”
“Ya ke? Terima kasih.”
“Bunga, saya nak tanya awak satu soalan lagi.”
“Cakaplah.”
“Saya nak tahu tentang diri awak. Awak dah
tahu tentang saya, sekarang ni giliran awak pulak. Nama penuh awak?
Adik-beradik awak ada berapa? Macam mana keadaan keluarga awak? Sorry kalau
saya terlalu menyibuk. Tapi saya perlu tahu sebab sekarang awak dah jadi kawan
saya.”
“Banyaknya soalan. Tadi kata satu aje.”
Zarul menyengih. Nampak
benar dia gelojoh hendak mengetahui peibadi Bunga Mawar.
“Hmm, nama penuh saya Bunga Mawar Binti
Hashim. Di kampung saya tinggal dengan ayah, ibu tiri dan dua orang kakak tiri.
Tapi ibu dan kakak-kakak saya tak sukakan saya sebab saya bukan darah daging
mereka. Cuma ayah saya yang sayangkan saya. Mak kandung saya pulak meninggal
dunia semasa melahirkan saya,” pengakhir kata Bunga Mawar tiba-tiba menjadi
sendu.
“Maaf , saya tak patut tanya tentang…”
“Tak apa. Perkara dah lepas.” Bunga Mawar cuba
mempamerkan senyuman walaupun hatinya sedih.
Zahrul membiarkan Bunga
Mawar tenang seketika barulah dia menyambung pertanyaannya.
“Err, Bunga kalau saya tanya lagi satu aje
soalan, boleh? Satu aje lagi.”
“Cakap ajelah. Macam awak tak biasa,” seloroh
Bunga Mawar menolak sedikit bahu Zarul.
“Sudi tak kalau awak ikut saya ke satu majlis
hari jadi malam esok? Saya tak ada teman. Saya segan sebab saya seorang aje
yang masih single diantara kawan-kawan lelaki lain. Dia orang selalu kutuk saya
bila berjumpa. Hmm, sudi tak awak temankan saya?” tanya Zarul perlahan.
Malu-malu kucing sebenarnya.
Bunga Mawar diam
seketika. “Awak saya rasa awak cari orang lainlah. Sebab saya takut saya tak
sesuai jadi teman awak. Saya pipit,awak enggang. Nanti orang akan ketawakan
saya, awak pulak mendapat malu.”
“Antara awak dan saya tak ada istilah pipit
dan enggang, Bunga. Sebagai manusia kita sama saja. Saya tak ada masalah kalau
nak berkawan dengan awak. Saya ikhlas nak jadikan awak sebagai kawan saya. Saya
selesa bersama awak berbanding kawan yang lain. Saya tak tahu kenapa tapi
itulah yang saya rasakan. Tapi tak apalah kalau awak tak sudi temankan saya,”
Zarul seakan merajuk. Dia bangun dari duduknya.
Bunga Mawar berasa
serba salah.
“Awak,” panggilnya seraya menghentikan langkah
Zahrul.
“Okey. Saya ikut awak.
Tapi janji, bila di sana nanti awak tak tinggalkan saya seorang. Saya bukan
kenal sesiapa pun.”
Zarul tersenyum
gembira. “Saya janji.”
“Tapi saya tak ada apa-apa yang cantik untuk
dipakai.”
“Yang itu biar saya uruskan,” Zahrul menepuk
dada.
~*~*~*~*~*~
Hari itu dia pulang
sungguh lewat. Hampir pukul 10.00 malam baru dia tiba di rumah.Masuk saja ke
rumah Elly Nadia terus menariknya ke sofa.
Wajah Elly Nadia
sungguh risau. “Bunga pergi mana? Dah malam-malam ni baru balik. Nad telefon
tak angkat. Risau Nad tau”.
“Sorry.
Bunga pergi shopping sekejap."
“Pergi shopping?
Bunga pergi dengan siapa?”, pelik. Selama ini Bunga Mawar tidak pernah pergi ke
shopping mall kalau tidak dengannya
dan Kak Zira.
“Dengan Zarul.” Bunga Mawar sibuk membelek
baju dress yang dibeli Zarul untuknya.
“Zarul? Zarul anak Puan Jannah tu ke?” tanya
Kak Zira.
“A’ah. Dia yang bawa Bunga beli barang ni
semua.”
“Haa? Bunga dengan Zarul tu ehem, ehem ke?”
“Mana ada ehem, ehem. Kami kawan biasa saja.
Zarul minta tolong Bunga temankan dia ke majlis hari jadi kawan dia. Bunga tak
ada baju cantik sebab itu dia bawa Bunga pergi shopping,” kata Bunga Mawar
sambil tersenyum.
Elly Nadia dan Kak Zira
memandang tepat ke arah Bunga Mawar.
“Sampai bawa pergi beli baju, takkan tak ada
apa-apa kot?” usik Elly Nadia.
“Mana ada. Tak adalah. Kami cuma kawan biasa.
Teman tapi mesra."
Sekeras-keras dia cuba
menafikan tanggapan dua teman serumahnya.
“Yalah orang tu nak sembunyi-sembunyi. Nanti
kita tahu jugak.” Elly Nadia mengusik lagi.
“Nad…”
~*~*~*~*~*~
Tertancap mata Zarul
pada Bunga Mawar yang berjalan keluar dari pagar rumah. Dia sungguh cantik
dengan dress lengan panjang berwarna kuning penuh labuci di dada. Dia yang
rendah kelihatan sedikit tinggi malam ini apabila mengenakan sepatu tinggi.
Bunga Mawar kelihatan kekok untuk berjalan.
“Awak sangat cantik malam ni.”
“Terima kasih,” Bunga Mawar segan apabila
dirinya menjadi perhatian sebelum dia naik kereta lagi.
Sepanjang perjalanan
Zarul tidak lepas dari memandang Bunga Mawar. Sesekali mencuri-curi pandang.
Bunga Mawar pula diam membatu. Dia segan untuk menoleh ke sebelahnya. Sedar
tidak sedar kereta milik Zarul berlabur di banglo dua tingkat yang cukup gah.
“Shall
we.” Zarul menghulurkan tangan kepada Bunga Mawar. Perlahan-lahan Bunga
Mawar menyambut huluran keluar dari perut kereta.
Zarul menghulurkan pula
lengannya. Sekali lagi Bunga Mawar malu-malu menyangkutkan tangan di lengan
Zarul. Mereka jalan seiring masuk ke pintu gerbang banglo.
“Hei, bro! Lama tak jumpa.” Jerit satu suara
di tepi mereka.
“Shah. Kau rupanya. How are you?”
“Fine.
Bro, siapa gadis cantik di sebelah kau ni? Hai,
I am Shah. You?,” Shah mengenyit mata sambil menghulurkan tangan tanda
pengenalan. Bunga Mawar diam saja di sisi Zarul. Dia tidak selesa sebenarnya.
“Ini Bunga. Girlfriend aku,” pantas Zarul menjawab.Tangan Bunga Mawar digenggam
erat. Dia tahu gadis itu pasti tergamam apabila dirinya diperkenalkan sebagai
teman wanita, padahal mereka cuma berkawan. Namun jauh di sudut hati, apa yang
terluah itulah yang sebenarnya.
“Oh, dia girlfriend
kau. Hmm, tak ada can aku nak mengurat.” Shah yang sememangnya terkenal dengan
gelaran kasanova itu sedikit hampa.
“Banyak lagi awek yang kau boleh tackle, bro.
Tu bersepah sana sini.”
Majlis hari jadi
sahabat karibnya semasa di London, Ku Zairi begitu ramai sekali yang hadir.
Terdiri dari rakan-rakan pengajian dan sahabat rapat. Alunan muzik merancakkan
lagi suasana.
“Betul jugak tu, bro. Tapi kejap lagilah.
Sekarang ni jom kita pergi jumpa sekejap dengan Kuzai. Dia dekat sebelah sana
tu. Maaf ya Bunga, I pinjam boyfriend
you kejap.” Shah terus menarik lengan Zarul. Dia terpaksa mengikut.
“Awak,” panggil Bunga Mawar serba salah. Dia
ditinggalkan seorang diri di sini. Bukankah Zarul sudah berjanji untuk
tinggalkannya seorang? Zarul hanya menoleh sekejap ke belakang sambil memberi
isyarat tangan supaya Bunga Mawar tunggu di situ.
“Aku nak buat apa ni? Dahlah tak kenal sesiapa
pun. Zarul pulak tinggalkan aku,” omel Bunga Mawar sendirian. Menyesal dia
mengikut lelaki itu kalau tahu dia akan ditinggalkan. Dia melihat sekeliling.
Matanya berhenti di dua buah meja panjang yang penuh dengan hidangan.
“Baik aku ke situ.Biar
Zarul tercari-cari aku.”
Meja itu penuh dengan
kek, puding dan pelbagai manisan. Manakala meja yang satu lagi penuh dengan
makanan berat. Bunga Mawar ke meja pencuci mulut. Kek Coklat basah bersos krim
coklat cair menjadi pilihan. Kek itu disudu ke mulut.
“Hai!” sapa suara seorang wanita. Segera Bunga
Mawar menoleh.
“Hai.” Teragak-agak dia membalas sapaan gadis
memakai dress berwarna merah tanpa lengan dan hanya separas paha. Gadis menawan
ini menghulurkan segelas minuman buatnya dan segelas lagi diminum sedikit.
“You ni yang dengan Zarul tadikan.”
Dahi Bunga Mawar
berkerut seribu.
“Alah, lelaki yang kat hujung sana tu.” Gadis
yang tanpa nama itu menunjuk ke arah Zarul dan rakan-rakannya sedang bergelak
tawa. Bunga Mawar perasan bahawa Zarul juga sedang memerhatikannya.
“Ya… ya.”
“By the
way…I’am Marlisa. Ku Marlisa anak Datuk Rahimi. Yang sebelah Zarul tu abang
I, Ku Zairi,” gadis itu memperkenalkan diri dengan rasa bangga.
Ohh, nama dia Ku
Marlisa.
“Ohh… Saya Bunga Mawar. Panggil Bunga saja,”
Bunga Mawar memperkenalkan diri dan ingin berjabat tangan.
“What
the funny name,” ejek Marlisa perlahan dalam bahasa yang kurang difahami
Bunga Mawar. Tangan tidak disambut.
Marlisa |
“Apa Cik Marlisa cakap?” tanya Bunga Mawar
tidak faham. Huluran tangan diturunkan kembali apabila tidak bersambut.
“Nothing.
I cuma cakap nama you sungguh klasik. Hmm, I rasa I pernah nampak you. Tapi di
mana, ya?” dia sedar gadis polos disebelahnya ini tidak fasih dalam Bahasa
Inggeris. Bodoh, senang dipermainkan.
“Mungkin kita pernah jumpa di kedai bunga Puan
Jannah. Saya bekerja di situ.”
“So, you ni cuma pekerja mama Zarul aje. You
kuli aje rupanya. Memang tak sesuai dengan Zarul,” Marlisa mengejek tanpa
berselindung.
“Apa maksud Cik Marlisa?”
“Hai, takkan you tak faham lagi. Orang macam
Zarul, macam I ni, orang kenamaan tau. Sepatutnya Zarul tak layak bercampur
dengan orang seperti you. You sedarlah sikit, you tu siapa, Zarul tu siapa.
Dan… sepatutnya Zarul tu sesuai dengan I bukan dengan you, orang miskin
golongan bawahan,” sindir berbaur hina Marlisa. Hati Bunga Mawar bagai dicucuk
dengan belati tajam. Penting sangat ke darjat sampai manusia sanggup menghina
manusia lain?
“Untuk pengetahuan you. I dengan Zarul couple.
Maksud I kami bercinta dan tak lama lagi kami akan bertunang. Kami dah lama
impikan untuk bersama. Dan, tak lama impian kami akan jadi kenyataan. I rasa
you tak layak untuk Zarul. I pun tak suka you dekatkan diri dengan dia.”
“Saya dengan Zarul cuma…”.Belum pun habis dia
bercakap Marlisa mencantas.
“Cuma apa? Cuma kawan, begitu? I tahu dari
mata I you sebenarnya suka kan Zarul, kan? You sengaja rapat dengan dia dan
kemudian bila dah dapat you kebas harta dia sampai habis. Alah… perempuan macam
you ni berlambak dekat KL ni.” Semakin galak Marlisa menghina. Walaupun
percakapannya tidak kuat namun Bunga Mawar malu. Malu dihina sebegitu sekali.
Tambah Marlisa lagi. “I
tahu you nak dekat dengan Zarul sebab duit. Berapa you nak, I sanggup bagi asal
you jauhkan diri you dari Zarul. Berapa? RM 20 ribu? RM 50 ribu? Ke RM 100
ribu?” tekan Marlisa lagi.
“Diam!” jerit Bunga Mawar dengan linangan air
mata. Mata tetamu masing-masing tertumpu ke arah mereka. Mahu saja dia menampar
pipi gebu gadis itu. Namun, siapalah dia untuk berbuat begitu.
“Cik Marlisa tak patut
hina saya hanya kerana saya orang miskin, hanya kerana saya orang kampung. Saya
ada maruah! Saya tahu saya memang tak layak untuk orang ternama seperti cik
atau Zarul. Saya sedar diri saya yang tak setaraf dengan cik dan semua yang ada
di sini,” Bunga Mawar tidak menunggu
lama, dia terus keluar dari kawasan rumah banglo itu.
“Bunga!” Zarul cuba mengejar Bunga Mawar.
Namun gadis itu lebih pantas berlari dan menahan sebuah teksi.
“Bunga..”,Zarul sempat
menahan Bunga Mawar sebelum masuk ke dalam teksi.
“Saya nak balik!”
“Saya hantar, ya?”
“Tak payah. Saya boleh balik sendiri,” Bunga
Mawar terus masuk ke dalam perut kereta meninggal Zarul. Di dalam teksi Bunga
Mawar kembali menangis menenangkan penghinaan yang dia hadapi.
Zarul masuk semula ke
dalam banglo itu. Dia mendekati Marlisa.
“Apa you dah buat pada Bunga? Apa yang you
cakap pada dia? Haa!” tengking Zarul
“Apa? I cuma cakap benda betul.Memang betul
pun dia tak standing dengan you."
“What?
You hina dia ke? Sampai hati you hina dia.”
“Yang you back-up dia sangat, kenapa? Dia
bukan sesiapa pun dekat you. I sayangkan you Zarul! You dah lupa kisah cinta
kita ke?”
Zarul mengenggam
penumbuk. Cuba untuk menanam sabar.
“Untuk pengetahuan you, Marlisa. Bunga tu
adalah kekasih I. Yes, I cintakan you tapi itu dulu. Dulu sebelum you curang
dengan I semasa kita sama-sama di London. Sekarang cinta I bukan untuk you
lagi, tapi telah menjadi hak milik Bunga Mawar. Hanya untuk Bunga! You faham?”
Marlisa terpempan.
Jatuh gelas ditangannya. “Zarul I masih cintakan you. I mengaku memang I yang
salah.But, I love you,” rayunya
bersama tangisan meminta simpati.
“Enough!
Boleh jalan dengan cinta you tu!” herdik Zarul berlalu pergi.
“Zarul!”
~*~*~*~*~*~
“Bunga! Bunga!” jerit
Zarul dari luar pagar.
Pintu rumah teres itu
terbuka sedikit. “Encik, apa pasal terjerit-jerit depan rumah saya ni. Malu
jiran-jiran dengar.”
“Awak ni siapa?”
“Saya Nadia. Kawan Bunga. Encik ni Zarul, kan?
Anak Puan Jannah yang selalu Bunga cerita tu?”
“Ya. Emm… Bunga ada?”
“Ada. Tapi lepas aje dia balik tadi terus
berkurung dalam bilik. Apa sebenarnya yang terjadi Encik Zarul?” Dia tadinya
terkejut melihat Bunga Mawar berlari masuk ke dalam rumah dengan linangan air
mata. Belum pun sempat dia bertanya Bunga Mawar telah berlari masuk ke bilik.
“Panggil Zarul saja.”
“Oh,ya. Hmm..boleh tak encik… eh… Zarul
ceritakan pada saya kenapa Bunga jadi seperti itu,” pinta Elly Nadia mendekati
Zarul.
Keluhan lepas. Zarul
bercerita kejadian tadi kepada gadis di hadapannya ini. Elly Nadia menggaru
kepalanya.
“Macam nilah… Ada
baiknya Zarul biar Bunga cool
sekejap. Insya-Allah, dia pasti akan okey balik.Nanti saya pujuk dia.”
“Saya harap begitulah.”
“Boleh saya tanya? Hubungan Zarul dengan Bunga
ni macam mana ya?”
Zarul senyum. “Saya…
saya sebenarnya secara jujur sukakan Bunga,” ujarnya malu-malu.
“Suka bagaimana? Berkawan atau suka sebab
cintakan Bunga?”
Zarul diam sejenak.
“Saya… cintakan Bunga.”
“Saya dah agak. Awak dan Bunga pasti suka sama
suka tapi malu nak mengaku. Walau apa-apa pun saya doakan supaya awak berdua
kekal hingga ke anak cucu.”
Zarul senyum nipis.
“Terima kasih, Nad. Hmm… saya balik dululah.Saya harap Bunga okey. Saya harap
juga pujukan awak boleh melembutkan hati dia,” ujar Zarul penuh pengharapan.
“Awak jangan risau ya. Nanti saya pujuk dia,”
Elly Nadia berjanji.
Zarul meninggalkan
perkarangan rumah sewa Bunga Mawar dengan berat hati. Harap-harap buah hatinya
segera sejuk rasa marah. Dia tidak sabar hendak berjumpa dengan gadis itu untuk
berterus terang tentang perasaannya.
~*~*~*~*~*~*~
Dua, tiga hari Zarul
menjenguk ke kedai bunga mamanya. Namun, kelibat Bunga Mawar tidak juga
kelihatan. Dia ada bertanya pada Jojo tiga hari lepas namun kata Jojo, Bunga
Mawar bercuti pada hari itu. Masuk hari keempat dia ke kedai mamanya lagi. Puan
Jannah turut ada di situ.
“Zarul, apa mimpi Zarul ke kedai mama hari
ni?” anak terunanya ini duduk berasingan dari keluarga. Katanya, dia mahu
berdikari. Puan Jannah tidak kisah asal dia pandai jaga diri.
“Nak jumpa buah hati agaknya, puan,” sampuk
Jojo yang sibuk memotong tangkai bunga ros.
“Buah hati? Siapa?”
“Siapa lagi puan kalau bukan Bunga Mawar,” Sue
juga menyampuk.
“Zarul dengan Bunga?” tanya Puan Jannah.
“Mereka bagai pingang dibelah dua, puan. Pergi
mana-mana asyik nak berkepit,” mulut murai Jojo selamba bercakap.
“Betul?” Puan Jannah memandang tepat anak
terunanya yang seorang.
Zarul senyum dan
mengangguk. “Entah bila Zarul mula sukakan Bunga. Tapi Zarul betul-betul
sayangkan dia, mama. Mama… Bunga cuti berapa hari? Kenapa sampai sekarang dia
belum naik kerja?”
Wajah Puan Jannah
tiba-tiba kelihatan sedih. Apa yang hendak dikatakan anaknya ini? Pasti Zarul
kecewa mendengar perkhabaran tentang buah hatinya.
“Bunga telefon mama semalam. Dia cakap dia nak
berhenti. Mama tanya kenapa, dia kata dia nak balik kampung. Mama tak tahu
Zarul sukakan Bunga. Kalau tak pasti mama halang dia dari pada berhenti.”
Zarul terkejut. Jojo
dan Sue juga terkejut. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba Bunga Mawar
berhenti. Dalam resah Zarul terus bangun.
“Zarul nak ke mana?”
“Zarul nak cari Bunga mama. Zarul mesti cari
dia.”
Zarul terus berlalu
meninggalkan mamanya, Jojo dan Sue yang terpinga-pinga.
~*~*~*~*~*~
Bunga Mawar termenung
merenung ke luar jendela. Dia duduk bertenggek. Indah sungguh suasana senja di
kampung. Langit yang kuning kemerahan menenangkan jiwanya yang resah setiap
masa. Dia masih teringat kata-kata penghinaan Marlisa dan dia juga mengakui
rindu dengan Zarul. Hati sudah tidak mampu menidakkannya lagi.
“Bapak tengok Bunga muram semacam aje. Kenapa
ni, ada masalah ke?”
Gadis itu menggeleng.
Dia tidak menoleh.
“Bunga tak sihat ya? Atau Bunga ada masalah?
Ceritalah dengan bapak.” Pak Hashim risau melihat anak bongsunya begini.
“Bunga baik-baik aje bapak. Bapak, mak, kak
Anggerik dan kak Melur marahkan Bunga ya?”
“Alah… Usah dihiraukan mereka. Nanti lama-lama
diamlah dia orang tu. Bunga cubalah sabar dengan perangai mereka. Penat nanti
senyaplah. Bunga ni betul-betul tak ada apa-apa ke?” sungguh dia risau dengan
keadaa anaknya.
“Tak. Bapak Bunga nak pergi mandilah. Lepas tu
nak solat maghrib, waktu dah nak dekat habis ni,” Bunga Mawar cuba berdalih.
Cepat-cepat dia mencapai tuala dan keluar dari bilik.
Pak Hashim hanya
memandang kosong Bunga Mawar berlalu. Hatinya tetap mengatakan bahawa anaknya
ini sedang dilanda masalah.
Malam itu Bunga Mawar
mnyepi diri. Dia berkurung di dalam bilik. Sedang rancak Pak Hashim sekeluarga
menonton televisyen, bunyi kereta mengganggu konsentrasi mereka. Mak Bedah
mengarahkan Anggerik melihat tetapi anaknya itu menolak si adik pula.
“Melur kau pergilah tengok siapa dekat depan
tu.”
“Apa pulak Melur. Kan mak yang suruh akak
tadi. Kita pulak kena,” rungut Melur.
“Kau orang ni malas betul. Suruh pergi tengok
pun malas. Cuba buang sikit perangai malas tu. Dah! Melur pergi tengok,” bebel
Mak Bedah melihat dengan perangai malas anak-anaknya. Hai…manakan tumpahnya
kuah kalau tak ke nasi.
“Tak nak Melur. Biar kakak pergi tengok.”
“Eh,budak ni. Kang aku tangan kang…”
Pening Pak Hashim
dengan tiga beranak ini. Tak habis-habis nak bertekak.Kerja senang pun tidak
mahu buat.
“Dah. Biar aku pergi tengok.” Dia bangun
menjenguk di pintu. Hairan dia melihat seorang anak muda keluar dari sebuah
kereta mewah.
“Assalammualaikum, pak cik.”
“Wa’alaikumsalam. Anak ni siapa?”
Mak Bedah mendengar
orang memberi salam terus menegur suaminya. “Siapa tu, bang?”
Pak Hashim menjenguk
sikit ke arah isterinya. “Entah. Anak muda.Nampak macam orang jauh.” Mendengar
saja lelaki muda terus Anggerik dan Melur berlari ke pintu.
‘Wah,handsome! Oh, abang ku sayang,’ jerit
Anggerik dalam hati.
Melur pula. ‘Oh,
kacaknya dia. Macam Adi Putra. Jadi laki aku bagus ni.’
“Anak ni siapa? Ada apa datang ke mari
malam-malam begini?”
“Saya Zarul, pak cik. Datang dari KL. Ini
rumah Bunga ke? Pak cik ni ayah Bunga, kan?”
Mendengar saja nama
Bunga Mawar di sebut-sebut jejaka itu. Anggerik dan Melur terus muncung. Apa ke
halnya dengan Bunga? Bentak mereka dalam hati.
“Ya, betul. Ini memang rumah Bunga. Anak ni
kawan Bunga ya? Hmm.. jemputlah masuk.”
“Ada hajat apa Zarul ke mari nak berjumpa
dengan Bunga?”
Zarul rasa tidak selesa
apabila Anggerik dan Melur duduk mengapitnya dengan gelagat berlakon ayu. Dia
betul-betul rimas. Dia pasti mereka adalah kakak tiri Bunga Mawar. Perangai
mereka tidak sama seperti buah hatinya itu pandai menjaga adab dan bersopan.
“Saya nak minta maaf pasal kejadian beberapa
hari lepas. Dan, ada sesuatu yang perlu saya beritahunya.”
“Hmm… Nampaknya kamu memang beria nak jumpa
Bunga. Tak mengapalah, ceritakan dengan pak cik kemudian saja. Biar pak cik
pergi panggil Bunga dulu. Anggerik, Melur sudah-sudahlah menghimpit Zarul tu,
karang tak bernafas pulak. Dah pergi dapur, tolong mak apa yang patut.” Sebelum
Pak Hashim berlalu pergi dia sempat menyindir dua beradik itu. Kedua-duanya
terpaksa pergi setelah Pak Hashim membesarkan mata.
Bunga Mawar bagai malas
hendak keluar apabila dipanggil bapanya. Kalau boleh dia hendak duduk saja
dalam bilik malam ini mengurung diri. Kata bapak ada orang hendak berjumpanya.
Siapa pula yang hendak berjumpa dengannya malam begini. Dia berjalan malas ke
ruang tamu. Sesampai saja di runag
tamu, terbeliak matanya melihat lelaki yang duduk seorang diri di situ.
“Awak?”
~*~*~*~*~*~
“Awak nak apa sampai
sanggup cari saya di sini?” Bunga Mawar bertanya tanpa memandang Zarul.
Dia berdiri membelakangkan lelaki itu.
“Saya rindukan awak, Bunga,” kata Zarul tenang
duduk di pangkin di bawah pokok rambutan. Bunga Mawar yang mengajaknya ke situ.
Mungkin gadis ini tidak selesa hendak berbual dengannya dia dalam rumah. Takut
keluarga dengar barang kali.
“Jangan nak merepeklah,” sangkal Bunga Mawar.
“Tak. Saya tak merepek. Saya serius ni. Dan
saya tahu awak pun tengah rindukan saya juga, kan?”
Bunga Mawar diam. Malu
mengaku mengaku.
“Bunga... Saya nak buat pengakuan. Saya
sebenarnya dah mula sayangkan awak. Sayang lebih dari sebagai kawan. Senang
cakap saya cintakan awak. I love you, Bunga Mawar.”
Sungguh Bunga Mawar
terpempam mendengar kata-kata itu. Entah kenapa jantungnya berdetap-detup laju.
Namun, dia segera sedar diri. “Awak tak
boleh begini Zarul. Saya tak setaraf awak. Saya tak sesuai dengan awak.”
“Bunga berapa kali saya nak kena cakap. Kita
ni manusia sama saja di sisi Allah. Saya berkawan dengan awak pun ikhlas. Saya
suka, sayang dan cinta awak pun ikhlas. Saya tahu, awak marah dengan Marlisa.
Sebab dia hina awak, saya minta maaf. Awak terluka, itu saya tahu. Kerana itu
saya minta maaf. Salah saya juga sebab tinggalkan awak seorang diri. Kalau tak,
awak takkan diserang begitu sekali. Maafkan saya, awak.”
Berderai air mata Bunga
Mawar. Dia terharu. Bukan salah Zarul pun. Mengapa dia sanggup meminta maaf?
Adakah kerana Zarul mahu menjaga hatinya agar tidak terluka? Tapi bagaimana
pula dengan Marlisa? Betulkah gadis kelmarin dia jumpa itu kekasih Zarul?
“Zarul awak tak perlu minta maaf. Bukan salah
awak. Zarul, Marlisa lebih sesuai untuk awak daripada saya. Saya ni bukan siapa
pun. Awak lebih kenal Marlisa dari saya.” Bunga Mawar minta pengertian Zarul.
“Saya dan Marlisa tidak ada apa-apa hubungan.
Dulu ya, sebelum saya dapat tahu dia curang dengan saya semasa kami di London.
Tapi sekarang dalam hati saya hanya nama awak saja. Kalau awak tak percaya
belah dada ini. X-traylah hati saya sehingga awak jumpa hanya nama awak saja
tertulis.”
Demi mendengar
kata-kata Zarul, Bunga Mawar tergelak. Kelakar juga dia ini. Siap suruh bedah,
x-tray segala. Sisa air mata dikesat.
“Apa pasal awak gelak? Tadi serius.” Senang
hati Zarul apabila buah hatinya ini sudah mula tergelak.
Bunga Mawar ambil
tempat di sebelah Zarul. Bahu lelaki itu ditolak. “Awaklah.Nak pujuk siap
keluarkan skrip ala-ala Tiga Abdul lagi.” Dia kalau marah dengan Zarul memang
tidak boleh lama sebab Zarul pandai buat kelakar untuk memujuk.
“Habis awak tu susah sangat. Nak merajuk lama-lama,
lepas tu cemburu buta.”
“Cemburu? Mana ada saya cemburu. Awak ni
memandai aje.”
“Eleh tak cemburu konon. Yang tadi tu apa.
Siap kata saya lebih sesuai dengan Marlisa lagi. Lepas tu rendahkan diri
sendiri.”
“Awak!”
Bunga Mawar tidak jadi
hendak menepuk bahu Zarul apabila lelaki itu pantas menyambar tangannya. Mata
mereka saling berpanahan. Melekat terus.
“Bunga, sudikah awak sehidup semati dengan
saya? Menjadi suri di hati saya dan menjadi peneman saya di syurga nanti?”
Dia melamar aku? Betul
ke ni? Aku berada di alam fantasi atau realiti? Zarul telah menyarungkan
sebentuk cincin berlian di jari tengahnya. Tidak berkelip mata Bunga Mawar
memandangnya.
“Awak…” hilang segala kata-kata. Air mata
kembali menitik. Terharu. Zarul merenung tepat ke anak matanya. Seolah-olah
cuba untuk membuatkan dia yakin.
“Tapi awak…”
“Dah. Tak ada tapi-tapi lagi. Saya nak awak
jawab ya aje. Saya tahu awak sebenarnya dah lama kan ada hati pada saya. Cuma
awak malu nak luahkan, sama macam saya. Semua Nad dah cerita pada saya. Awak
cerita dengan Nad sambil nangis-nangis, tanpa sedar awak cakap awak dah mula
sayangkan saya. Betul tak?”
Tertunduk Bunga Mawar
dibuatnya. Pipinya sudah merah menahan malu. Hish, Nad ni tak tahu jaga rahsia
betul.
“Betullah tu,” usik Zarul.
“Awak nak ke mana?” tanya Bunga Mawar apabila
tangannya ditarik Zarul.
“Jom pergi jumpa ayah awak. Saya nak bincang
dengan dia pasal kita ni. Nak minta dia tentukan tarikh untuk saya meminang
awak.”
“Eee… awak ni tak tahu sabar betul. Puan
Jannah pun belum bagi persetujuan, dia beria pulak. Mama awak ni boleh ke
terima saya ni?”
“Hish, apa pulak tak boleh terima. Dia yang
suruh saya pergi cari awak. Siap suruh bawa balik KL lagi.”
Bunga Mawar dan Zarul
berpegangan tangan menuju ke rumah. Mereka begitu mesra sekali. Anggerik dan
Melur yang dari tadi sibuk menelinga perbualan mereka di celah tingkap sudah
masam muka dengan tangan berpeluk tubuh. Nampaknya, Zarul memilih adik tiri
mereka.
“Huh!” kedua-dua mereka merengus kasar sambil
menghentak kaki menuju ke bilik.
Melepaslah peluang
mereka untuk memikat Zarul. Padanlah muka. Itu balasan kerana dulu mereka suka
membuli Bunga Mawar dan mengatakan gaadis itu cuma menyusahkan. Allah itu maha
adil. Dia memberikan Bunga Mawar bahagia setelah gadis itu banyak menempuh
dugaan.
Dua bulan selepas itu
keluarga Zarul datang meminang dan terus bertunang dalam masa yang sama. Selang
lima bulan, mereka diijabkabulkan. Semoga mereka berbahagia hingga ke anak
cucu. Amin.
TAMAT
~Maaflah kalau cerpen a.k.a cerpan Ira ni x menarik. Masa ni Ira baru aje belajar nak menulis. Kalau ada kekurangan jangan segan2 ngomen. Belasahlah, tamparlah Ira dengan kritikkan awak semua supaya lepas ni Ira boleh mempertingkatkan lagi penulisan. Awak2 semua boleh komen dekat bawah ye...hehe (^_^)
4 ulasan:
Jalan cerita bleh diperbaiki lg...last skali tu kalo bleh dipnjgkn sikit...^_^
Tq sbab sudi baca n komen sis nurul amyra. Insya-Allah, ira akan cuba perbaiki lg penulisan ira di lain krya :)
Bess gile....
Thanks sudi baca
Catat Ulasan