Aku
melihat dia duduk di meja solek sambil menumbuk-numbuk bahunya. Wajah dia
berkerut-kerut seperti menahan kepenatan yang teramat sangat. Simpati aku
melihatnya. Pagi bekerja, menjelang maghrib baru sampai rumah. Terkadang sehingga
lewat malam.
Aku
merapati dia. Kedua-dua tanganku jatuh ke bahunya. Perlahan-lahan, penuh
kelembutan aku menekan-nekan bahunya dengan jari jemari. Bibirku mekar dengan
senyuman apabila melihat bibirnya tersenyum nipis.
"Sayang
nampak penat sangat. Banyak kerja dekat ofis tu?" tanya aku.
Dia
mengangguk.
"Hmm...
abang suruh berhenti saja kerja, sayang tak nak."
Dia
pantas menoleh. Mata bundarnya tajam menikam wajahku. Aku tahu dia marah. Aku
tahu dia tidak suka aku berkata begitu. Sengaja aku mahu mengusiknya.
"Abang!
Berapa kali Hani cakap, Hani takkan berhenti kerja. Hani suka bekerja! Lagi pun
kalau Hani tak bekerja kita nak makan apa? Bil-bil pun mana datang duit nak
bayar kalau Hani berhenti? Abang pun bukannya dapat kerja lagi. Duit simpanan
kita pun makin hari, makin susut," ujarnya dengan nada sedikit tinggi.
Bibirku
ukir senyum dalam paksa. Sedikit terasa dengan kata-katanya. Namun, aku
memaafkan keterlanjuran kata-katanya itu. Mungkin isteri aku tidak sedar. Lagi
pula, benarlah seperti yang apa dikatakan isteriku itu. Aku sekarang ini sudah
jadi penganggur terhormat. Dan, masih berusaha lagi mengemis pekerjaan di
bandar raya.
"Yalah...
yalah. Lepas ni abang tak cakap lagi. Maafkan abang ya sayang. Senyum
sikit," ucap aku laluku cuit dagunya.
Dia
ukir senyum. Namun hanya senyum nipis dan kelihatan hambar. Mungkin dia penat
sangat sehingga hendak senyum pun payah. Aku diamkan saja.
"Sayang
dah makan? Jom teman abang makan. Abang ada masak nasi goreng kampung kesukaan
sayang. Abang belum makan lagi. Ingat nak makan dengan sayang."
Dia
menggeleng.
"Tak
apalah bang. Hani dah makan dengan klien tadi. Kenyang lagi ni. Abang makan
sorang-sorang ya? Bukan Hani tak nak temankan. Tapi, Hani penat sangat. Nak
tidur terus," balas dia lalu bangun menuju ke katil. Tubuh dibaring ke
atas tilam empuk milik kami. Selimut terus diselubung hingga menutup paras
bahu.
Keluhan
lepas. Beginilah setiap hari-hari aku. Ada isteri seperti tiada. Tetapi, aku
tidak menyalahkannya. Dia yang bekerja untuk kami berdua. Sementara aku? Aku
hanya duduk di rumah. Belum mendapat sebarang pekerjaan setelah dua bulan
berhenti bekerja akibat syarikat tempat aku bekerja dulu, muflis.
“Yalah.
Sayang rehatlah dulu.”
Aku
berjalan menuju ke pintu. Baru saja hendak memulas tombol pintu, dia bersuara.
Langkahku mati. Lantas aku berpaling ke arahnya.
"
Tolong tutupkan lampu ya. Silau." Dia kembali menutup mata.
Kepalaku
angguk. Hati aku cuba untuk ikhlas mengerti. Isteri aku penat bekerja. Tombol
pintu pantas aku pulas. Segera aku keluar untuk mengisi perut yang
berkeroncong.
~*~*~*~*~*~
Risau.
Aku sungguh risau! Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Kelibat
kereta milik isteriku masih juga belum kelihatan. Sudah berkali-kali aku
mendail nombor telefonnya, namun tidak berangkat. Pesanan ringkas juga tidak
dibalas. Di mana dia? Apa sudah terjadi padanya?
"Ya
Allah, kau selamatkanlah walau di mana pun isteriku berada. Aku risaukan
dia," doa aku sendiri.
Mata
sekejap, sekejap memandang jam di dinding. Tanganku juga tidak lepas dari telefon
bimbit. Mana tahu isteriku itu akan menelefon jika ada sesuatu berlaku. Sedang
aku menunggu, tiba-tiba di luar perkarangan rumah kedengaran enjin sebuah
kereta. Cepat-cepat aku membuka pintu dan keluar.
"Sayang!
Ya Allah, risau sangat abang dengan sayang."
Sebaik
isteriku keluar dari kereta, aku terus memeluknya erat. Bagaikan sudah lama
tidak berjumpa gamaknya. Dalam pelukkanku, aku merasakan dia menolak tubuhku
untuk menjauh.
"Abang...
apa ni main peluk-peluk Hani. Hani tak boleh nafaslah. Abang nak bunuh Hani ke
apa?"
Dia
terus-terusan menolak tubuhku. Aku pula cepat-cepat meleraikan pelukkan sebaik
merasakan dadanya turun naik menarik nafas yang berat.
"Sorry... sorry. Abang tak bermaksud nak
buat sayang macam tu. Abang risau sangat Hani tak balik-balik dari tadi. Takut
jadi apa-apa dekat saya je."
Terdengar
keluhan dari mulutnya. Aku dijeling kecil. Aku senyum saja. Suka melihat
jelingan geramnya itu. Tetapi, kenapa dalam jelingan kali ini lain benar?
Jelingan seperti sudah tiada aura mesra. Perasaan aku saja ke?
"Abang
nak risau sangat buat apa? Hani tak ada apa-apalah. Abang tahukan Hani ni
banyak kerja? So, biasalah kalau
balik lambat. Hani mana suka tangguh-tangguh kerja. Hani tak nak terlepas dateline yang bos bagi."
"Okey,
abang faham kerja Hani. Cuma... sorry
ya sayang, risau abang ni tak bertempat pula."
Pujuk
aku lalu menggenggam erat jari jemarinya. Matanya aku tenung, namun sepantas
kilat dia melarikannya. Aku jadi hairan dengan sikapnya semenjak dua menjak
ini. Sudah tidak semesra Hani, isteriku yang dulu.
"Dahlah,
bang. Hani nak masuk dululah. Nak bersihkan badan. Dah melekit semacam saja
ni."
Dia
terus berpamitan meninggalkan aku sendiri. Tanpa salam serta ciuman di pipi
seperti diberikan kepadaku selalu, dia masuk begitu saja. Aku terdiam sendiri.
Memikirkan perubahan isteriku yang mendadak. Sungguh-sungguh lain!
Ada
apa dengan isteriku ini? Kenapa dia berubah begitu sekali? Aku seperti sudah
tidak kenal dengan isteriku sendiri. Sudah tidak mesra denganku lagi. Atau
lebih tepat aku dibuat umpama makhluk asing. Apa dia selingkuh di belakangku?
Tiba-tiba fikiran jahat menjamah akal fikirnya.
"Masya-Allah!
Aku tak sepatutnya fikirkan perkara buruk-buruk tentang isteri sendiri. Aku
harus percaya dia. Ya, percayakan isteriku sendiri! Seperti mana dia
mempercayai aku untuk menjaga dirinya seumur hidup."
Cepat-cepat
aku menyangkal fikiran buruk yang cuba menghasuti aku sebentar tadi. Mana
mungkin Hani tega curang di belakangku. Hani seorang isteri yang baik.
~*~*~*~*~*~
Perlahan-lahan
aku menolak pintu bilik yang renggang. Aku lihat isteriku sedang bersandar di
kepala katil sambil membaca majalah Wanita.
Terdengar
tapak kaki aku masuk ke bilik, lantas dia menoleh ke arah aku. Dia senyum nipis
kepadaku. Aku balas senyumnya itu. Lantas aku mendekatinya. Penuh berhati-hati
aku memanjat katil dan melunjur kaki di sebelahnya.
"Sayang
baca apa tu?"
Seketika
dia menoleh ke arah aku.
"Baca
cerpen dalam majalah ni," balasnya ringkas.
Aku
mengangguk kecil. Seketika aku mengerlingnya di sebelah. Perlahan-lahan aku
merapatkan dudukku dengannya. Hari ini adalah malam Jumaat. Sebagai pasangan
suami isteri yang sah, mereka fahamlah apa biasa dilakukan pada malam ini. Aku
sebagai manusia biasa juga tidak lepas dari 'keinginan' yang satu ini. Lagi pula
batinku sudah lama diabaikan tanpa belaian seorang isteri. Ini semua gara-gara
kesibukkan isteri aku yang seorang ini.
"Sayang..."
seruku lembut sambil menjatuhkan tangan ke bahunya.
Sekali
lagi dia toleh ke arahku. Keluhan kecil lepas dari bibirnya. Biar pun perlahan
namun aku tetap dapat mendengar. Tangan aku yang berada di bahunya lantas
dialihkan. Kemudian, dia sambung semula bacaannya. Aku terkedu. Namun, aku
tidak mahu memaksa. Aku faham, mungkin dia penat atau tidak punya 'mood' itu
sekarang ini.
"Err...
Sayang, dah lama kita tak borak bersama-sama, kan? Sayang selalu sibuk. Balik
kadang lewat malam. Abang rindu nak berborak dengan isteri kesayangan abang
yang dulu..."
Usai
kata aku toleh memandang wajahnya. Dia juga memandang ke arahku dengan dahi berkerut.
"Hani
yang dulu? Apa maksud abang?"
"Yalah...
Isteri abang yang dulu mesra. Sentiasa berbual apa saja dengan abang. Tak
kiralah hal remeh atau pun masalah pejabat. Semua sayang shared dengan abang. Cuma, sekarang ni abang tengok sayang banyak
diam. Kadang-kadang tu... sayang macam nak mengelak dari abang. Sayang... abang
ada buat salah ke? Abang ada sakitkan hati sayang?" tanya aku lembut. Aku
seperti dapat menghidu ada sesuatu dengan isteriku ini. Mungkinkah aku ada
menyakiti hatinya yang aku sendiri tak sedar?
Dia
di sebelahku bagai tidak keruan. Wajah dipalingkan ke hadapan.
"Ma...
mana ada. Hani macam biasalah. Perasaan abang saja tu."
"Tak.
Hani semakin berubah. Hmm, mungkin betul juga kata Hani tu. Perasaan abang
saja, mungkin."
Dia
mengangguk.
"Ya...
ya. Cuma perasaan abang saja. Err... abang Hani tidur dululah. Esok pagi Hani
kena ke pejabat. Takut terlambat bangun pula."
Dahi
aku berkerut. Isteriku ini bekerja di hujung minggu? Biasanya jika hari cuti
Hani akan duduk di rumah menemani aku saja. Atau, kami akan keluar ke mana-mana
berdua.
"Hani
kerja esok? Abang ingat nak ajak sayang ke rumah mama. Dah masuk tiga minggu
kita tak jenguk orang tua tu, kan? Tadi pagi pun mama ada telefon, tanya bila
kita berdua nak ke rumah dia."
Dia
diam saja. Kepala direbahkan ke bantal. Kemudian, tubuh diiringkan ke arahku.
"Kalau
abang nak pergi rumah mama, pergilah. Esok Hani tak dapat ikut. Hani ada meeting dengan klien. Penting."
"Apa
yang penting sangat? Tak boleh postponed?
Kesian mama. Dia pasti rindu kita berdua."
"Postponed? Mana boleh, bang. Nanti Hani
terlepas tender tu. Dahlah untung dia besar. Rugilah company nanti."
Aku
mengeluh keras. Entah kenapa, sekarang ini susah benar aku hendak mencuri masa
isteriku ini. Asyik sibuk dengan kerja, kerja dan kerja. Sampai untuk luangkan
masa berdua pun kadang terbatas. Aku merasakan tangannya menggenggam jari
jemariku. Aku toleh.
"I'm sorry bang. Hani betul-betul tak
dapat ikut. Nanti abang sampaikan salam Hani pada mama ya? Cakap dengan mama,
minggu depan Hani datang jenguk dia. I'm
promised!" pujuknya sambil mengelus lembut pipiku.
Apa
aku boleh buat lagi? Bagai lembut dicucuk hidung, aku mengangguk saja.
Sebenarnya, aku malas hendak berbalah dengannya. Aku sedar diriku siapa.
"Terima
kasih abang. Hani tidur dulu ya. Selamat malam abang."
Seperti
biasa, dia terus membelakangi aku dan menarik selimut menutupi paras bahu.
'Ya
Allah, kenapalah rumah tangga aku jadi begini pula? Kenapa isteriku berubah
sikap?'
~*~*~*~*~*~
"Ma..."
Aku
tarik tangan mama lalu mengucup belakang tangannya. Senyuman aku lemparkan
buatnya. Inilah satu-satunya ibu yang aku ada. Ayahku telah setahun meninggalkan
dunia dan kami semua akibat serangan jantung.
"Adi
sihat? Mana Hani? Dia tak balik sekali dengan kamu?" tanya mama. Matanya
tertoleh-toleh ke belakangku. Mungkin mencari kelibat isteriku.
Aku
menggeleng. Terbit rasa kesal kerana tidak dapat memujuk isteriku untuk ikut
sama. Pasti mama rindu dengan menantunya yang seorang itu.
"Dia
tak ikut, ma. Dia kerja. Ada meeting penting
dengan klien," jawapku.
Mama
mengeluh kecil. Aku tahu dia kecewa.
"Isteri
kamu tu cuti-cuti pun bekerja. Patut masa cuti ni luangkan masa dengan suami.
Ini tak…" sungut mama.
"Err...
Angah dan Acik mana, ma? Senyap saja rumah," segera aku tukar topik
perbualan.
"Dia
orang keluar. Acik nak beli buku rujukan, Angah hantar dia pergi kedai buku.
Kamu duduk dulu, mama pergi buatkan air."
Mama
yang sedang hendak bangun dari duduknya, aku tahan. Aku datang bukan hendak
menyusahkan mama. Aku datang ini sebab hendak menziarahi ibu kesayanganku itu.
"Tak
payah susah-susah, ma. Adi dah minum dekat rumah tadi. Kalau haus
pandai-pandailah Adi ambil sendiri."
Mama
duduk semula.
"Kamu
dah dapat kerja Adi?"
Aku
menggeleng. Aku belum mendapat sebarang pekerjaan lagi. Puasku mencuba nasib
tetapi satu pun tidak dapat. Mungkin majikkan takut untuk mengambilku yang
sudah banyak pengalaman dengan syarikat lama. Pasti mereka fikir aku akan
meminta gaji yang tinggi. Maklumlah, zaman serba gawat ini kos pun perlulah
diturunkan.
"Kelmarin,
Ayah Chik datang rumah. Dia kata syarikat kawan baiknya tengah cari pekerja.
Ayah Chik ada cadangkan kamu dekat kawan dia tu. Kawan dia setuju nak ambil
kamu bekerja sebab kamu berpengalaman, tapi dia nak interview kamu dulu. Itu yang Ayah Chik minta mama tanya pada kamu.
Kamu nak ke tak?"
Aku
diam seketika. Apa salahnya aku mencuba nasib? Sekurang-kurang jika dapat
pekerjaan itu, ringanlah beban yang ditanggung isteriku. Kasihan Hani terpaksa
bekerja mencari nafkah seorang diri. Tanpa berfikir panjang aku terus
mengangguk.
"Yalah,
nanti Adi telefon Ayah Chik macam mana. Adi memang memerlukan sangat kerja, ma.
Adi tak sanggup tengok Hani bekerja keluar pagi, balik sampai lewat malam. Kesian
dia ma..." Aku menyatakan rasa kasihanku terhadap isteri kepada mama.
"Kamu
saja kesian dia, tapi dia tak kesian kamu pun. Isteri orang lain pun sibuk bekerja
juga, tapi tak adalah sesibuk isteri kamu tu. Sibuk dengan kerja tapi suami
dekat rumah terabai. Balik jauh malam. Isteri apa tu Adi..." bidas mama
sinis.
"Ma,
tak baik mama cakap macam tu. Hani balik lambat sebab sibuk bekerja. Sedangkan,
anak mama ni masih di rumah. Ma, Adi faham kerja isteri Adi tu. Mama pun
tolonglah faham sama."
Aku
tidak sampai hati untuk menyalahkan isteriku itu. Dia sudah banyak berkorban
sejak aku tidak bekerja. Mama diam terus. Tetapi, aku tahu dia masih tidak puas
hati dengan kata-kataku.
"Hmm...
ikut suka kamulah Adi. Tapi, pesan mama... kamu berikan perhatian lebih dekat
isteri kamu tu. Sekarang ni macam-macam boleh berlaku. Tengoklah dekat surat
khabar. Banyak berita isteri orang kena tangkap basah dengan suami oranglah,
isteri lari ikut jantanlah. Hish, ngeri mama dengar! Janganlah jadi pada isteri
kamu Adi."
"Astaghfirullah
al-azim! Mama janganlah fikir sampai ke situ. Adi yakin, Hani takkan curang
dengan Adi macam isteri-isteri dalam surat khabar tu, ma. In sha Allah..."
"Isteri
kamu belum ada apa-apa isi ke? Dah nak masuk dua tahun kamu berkhawin masih
belum berisi lagi. Kamu tak bawa dia pergi jumpa doktor ke Adi?" tanya
mama lagi. Dan, soalan kali ini yang sering membuatkan aku sakit kepala. Setiap
kali balik ke rumah mama, soalan ini tidak pernah lepas dari bibir wanita
kesayanganku ini.
"Boleh
belum ada rezeki lagi, ma. Adi dah cakap dengan Hani, tapi Hani tak sempat nak
jumpa doktor lagi. Sekarang ni banyak kerja yang dia kena uruskan," jawap
aku sedikit membela isteriku. Bukan aku tidak teringin punya zuriat. Sudah
tentu mahu! Cuma, Allah belum mahu memberikan rezeki zuriat kepadaku.
"Sibuk...
sibuk! Asyik sibuk memanjang. Entah bila masa tak sibuk pun tak tahulah,"
sungut mama lagi.
Aku
diam saja.
~*~*~*~*~*~
Kereta
aku parkirkan bersebelahan dengan kereta Persona berwarna merah milik isteriku.
Jam tangan aku kerling. Dahi berkerut.
'Eh,
awal pula dia balik. Selalu jika belum melepasi pukul sepuluh malam, dia belum
sampai rumah,' bisik aku dalam hati.
"Abang
dah balik!"
Tiba-tiba
dia terjengul di hadapan pintu. Pantas dia mendapatkan aku dan menyalami aku.
Aku semakin hairan. Awal-awal perkahwinan dulu, selalulah dia begitu. Namun,
semenjak dua menjak ini perangainya sudah berubah, jarang sekali tangan aku
dikucupnya. Yalah, balik terus masuk bilik tidur, mandi dan terus lena. Tetapi,
hari ini dia mengucup tanganku semula?
"Jom
masuk, bang. Hani ada masakkan asam pedas ikan pari untuk abang."
Lengan
aku dipeluknya. Dia menarik tanganku masuk ke dalam. Sampai di ruang tamu,
langkahku terhenti. Sengaja aku hentikan. Aku merenung tajam wajahnya yang memelukku
dengan dahi berkerut.
"Kenapa
tenung Hani macam tu?" tanyanya pelik. Lantas dia menilik tubuhnya atas
bawah. Mencari titik kekurangan yang membuatkan aku merenungnya. Aku ketawa
kecil.
"Tak.
Hani lain sangat hari ni."
"Lain?"
Aku
mengangguk. Ya, memang lain benar isteriku hari ini. Sudah kembali mesra
seperti sedia kala. Itu yang membuatkan aku hairan sejak dari tadi.
"Yalah.
Selalu tak macam ni. Selalu juga Hani endah tak endah dengan abang. Abang ada
dekat sebelah pun, Hani macam tak perasankan abang. Macam abang ni...
bayang-bayang saja," ujarku dengan nada berjauh hati.
Lenganku
ditepuk. Wajahnya sedikit masam.
"Alah,
abang ni... Itukan masa Hani penat. Abang tahukan, Hani kalau penat macam mana.
Tapi, sekarang ni Hani tak penat. Hani nak layan suami Hani yang selama ni Hani
endah tak endah tu."
Aku
kecilkan kelopak mataku kepadanya. Sebagai tandaku kurang percaya. Dia pantas
mengangguk-anggukkan kepala.
"Betul!
Hani akan layan abang first class
hari ini. Topup yang sebelum-sebelum ni."
Aku
diamkan saja. Bibirku ukir senyum. Dalam hati terbit rasa gembira. Gembira
kerana isteriku sudah kembali seperti sedia kala. Namun, adakah perubahan ini
bakal kekal selamanya?
"Dah,
jom makan!"
~*~*~*~*~*~
Tubuh
aku sandarkan ke sofa. Terasa selesa sekali di situ dengan perut yang penuh.
Aku sendawa besar tanda kekenyangan. Perutku yang sedikit buncit, aku usap perlahan-lahan.
"Alhamdulillah,
kenyang!"
Dari
tadi bibirku tidak habis-habis tersenyum senang. Hari ini entah mimpi apa
isteriku memasak. Masak lauk kegemaranku pula itu.
"Air,
bang."
"Buat
susah-susah sayang saja."
Dia
meletakkan mug berasap nipis di hadapanku. Aroma kopi cap kapal api menyengat
deria bau. Kemudian, dia melabuhkan punggung di sebelahku. Tanganku di atas
paha digenggamnya. Aku pandang raut wajahnya. Melalui air mukanya aku dapat
membaca pasti ada sesuatu mahu diperkatakan kepadaku. Seperti hal serius. Aku
diam saja. Menunggu bicaranya.
"Abang,
Hani nak minta izin..." jedanya. Dia pandang wajah aku dengan raut serba
salah. Dia tertunduk memandang kaki sendiri.
"Nak
minta izin apa? Cakaplah."
"Err...
Lusa, Hani kena pergi Sabah. Hani ditugaskan melawat tapak projek di sana
selama seminggu. Abang... boleh tak Hani nak ke sana? Abang izinkan?"
Aku
bungkam. Diam seribu bahasa. Adakah isteriku pulang awal, masak makanan
kegemaranku semata-mata memujuk aku untuk membenarkan dia ke Sabah? Aku sedikit
kecewa dengan apa yang dilakukan. Aku fikir benar-benar dia ikhlas melakukan
semua itu untukku. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu! Aku kecewa.
"Jauh
tu sayang. Abang risau kalau sayang ke sana. Lama pula tu" ujarku yang
sebenarnya berat hati untuk melepaskannya.
"Alah,
bukannya jauh macam pergi overseas,
bang. Nak ke Sabah saja. Naik flight
cuma empat puluh lima minit. Lagi pun, Hani ke sana bukan seorang saja, dengan
Emelda kawan sepejabat Hani. Boleh ya, bang?" pujuknya dengan suara lirih.
Kepala
aku berserabut. Tidak dapat membuat keputusan sama ada mengizinkan pergi atau
tak. Aku tidak sanggup dia jauh dariku walaupun hanya beberapa hari. Yalah, dia
isteri aku, wanita yang paling aku cinta selepas mamaku. Tentulah aku risau
jika berlaku apa-apa kepadanya. Lagi pula sebelum ini dia tidak pernah dihantar
syarikat sampai sejauh dan selama itu.
"Abang,
boleh tak ni?"
Aku
garu-garu kening. Pening!
"Maaf
sayang. Abang tak izinkan. Suruhlah bos sayang cari orang lain ganti tempat
sayang tu. Cakap dengan dia, abang tak benarkan. Habis cerita. Mesti dia faham
nanti."
"Abang!
Mana boleh macam tu. Projek ni semua Hani yang uruskan dan bincang sendiri
dengan klien. Hani saja yang tahu. Kalau suruh orang lain nanti klien kata apa
pula. Nanti klien tu mesti cop Hani ni sebagai pekerja yang tak
bertanggungjawab. Tak naklah macam tu!" bentaknya.
"Sayang...
nanti sayang terangkanlah dekat dia. Takkan dia tak faham. Sayang tu isteri
orang. Apa-apa yang sayang nak buat mesti ikut keizinan suami dulu,"
balasku penuh berhemah. Berharap dia faham penolakkanku.
Aku
lihat air muka terus berubah masam. Tiada senyuman seperti tadi lagi.
"Oh,
sekarang ni abang nak kongkong Hanilah? Itu tak boleh, ini tak boleh. Sebelum
ni abang tak kisah pun. Kalau Hani ada kerja dekat luar, abang izinkan saja.
Kenapa pula sekarang tak boleh?" bidasnya dengan suara sedikit tinggi.
Aku
terkejut dengan perubahan mendadak isteriku. Tiba-tiba saja dia berubah dan
membesarkan suaranya terhadapku. Hani tidak pernah begini! Hani, isteriku yang
dulu tidak pernah sesekali meninggikan suara kepadaku. Dia sentiasa lemah
lembut dalam tutur biacaranya. Tetapi, Hani di hadapanku ini seperti Hani lain.
Bukan isteriku. Mengapa? Namun, aku sedaya upaya mengawal reaksi dan suara. Aku
tetap memujuknya lembut.
"Sayang,
abang bukan bermaksud mengongkong sayang. Abang cuma..."
Dia
terus bangun dan berpeluk tubuh di hadapanku.
"Sebenarnya,
selama ni abang tak pernah nak faham Hani, kan? Abang mengaku sajalah yang abang tak pernah percaya dengan
Hani?"
"Bukan
abang tak percaya," nafiku dengan suara perlahan. Api jangan dilawan dengan
minyak. Api sepatutnya dilawan dengan air agar dia sejuk dan terus terpadam.
Sama juga seperti situasi sekarang ini. Aku tidak mahu berbalah dengan
isteriku.
"Ah,
abang memang tak percaya Hani! Sudahlah kalau abang tak izinkan!"
Dia
terus berlalu naik ke tingkat atas. Meninggalkan aku seorang termanggu di situ.
Mata aku terkebil-kebil memandang langkah protesnya.
~*~*~*~*~*~
Tombol
pintu aku pulas. Pintu bilik yang sudah terbuka aku tolak dan menutupnya
kembali. Mujur tidak berkunci, jika tidak pasti aku tak boleh masuk.
"Sayang..."
seruku sambil mendekati dia yang baring membelakangiku. Aku duduk di
belakangnya. Lengannya aku pegang.
"Sayang
marahkan abang ya? Merajuk dengan abanglah ni?"
Dia
tidak menjawab. Aku jengah sedikit melihat wajahnya. Mata pejam, namun aku tahu
dia bukan tidur pun. Kelopak matanya bergerak-gerak.
"Sayang
janganlah macam ni. Abang minta maaf ya. Bukan niat abang untuk mengongkong
sayang. Abang cuma risau sayang nak ke sana. Walaupun dalam Malaysia, tapi
tempat tu bukan dekat macam semenanjung. Kalau sayang apa-apa dekat sana nanti,
susah."
Dia
diam saja. Aku mengeluh. Nampaknya pujukkan aku tidak berhasil. Mungkin jika
aku menyatakan persetujuan rajuknya akan hilang. Terpaksalah aku mengizinkan
saja walaupun hati berat. Aku tidak betah melihat isteriku merajuk terlalu
lama.
"Okey,
kalau sayang nak pergi, pergilah. Abang izinkan," kataku berat hati.
Dia
palingkan tubuhnya menghadap aku. Bibirnya terukir senyum. Lantas dia bangun
dan memelukku.
"Terima
kasih abang. Hani sayang abang!"
Tanpa
isyarat, pipiku dikucup laju. Aku sedikit terkesima. Bibir lantas tersenyum.
"Nanti
sayang jaga diri dekat sana ya. Kalau ada apa-apa, call abang secepat mungkin."
Dia
mengangguk laju.
~*~*~*~*~*~
Cuaca
sungguh terik hari ini. Aku kehausan seharian berada di belakang rumah. Sejak
tidak bekerja, aku meringankan tulang untuk mencucuk tanam sayur-sayuran.
Sekurang-kurangnya, kuranglah sedikit perbelanjaan rumah.
"Panasnya!"
Aku
segera masuk melalui pintu dapur. Peti ais aku buka. Mencari air sejuk. Buka
saja peti ais aku mengeluh. Barang-barang di dalamnya telah berkurangan. Nampaknya
aku kenalah berbelanja barang dapur hari ini. Jika ada isteriku kan bagus.
Bolehlah aku mengajaknya berbelanja. Aku manalah tahu sangat bab-bab belanja
barang dapur.
Isteriku
sudah masuk hari kedua di sana. Segala panggilanku tidak berjawap. SMS pun
kadang-kadang saja dijawap. Itu pun pendek-pendek balasnya. Apakah di sana langsung
tiada signal untuk menelefonku?
"Rindunya
abang dengan sayang," ujarku sendiri sayu. Sabarlah hati. Hanya beberapa
hari saja dia di sana. Tidak lama lagi baliklah.
Tanpa
berlengah aku berlalu ke bilik. Mandi dan bersiap untuk ke pasar raya.
"Sayur,
ayam, ikan, udang, susu kotak, sabun basuh... Hmm, rasanya semua dah
cukup." Troli sudah penuh dengan barang-barang yang Aku tolak troli untuk
ke kaunter. Tiba-tiba ada seseorang memanggilku dari arah belakang.
"Hei,
Johan! Kau rupanya. Sihat? Apa kau buat dekat sini? Ya Allah, lama aku tak
jumpa kau Joe!"
Aku
dan Johan saling berpelukkan. Lama tidak ketemu katakan! Kepada isteri serta
anak perempuan kecilnya aku hanya menghadiahkan senyuman saja.
"Yalah,
aku. Sihat saja. Kau apa khabar, Di? Buat apa dekat sini?"
"Alhamdulillah,
aku sihat saja. Beli barang dapur sikit, Joe. Stok dekat rumah dah tinggal
sikit."
"Oh,
bagus-bagus. Err... Di, kau bukan dekat Sabah ke dua hari lepas? Aku ada kursus
dekat sana. Malam semalam baru sampai sini balik. Kalau tak silap aku... aku
nampak kau dengan isteri kau dekat tepi pantai. Nak panggil takut mengganggu
kau orang yang tengah berbulan madu tu. Tak sedaplah pula," ujar Johan
dengan ketawa kecil sedikit memeranjatkanku.
"Kau...
kau nampak aku dekat sana?" tanya aku pelik.
Kepala
Johan mengangguk.
"Haah.
Tapi aku nampak dari jauhlah. Samar-samar. Isteri kau saja aku cam. Kau, aku
tak berapa nampak sebab tertutup dengan cap," cerita Johan lagi.
Aku
terdiam. Betul, isteriku sekarang ini di Sabah. Tetapi, siapa lelaki yang
dimaksudkan Johan? Takkan pula aku? Aku ada saja di sini. Apakah Hani...
Pertanyaan itu tergantung begitu saja. Aku tidak mampu meneruskannya. Dada aku
berdegup kencang. Nafasku sudah turun naik.
'Ya
Allah, janganlah kata-kata Johan ini benar. Hani tak curang! Hani, isteri
kesayanganku itu tak mungkin menduakan aku. Itu tak mungkin!' jerit batinku.
Aku enggan mempercayainya. Aku percaya isteriku tidak akan buat begitu.
"Oh...
Haah. Ak... aku ada pergi Sabah. Teman isteri aku. Dia... dia ada kerja dan
masih lagi di sana. Malam hari yang kau tengok tu aku balik semula ke
sini," aku terpaksa mereka cerita. Maafkan aku Johan. Aku terpaksa
berbohong demi menjaga maruah isteriku dan diri aku sendiri.
"Oh,
macam tu. Hmm, berani kau tinggalkan isteri kau seorang dekat sana ya. Tak
takut dia ada ehem... ehem... lain ke dekat sana?" ujar Johan dalam nada
bergurau.
Aku
terkedu dengan pertanyaan itu. Soalan Johan itu juga sangat membimbangkan aku.
Ditambah lagi apabila Johan mengatakan dia nampak isteriku dengan 'aku.'
"Err...
In sha Allah, isteri aku pandai jaga diri. Dia takkan buat benda bukan-bukan di
belakang aku. Aku percaya dia," ujar aku dengan nada sedikit serius. Aku
tidak suka mendengar kata-kata Johan tadi. Sebenarnya aku takut untuk
membayangkannya.
Bahuku
ditepuk Johan.
"Maafkan
aku Di. Bukan maksud aku nak cakap isteri kau macam tu. Maaf kalau kau terasa
ya?Aku tak bermaksud…"
"Eh,
Joe. Aku tak apa-apalah. Aku tahu kau cakap macam tu sebab nak aku berhati-hati.
Aku faham. Oh ya, aku dah nak cau ni. Ada kerja nak buat. Aku minta diri dulu.
Apa-apa nanti call aku okey. Aku masih
pakai nombor telefon lama. Jangan senyap je. Jumpa lagi.
Assalammualaikum," aku pantas meminta diri sebaik bersalaman dengannya.
Benarkah
apa yang dilihat itu adalah Hani, isteriku? Ah, pasti Johan tersilap lihat!
Paling tidak pun, wanita itu adalah pelanduk dua serupa isteriku. Ya, betul!
Tukas aku sendiri. Sengaja hendak menyedapkan hati.
~*~*~*~*~*~
Berkali-kali
aku mendail nombor telefon bimbitnya. Namun, tidak juga diangkat. Aku mengeluh.
Di manalah isteriku berada sekarang? Apa dia buat?
Aku
tidak berputus asa. Kali ini aku mencuba sekali lagi. Ternyata percubaanku
tidak sia-sia. Panggilanku diangkat.
"Assalammualaikum,
sayang!"
"Hmm...
wa'alaikumsalam, bang. Ada apa call
Hani tengah malam ni?" tanyanya dalam suara serak basah. Pasti dia sedang
tidur semasa aku telefon tadi. Kasihan dia.
Aku
diam. Tiba-tiba tidak tahu hendak kata apa. Lidahku kelu seribu bahasa. Namun,
hatiku risau. Kata-kata Johan tengah hari tadi terngiang-ngiang di telingaku.
"Abang...
Hello, abang!"
"Ya...
ya sayang!"
"Abang
dah kenapa ni? Call Hani tapi tak nak
cakap. Kalau abang tak nak cakap, Hani off
sajalah. Hani ni mengantuk tahu tak. Esok dahlah Hani kena keluar awal,"
rungutnya. Hani, isteriku itu memang tidak suka orang mengganggu tidurnya.
"Eh,
nanti dulu sayang!" pantas aku tahan.
"Hmm...
ada apa abang call Hani ni?"
"Abang...
abang cuma nak tanya, Hani sihat? Macam mana kerja dekat sana?" Lain yang
aku mahu cakap, lain pula yang terluah. Senang kata aku tidak sanggup cakap
dengannya. Aku khuatir dia menuduhku tidak percaya dengannya seperti kelmarin.
Ah, lupakan sajalah tentang apa yang diperkatakan Johan iu. Mungkin betul Johan
salah lihat.
"Hani
sihat. Kerja tu biasalah, bang. Banyak juga masalah dekat tapak projek nak
diselesaikan. Abang sihat tak ni? Abang rindu Hani ya?" tanyanya meleret.
"Abang
sihat juga. Cuma... hati abang tak sihat. Betul, abang rindukan sayang
sangat-sangat. Sepi hari-hari abang bila sayang tak ada di sisi. Kosong hati
abang sebab tak lihat wajah Hani berhari-hari," ucapku lirih.
Ketawanya
memecah.
"Apalah
abang ni! Hani baru tiga hari dekat sini, dah sibuk rindu. Abang, beberapa hari
lagi Hani baliklah. Sabar sikit ya. Sekejap je lagi."
Aku
ketawa. Memang aku rindukannya sangat-sangat. Aku tidak boleh berpisah sehari
pun dengannya. Sebab itulah awal-awal lagi aku membantah di hendak pergi ke
Sabah.
"Okey.
Sayang jaga diri dekat sana ya? Kalau nak keluar ajak kawan... err... siapa
namanya?"
"Haa?
Err.... Oh, kawan pejabat. Nama dia… Emelda," jawapnya tersekat-sekat. Aku
seperti dapat mengesan ada yang tidak kena dengan nadanya. Tetapi aku diamkan
saja.
Beberapa
saat aku diam, tiba-tiba aku terdengar dengkuran. Seperti dengkuran lelaki. Ya,
sungguh jelas sekali! Sepertinya ada seseorang berada dekat dengan isteriku.
Jangan-jangan apa yang dikatakan Johan adalah benar? Berderau darahku!
"Sayang."
"Hmm..."
"Siapa
dekat sebelah sayang tu? Abang dengar orang berdengkur kuat," aduku dengan
nada curiga.
"Haa?
A... apa abang cakap, Hani kurang dengarlah,” ujarnya seakan tidak mendengar
kata-kataku tadi.
"Abang
tanya, siapa dekat sebelah sayang tu? Kawan pejabat sayang ke yang berdengkur
kuat sangat tu?" Aku ulang balik pertanyaanku tadi.
"Err...
betullah tu. Emelda, kawan pejabat Hani yang berdengkur. Dia memang dengkur
macam tu kalau dah penat. Tidur pun lasak. Suka mengingau berjalan sampai ke
sebelah Hani dia baring."
"Oh..."
jawapku pendek. Namun, dalam hati masih terselit keraguan terhadapnya.
Walaupun
aku masih curiga, aku diamkan saja. Ini kerana aku tidak mahu memanjangkan
cerita dan berbalah nanti. Kasihanku juga tumpah kepadanya kerana aku
menganggunya yang sedang tidur.
"Sayang
tidurlah dulu. Esok kena keluar pagi, kan? Tidurlah," arahku.
"Okey,
Hani sambung tidur dulu ya. Assalammualaikum abang."
"Wa'alaikumsalam…"
~*~*~*~*~*~
Sudah
seminggu berlalu. Isteri aku juga sudah kembali ke pangkuanku semula.
Perangainya kembali semula seperti dulu. Aku bagai tidak diendahkan. Dia sudah
berubah kembali kepada Hani yang sibuk dengan kerja.
"Sayang
siap awal-awal nak ke mana ni?" tegurku melihat dia menyembur minyak wangi
ke tubuhnya. Wangian minyak wanginya menusuk ke deria bauku. Terlalu kuat
sehingga aku menutup hidungku. Oleh kerana tidak tahan, aku jauhkan sedikit
diri daripadanya.
"Nak
jumpa klien," balasnya pendek.
Berkerut
dahiku. Takkan setiap hari cuti saja jumpa klien. Takkan juga hendak berjumpa
dengan klien sampai menyembur minyak wangi hampir suku botol.
"Habis,
macam mana janji Hani nak jenguk mama? Minggu lepas Hani batalkan sebab ke
Sabah. Minggu ni nak batalkan juga?"
"Nak
buat macam mana lagi, bang? Dah tuntutan kerja Hani. Bila-bila masa pun klien
minta jumpa, Hani kena beri komitmen. Nak batalkan meeting ni pun payah. Klien Hani tu datang dari Johor dan dia dah
pun ada dekat sini. Kalau Hani batalkan, kesianlah dekat dia. Dari jauh datang
tu," balasnya selamba sambil membetulkan anak rambutnya.
Aku mengeluh.
"Mama
mesti kecil hati nanti. Entah apa pula alasan abang nak bagi nanti,"
bisikku perlahan.
"Dah
siap! Okeylah bang. Hani pergi dulu. Mungkin petang sikit Hani balik kut. Lepas
meeting nanti, Hani nak pergi rumah
kawan pejabat kejap. Dia baru lepas bersalin."
"Hmm...
Hati-hati memandu."
Aku
sudah tiada kuasa untuk menahan. Kalau ditahan juga dia tetap mahu pergi. Jadi,
biarkan sajalah. Dia menarik dan menyalami tanganku sebelum berlalu keluar dari
bilik beradu kami. Betulkan isteriku mahu bermesyuarat dengan kliennya?
Beberapa
saat kemudian, hatiku terdetik satu idea. Untuk sebuah kepastian, fikiranku
memaksa untuk aku mengekori isteriku secara senyap. Bukannya aku tidak percaya
padanya, namun rasa ragu-ragu menggugat fikiran.
"Betul
ke apa yang bakal aku buat ni, ya Allah? Aku percayakan dia. Tapi... sering
kali dia memberikan alasan yang sama membuatkan rasa percaya ini goyah.
Harap-harap Hani tak lakukan perkara yang bukan-bukan," aku berdoa dalam
hati.
Tanpa
fikir panjang dan rasa hati yang sedikit berat, kunci kereta aku capai jua.
~*~*~*~*~*~
Hampir
15 minit keretaku membuntuti kereta Hani. Jarak di antara keretaku dengan
keretanya hanya sebuah kereta Kelisa berwarna biru hitam. Dalam masa itu juga
tiada yang mencurigakanku.
Sehinggalah
5 minit kemudian, isteriku membelok ke kiri. Aku mengekorinya dengan dahi
berkerut. Di sini bukanlah laluan ke pejabat isteriku. Tidak silap, ini adalah
kawasan perumahan separa mewah. Apa yang isteriku hendak lakukan di sini?
Bukankah dia sepatutnya berjumpa dengan klien? Takkan jumpa di sini? Bau-bau
curiga mulai meresap ke akalku.
Aku
terus mengekorinya. Sesampai di sebuah rumah bernombor A25, isteriku
berhentikan keretanya betul-betul di hadapan pagar rumah itu. Aku pula memarkir
jauh sedikit dari rumah itu. Dari jauh aku lihat isteriku turun dari keretanya
dan berlalu menekan butang lonceng. Beberapa saat kemudian, pintu pagar
terbuka. Mata aku tajamkan untuk melihat siapakah gerangan orang yang ingin
isteriku jumpa.
Jelas kelihatan di mataku ada seorang lelaki
bertubuh sasa dan tampan keluar dari celahan pagar. Lelaki itu hanya mengenakan
seluar pendek dan berbaju T pagoda. Dia tersenyum lebar kepada isteriku. Dan,
tiba-tiba tubuh isteriku dirangkul erat serta dahinya dikucup kejap. Aku
terkesima. Darah tersirap naik ke kepala. Bagai batu besar menghempap ke
kepala. Aku cukup terkejut dengan apa yang mataku lihat. Jelas. Cukup jelas!
Isteriku kelihatan senang sekali diperlakukan seperti itu. Tak menolak
langsung!
Jiwa
meronta-ronta untuk mendapatkan isteriku. Tetapi, jasadku bagai terpaku di
kerusi kereta. Aku tidak dapat gerak. Hanya melihat dengan mata kemesraan
mereka berdua. Jika tadi lelaki itu mengucup dahi isteriku, kali ini isteriku
pula mengucup kedua-dua belah pipi lekaki itu. Mereka kelihatan mesra. Seperti
sepasang suami isteri saja gelagatnya. Aku pejaman kelopak mata. Air mata yang
mahu gugur aku tahan.
Aku
lelaki punya ego. Walaupun diri dikhianati, aku tetap tidak membenarkan air
mataku jatuh ke pipi. Namun, aku tahu pasti biji mataku sudah berselirat dengan
urat-urat merah. Begitu juga dengan kelopak mata yang sudah sarat bergenang
air. Rambut aku lurut ke belakang.
"Ya
Allah! Besar sungguh dugaan yang Kau berikan kepadaku ini."
Aku
tidak mampu bertahan lagi. Denagn pantas aku melarikan keretaku. Fikiran cukup
berkecamuk dan keliru.
'Sampai
hatimu memperlakukan abang seperti ini, Hani. Sampai hatimu…'
~*~*~*~*~*~
Lewat
tengah malam isteriku sampai di rumah. Aku terdengar bunyi pintu dibuka. Aku
berdiam diri di sofa membelakanginya. Sebaik terdengar tapak kakinya mendekati,
aku terus bersuara tenang. Buat seperti tiada apa yang berlaku. Dan, berlakon
seperti aku masih dungu dan tidak tahu apa-apa.
"Assalammualaikum,
sayang. Baru balik?" soalku lembut. Namun, dalam kelembutan tersirat
kesinisan pertanyaanku.
Langkahnya
serta merta terhenti. Dia toleh ke arahku dengan dahi berkerut. Pasti dia tidak
perasan aku ada di sini tadi.
"Wa...
wa'alaikumsalam. Abang tak tidur lagi? Err... Maaflah, bang. Klien tadi tu
cerewet sangat. Itu nak ubah, ini nak ubah. Naik pening Hani dibuatnya. Sampai
nak ke rumah kawan yang bersalin tu pun, Hani batalkan. Lecehlah dapat klien
macam tu," sungutnya dengan nada kesal. Namun, aku tahu itu cuma 'lakonan'
semata-mata.
"Mesti
klien tu jenis yang peramah, kan? Yalah, tahan isteri abang sampai lewat malam.
Lepas bincang hal kerja, mesti bercerita tentang kehidupan seharian. Dalam
borak punya borak, sedar tak sedar... eh... dah malam," sinis aku
menyindirnya.
"Haah.
Memang busy body sangat klien tu,
bang. Perempuanlah katakan. Sibuk dikoreknya tentang kerja Hani. Dia kata, Hani
ni hardworking sangat. Yalah, hari
cuti pun sanggup bekerja. Lagi satu, dia sibuk nak korek rahsia kecantikkan
Hani. Dia kata lagi, Hani dalam sibuk-sibuk pun masih kelihatan cantik,"
ujarnya bersahaja lalu ketawa. Bohong! Aku terkilan. Namun, aku turut ketawa
hambar.
"Oh,
perempuan. Patutlah."
Hatiku
bagai disiat-siat halus. Pahitmya hendak menelan bahawa isteriku ini berlaku
curang. Pahit juga hendak mengakui bahawa diriku ini adalah seorang suami yang
dayus. Hanya mampu melihat isteriku sendiri melakukan kemungkaran tanpa
mencegah. Ya Allah!
"Okeylah,
Hani minta diri ke atas dulu, bang. Nak bersihkan badan."
"Hmm..."
~*~*~*~*~*~
Penumbuk
aku genggam erat. Mata aku pejam
serapat-rapatnya. Semangatku yang semakin lama kian lunturku cuba aku
bangkitkan semula. Tekad aku pahat kukuh. Apa yang aku buat ini untuk kebaikkan
dia dan juga aku. Ya, untuk kebaikkan kami berdua. Aku redha dengan apa yang
jadi pada kami nanti.
Aku
keluar dari perut kereta. Sebaik saja keluar, mataku tertancap ke arah dua
orang insan sedang ketawa mesra di sebalik cermin kaca. Hatiku terasa berkecai
namun aku cuba cantumkan semula. Aku perlu kuat. Kuat Adi. Kuat!
Dadaku
berdebar-debar saat mendekati mereka. Jelas dipendengaranku gelak tawa isteriku
dan lelaki itu. Mereka kelihatan begitu bahagia. Hati aku sakit. Sakit sangat-sangat!
Sedang aku menahan beban perasaan ini, tanpa sedar tubuh aku telah pun berada
di meja mereka. Terus gelak tawa masing-masing terhenti. Raut masing-masing
berubah. Terutama sekali Hani, isteriku. Pucat lesi! Kalau ditoreh pipinya
tentu tidak berdarah. Lelaki di hadapannya pula memandangku dengan dahi
berkerut.
"A...
abang..." gagap isteriku berkata.
Aku
tidak mengendahkan dia. Mata aku tajam tertancap memandang lelaki di hadapan
isteriku ini. Mahu saja aku tumbuk wajah itu. Tetapi, cepat-cepat aku pujuk
hati ini. Aku masih waras! Seboleh mungkin aku tidak mahu menggunakan kekerasan
di tempat awam. Kerana itu bukan caraku. Lagi pula, ini adalah tempat awam. Aku
perlu jaga maruah diri, isteriku dan juga lelaki itu. Biar pun mereka berdua
telah mempermainkan maruahku, aku tidak tega untuk membalasnya. Aku mengakui,
aku insan yang lemah!
"Balik
rumah," arahku pendek. Wajah cuba aku kawal biasa-biasa. Namun, langsung
tiada senyuman di bibir. Aku genggam erat pergelangan tangan Hani. Aku tarik
tangannya supaya bangun berdiri.
"Abang,
sakit!" adu isteriku sambil cuba melepaskan cengkaman di pergelangan
tangannya. Akibat menahan perasaan, tanpa sedar aku telah mencengkam kuat
tangannya.
"Hei,
bro! Lepaskan tangan dia. Kau ni apa hal tiba-tiba datang berkasar dengan
kekasih aku? Kau siapa?"
Kekasih?
Biadap! Berani-beraninya lelaki ini mengaku isteriku sebagai kekasihnya. Aku
pekakkan telinga. Biarlah lelaki itu hendak mengaku apa pun. Tangan Hani
kembali aku tarik, namun kali ini genggaman tidak sekuat tadi.
"Ikut
abang balik. Kita bincang dekat rumah."
Hani
mengangguk tanpa membantah. Namun, belum pun aku dan isteriku melangkah, kolar
bajuku ditarik. Pipiku pula mendapat tumbukkan dari kekasih isteriku. Aku jatuh
terduduk. Bibir perit dan keluar sedikit darah.
"Abang!"
Hani sepantas kilat mendapatkanku. Dia cuba memegang pipiku, namun aku tepis
tangannya.
"Orang
tak faham bahasa memang itulah makan dia!"
"Is,
stop it! Ini husband I."
Lelaki
itu kelihatan tercengang mendengarnya. Aku terus bangun. Tepi bibir yang pecah
aku pegang. Isteriku dan kekasihnya aku pandang silih berganti.
"Saudara...
memang saudara adalah kekasih dia. Tapi, saya suami dia. Saya lebih berhak
terhadap dia berbanding saudara!" balasku dalam suara yang sedikit tinggi.
Namun, terkawal. Tanganku yang dari tadi sudah gatal hendak melayangkan
penumbuk di wajah lelaki itu, aku keraskan. Jangan Adi! Kalau kau balas, apa
yang kau dapat? Kau akan memalukan diri sendiri! Akhirnya, aku berjaya melawan
hasutan syaitan.
Lelaki
itu tak terkata. Dia hanya tunduk menekur lantai. Aku pandang isteriku kembali.
"Abang
balik dulu. Abang tunggu Hani di rumah. Assalammualaikum." Aku melangkah
dengan hati yang lara.
~*~*~*~*~*~
Kertas
di tangan aku tilik buat entah kali ke berapa. Walaupun awalnya aku tidak
pandang langsung surat ini, namun mulai saat ini aku mulai mempertimbangkannya.
Dan, mungkin akan terus melaksanakannya nanti.
Sedang
aku berfikir, kedengaran bunyi enjin kereta di luar. Cepat-cepat aku
sembunyikan kertas di tangan ke bawah kusyen. Aku sandarkan badan ke sofa.
Hanya menunggu Hani mendekatiku.
"Abang..."
seru isteriku lembut di belakangku.
Aku
senyum sinis. Baru sekarang hendak berlembut dengan suami. Sebelum ini dia buat
endah tak endah saja denganku.
"Abang,
Hani minta maaf."
Ucapan
itu semakin membuatkan aku senyum sinis. Minta maaf? Kenapa baru sekarang?
Kenapa membiarkan perlakuan sumbang mereka berleluasa baru hendak minta maaf
dariku?
"Abang
dah lama maafkan Hani. Setiap malam sebelum tidur, abang akan memaafkan Hani.
Tak pernah sekali pun abang terlupa. Cuma..." aku berjeda. Setitis air
mata gugur di pipi. Gelaran 'sayang' yang sering aku gelar untuknya selama ini,
kini sudah bertukar 'Hani' saja. Aku sudah berjauh hati. Hatiku juga sudah luka
berdarah.
"Abang..."
serunya lagi kali ini dengan nada bergetar. Aku tahu dia juga mulai menitiskan
air mata.
"Cuma...
abang kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini. Sampai saat ini abang susah
nak percaya bahawa Hani dalam diam tergamak selingkuh di belakang abang. Selama
ni abang bagi seratus peratus kepercayaan pada Hani. Abang fikir Hani balik
malam, bekerja di hujung minggu semata-mata untuk kerja. Untuk cari rezeki.
Rupa-rupanya..."
Kata-kataku
terhenti. Hati sebak yang teramat sangat. Isteri yang aku kahwini kerana Allah
kini mengkhianati aku. Sukar hendak percaya bukan? Ini semua salahku juga. Ya,
aku yang salah! Bukan salah Hani semata-mata.
"Abang,
Hani..."
Aku
terus potong kata-katanya.
"Cuba
tanya sejujur-jujurnya dalam hati Hani. Adakah selama kita berkahwin ni Hani
cuma berpura-pura sayangkan abang? Cintakan abang? Adakah selama perkahwinan
kita ni… abang pernah menyakiti Hani? Mendera Hani?" tanya aku dengan
suara bergetar.
Aku
pasrah dengan apa jua yang keluar dari mulutnya. Kalaulah dia mengiakan
kata-kataku, bermakna sepanjang perkahwinan kami hanya aku saja yang bertepuk
sebelah tangan.
"Tak!
Tak abang! Abang seorang suami yang baik. Sangat baik! Memang... memang kita
berdua kahwin disebabkan keluarga, tapi Hani sayang abang, cintakan abang.
Sejak dari awal perkahwinan lagi abang. Hani dah belajar untuk sayang dan
cintakan abang. Hani berjaya cintakan abang. Tapi, Hani akui, perasaan tu tak
sekuat cinta pertama Hani dengan dia. Hani… Hani…" ujar Hani berlutut di
hadapanku. Kedua-dua belah tangannya berada di atas pahaku. Matanya
berkaca-kaca.
Aku
tenung anak matanya. Namun, tak lama. Aku alihkan semula mataku. Aku ketawa
sinis kecil. Sayangkan aku? Cintakan aku? Tapi, kenapa dia tergamak buat aku
macam ni.
"Tapi
kenapa Hani tergamak tipu abang selama ni? Kenapa Hani? Kenapa!"
Dia
menyembamkan wajahnya ke pahaku. Telingaku jelas esakkannya.
"Maafkan
Hani, bang. Hani akui, Hani salah. Hani terlalu ikutkan perasaan dan nafsu.
Hani akui, Hani dah derhaka pada abang. Tapi, entah kenapa Hani membiarkan saja
diri ini menjadi derhaka pada abang. Hani tak kuat melawan perasaan dan nafsu
sendiri. Hani tak kuat lawan godaan syaitan. Abang… bagilah Hani peluang untuk
perbetulkan semua ni. Maafkan Hani..." esaknya kuat.
Aku
kasihan melihatnya, namun egoku menahan keras untuk aku memujuknya. Aku
membiarkan saja dia menangisi segala kesalahannya terhadapku.
"Ha...
Hani dah banyak kali ter... terlanjur dengan dia?" tanya aku lagi dalam
terketar-ketar.
Dia
mengangkat wajah merenungku. Wajah basahnya aku tenung tajam. Kali ini aku
tidak mengalihkan pandangan. Aku mahu mendengar sendiri dari mulutnya. Dia
mengangguk perlahan dan menangis lagi. Pantas aku memajam mata dan beristighfar
panjang. Aku pantas bangun membelakanginya.
"Ya
Allah, ampunkan aku. Ampunkan aku! Ampunkan jua isteri yang telah curang di
belakangku. Ampunkan dia ya Allah!" jeritku. Berderai air mataku. Aku
jatuh tersimpuh di atas lantai. Sedih yang teramat sangat menyelubungi diri.
"Abang..."
Hani pantas mendapatkanku.
"Maafkan
Hani, abang. Maafkan Hani. Sebenarnya, sebelum berkahwin dengan abang, Hani
pernah mencintai seseorang. Orang tu adalah... Iskandar. Lelaki tadi itulah
Iskandar."
"Apa?
Tapi Hani cakap, Hani tak ada sesiapa lagi."
"Ya,
memang Hani bohong dengan abang. Hani tak nak kecilkan hati ibu bapa kita. Dalam
pada masa yang sama Hani tak nak kecewakan abang. Dan, abang seorang lelaki
yang baik. Dari awal kita diketemukan, abang tak pernah layan Hani dengan
buruk. Hani tertarik dengan sikap abang. Sebab itu... Hani terus terima
pinangan dari keluarga abang. Hubungan Hani dengan Iskandar terputus macam tu
saja. Tapi, setelah setahun, usia pernikahan kita. Dia datang balik menagih
cinta Hani. Awal-awal Hani cuba untuk hindarkan diri dari dia. Tapi, Hani tak
kuat bang. Hani tak kuat untuk menghalang perasaan tu."
"Hani...
Hani tak perlu buat macam tu. Sepatutnya kalau Hani dah berpunya, Hani tolak
pinangan keluarga abang dulu. Tak adalah macam ni jadinya. Hani tahu tak apa
yang Hani buat ni berdosa besar! Seorang isteri sepatutnya menjaga maruah diri.
Bukan menggadaikannya sesuka hati!" Hambur aku. Aku geram, namun dalam
masa yang salam simpati juga.
Esakkan
dia semakin kuat. Lumrah manusia. Sudah lakukan kesalahan barulah hendak
menangis meratapi salah sendiri. Aku juga begitu.
"Hani
terlalu cintakan dia, kan?"
Aku
toleh sedikit dia di belakang. Aku lihat kepalanya mengangguk perlahan. Aku
juga turut mengangguk. Sudah faham langkah seterusnya untukku ambil. Untuk apa
lagi aku bertahan, jika cintanya bukanlah seratus peratus milikku.
"Baiklah.
Abang dah pun putuskan segala-galanya. Dan, abang tak mahu Hani terus melakukan
maksiat bersama dia. Abang harap lepas ini hubungan kau orang berdua halal di sisi
Allah. Abang sanggup berkorban untuk kebaikkan kita semua. Hani... ada baiknya
kita berpisah. Abang cer..."
"Abang!"
Terus
terhenti kata-kataku. Dia pantas mendapatkan aku. Tubuhku laju dipeluk.
"Abang
please... jangan sambung ayat tu.
Hani tak nak. Hani tak sanggup nak dengar. Hani cintakan abang. Hani tak nak
kehilangan abang! Please
jangan..." rayunya dalam sambil memelukku.
Aku
juga tidak sanggup untuk mengatakannya. Tetapi, bagiku ini adalah jalan
terbaik. Aku sayang dia, aku juga mahukan terbaik untuknya. Biarlah dia bersama
lelaki itu. Biarlah hubungan mereka halal tanpa rasa bersalah dan bersembunyi
lagi.
"Hani,
dalam satu kapal takkan boleh ada dua nakhoda. Hani harus memilih sama ada
abang atau pun dia. Tapi… abang rasa Hani tak perlu memilih lagi. Kerana abang
tahu siapa yang lebih layak untuk Hani. Dia lebih setia dengan Hani berbanding
abang," kataku lembut. Tapak tanganku mengusap rambut panjangnya. Egoku
sedikit lentur mendengar rayuannya.
"Tapi
Hani tak nak kehilangan abang. Hani sayang abang. Sumpah! Please abang. Bagi Hani peluang untuk berubah. Hani janji akan belajar
untuk cintakan abang seorang saja. Hani akan cuba. Hani akan cuba abang! Lepas
ni Hani takkan berjumpa dengan dia lagi. Takkan ada orang lain selain abang. Please abang... please..."
Aku
senyum kecil. Namun tidak terlihat olehnnya. Aku tahu hatinya. Walaupun dia
berjanji denganku, namun aku tahu cintanya terhadap lelaki itu mana mungkin
terhakis. Cinta pertama sukar untuk dilupakan. Betulkan? Aku hanya membiarkan
dia menangis di dalam pelukkan.
~*~*~*~*~*~
2.35
malam. Aku mengiring ke sebelah. Wajah mulus yang sedang menghela nafas
perlahan aku pandang sayu. Pipi gebu miliknya yang masih lembab kerana banyak
menangis, aku usap perlahan. Air mataku gugur ke pipi. Hati terasa berat, namun
aku merasakan jalan inilah yang terbaik untuk kami. Penuh berhati-hati aku
bangun. Pena dan sehelai kertas di atas meja solek aku ambil. Sebelum memulas
tombol pintu, aku pandang dirinya yang sedang lena. Hani, percayalah… ini jalan
terbaik untuk kita berdua. Abang harap Hani akan lebih bahagia selepas ini.
Maafkan abang… maafkan abang.
Aku pantas memulas tombol pintu.
Keluar dari kamar yang pernah menyaksikan suka duka kami berdua.
Isteriku, Hani,
Sejujurnya abang terlalu cinta dan
sayangkan Hani. kerana itulah abang mengambil keputusan ini. Abang tidak mahu
mementingkan diri sendiri. Boleh saja abang bagi Hani peluang dan meminta Hani
untuk terus setia dengan abang. Tapi, abang tahu hati Hani bakal merana. Abang
tahu Hani cintakan dia. Abang yang bersalah kerana merenggut cinta kau orang
berdua. Tanpa abang sedar, abanglah asbab mengapa terjadinya permasalahan kita.
Maafkan abang…
Hani,
Abang tahu biarpun di bibir Hani
melafazkan sayang dan cintakan abang, tapi abang tahu jauh di sudut hati Hani
cinta Hani terhadap dia tidak pernah terpadam. Oleh itu, abang sanggup
korbankan cinta abang demi melihat Hani bahagia. Ketahuilah Hani, abang lebih
rela kecewa dari melihat Hani tak bahagia.
Hani,
Sebaik saja Hani membaca surat ini,
abang sudah tiada lagi di bumi Malaysia. Abang telah pun jauh terbang di bumi
kanggaru atas urusan kerja selama sebulan. Untuk pengetahuan Hani abang telah
pun mendapat pekerjaan. Di syarikat kawan Ayah Chik. Abang nak kongsi berita
gembira ini dengan sayang, namun masa tak mengizinkan. Ditambah lagi dengan apa
yang berlaku antara kita. Fikiran abang kusut dan tak dapat berfikir apa selain
perhubungan kita.
Hani,
Mungkin sampai di sini saja jodoh kita
berdua. Abang redha dan terima dengan hati terbuka. Abang berharap Hani dan dia
sentiasa bahagia bersama. Tapi, hanya satu saja abang minta. Tolonglah jaga
maruah Hani sebagai isteri sementara kita masih lagi dalam status suami isteri.
Apabila abang pulang nanti, abang berjanji akan bersama-sama Hani untuk uruskan
perpisahan kita. Tentang ibu bapa kita nanti, biarlah abang sendiri terangkan
sebaik-baiknya pada mereka. Insyallah, abang pasti mereka akan faham nanti.
Hani jangan risau tentang hal itu ya. Setelah
itu abang harap hubungan Hani dan si dia halal disisi Allah.
Hani,
Akhir kata, abang memohon maaf andai
selama menjadi suami Hani abang ada melakukan kesalahan. Abang seorang insan
biasa yang sering melakukan kesalahan. Abang juga telah memaafkan segala salah
silap Hani. Sampaikan juga permohonan maaf abang kepada Iskandar kerana telah
merampas Hani dari dia selama ini. Abang harap selama pemergian abang, Hani
jaga diri baik-baik. Jika ada apa-apa segera telefon mama. Abang pergi dulu ya
sayang. Terima kasih kerana sudi menjadi isteri dan bidadari abang selama ini.
Sekian.
Selamat malam sayang...
Abang.
TAMAT
Pstt : Assalammualaikum reader blog Ira. Maaf skiranya ada yg menunggu ira hapdate cerita2 dlm blog ni. Ira cuba sedaya upaya utk menulis balik (cerita yg tertangguh). Jemput la baca cerpen SMS ni dulu ya. Cerpen ni pun dah lama dok dlm lappy. hehe. Drop komen dkat bawah kalau sudi. Jgan risau sape2 nak komen tu ira x marah dan x kenakan sebarang caj. Apa2 pun, enjoy reading ya! ^_*
6 ulasan:
Ending yg sad.kejam betoi hani.huhu.best
Tq sudi baca kak.hehe ^_^
geram pulok dgn si hani tu...huhuhu
Tq sis sudi baca 😊
Tak dk sambungan ke kak??nak sambungan!! ����
Tak ada smbgn dik. Cerpennya takat tu je. Hehe. Tq sudi baca 😊
Catat Ulasan