Jumaat, 30 Disember 2016

CERPEN : BIDADARI UNTUK ABANG



Jam sudah menunjukkan pukul 5.45 petang. Arman keluar dari perut kereta berserta briefcase dan fail-fail kerja di tangannya. Dia menutup pintu kereta lalu menekan butang alarm kunci kereta. Sesampai dia pintu hadapan rumah, pantas dia mengeluarkan kunci dari dalam poket seluar slack lalu mencucuk ke lubang kunci.

Rumahnya sunyi sepi bagaikan tiada penghuni. Anak-anak tinggal di rumah kakaknya buat sementara waktu. Hanya dia dan bidadarinya yang masih setia menghuni rumah tersergam indah ini. Bibir Arman terukir senyum. Matanya pula meliar mencari susuk tubuh si bidadari. Selalunya petang-petang begini pasti bidadarinya sedang menonton televisyen atau termenung di tepi kolam renang. Tetapi hairan, tiada pula. Di manakah dia?

Jika dahulu, hari-harinya bahagia disambut oleh sang bidadari dengan senyuman semanis madu. Kini, tiada lagi yang sudi menyambut kepulangannya dari tempat kerja dengan senyuman. Namun, jauh di sudut hati dia redha jika ini ketentuan-Nya. Bidadarinya langsung tidak bersalah. Apa yang berlaku sudah takdir Tuhan yang maha esa. Dia akur dengan ikhlas jika itu adalah yang tersurat buatnya.

“Nia,” seru Arman memanggil bidadari penyeri hidupnya selama ini.

Dia mengerling ruang tamu, kosong.

“Sayang,” serunya lagi. Namun, tiada sahutan.

Dahi berkerut seribu. Di mana dia? Rasa cemas dan takut mulai menyerbu diri. Kaki laju ke bilik tetamu di tingkat bawah yang menjadi bilik dia dan bidadarinya sejak dua bulan lalu, juga tiada. Dia melangkah pula ke dapur. Baru saja dia hendak memasuki bahagian dapur, matanya tertancap pada kerusi roda milik isterinya sudah terbalik di hadapan pintu dapur. Pantas dia mendekat. Dia tergamam dan kelu lidah apabila melihat sekujur tubuh tertiarap di hadapannya. Pantas dia mendekat.

“Ya Allah, Nia!”

“Sayang! Bangun sayang. Bangun…” Pipi mulus bidadarinya ditampar perlahan berkali-kali. Tiada sebarang respon. Sekali lagi dicuba, namun tetap juga tiada tindak balas. Air mata sudah membasahi pipi. Dalam hati dia berdoa agar bidadarinya tidak apa-apa.

“Sayang tolonglah buka mata. Jangan tinggalkan abang.”

Pipi itu sekali lagi ditepuk namun masih juga begitu. Lelehan darah di dahi bidadarinya semakin membuatkan dia cemas. Amran pantas meletakkan jari telunjuk di atas bibir bidadarinya itu. Masih bernafas! Tanpa menunggu lama, dia mencempung tubuh bidadarinya masuk ke dalam kereta.

******

Arman pantas mendapat Wan Ikmal, doktor merangkap sahabat baiknya sebaik tirai dibuka. Sedari tadi, dia tidak senang duduk menunggu doktor muda itu memeriksa bidadarinya.

“Wan, macam mana dengan isteri aku?” tanya Amran cemas.

Wan Ikmal menepuk bahu Amran.

“Kau jangan risau. Tak ada apa yang serius pun. Isteri kau cuma pengsan. Mungkin kesan terhantuk. Ada luka sikit dekat dahi dia. Aku dah rawat pun,” jawap Wan Ikmal. Arman mengerling seketika pada bidadarinya yang belum sedarkan diri.

Arman menghembuskan nafas lega. Tangan pantas mengurut dada yang cemas tadi. Terkumat-kamit bibirnya mengucap syukur.

“Syukur. Alhamdulillah…”

“Duduk dulu, Man.” Wan Ikmal mempelawanya duduk. Amran akur saja.

“Apa dah jadi sebenarnya?”

 “Entahlah, Wan. Masa aku balik tadi, aku tengok Nia dah tertiarap dekat lantai dapur. Aku… aku panik sangat masa tu. Dan, aku terus bawak dia ke klinik kau. Aku… aku dah tak dapat fikir apa. Cuma fikir nak selamatkan Nia saja. Aku tak nak kehilangan dia Wan. Aku takut dia tinggalkan aku…” kelu lidah Arman untuk berkata lagi. Peristiwa tadi masih terbayang-bayang di ingatannya.

 Wan Ikmal senyum nipis.

“Kau janganlah risau sangat. Cuma pengsan biasa saja. Sekejap lagi sedarlah tu. Oh ya, isteri kau tinggal seorang diri di rumah?”

 Arman mengangguk.

“Man, sepatutnya kau tak boleh tinggalkan dia seorang diri. Bahaya. Kita pun tak tahu apa yang terjadi pada dia dekat rumah tu. Dengan keadaan dia macam tu. Kau tahukan segala pergerakkan dia terbatas. Kenapa kau tak upah jururawat atau seseorang yang dapat tengok-tengokkan dia? Tak pun minta tolong ahli keluarga kau teman isteri kau. Sekurang-kurangnya dia tak keseorangan.”

Keluhan lepas dari mulut Arman. “Aku ada cadangkan pada dia. Tapi, dia menolak keras. Puas aku pujuk, dia tetap tak mahu. Kau sendiri tahukan isteri aku tu macam mana. Dia kalau boleh tak mahu susahkan sesiapa. Dia nak buat semuanya sendiri macam dulu juga. Hmm… aku pun tak tahulah nak cakap apa lagi Wan.” Arman mengeluh lemah.

“Man, kau…”

Belum pun sempat Wan Ikmal menghabiskan kata-katanya, terdengar suara Nia memanggil Arman.

“A… abang. Abang…”

“Dia dah sedar tu. Man, tentang hal penjaga tu  cubalah kau pujuk dia perlahan-lahan. Insyallah, pasti hati dia terbuka nanti. Kau sabar ya?”

Arman mengangguk. “Insyaalla, Wan…”

 “Okeylah, aku keluar dulu. Sementara biarlah isteri kau rehat dulu di sini. Nanti dia dah stabil, baru bawak dia balik.”

 “Ya. Terima kasih Wan.”

  Wan Ikmal membalas dengan senyuman. Setelah itu dia berlalu keluar dari bilik kecil itu. Arman mendekati bidadarinya. Dia duduk bertenggek di birai katil menempatkan bidadarinya itu. Wajah pucat sang bidadari di tenung penuh kasih dan kasihan.

“Sayang…”

“Abang, kita dekat mana ni?” tanya bidadarinya lemah. Kepala yang bertampal disentuh perlahan.

“Dekat klinik Wan. Sayang pengsan tadi,” beritahu Arman lantas membantu isterinya duduk bersandar di kepala katil.

Bidadarinya diam seketika. Mungkin cuba mengingati kejadian tadi. Namun, tiba-tiba Arman terlihat manik jernih turun ke pipi mulus bidadarinya. Dia tergamam. Kenapa bidadarinya tiba-tiba menangis?

“Hei, sayang. Kenapa ni?” tanya Arman lembut. Pipi bidadarinya yang basah segera dilap dengan jari jemari.

“Abang, maafkan Nia. Maafkan Nia…” sendu bidadarinya tiba-tiba.

“Syhhh… Jangan menangis sayang. Kenapa tiba-tiba minta maaf ni? Sayang tak perlu minta maaf pada abang. Nia tak ada salah pada abang pun,” pujuk Arman. Dia sendiri tidak mengerti apa sebabnya bidadarinya tiba-tiba menangis dan meminta maaf padanya.

 Bidadarinya menggeleng laju. Manik jernih semakin deras keluar.

 “Tak! Nia banyak dosa pada abang. Nia dah tak dapat jaga keperluan abang dan anak-anak kita macam dulu. Nia memang dah tak berguna. Memang tak berguna!” jerit bidadarinya sambil memukul kedua-dua belah pahanya bersama tangisan menggila.

Arman pantas menghalang perbuatan bidadarinya. Tangan bidadarinya yang memukul kedua-dua belah paha sendiri pantas ditangkap.

“Nia memang tak berguna, bang. Nia hidup pun tak memberi apa-apa makna lagi. Lebih baik Nia mati saja. Hidup pun akan menyusahkan abang dan semua orang. Lebih baik mati… lebih baik mati…” racau wanita itu lagi. Arman pantas menarik tubuh bidadarinya ke dalam pelukkan.

“Sayang dengar cakap abang ni. Tak baik sayang cakap macam tu. Berdosa! ”

Husniah masih teresak, namun sudah tidak memberontak seperti tadi. Arman pantas menarik kepala isterinya ke dada. Rambut panjang Husniah dibelai lembut. Semoga belaian itu dapat menenangkan bidadarinya. Dia tidak sampai hati melihat si isteri menyakiti diri sendiri. Sedih dia dengan keadaan itu. Sakit yang dirasakan bidadarinya, dia jua turut merasa.

“Walau apapun sayang sekarang, abang tak pernah salahkan sayang. Sayang… ini ujian-Nya buat sayang. Sayang perlu sabar dan kuat semangat, bukan menyalahkan diri. Setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Insyallah…” Lembut suara Arman memujuk.

 “Abang…” seru isterinya sayu. Husniah masih teresak di dadanya.

 “Syhhh… dahlah sayang. Jangan menangis lagi. Sayang tak perlu fikir banyak. Abang nak sayang rehat secukupnya. Stabilkan dulu emosi. Lepas ni dah okey kita balik rumah kita. Okey sayang?” Arman terus-terusan memujuk untuk meredakan kesedihan si isteri. Tanpa sedar, setitik air matanya jatuh ke pipi. Segera dikesat dengan hujung jari agar tidak kelihatan oleh Husniah.

 ******

Arman menatang dulang kecil yang berisi dua mug berasap nipis lalu meletakkannya ke atas meja. Minyak angin yang sempat diselitkan ke poket seluar dikeluarkan. Dia pantas mendekati bidadarinya.

 “Nia, abang ada buatkan milo susu kegemaran sayang.”

“Terima kasih,” ucap Husniah sedikit dingin.

“Hari ni abang tolong sayang urut kaki ya,” pinta Arman lantas meletakkan kaki kanan sang bidadari ke pahanya.

“Kalau abang penat tak payahlah. Urut hari-hari pun, Nia tetap tak mampu berjalan semula. Buat membazir tenaga abang saja,” balas bidadarinya dingin. Tangan Arman yang menyentuh kakinya ditepis lembut.

Arman senyum.

“Haip! Tak boleh putus asa sayang. Sayang sendiri pernah cakap dengan abang, sesiapa yang tak berputus asa dan berusaha lagi untuk mencapai kejayaan setelah melalui kegagalan dia adalah winner. Lepas tu sayang cakap, sesiapa yang mudah berputus asa dan tak mahu berusaha selepas kegagalan dia adalah losser. Masa tu kita sama-sama masih belajar dekat universiti. Abang ingat lagi kata-kata sayang tu. Sayang ingat lagi tak?”

 “Hmm… Entah. Tak berapa ingatlah,” jawap bidadarinya acuh tidak acuh.

  Arman ketawa lalu mencuit hujung hidung bidadari tercintanya itu.

“Eleh… buat-buat lupa pula. Apa-apa pun. abang tetap nak urut kaki sayang ni. Mana tahu, ada rezeki untuk Nia berjalan semula. Yang penting kena berusaha, berusaha dan berusaha ya, sayang?” Arman membuka penutup botol minyak angin. Dituangkan sedikit ke telapak tangan lalu ditekap ke betis bidadarinya. Jari jemari mula menari di atas betis putih itu. Setiap malam inilah tugasannya. Mengurut kaki bidadari hatinya tanpa rasa jemu. Walaupun kadang-kala bidadarinya menolak, dia tetap buat juga.

“Hmm… Yalah,” balas sang bidadari tidak berkata banyak. Mata fokus pada Arman yang sibuk mengurut betisnya.

“Abang…”

Arman mendongak apabila mendengar namanya diseru.

“Ya, sayang.”

“Kalau… kalau Nia nak bagi ca… cadangan boleh?” tanya sang bidadari dengan suara tersekat-sekat.

 Berkerut dahi Arman. Dia lantas mengangguk tanda mengizinkan.

“Apa dia sayang?”

Pandangan Arman fokus memandang sang bidadari. Bidadarinya itu kelihatan gelisah saja. Cadangan apa yang mahu diutarakan?

“A… apa kata abang… abang cari seseorang yang boleh jaga abang? Nia tak kisah kalau…” Belum pun sempat bidadarinya menghabiskan kata-kata, Arman terus mencelah.

 “Apa maksud sayang ni? Sayang nak abang cari isteri lagi satu? Pengganti Nia? Macam tu?” Arman bertanya dengan nada serius. Pandangan matanya tajam menikam ke anak mata bidadarinya. Urutan juga serta merta terhenti.

 Sang bidadari kelihatan serba salah untuk menentang pandangan mata Arman.

 “Ya. Abang patut cari penganti Nia dan… dan Nia tahu abang lebih dari mampu untuk mempunyai isteri lebih dari satu. Nia tak kisah dan rela bermadu sekiranya abang nak berkahwin lain. Nia…” Sekali lagi Arman menghentikan percakapan bidadarinya. Jari telunjuk tertegak di hadapan bibir cinta hatinya itu.

 “Syhhh… Abang tak nak dengar sayang cakap macam ni lagi. Abang takkan duakan sayang. Takkan! Dan, abang tahu mulut ni saja yang kata rela, padahal dalam hati tak benar-benar rela.”

Jari Arman di bibir Husniah beralih ke dada isterinya pula. Keruh riak wajahnya saat ini. Mana mungkin dia akan menduakan isterinya. Dia sudah berjanji sejak dari awal perkahwinan lagi, setianya hanya untuk Siti Husniah Binti Abdul Talib seorang. Mana mungkin dia memungkiri janji yang dipatri mati. Takkan!

Arman pantas bangun. Dia mahu berlalu ke dalam rumah. Belum pun sempat dia melangkah, tangannya digenggam erat.

 “Abang… abang sepatutnya dapat seseorang yang lebih baik dari Nia. Cubalah abang tengok diri ni. Nia dah lumpuh, cacat. Nia dah tak mampu untuk menjalankan kewajipan sebagai isteri yang sempurna. Nia dah tak macam dulu lagi, bang. Dan, Nia tak tahu bila kaki Nia ni akan sembuh. Mungkin juga Nia akan begini untuk selama-lamanya. Abang… sekurang-kurangnya, bila abang kahwin lagi, ada yang mampu jaga abang dan anak-anak. Makan, pakai terjaga. Abang tolonglah pertimbangkan cadangan Nia ni. Nia rayu. Please abang…” rayu sang bidadari dengan tubir mata berkaca-kaca.

Tidak sampai hati Arman melihat keadaan bidadarinya itu. Dia menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia mendekat semula. Dia melutut di hadapan kerusi roda bidadarinya. Tangan putih itu digenggam erat lalu dikucup lembut.

“Abang takkan menduakan sayang. Selagi abang hidup… hanya sayang dan anak-anak yang akan berada di hati abang. Abang tak mahu orang lain melainkan sayang. Sayang tolonglah faham. Abang tak mahu dengar lagi cadangan mengarut ni.” Arman memohon pengertian sang bidadari. Dia tidak akan sesekali menduakan sang bidadarinya.

“Tapi…”

“Sayang, tolong… Abang tak nak dengar lagi tentang hal ni. Ya?” ulang Arman lagi dengan nada merayu. Sisa manik jernih di pipi bidadarinya dikesat dengan hujung jari.

Bidadari cinta hatinya itu hanya mengangguk lemah.

******

 “Abang…” Arman yang pada itu baru saja mahu melangkah ke dapur terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Dia pantas mendekat.

 “Ada apa sayang? Abang nak ke dapur kejap, minum air. Sayang nak apa-apa?”

Bidadarinya hanya menggeleng serta mengukir senyum nipis. Dia menepuk sofa yang kosong di sebelahnya meminta agar Arman duduk di situ. Arman akur.

“Tak. Nia cuma nak sampaikan salam mak dan abah pada abang. Masa abang tengah solat tadi, dia orang telefon.”

“Wa’alaikumsalam…” jawap Arman. Dia menyambung lagi. “Err… mak dengan abah macam mana? Dia orang sihat?”

“Mak, alhamdullillah sihat. Cuma abah saja yang selalu sakit-sakit kaki. Kata mak, abah dah jarang ke masjid sebab sakit kaki kerap sangat. Solat dekat rumah saja,” cerita bidadarinya dengan nada sedikit risau.

Arman mengangguk. Biasalah, orang tua pastinya sudah semakin lemah seiring dengan usianya. Mereka juga suatu hari nanti begitu.

 “Oh. Hmm… sayang minggu depan abang fikir nak ambil cuti hari jumaat. Nanti bolehlah kita balik kampung duduk dalam tiga hari dan bermalam dua malam. Kita ambil Amira dengan Amar dekat rumah Kak Long dulu, barulah gerak balik Johor. Okey sayang?” Arman meminta persetujuan.

 Bidadarinya hanya mengangguk setuju.

“Okey. Mesti mak dengan abah gembira kita balik.”

“Mestilah sayang. Dia orangkan paling tak sabar nak jumpa anak-anak kita yang comel lagi nakal tu.” Arman ketawa kecil mengingatkan telatah Amira dan Amar, anak-anaknya. Selalu bertekak sesama sendiri. Bagai anjing dan kucing. Riuh rumah ini sekiranya mereka ada.

 “Abang nak ke dapur. Sayang betul tak nak apa-apa?” tanya Arman sekali lagi.

Bidadarinya diam sejenak. Kemudian bersuara.

“Err… Kalau tak kisah, abang boleh tolong Nia buatkan milo suam sekali?”

“Boleh sayang. Nia tunggu sini sekejap, abang ke dapur buatkan milo panas istimewa untuk sayang.” Arman terus berlalu ke dapur.

Mug yang berasap dihulurkan penuh berhati-hati kepada sang bidadari. Dia kemudian melabuhkan punggung di tempatnya tadi. Kelihatan, mood bidadarinya baik saat ini. Dia merasakan inilah masa yang sesuai untuk memujuk bidadarinya berkenaan cadangannya untuk mengambil pembantu rumah. Mana tahu dalam pada mood baik ini, bidadarinya terus saja bersetuju.

“Sayang, abang nak bincang sesuatu dengan sayang?”

 “Apa dia?” tanya sang bidadari lalu menghulur mug kepadanya. Mug yang masih penuh itu diletakkan ke meja kopi.

“Err… sekali lagi abang nak bincang berkenaan rancangan abang untuk… untuk ambil pembantu rumah.” Teragak-agak Arman mahu meluahkan kata-kata.

Berubah air muka bidadarinya. Daripada sedikit ceria, kini bertukar menjadi serius. Kelihatan di bola matanya terdapat urat-urat merah. Arman menelan liur. Hati kuat mengatakan, pasti bidadarinya bakal memarahinya sebentar lagi.

“Bukan ke Nia dah cakap, yang Nia tak nak pembantu rumah. Kenapa abang bangkitkan lagi hal ni?” tanya sang bidadari dengan suara bergetar.

Arman menarik nafas perlahan-lahan. Dia perlu menjelaskan sedalam-dalamnya kepada bidadarinya itu. Dia berharap kali ini bidadarinya itu akan terbuka hati untuk menerima cadangannya.

“Nia… dalam keadaan begini Nia perlukan seorang teman. Kalau Nia tak bersetuju untuk ambil pembantu rumah, apa kata kita pujuk mak dan abah tinggal di sini? Nanti Nia ada teman untuk berborak dan tak sunyi. Abang pun taklah risau sangat tinggalkan Nia seorang. Lepas tu bolehlah kita ambil Amira dan Amar semula dari rumah Kak Long. Boleh ya sayang?” Arman memujuk lembut. Dia risau dengan keadaan bidadarinya yang kini sudah tidak mampu bergerak bebas. Macam-macam boleh berlaku. Setiap saat, setiap masa dia sangat risau akan keadaan bidadarinya itu.

“Tak payah nak susahkan orang lain. Abang fikir Nia ni dah tak mampu untuk jaga diri sendiri ke? Abang, Nia tahu… Nia sekarang dah cacat, tak boleh jalan. Sekarang semua orang pandang rendah dengan Nia, abang pun sama juga. Tapi, Nia tak perlukan bantuan orang lain. Nia nak buktikan yang diri ni walaupun cacat, tak perlu bergantung dengan orang lain!” tengking bidadarinya. Lencun pipi mulus itu dengan lelehan air mata.

Sambungnya lagi. “ Abang, tolonglah. Tolonglah! Jangan layan Nia macam Nia dah tak mampu untuk buat kerja. Macam orang lemah. Nia boleh buat tanpa bantuan orang lain. Kalau abang dah tak sanggup lagi bersama dengan orang cacat ni… tak apalah, Nia faham. Abang lepaskan saja perempuan cacat ni. Perempuan ni memang dah tak berguna pun. Perempuan cacat ni dah tak dapat jalankan tanggungjawab dia pada abang. Pada anak-anak lagilah. Sudahlah, Nia malas nak cakap hal ni lagi.” Sang bidadari pantas menarik kerusi rodanya mendekat. Susah payah dia mengalihkan tubuh ke kerusi roda. Arman turut membantu bidadarinya, namun tangannya pantas ditepis kuat.

“Sayang bukan macam tu maksud abang…” Arman mahu membetulkan salah anggap bidadari tercintanya itu.

\“Sudahlah, bang. Nia dah mengantuk. Nia masuk bilik dulu. Assalammualaikum.” Tanpa menunggu lama,  roda kerusi rodanya  digerakkan menuju ke bilik tetamu.

Arman terduduk semula di sofa. Rasa bersalah menggunung. Tidak sepatutnya tadi dia berbincang hal itu. Dan, tidak sepatutnya dia merosakkan mood baik isterinya. Dia tahu bidadarinya tidak bersetuju, tetapi dia masih berdegil juga. Arrghh, ini semua salahnya!

******

 “Mama! Mama!” Amira dan Amar terkedek-kedek berlari mendapatkan mamanya di tepi kolam. Kedua-dua cahaya matanya itu memeluk erat sang bidadari. Kelihatan terpancar sinar keceriaan di wajah bidadarinya. Mekar senyum Arman. Senang hati saat terlihat senyum manis itu terhias cantik di bibir bidadarinya.

“Kakak! Adik! Anak mama dah balik. Mari sini mama nak cium anak-anak mama ni.”

Pipi kedua-dua kanak-kanak itu menjadi mangsa gomolan sang bidadari. Arman tahu bidadarinya itu sangat gembira dengan kehadiran cahaya mata mereka. Sejak bidadarinya kemalangan, dia mengamanahkan kakak sulungnya untuk menjaga Amira dan Amar buat seketika. Memandangkan keadaan bidadarinya masih belum stabil fizikal dan emosi, keputusan yang berat terpaksa diambil untuk duduk berasingan dengan cahaya mata kesayangannya itu.

Awal, bidadarinya membantah keras keputusannya itu. Namun, setelah berhari-hari dia memujuk, akhirnya bidadarinya itu akur dan faham kenapa dia berbuat begitu. Arman berjanji, setiap hujung minggu dia akan membawa Amira dan Amar pulang bercuti ke rumah mereka. Dan, hampir setiap hari juga isterinya itu berhubung dengan Kak Longnya bertanya khabar serta bercakap dengan kedua-dua cahaya mata mereka itu.

“Amira, Amar… kata tadi ada hadiah untuk mama. Tunjuklah,” pinta Arman yang berdiri di belakang kerusi roda bidadarinya.

“Ada hadiah untuk mama? Nak tengok!” Sang bidadari teruja ingin tahu.

Amira mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya dan diberikan kepada mamanya.

“Kakak dengan adik buat lukisan ni sama-sama. Istimewa untuk mama.”

Sang bidadari membuka kertas lukisan yang berlipat dua di tangannya itu. Arman hanya memerhati. Tiba-tiba kedengaran tangis bercampur ketawa kecil dari mulut bidadarinya. Mungkin terharu dengan hadiah pemberian malaikat-malaikat kecil mereka.

“Yang tinggi pakai baju hijau ni papa. Sebelah papa yang pakai baju kurung warna kuning tu mama. Lepas tu, budak perempuan pakai baju gaun merah jambu, ada tocang dua tu kakak. Adik pula yang pakai baju warna biru. Kita satu keluarga gembira. Tengok mama, semua senyum…” petah si adik, Amar menerangkan tentang lukisan yang telah dilukis oleh mereka.

“Cantik! Mama sayang sangat anak-anak mama ni. Terima kasih sayang.” Sekali lagi tubuh kerdil Amira dan Amar dipeluk erat.

“Papa pun sayang anak-anak papa.” Arman turut serta memeluk mereka bertiga. Kemudian, mereka sama-sama ketawa. “Okey, anak-anak papa. Pergi naik atas tukar baju cantik-cantik. Lepas ni papa nak bawa Amira, Amar dengan mama jalan-jalan dekat taman, lepas tu papa belanja aiskrim!”

“Yeayy!” Amira dan Amar melonjak gembira. Masing-masing berebut lari naik ke tingkat dua.

“Hati-hati sayang!” jerit Arman. Dia tersenyum melihat kenakalan anak-anaknya itu. Sesekali dia ketawa dengan telatah nakal mereka. Setelah itu, dia mendekati bidadarinya semula.

“Sayang gembira tak?”

Bidadarinya itu hanya mengangguk berserta senyuman acuh tidak acuh. Keluhan di bibir Arman lepas. Dia tahu bidadarinya masih marah terhadapnya

“Sayang masih marah abang tentang semalam, ya? Abang minta maaf. Bukan macam tu maksud abang…” Arman mengenggam erat jari jemari bidadarinya. Kemudian, tangan itu dikucup lembut. Sesaat kemudian, terdengar satu keluhan dari mulut sang bidadari.

“Abang tak salah pun. Tak perlu minta maaf dari Nia. Tentang semalam tu… Nia terlalu emosi sampai tanpa sedar tertengking abang. Nia yang kena minta maaf pada abang. Abang… maafkan Nia ya?”

Arman senyum lalu mengucup dahi bidadarinya.

“Sayang pun tak perlu minta maaf tentang tu. Abang faham, sayang bukan sengaja pun. Salah abang juga bangkitkan hal yang sememangnya sayang tak suka. Okey, lepas ni abang takkan sesekali bangkitkan hal tu lagi. Sekarang ni kita kena bergembira sebab anak-anak comel kita tu dah balik rumah. Sayang, cuba senyum sikit.” Kedua-dua belah tepi bibir bidadarinya dikuak dengan jari membentuk senyuman. Arman turut mengukir senyum.

“Haa, kan manis bila bidadari abang ni senyum. Cantik!” pujinya.

“Papa… mama, kita orang dah siap. Jomlah!” Amira dan Amar berlari mendapatkan mereka setelah menyalin pakaian. Sudah tidak sabar hendak berjalan gamaknya.

Arman mengerling ke arah bidadarinya, kemudian beralih kepada Amira dan Amar.

“Okey, jom!”

******

Hari ini Arman pulang awal setelah dia selesai membuat pemantauan di tapak pembinaan. Kepalanya berdenyut-denyut setelah berpanas seharian. Sewaktu hendak memarkirkan kereta di garaj, dia terpandang sebuah kereta Honda Jazz merah diparkir elok di luar pagar. Dia kenal dengan pemilik kereta itu. Pemiliknya ialah Farhana, sahabat baik bidadarinya. Pasti gadis itu datang untuk melawat bidadarinya. Dia menutup pintu kereta dan kemudian, melangkah menuju ke pintu utama.

Sewaktu mahu melewati ruang tamu dia terdengar suara orang berborak di tepi kolam. Sudah semestinya suara itu adalah suara isterinya dan Farhana. Tetapi, kenapa kedengaran serius saja suara mereka berdua? Seperti sedang berbincang masalah yang berat. Sedangkan, Husniah jika bertemu dan berborak dengan Farhana pasti ada saja gelak tawa antara mereka. Briefcase dan kod diletakkan ke sofa berdekatan. Berhati-hati dia menapak ke dinding yang memisah ruang dalam rumah dan kolam renang. Dia cuba menelinga apa yang dibualkan dua wanita itu. Bukan niatnya hendak menyibuk tetapi perasaan ingin tahu mencucuk tangkai hati.

“Nia, kau gila!”

“Kau cakaplah aku gila atau kurang siuman sekali pun. Aku tak kisah. Apa yang aku buat ni hanya untuk orang-orang yang aku sayang. Terutama sekali suami dan anak-anak aku. Aku cuma perlukan keputusan dari kau Hana?”

Apa yang dimaksudkan bidadarinya itu? Isterinya meminta Farhana untuk membuat keputusan. Keputusan tentang apa? Rasa ingin tahu begitu membuak-buak. Dia kembali menelinga.

 “Tak. Aku tak nak. Ini cadangan gila!”

 “Hana, aku merayu… Hanya kau saja orang yang aku percaya. Tak ada orang lain selain kau yang boleh aku percaya. Aku tahu, kau boleh lakukan. Mula-mula memanglah susah, tapi lama-lama kau akan terbiasa. Lagi pun, Amira dan Amar dah serasi dengan kau. Pertimbangkanlah permintaan aku ni…” rayu Husniah berserta esakkan.

 Arman masih belum jelas dengan percakapan mereka. Farhana mendekati sahabatnya itu. Berteleku di hadapan Husniah lalu mengenggam erat tangan sahabat baiknya itu. Arman pula masih menyembunyikan diri di balik dinding. Terus menelinga.

“Nia, memanglah anak-anak kau serasi dengan aku. Malah, dia orang gelar aku ibu. Aku pun sayangkan dia orang macam anak sendiri. Tapi, aku tak sanggup lakukan semua ni. Aku tak nak jadi orang ketiga pada keluarga sahabat baik aku sendiri. Aku tak sanggup!” Farhana tetap membantah walaupun nadanya lembut.

 Tergamam Arman saat itu. Serta merta lututnya menjadi lemah. Apakah perbualan mereka ini berkisah tentang Husniah meminta Farhana menjadi isteri keduanya? Ya Allah… apa semua ini?

“Hana, tolonglah aku… Aku hanya nak nasib suami dan anak-anak aku terbela. Kau tengoklah keadaan aku. Tak berdaya, lemah dan hanya bergantung dengan kerusi roda ni. Arman dah banyak hadapi kesusahan dengan keadaan aku ni. Anak-anak aku pula dah lama terabai. Aku dah tak mampu jadi seorang isteri, seorang ibu yang sempurna, Hana. Arman, Amira dan Amar perlukan seseorang ibu serta isteri yang mampu jaga mereka dengan baik. Dan, aku sangat yakin kau mampu. Hana tolonglah…”

 “Nia aku… aku…” Kedengaran tersekat-sekat suara Farhana.

Arman sudah tidak sanggup mendengar rayuan isterinya. Dia juga tidak sanggup lagi mendengar perbualan mereka tentang rancanga mengarut ini. Dia keluar dari tempat persembunyian.

  “Abang tak pernah rasa susah pun dengan keadaan sayang…” Basah pipinya dihujani manik jernih. Dia cuba tahan dari mengeluarkan air mata, namun akhirnya dia kalah.

 “Abang!”

  “Arman!” Serentak Husniah dan Farhana terjerit. Terkejut dengan kehadirannya di situ. Dua wanita itu saling berpandangan. Masing-masing diam dan mengunci mulut.

“Apa sayang cuba buat ni? Nia nak abang berkhawin dengan Hana? Sampai hati Nia mahu memberi kasih abang kepada orang lain. Nia dah tak sayangkan abang ke? Mana hati perut Nia untuk memberikan suami sendiri kepada orang lain?”

Husniah tunduk bagai persalah. Diam. Arman mendekati bidadarinya.

 “Nia sedar tak abang ni siapa? Abang adalah suami sayang. Sedar tak!”

Arman hilang sabar dengan sikap berdiam diri isterinya. Saat ini dia sangat terasa hati dengan isterinya itu. Tergamak Husniah hendak memberikan kasih sayangnya terhadap wanita itu kepada orang lain. Apa yang sudah merasuk fikiran isterinya? Selama ini, dia tidak pernah pun rasa terbeban dengan keadaan isterinya itu. Dia terima. Dia redha dan ikhlas menjaga bidadarinya itu.

“Nia… Nia…”

“Nia ingat abang ni macam barang ke? Boleh diambil, boleh dibuang begitu saja?”

 “Abang… bukan macam tu maksud Nia.”

 “Dah tu? Kenapa sayang tergamak buat begitu? Macam abang ni tak ada hati dan perasaan. Nia dah benci dengan abang ke? Cakap dengan jujur sayang!” Arman mengasak Husniah dengan pelbagai soalan.

 “Abang, jangan cakap macam tu. Nia sayang abang. Nia tak pernah walau sikit pun bencikan abang. Nia sayang abang. Nia cuma nak yang terbaik untuk abang dan anak-anak kita. Sebab tu Nia minta Hana untuk...” Belum pun sempat Husniah menghabiskan kata-kata, Arman mencantas.

“Untuk apa? Untuk jadi isteri kedua abang? Nia dah hilang akal ke? Nia sendiri tahukan, hanya Siti Husniah Binti Abdul Talib yang bertakhta di hati abang sampai ke hujung nyawa. Setia, kasih dan cinta abang hanya untuk sayang. Takkan ada orang lain pun!” Keras suara Arman. Anak matanya merenung tepat anak mata si isteri.

“Tapi, dengan apa yang telah Nia buat, abang rasa…” Dia sudah tidak terkata lagi. Entah kenapa lidah jadi kelu. Sungguh dia terasa hati dengan Husniah. Pantas dia melangkah menjauh dari isterinya. Takut semakin lama nanti hati semakin terluka. Dan, dia juga takut nanti pelbagai kata-kata amarah keluar dari mulutnya dan melukakan hati Husniah nanti. Biarlah dia pergi seketika menenangkan perasaan.

“Abang! Abang! Jangan pergi tinggalkan Nia. Abang…”

 ******

~Abang baliklah ke rumah kita. Maafkan Nia. Nia janji takkan buat macam tu lagi.

~Nia sayang abang. Baliklah, Nia rindukan abang. Jangan tinggalkan Nia. Maafkan Nia, bang.

~Abang, janganlah macam ni. Baliklah. Nia nak mohon ampun pada abang.


Arman berbaring di sofa sambil lengannya di dahi. Mata ditutup untuk menenangkan fikiran dan perasaannya yang berkecamuk saat ini. Berpuluh-puluh panggilan dan pesanan dari Husniah tidak diendahkan.

“Bro, ni air kopi untuk kau.” Wan Ikmal mendekati sahabatnya itu. Sepertinya lelaki itu punya masalah sedang difikirkan.

Arman bangun setelah menyedari kehadiran sahabatnya itu. Mug yang berasap nipis dicapai. Perlahan-lahan dia meniup dan menyisip kopi yang masih berasap.

 “Terima kasih, Wan.”

 “Man, aku tengok kau macam ada masalah saja? Ni, apa hal datang rumah aku malam-malam buta? Dah buang tabiat. ”

Mug yang sudah disisip diletakkan semula ke atas meja kopi. Keluhan lepas dari mulutnya. Dia tidak menjawab soalan dari Wan Ikmal, sebaliknya hanya menggeleng. Lalu dia menekur lantai.

“Dah tu? Aku tengok kau ni macam ada masalah besar gamaknya. Kongsilah dengan aku, mana tahu aku boleh tolong. Eh, kau datang sini malam-malam… habis isteri kau seorang diri di rumah?”

Arman menyandarkan tubuh ke penyandar sofa. Dahi dipicit-picit. Pertanyaan Wan Ikmal tidak diendahkan.

“Man, kau kenapa? Cuba kongsi dengan aku apa masalah kau. Mana tahu ringan sikit kepala kau tu.”

 “Aku… aku ada masalah dengan Nia.”

 Berkerut dahi Wan Ikmal. “Dah kenapa pula? Oh, jadi kau ke sini ni, lari rumahlah ya? Alah Man, kalau gaduh hal-hal kecil ni janganlah sampai melarat, sampai kau lari rumah bagai ni. Tak baik untuk rumah tangga. Kau pun tahukan keadaan isteri kau sekarang ni macam mana. Mudah tersentuh.”

 Keluhan lepas lagi dari mulut Arman.

“Kau tak faham, Wan. Kali ni Nia betul-betul dah cabar kesabaran aku. Dia…” Kata-katanya terhenti di situ. Tidak tahu hendak menerangkan bagaimana. Belum pernah dibuat orang. Si isteri mencarikan bakal madunya sendiri. Gila!

“Apa yang dia dah buat?”

“Dia… dia minta Farhana, kawan baik dia tu jadi isteri kedua aku. Aku… aku tak tahulah apa yang tengah bermain dalam kepala Nia? Ini memang rancangan gila!” Arman mendengus kasar.

Tiba-tiba ketawa Wan Ikmal memecah. Arman memandang pelik sahabatnya itu. Orang cakap serius, boleh pula dia ketawa.

“Man… Man. Kalau orang lain dapat lampu hijau untuk kahwin lain mesti dah melonjak gembira. Lompat bintang bagai. Tapi, kau marah pula. Peliklah kau ni.” Wan Ikmal mengeleng-geleng berserta sisa ketawa.

“Wan, aku seriuslah! Bukan main-main. Memanglah, itu orang lain punya cerita. Tapi aku lain Wan. Aku sayang sangat dengan Nia dan aku tak sanggup nak menduakan dia. Biar pun dia dalam keadaan macam tu, rasa sayang aku tak pernah luntur walau sikit pun. Bila dia buat macam tu… aku rasa macam dia dah tak sayangkan aku. Macam dia nak buang aku jauh-jauh dari hidup dia. Terasa diri aku ni macam barang pun iya. Aku terasa hati sangat dengan dia Wan,” luah Arman dengan nada sedih. Setitis air matanya jatuh ke pipi. Entah kenapa, perasaannya saat ini mudah sangat tersentuh. Armar meraup wajah sugulnya.

 Mati ketawa Wan Ikmal.  Dia juga jadi sedih dengan kata-kata sahabatnya itu. Lantas dia merapati Arman dan menepuk-nepuk belakang tubuh lelaki itu.

“Man… dengar nasihat aku ni. Nia buat macam tu bukan sebab dia tak sayang kau atau nak buang kau dari hidup dia. Menurut aku, mungkin dia nak yang terbaik untuk kau dan anak-anak sementara dia tak berdaya. Dia nak ada orang jaga kau, Amira dan Amar sebaik mana dia lakukan sebelum dia lumpuh. Kau tahukan keadaan dia macam mana. Lagi pun, kalau kau tak bersetuju, rancangan tu takkan menjadi. Kan segala keputusan terletak pada tangan kau.” Wan Ikmal menasihati sahabatnya. Dia kagum dengan Arman. Lelaki itu sangat tabah dan kuat menghadapi dugaan yang dia beri. Arman juga adalah lelaki yang sangat setia. Dia memuji sifat yang ada pada diri Arman. Seorang suami yang baik.

Arman terdiam sejenak. Ada betul juga apa yang dikatakan Wan Ikmal. Segala keputusan terletak di tangannya. Kalau dia tidak menyatakan persetujuan, mana mungkin perkara itu akan berlaku. Ya Allah, kenapalah dia tidak boleh berfikir sebegitu sebelum ini?

“Man, aku bukanlah nak menghalau kau. Tapi aku rasa baik kau balik sekarang. Isteri kau keseorangan di rumah. Kau tak takut ke kalau jadi sesuatu pada dia?”

Pertanyaan Wan Ikmal itu membuatkan jantungnya bergegar. Ya, baru dia sedar dia telah meninggal Husniah keseorangan di rumah. Apa yang telah dia lakukan ini? Bodoh!

 “Ya Allah… isteri aku. Wan, aku… aku balik dululah. Kesian Husniah di rumah. Terima kasih atas nasihat kau Wan. Aku balik dulu.”

 Kelam kabut Arman bangun mencapai kunci keretanya. Setelah bersalaman dengan Wan Ikmal dia terus keluar mendapatkan keretanya. Kereta dipandu sedikit laju. Mahu cepat sampai ke rumah dan mendapatkan Husniah. Dia berdoa agar Husniah tidak apa-apa duduk keseorangan di rumah.

‘Nia, maafkan abang sayang…’

******

Tanpa memberi salam Arman terus meredah pintu hadapan rumahnya. Pintu yang tidak berkunci membimbangkan hatinya. Sebaik saja pintu dikuak, suasana gelap menerjah pandangan. Lantas dia mencapai suis lampu bersebelahan pintu. Sekeliling ruang tamu dikerling mencari si isteri. Kelibat Husniah tiada di situ. Hati mulai dirajai rasa risau.

“Nia…”

 Tiada suara menjawap. Arman naik ke tingkat atas. Mencari disetiap bilik di tingkat atas. Namun, Husniah tetap tiada. Dia turun semula ke bawah.

 “Ya Allah, di mana dia? Janganlah apa-apa terjadi pada isteriku.”

Seketika dia teringat peristiwa dimana Husniah jatuh pengsan. Sewaktu itu isterinya berada di dapur. Tanpa berfikir panjang dia berlari ke dapur. Dia mencari-cari kelibat isterinya. Tiada juga di situ, tetapi pintu belakang terbuka. Pasti Husniah berada di taman mini belakang rumah. Kakinya terus melangkah keluar. Betul jangkaannya, Husniah sedang duduk di kerusi roda sambal menghadap taman. Di tangan wanita itu terdapat sehelai baju kemeja putih miliknya. Kemeja yang sering digunakan untuk ke pejabat. Dan, Husniah sedang teresak sambil memeluk baju kemejanya itu.

 “Abang, jangan tinggalkan Nia…” meruntun suara Husniah.

  Sayu Arman melihat keadaan isterinya. Namun, tidak pula dia berniat mahu menegur. Secara senyap dia berdiri di belakang isterinya. Mahu mendengar luahan dari si isteri.

“Nia sayang abang. Nia tahu… Nia salah. Tolong… jangan tinggalkan Nia. Nia tak nak kehilangan abang. Kalau abang balik, Nia janji takkan sesekali sebut hal tu lagi. Sebenarnya… hati Nia sendiri tak benar-benar rela untuk abang berkahwin lain, tapi… demi kebahagian abang dan anak-anak… Nia terpaksa lakukannya. Tapi… sekarang ni Nia hanya nak abang bersama dengan Nia. Nia menyesal. Maafkan Nia, bang…” Berjuraian air mata Husniah menghujani pipi mulusnya. Tersekat-sekat suaranya meluahkan.

“Maafkan Nia… maafkan Nia. Baliklah abang…” Racau Husniah lagi bersama tangisan menggila. Berkali-kali kemeja putih itu menjadi mangsa ciuman dan pelukkan.

Arman jadi tidak sampai hati. Tidak sampai hati mahu menyeksa perasaan bidadarinya. Mendengar tangisan itu saja dia sudah jadi tidak kuat. Perlahan-lahan dia mendekati Husniah. Bahu wanita itu dipeluk lembut.

“Abang maafkan Nia…” ucapnya dengan suara perlahan. Ubun-ubun Husniah dikucup lama.

 “Abang!”

Tubuhnya pantas ditarik dan dipeluk erat oleh Husniah. Isterinya itu teresak-esak kuat sambil memeluk erat pinggangnya. Perlahan-lahan, pelukkan direnggang. Dia lantas melutut dan menggenggam lembut kedua-dua belah tangan wanita itu. Kemudian, dibawa pula ke bibir seketika.

“Abang dah balik sayang. Jangan sedih lagi ya. Maafkan abang sebab tinggalkan Nia tadi. Abang terlalu ikutkan perasaan…” Arman mengusap kedua-dua belah pipi isterinya yang basah. Rasa bersalah kerana meninggalkan bidadarinya itu masih menggunung. Tanpa sebarang kata, Husniah terus memeluknya sekali lagi.

“Tak, abang tak salah apa pun. Nia yang dah banyak buat salah dengan abang. Nia dah sakitkan hati dan buat abang sedih. Nia minta maaf. Abang jangan tinggalkan Nia lagi ya?” ucap Husniah masih juga teresak.

 Arman mengangguk dan tersenyum. Rambut Husniah dibelai. “Tak. Abang takkan tinggalkan sayang.” Dia memeluk dan menenangkan isterinya. Seketika kemudian tangisan si isteri mereda. Pelukkan sekali lagi terlerai. Mereka sama-sama tersenyum dan berbalas pandangan. Terpancar rasa sayang yang tulus ikhlas di pandangan masing-masing.

“Nia sayang abang. Nia tak nak kehilangan abang… dan Nia menyesal sebab buat sesuatu tanpa berfikir dulu. Akhirnya, menyebabkan abang…”

Arman menegakkan jari ke bibir isterinya. “Syhhh… Tak perlu cakap tentang hal itu lagi. Kita lupakan saja ya? Sekarang kita mulakan hidup baru. Gembira macam dulu-dulu. Bolehkan sayang?”

Husniah mengangguk. Arman senyum. Punggung dilabuhkan ke kerusi batu bersebelahan isterinya. Tangan Husniah digenggam erat.

“Nia adalah bidadari yang DIA turunkan untuk abang. Nia juga adalah anugerah terindah yang tercipta untuk abang. Abang akan jaga anugerah ni sebaik-baiknya sampai hayat dikandung badan. Nia, Amira dan Amar adalah amanah yang telah diberikan kepada abang untuk dijaga. Dan, abang nak Nia tahu. Walau apapun keadaan Nia sekarang ni, kasih sayang abang takkan pernah berubah. Sayang abang pada Nia masih sama macam zaman kita baru-baru bercinta dulu. Takkan pernah pudar sedikit pun, sayang…”

Terharu Husniah mendengarnya. Lantas tangan Arman dibawa ke bibir. Mengucup lama tangan itu.

 “Terima kasih abang. Terima kasih juga untuk kesabaran yang abang beri saat melayan kerenah Nia yang kadang-kadang dingin. Nia janji lepas ni… Nia takkan buat perangai macam tu lagi. Nia akan cuba jadi seceria macam dulu untuk abang dan anak-anak kita. Nia janji abang.”

 Lega hati Arman mendengarnya.

 “Alhamdulillah. Abang lagi suka kalau isteri abang ni ceria selalu. Senang hati abang. Sayang, jomlah masuk. Dah malam sangat ni. Tak baik sayang berembun malam-malam macam ni, takut dapat penyakit pula.”

“Jomlah. Tapi abang tolong Nia tolak kerusi ni. Boleh?”

“Mestilah boleh.” Arman sudah berdiri di belakang Husniah. Bersedia untuk tolak kerusi roda isterinya.

“Abang…”

 “Ya, sayang?” Terhenti langkah Arman.

“Malam ni dan tiap-tiap malam, boleh tolong urutkan kaki Nia lagi? Mana tahu dengan sentuhan tangan ajaib abang tu kaki Nia boleh jalan semula. Boleh? ”

“Semestinya boleh bidadariku. Sayang tak minta pun abang akan buat tiap-tiap hari,” ujar Arman lantas mencuit hujung hidung suaminya.

“Terima kasih, abang. Meh nak cium sikit.”

Husniah menariknya agar membongkok sedikit. Pantas pipinya dikucup berkali-kali oleh isterinya itu. Jelas terpancar kecerian di wajah sembab isterinya. Dia turut mengucup dahi Husniah. Isterinya itu ketawa kecil.

“Dah, jom masuk. Abang nak urut kaki sayang.”

Husniah mengangguk laju. Bibir mekar dengan senyuman.

Tanpa berlengah Arman terus membawa isterinya masuk ke dalam. Dalam hati dia sangatlah bersyukur kerana hubungannya dan Husniah kembali baik. Dan, dia juga berdoa agar suatu hari nanti bidadari penyejuk matanya akan sembuh dan boleh berjalan semula. Amin. Insyallah…


                                                                  TAMAT

Psttt! First of all, Ira susun sepuluh jari mohon maaf kpd readers yg sentiasa menunggu sambungan cerita2 dlm blog Ira ni. Kesibukkan dgn hal2 harian membuatkan Ira tak mampu utk menaip dan update blog ni. Buat masa skrg Ira masih mencari mood menulis yg dah hilang entah ke mana. Ira harap sgt readers memahami. Ira update cerpen baru utk kalian semua lepas rindu cerita2 dlm blog Ira. Apa pun happy reading readers. Luv u all 

           

                       
           
           
           
           
           
           


            

4 ulasan:

Unknown berkata...

Carikan akak bidadara mcm arman boleh??? Heeee mujurrlah arman jenis yg setià kalau xbermadula dgn kwn sendiri.

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Xdpat nk cari kak. Lelaki mcm arman ni 1 dlm sejuta kut.hehe

Delulu berkata...

Setianyaaa arman T_T

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Tq sudi baca sis 😊