Rabu, 22 Oktober 2014

Cerpan : Dengarlah Bintang Hatiku... ( Part 4 )



“Uitt! Rajinnya… anak siapa ni?” Aminah mencuit pinggang Nurul Ain yang ralit menggam plastik pembungkus kerepek. Sampai terlatah gadis itu dibuatnya.

“Opocott mak kau!” Nurul Ain pantas menutup mulutnya. Merona kulit wajahnya akibat malu dilihat beberapa orang mak cik yang juga berada di situ. Dia sengih saja bagi kepada mereka bagi menutup malu. Pandangan terarah kepada Aminah yang sibuk menutup mulut.

Terkekeh-kekeh Aminah ketawa tetapi dengan suara perlahan. Pantas Nurul Ain menegakkan jari telunjuk ke dua ulas bibirnya. Mata dipicingkan ke arah sahabatnya itu. Aminah ini kalau sudah ketawa jadi tidak ingat dunia.

“Syhhh… diamlah. Nanti kena marah baru tau! Eee… Kau ni kan Minah, buat aku malu ajelah. Lain macam aje mak cik-mak cik ni tengok aku tadi. Kaulah!” bisiknya dengan nada kegeraman.

Opss… Sorry…”

 Aminah tayang sengih. Kelopak mata dikelip-kelip konon buat muka comel. Kedua-dua belah tangan diangkat dan dirapatkan. Sebagai tanda meminta maaf. Nurul Ain hanya menjeling sahabatnya itu. Kalau tidak disebabkan kerja sudah dipicit-picit pipi Aminah yang gebu tu. Geram!

“Kau ke sini ni… dah siap ke kerja goreng kerepek?”

Aminah membiarkan dahulu soalan gadis itu. Dia mengambil sarung tangan plastik dan menyarungkan kedua-dua belah tangannya.

“Belum siap. Mak Cik Siah ganti tempat aku. Dia suruh tolong bahagian sini pula.”

Lincah tangan Aminah memilih kerepek ubi lalu dimasukkan ke dalam plastik pembungkus kerepek. Nurul Ain membiarkan saja sahabatnya itu melakukan kerja. Dia turut menyambung kerja menggam plastik berisi kerepek yang sudah siap ditimbang.

 “Eh, Ain…”

  Nurul Ain menoleh. Dia mengangkat sebelah kening.

 “Hmm?”

“Tadi aku dengar-dengar, mulai esok anak saudara Encik Azhari akan uruskan kilang. Tapi untuk sebulan lebih gitulah. Encik Azhari kan nak ke Australia tengok anak dia yang belajar dekat sana.”

Berkerut dahi Nurul Ain.

“Dari mana kau dengar?” Dia bertanya sekadar berbahasa basi.

“Dari Mak Cik Siah dengan Kak Ton. Dia orang kata, hari tu anak saudara Encik Azhari tu pernah ke sini. Abang Johan bawa tengok keliling kilang. Masa tu kita cuti, jadi tak dapat jumpa dialah. Dia orang kata lagi, anak saudara Encik Azhari tu boleh tahan hensem tau.” Cerita Aminah dengan rasa teruja.

“Oh…” pendek saja jawap Nurul Ain. Bukan dia berminat pun. Sekadar hendak melayan Aminah berbual saja.

“Aku rasa tak sabar pula nak tengok orangnya. Hensem tu macam siapa? Macam Fahrin Ahmad ke? Macam Aaron Aziz ke? Atau, macam Nazim Othman? Wah, tak sabarnya!” ujar Aminah sudah terbayang-bayang wajah aktor lelaki kegemarannya.

Nurul Ain sekadar mendengar dan tidak mencelah. Dia senyum dan menggeleng dengan gelagat sahabatnya itu.

“Ain, kau rasakan rupa anak saudara Encik Azhari tu macam mana ya? Hensem macam siapa?” Lengan Nurul Ain disenggol. Sebelah kening sudah terangkat-angkat. Beriya benar Aminah hendak tahu jawapan darinya.

Nurul Ain mengangkat bahu. Tanda tidak tahu dan tiada klu langsung tentang rupa orang tersebut.

“Manalah aku tahu Minah. Bukan aku pernah jumpa dia pun. Lainlah kalau aku dah jumpa. Boleh banding-bandingkan dia dengan pelakon-pelakon pujaan kau tu semua.”

Aminah cebirkan bibir mendengar jawapan gadis itu.

“Kau ni Ain… Tak membantu langsung! Tapi, tak apa. Tengok esok ajelah rupa dia macam mana. Wah, tak sabarnya!”

Nurul Ain buat tidak dengar saja. Buat kerja lagi bagus. Dia mengangkat kotak yang sudah penuh berisi dengan bungkusan kerepek. Kotak itu ditenggekkan ke atas kotak lain.


~*~*~*~*~*~*~


“Ain!” Terhenti langkah Nurul Ain yang hendak ke tandas. Dia berpaling ke belakang. Johan menggamit supaya dia mendekat. Tanpa banyak soal, dia terus melangkah ke arah jejaka itu.

 Senyum diberikan kepada supervisor muda itu.

“Ya, Abang Joe?”

“Nak ke mana ni?” tanya Johan berbahasa basi.

“Nak ke toilet, basuh tangan.”

Jejaka itu mengangguk faham.

“Oh ya, minggu lepas hari Sabtu Ain tak ada buat OT, kan?”

Nurul Ain menggeleng. Serentak itu berkerut dahinya. Kerja lebih masa di kilang ini dilakukan secara bergilir-gilir. Minggu lepas bukanlah gilirannya dan Aminah.

“Tak ada, bang. Sebab minggu lepas bukan giliran Ain dengan Aminah ambil OT. Err… kenapa?”

Johan diam tidak menjawap. Entah kenapa dia suka pula melihat reaksi gadis bertudung merah jambu itu. Biarpun berkerut dahi, Nurul Ain tetap nampak comel. Gadis ini tidaklah secantik mana tetapi seperti ada daya tarikkan di matanya.

Nurul Ain yang merasa wajahnya ditenung, berasa tidak selesa. Kenapa pula dengan Johan? Wajahnya comotkah? Pantas dia mengesat hujung lengan baju ke pipi. Kemudian, dikerling lengan bajunya. Tiada kesan apa-apa. Dia berdeham kecil.

“Ehem… Abang Joe?” Tangan dilambai-lambaikan ke hadapan wajah Johan. Supaya lelaki itu sedar.

Johan bagai tersedar dari lamunan.      
 
“Kita dekat mana tadi ya?” tanyannya, apabila dia samar-samar tentang arah perbualan mereka tadi. Itulah sibuk merenung anak dara orang.

“Err… Tadi abang tanya Ain tentang OT hari Sabtu lepas. Ain memang tak ambil OT hari tu sebab bukan giliran. Minah pun sama,” jelas Nurul Ain sekali lagi.

Johan ketawa kecil. Dahi ditepuk perlahan. “Oh ya, tentang tu. Sebenarnya masa hari tu bos sementara kita ada datang. Hari ni dia ada datang juga. Tapi dia ke kereta sekejap, ada tertinggal barang katanya. Abang dah perkenalkan dia kepada semua staff yang ada hari tu. Tinggal Ain dengan Aminah aje. Haa, itu dia dah sampai…” Johan lantas melebarkan senyuman dan menoleh ke belakang Nurul Ain.

Nurul Ain juga pantas memusingkan tubuhnya. Di matanya jelas kelihatan susuk tubuh seorang jejaka yang sedang berjalan ke arah mereka. Dia sedikit terkesima apabila bertembung pandangan dengan jejaka itu. Dia… Dia… Bukankah jejaka ini yang memercikkan air lecak ke atasnya dulu? Apa dia buat di sini?

“Encik Ameer, kenalkan ini Nurul Ain. Salah seorang staff di sini. Ain, inilah Encik Ameer Qalish, anak saudara Encik Azhari yang saya cakap tu. Kelmarin masa encik datang, Ain tak bekerja sebab bukan giliran dia OT minggu lepas.”

Ameer Qalish menghadiahkan senyuman buat gadis itu. Akan tetapi, gadis itu hanya membalas dengan senyuman acuh tidak acuh saja. Tidak sangka mereka akan berjumpa lagi untuk kali ketiga. Sekali lagi jodoh berpihak kepada mereka berdua.

“Hai, saya Ameer Qalish.” Tangan dihulurkan.

Nurul Ain hanya pandang saja huluran tangan jejaka itu. Tiada niatnya hendak sambut. Bukankah bukan mahram tidak boleh bersentuhan? Mungkin dia lupa, Nurul Ain menyedapkan hati.

“Saya Nurul Ain. Salah seorang pekerja di sini. Err… Maaf.” Nurul Ain memperkenalkan diri.

Johan yang melihat keadaan itu sudah serba salah.

“Encik Ameer…”

Ameer Qalish senyum. Dia menjatuhkan kembali tangannya. Dia tidak ambil hati. Salahnya. Dia terlupa bahawa perempuan dan lelaki yang bukan mahram tidak boleh bersentuhan. Haram hukumnya.

“Tak perlu minta maaf. Saya yang terlupa tadi. Khilaf saya.” Tenang saja Ameer Qalish berkata.

Nurul Ain berasa lega jejaka di hadapannya ini memahami. Bukanlah niatnya hendak membuat anak saudara kepada majikkannya itu berkecil hati.

“Tak apa, Encik Ameer. Biasalah, kita sebagai manusia biasa sering saja lupa, kan? Sepatutnya kita sesama makhluk TUHAN lah perlu saling mengingati pada yang alpa,” ujar Johan sambil ketawa kecil. Bagi menceriakan suasana yang suram tadi.

“Ya, betul tu Johan.” Ameer Qalish bersetuju. Dia senyum sambil matanya tidak lepas dari gadis di hadapannya ini.

Dada yang berdgup kencang cuba diredakan. Setiap kali bertemu secara tidak sengaja dengan Nurul Ain pasti dadanya buat hal. ‘Bertenanglah wahai hati…’

Nurul Ain merasakan tidak selesa apabila berada diantara dua jejaka ini. Apatah lagi apabila jejaka bernama Ameer Qalish ini asyik memandangnya. Kalaulah dia adalah halimunan, sesaat saja dia sudah menghilangkan diri. Hendak terus berlalu dari situ seperti tidak manis pula. Walaupun jejaka ini hanya pengurus sementara di kilang ini, dia bertaraf majikkan mereka juga. Jadi, perlulah dihormati seperti mana dia hormat Encik Azhari.

Johan pula dari tadi sudah perasan bahawa anak saudara Encik Azhari ini asyik merenung Nurul Ain. Rasa cemburu mulai menyelinap ke dalam diri. Dalam pada masa yang sama, dia juga seperti dapat merasakan sesuatu yang aneh pada mereka berdua ini.

“Err… Encik Ameer, boleh kita teruskan agenda melawat kilang?” tanya Johan tiba-tiba.

“Ya, sure. Hmm, Nurul Ain jumpa lagi nanti ya.” Walaupun berat hati, Ameer Qalish terpaksa juga mengatur langkah. Sebelum melangkah, sempat juga dia melemparkan senyum mesra kepada gadis itu.

Nurul Ain terkesima melihat senyuman jejaka itu. Lidahnya kelu tidak terkata. Matanya pula bagai terpaku untuk terus mengekori setiap langkah Ameer Qalish. Kenapa… kenapa dia seperti berminat dengan jejaka itu pula? Hish! Sedar Ain… Berpijak di bumi yang nyata, okey!

“Ain!” Sergah Aminah di belakangnya. Terkejut Nurul Ain. Mujur kali ini dia tidak melatah. Matanya tajam merenung sahabatnya itu. Aminah sengih saja.

“Apa hal kau tercegat dekat sini lagi ni? Tadi kata nak basuh tangan.”

“Nak pergilah ni. Tadi Abang Joe panggil aku. Dia kenalkan dengan bos sementara kita.”

What?! Alah, kenapa tak cakap awal-awal? Hish, melepaslah aku nak kenal dengan dia. Ain… Ain… Siapa nama dia? Hensem tak rupa dia?” Aminah menggoncang lengan Nurul Ain dengan rasa tidak sabar.

Nurul Ain malas hendak melayan kerenah sahabatnya hanya mengangkat kedua-dua belah bahu. Bibir pula dicebir. Langsung dia tidak berminat hendak memperkatakan tentang jejaka itu. Aminah pula tidak habis-habis dengan soal itu dari semalam.

“Nama dia, Ameer Qalish. Rupa? Entah. Biasa aje kot.” Dia terus melangkah menuju ke tandas. Aminah pula mengekorinya dari belakang.

“Ain!”


~*~*~*~*~*~


Rambut yang basah lantas dikeringkan dengan tuala kecil. Kemudian, Nurul Ain duduk di hadapan meja solek dan menyisir rambutnya yang masih lembab. Sambil dia menyisir rambut, sambil itu juga dia teringat peristiwa sewaktu di kilang tengah hari tadi.

“Ameer Qalish,” serunya dengan dahi berkerut.

Ya, jejaka itulah yang menyebabkan dia kebasahan secara tidak sengaja dulu. Habis bajunya terkena percikkan lecak. Kecil sungguh dunia ciptaan-Nya ini. Dia tidak sangka akan bertemu lagi dengan jejaka itu. Sungguh dia tidak sangka.

“Patut ke aku marah dia lagi disebabkan hal dulu? Disebabkan dialah aku balik dalam basah. Eh, tapikan aku dah maafkan dia. Buat apa nak marah lagi, kan? Lagi pun dia bukan sengaja pun. Plus, dia dah minta maaf masa tu.” Nurul Ain berkata seorang diri. Betul dia sudah memaafkan jejaka itu sewaktu ibu memintanya berbuat begitu.

Dia bangun menuju ke tempat khas tuala. Tuala kecil di tangannya disidai dengan rapi. Setelah itu, tubuh yang letih dihempas ke tilam. Matanya merenung siling putih, kosong.

“Tadi, aku tengok macam dia tak ingat apa-apa tentang kejadian dulu aje. Harap-harap dia tak ingatlah. Malaslah nak panjangkan cerita dah lapuk ni. Lagi-lagi nak ingat cara aku marah dia dulu. Adui… malunya!” Bantal dicapai dan dipekup ke muka.

Terimbau kembali saat kejadian itu di ingatannya. Wajahnya sudah bertukar rona merah. Oleh kerana terlalu geram dan sakit hati, tanpa sedar telah terikut rasa marahnya. Ameer Qalish juga telah diberikan pesanan penaja dengan sinis sekali. Tambahan lagi, jejaka itu siap dijeling dan dijelir lidah lagi! Malu rasanya hendak berdepan dengan anak saudara majikkannya itu di hari mendatang.

“Buruknya perangai kau Ain! Itulah, ikut sangat rasa marahkan. Tak pasal-pasal termalu sendiri. Hish!” Nurul Ain memarahi diri.

Dia berdoa dalam hati, agar Ameer Qalish sudah melupakan kejadian itu. Amin!



Bersambung lagi....


~Assalammualaikum. Hai semua! Jemputlah baca sambungan cerpan DBH ni ya. Maaf lambat up cerita ni, maaf juga bagi yg menunggu ira up bagai menunggu durian jatuh ni. hehe. Drop komen dibawah kalau sudi. Enjoy reading sayang2!! ^_^



            

2 ulasan:

Unknown berkata...

waalaikumsalam...... iraaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa macam biasa la best hehehehe tahu xpe lambat sgt nak update hehehe

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Terima kasih akak sebab sudi baca. Sori, lama akk tggu cerita ni. Cik writernya sibuk kalah PM kononnya. hehe ^_^