Ahad, 24 November 2013

My Love Mr. Kerek ~Part 16~


Datang ke taman pukul 2 petang. Aku tunggu di sana.

Amy mencampak telefon bimbitnya ke tilam.  Keluhan berat lepas setelah membaca pesanan ringkas dari Rayyan. Membayangkan wajah lelaki itu rasa macam mahu menyumbat stoking busuk yang disarung ke kakinya sekarang ini saja. Biar mulut dia berbuih-buih. Siapa suruh memandai saja?  Hari ini dia akan membuat perhitungan dengan lelaki itu.

“Ya, perhitungan antara hidup dan mati!” Mata dikecilkan, tangan menggenggam dinaikkan ke atas.  Ceh, perhitungan antara hidup dan matilah sangat. Macam hampeh aje kau cakap Amy oi!

Beg sandang dicapai dan diselimpangkan ke bahu. Sekarang masanya untuk ke kolej. Hari ini kelas Puan Maziyah.  Sesiapa pun tidak berani untuk ponteng kelasnya kecuali ada kecemasan.  Jangan cari nahas! Jika berani mengingkari maka beranilah untuk berhadapan dengan professor mereka yang kuat pot pet pot pet itu. Belum lagi mendengar sindiran dia. Pedas woo!

Tag nama digantung ke leher. “ Okey, siap! Ready untuk ke kolej!” Setelah memastikan semua barang telas dimasukkan ke dalam beg sandang, barulah dia keluar daribilik tidurnya.

“Assalammualaikum, mak abah.” Amy mengucapkan salam kepada orang tuanya.

 Dia mendapatkan emak dan abah di meja makan. Pipi emaknya dicium seketika lantas mengambil tempat di sebelah abahnya.

“Wa’alaikumsalam,” balas kedua-duanya serentak.

 “Abah dah okey?” tanya Amy.  Simpatinya datang apabila melihat wajah abahnya yang sedikit pucat. Ya, Allah… sembuhkanlah abahku ini dari sakitnya. Biarlah dia dalam keadaan sihat seperti biasa. Biar dia ceria seperti selalu.

Hari ini emak dan abahnya tidak ke restaurant. Abahnya diserang demam. Hanya Kak Kamsiah dan Abang Ramli yang menjaga restaurant mereka. Mujur ada mereka berdua yang digajikan abahnya untuk membantu mereka di restaurant.  Bila ada hal kecemasan begini, tidak perlulah mereka tutup restaurant.

 Abah senyum nipis. Bibirnya sedikit pucat namun cuba diukir senyum. “Abah dah okey sikit.  Tadi pun dah telan ubat.”

 “Abah pergilah klinik. Risau Amy tengok.”

“Hmm… Abah Amy ni degil orangnya.  Tadi dah berbuih mak suruh abahnya pergi klinik.  Tapi degil, tak mahu.  Cuba Amy pulak pujuk dia,” sampuk emaknya yang sibuk menuangkan kopi panas ke dalam cawannya.

Abah mengusap lembut rambut Amy.

 “Alah, abah demam sikit aje.  Kejap lagi baiklah ni. Maknya, Amy tak usahlah risau.”

“Tak bolehlah macam tu, bah. Abah kena jugak pergi klinik. Sekarang ni abah, demam sikit aje boleh bawa maut.  Mana tahu kot-kot penyakit lain yang datang. Abah pergi klinik ya?” Amy memujuk abahnya.

Bukan Amy tidak tahu. Abahnya ini susah benar mahu bertemu dengan doktor. Hendak kata abahnya takut disuntik. Haih, tak mungkinlah.  Bukan setakat kena suntik saja. Pernah tangannya punya luka besar akibat terkena sabit, dia masih boleh ketawa dan buat biasa saja.  Dia yang lihat hampir saja mahu pengsan masa itu.  Darah membuak-buak keluar.

“Tak apa. Sikit saja.” Abah masih enggan ke klinik.

“Abah tak sayang Amy ya? Kalau abah sayang, abah kena jugak pergi klinik. Check apa yang patut.” Amy memuncungkan bibir. Pura-pura merajuk.

 Abah melepaskan nafas perlahan.  Amy sudah menyimpan senyum.  Abah sudah kalah dengannya. Mana orang tua itu sanggup melihat anak daranya yang manja lagi nakal ini merajuk.

“Yalah. Nanti abah ajak mak pergi.” Abah sudah mengalah juga akhirnya.

Amy dan emaknya sama-sama tersenyum senang.

“Okeylah, mak abah. Amy kena pergi dulu. Lambat pulak nanti. Abah jangan lupa tau pergi klinik.” Amy mengambil tangan abahnya lalu dicium.  Pipi tua itu juga turut menjadi landasan bibirnya. Abah mengangguk kecil.

Amy mendapatkan emaknya pula.  Tangan dan pipi wanita kesayangannya itu dicium.

 “Mak jangan lupa teman abah pergi klinik tau. Kalau abah tak nak, mak tarik aje tangan abah,” sempat lagi Amy berpesan pada emaknya sambil ketawa.

 Emak juga ketawa mendengarnya.  Ada-ada saja anak daranya ini.

“Amy pergi dulu!” laung Amy yang sudah ada disebelah motorsikalnya.

“Hati-hati bawak motor tu,” pesan emaknya di ambang pintu.

 Jangan lupa. 2 petang ke taman!

 “Aku tahulah. Tak payahlah bagitau banyak kali!” rungut Amy perlahan. Kali ini sudah kali ke empat Rayyan menghantar pesanan ringkas sebegitu rupa. Apa mamat kerek ini ingat dia ini pelupakah? Ingatan dia tajamlah.  Dia mana pernah makan semut.

 “Haa? Apa kau cakap Amy?” Hana disebelahnya bagai terdengar Amy berkata sesuatu namun tidak jelas.

 “Hmm… eh, tak ada apa. Ni haa, mesej dari entah mana-mana, berduyun-duyun masuk dalam handphone aku ni. Buat penuh inbox ajelah,” rungut Amy dengan sengihan.

 “Hmm…”

Hana kembali menempek bedak kompak ke muka. Haish, minah seorang ini. Masa berjalan pun sempat lagi berbedak. Karang tersungkur baru tahu. Amy tergeleng-geleng melihat perangai kawannya yang seorang ini.  Mahu melawa tidak kira tempat.

 “Amy…” seru EJ pula.

 “Haa… kenapa?”

“Kenapa kau hari ni nampak macam moody aje? Kau ada masalah ke?”

 “Aku? Ya ke?” Amy memegang pipinya. Jelaskah di wajahnya?

“Kaulah. Mana ada Amy lain kat sini.”

 Amy ketawa kecil. “Aku… aku cuma risau dengan abah aku aje.” Sebenarnya memang dia risau dengan keadaan abahnya. Namun, apa yang membuatkan moodnya semakin ke laut adalah hal dia dan Rayyan itu. Hancur lebur segala mood ceria bak pelanginya hari ini.

“Abah kau? Kenapa dengan abah kau?” Hana mencantas.

“Abah aku demamlah. Tadi nampak macam lemah aje. Hmm…”

“Oh....”

EJ menepuk bahu Amy tiba-tiba. Terkejut Amy dibuatnya. Sengal betul minah lagi seorang ini. Nasib dia tidak tersungkur tadi. Bagi penampar karang baru tahu.

Sorry, beb. Aku tak sengaja. Aku nak tanya kau nak ikut tak pergi main futsal petang ni?”

“Futsal? Err… aku rasa taklah.  Ingat nak balik cepat. Nak jaga abah aku.” Selain hendak menjaga abahnya, dia ada misi lain petang nanti. Misi membasuh Rayyan cukup-cukup!

“Oh, tak apalah.”


~*~*~*~*~*~


Jam tangan dikerling.  Lagi sepuluh minit pukul dua petang. Nampaknya, dia pecah rekod hari ini.  Lebih awal dari mamat kerek itu sampai. Nanti tak adalah Rayyan samakannya dengan kura-kura lagi. Lambat pula dia sampai.  Selalu bukan main cepat lagi. Cuaca pun semakin terik.

Dari kejauhan dia melihat Rayyan berjalan ke arahnya. Siap boleh senyum-senyum lagi.

“Haa, datang pun dia.” Segera Amy bangun dari tempat duduknya.  Wajah di seriuskan. 

“Hai, hari ni kura-kura dah tak pakai gear satu ke?  Sekarang dah tukar gear lima?” perli Rayyan setelah dia sampai di hadapan Amy.

Datang saja terus perli aku.  Ngok ngek betul dia ni.

 “Encik tak payahlah nak perli bagai.  Mentang-mentang saya ni bawa motor tak berapa nak laju. Nak mengata saya pulak. Janji sampai sini tau,” jawap Amy acuh tak acuh.  Ada pula dia buka stoking dan sumbat ke dalam mulut Rayyan nanti.

Rayyan mencebik.

“Pasal hal hari tu…”

“Yup. Pasal hari tu. Saya nak encik jelaskan kenapa encik halang saya dari beritahu hal sebenar? Encik ada niat nak kenakan saya ke?” pantas Amy memotong tanpa memberi peluang kepada Rayyan untuk meneruskan kata-katanya.

 Rayyan menahan sabar saja.  Sudah sering kali berlaku. Apabila dia mahu bercakap saja mulalah gadis ini mencantas percakapannya. Dia ini memang minah yang suka cantas mencantas cakap oranglah.

“Biar aku habiskan cakap aku dulu, boleh tak?”

Amy menyengih.  “Silakan… silakan.”

“Pasal hal hari tu.  Aku sebenarnya tak sengaja. Aku tercakap.”

Amy menyilang tangan ke dada. Boleh dia kata yang dia ‘tercakap’ dengan neneknya yang dia ini adalah buah hatinya? Huh! Alasan tak munasabah betul!

“Apa, tercakap? Bukan encik sengaja ‘bercakap’ macam tu ke?” Amy memandang lelaki itu dengan riak tidak percaya. Kening diangkat-angkat. Boleh percaya ke dengan dia ini?

“Tercakap… bercakap. Apa-apa ajelah. Yang penting sekarang aku nak minta kerjasama dengan kau.”

 “Kejap… kejap. Sebelum tu saya nak tahu dulu kenapa encik halang saya dari berterus terang hari tu?”

 Rayyan mengeluh.

“Okey, kalau semalam kau terus terang pun dah tak guna.  Mak Tok aku tu takkan percaya kalau kau kata kau bukan buah hati aku.  Dah terang-terangan aku dah mengaku.  Mak Tok aku hanya percaya cakap aku aje.”

Amy masih tidak berpuas hati dengan penerangan Rayyan. “Habis kenapa encik sendiri yang tak nak berterus terang? Sepatutnya encik kena cakap dengan nenek encik perkara yang sebenarnya.” Geram sungguh dia dengan Rayyan di kala ini.  Kalaulah dia tidak cakap merepek kelmarin tidaklah orang tua itu bersangka seperti itu.

“Itu pun dah tak guna.  Kalau aku nafikan, Mak Tok tetap akan percaya kau adalah girlfriend aku. Sebab… sebabnya sebelum ni aku ada kelentong dia.  Aku cakap aku dah ada girlfriend tapi bercinta secara rahsia. Itu sebab bila aku kata kau ni… girlfriend aku dia terus percaya. Mak Tok ingat sebelum ni aku sorokkan girlfriend aku dari pengetahuan dia.”

Menganga Amy mendengar penjelasan Rayyan. Jadi, sebelum ini Rayyan mencanang dirinya adalah kekasih dia? Sudah mereng agaknya kepala mamat kerek ini.

“Oh… sebelum ni encik dah pun buat-buat ceritalah. Yang saya ni girlfriend encik. Macam tu ke?”

“Taklah aku cakap kau.  Aku cuma cakap aku ada girlfriend aje. Bercinta secara senyap. Kau ingat aku hadap sangat ke jadikan kau girlfriend aku?” dengan kereknya Rayyan menentang pandangan mata Amy.

Ek eleh, poyo! Dah tu, kenapa kau mengaku aku ni buah hati kau dekat orang tua tu? Entah-entah betul sukakan aku tak?

 “Eleh, tak hadap tapi cakap jugak.  Cakap tak serupa bikinlah encik ni!” kutuk Amy terang-terangan. Dia tidak perduli Rayyan mahu memarahinya sekali pun. Janji dia puas hati. Hatinya betul-betul panas.  Menggelegak!

Rayyan menolak sedikit bahu Amy.  Wah, berani dia mengutuk aku. Cili karang mulut, baru tahu!

“Kau kutuk aku? Eh, aku terlepas cakaplah.  Masa tu kau aje yang ada. Mulut aku terus lepas ajelah. Lagi pun aku memang tak ada calon lagi. Ada kau, aku sapu ajelah,” selamba saja Rayyan menutur kata seperti itu.

Amy ketawa sinis. Di matanya sekarang ini, Rayyan sangat menjengkelkan. Dia ingat aku ini sampah ke? Bila rasa mahu menyapu terus masukkan dalam penyodok. Lepas itu buang ikut sesuka hati.

“Lain kali encik fikirlah dulu bila bercakap. Jangan main ikut sedap mulut aje.  Tengok, saya yang jadi mangsa encik sekarang ni.  Encik ingat saya ni tak ada maruah ke?” ujar Amy dengan nada serius dan sayu. Wajahnya juga serius.

Serba salah pula Rayyan jadinya. Dia sedar memang salahnya pun. Sememangnya dia tidak patut mengada-adakan cerita. Dia jadi tidak senang dengan reaksi dari gadis itu.

“Okey, memang salah aku. Sorry. Tapi, dah lepaskan nak buat macam mana,” ujar Rayyan dengan nada sedikit perlahan.

 Amy sedikit terkesima.  Sebelum ini belum pernah Rayyan mahu mengakui salahnya. Minta maaf jauh sekali.  Walaupun dia cuma cakap ‘sorry’,  itu lagi baik daripada tidak ada langsung. Dalam kasar, tidak sangka ada juga sifat lembutnya. Amy menyimpan senyumnya. 

Rayyan dijelingnya sambil mengeluarkan keluhan berat.

“Kenapa encik tak pilih orang lain aje?”

Pilih orang lain? Siapa saja yang dia ada? Cuma seorang saja gadis di sisinya sekarang ini. Amylah orangnya.

 “Aku tak ada orang lain lagi nak minta tolong.  Kau ajelah yang ada. Itu pun kau calon yang terakhir aku terima.”

Ceh, calon terakhir konon.  Tapi dia juga yang dipilih. Macam susah hendak percaya Rayyan ini tidak ada teman wanita walau seorang pun.  Dia berduit. Wajah boleh tahan kacak ala-ala pelakon Korea, Won Bin. Kerja mestilah bagus sebab tengok cara hidup dia yang agak eksklusif. Takkan tidak ada seorang pun yang lekat dengan dia. Ke dia ini orang yang tidak pandang perempuan? Gay! Hmm… sangat musykil dan susah hendak percaya. Musykil, musykil, musykil!

“Mustahil encik tak ada orang lain. Atau encik ni gay!” pandangan penuh sinis dilemparkan kepada lelaki itu.

What? Gay? Dia fikir aku ni seorang yang songsang. Choi! Aku ni jalan lurus lagi, tak bengkang bengkok. Okey! Mulut dia ini memang insurans matilah.

“Hoi, kau cakap baik-baik sikit. Aku ni lelaki tulen tau. Nak tahu mehlah!” marah Rayyan sambil bercekak pinggang.  Geram!

Amy tersengih-sengih. Opps, mulut ni tersasul lagi. I’m sorry, Mr. Kerek! Hehe…

Sorry…” ucap Amy perlahan.

Rayyan menjeling Amy dan merengus kasar. “ Lain kali fikir dulu sebelum cakap, budak kecik. Jangan main ikut sedap mulut aje.” Dia memulangkan paku buah keras Amy tadi.

Sebaris gigi putih ala-ala iklan Colgate ditayangkan kepada Rayyan.

“Sekarang ni aku nak minta kerjasama dari kau.”

“Kerjasama apa pulak?” Hilang terus sengihannya.

Rayyan melangkah setapak ke hadapan.  Amy di belakangnya. Dia tersenyum sendiri.

 “Memandangkan Mak Tok ingat kita ni couple. Aku nak kau berlakon jadi girlfriend aku depan Mak Tok selama tempoh khidmat kau dengan aku. Ada lebih kurang dua bulan lagi. Macam mana?”

 Oh, tidak! Rasa hendak meletup saja sekarang ini. Jadi kuli dia pun aku bagai mahu diserang sakit jantung. Inikan lagi jadi makwe olok-olok dia.  Ada pula terbaring belakang masjid. Ya, ampun… ngak sudi deh! Desis hati Amy. 

“Saya tak setuju!” bentak Amy.  Walau macam mana pun dia tidak akan ikut rancangan Rayyan yang tak berapa bernas ini. Akal letak dekat kepala lutut agaknya.

“Kau terpaksa setuju jugak!” Rayyan sudah mengeluarkan arahan diktaktornya.

“Saya tetap tak setuju! Agaknya dalam kepala encik ni ada wayar putuslah.  Cuba encik pergi jumpa doktor. Sambungkan balik,” sungguh sinis Amy berkata.

Rayyan berpaling dan merapati Amy. Lantas kedua-dua belah bahu gadis itu dicengkam kuat. Amy menelan liur. Gerun dengan emosi tidak stabil lelaki ini.

“Kau kena setuju walau apa pun!” Bola mata gadis itu ditentang.

Amy jadi tidak keruan apabila matanya ditenung sebegitu.  Lantas dia menunduk. Alahai, ini yang membuatkan dia lemah. Tolonglah jangan pandang macam tu!

Err… O… okey. Sa… saya setuju.” Dia terpaksa memberikan persetujuan. Rayyan tidak mahu melepaskannya selagi tidak bersetuju.

Barulah Rayyan melepaskan genggammanya. Pantas Amy mengurut dadanya yang berdebar-debar akibat panahan mata lelaki itu. Fuhh!

“Bagus. Itu yang aku nak dengar,” ujar Rayyan tersenyum menang.

“Tapi… dengan satu syarat.”

Rayyan menuntaskan pandangan ke arah Amy. Amboi, siap bersyarat lagi.

“Apa dia?” soal Rayyan hendak tak hendak saja. Kedua-dua belah tangannya diseluk ke poket seluar kiri dan kanan.

Bagilah seratus syarat sekali pun. Asalkan Amy mengikut setiap rancangan yang telah disusun olehnya. Janganlah gadis itu berdegil menolak lagi.  Bagaimana dia hendak menghadapi Mak Tok nanti? Apa yang hendak diperjelaskan kepada orang tua itu?

“Saya nak encik pulangkan balik kad pengenalan saya,” pinta Amy sambil itu mengunjukkan telapak tangannya di hadapan Rayyan.

Rayyan mengalihkan mata dari telapak tangan Amy ke wajah gadis itu. Hendak percaya atau tidak? Kalau tidak bagi, nanti Amy menolak.  Kalau bagi, takut gadis itu lari pula. 

Amy tetap mengunjukkan telapak tangannya.  Melihat Rayyan tidak memberikan tindak balas, dia bersuara. “ Kalau encik tak pulangkan. Saya akan tarik balik persetujuan saya tadi,” ugut Amy.  Beg sandang segera diselimpangkan.  Berlakon mahu balik.

“Okey… okey.” Mahu tidak mahu, Rayyan terpaksa juga menyeluk poket belakangnya.  Wallet kulit dikeluarkan dan dibuka. Kad pengenalan Amy ditarik keluar.

“Aku pulangkan balik. Tapi, aku harap kau tak lari. Kalau kau lari, lubang cacing pun aku sanggup gali,” ujar Rayyan dengan suara yang serius. 

Kad pengenalan milik Amy masih belum dilepaskan.   Amy juga turut mengepit kad yang sama.  Terjadi adegan tarik menarik kad pengenalan antara mereka.

“Yalah… yalah.” Amy sudah bosan dengan keadaan mereka.

Akhirnya Rayyan melepaskan juga.

“Ingat! Kalau kau lari, aku cari kau sampai lubang cacing!” gertak Rayyan sambil mengecilkan mata.

Macam muat aje nak cari aku dalam lubang cacing tu. Eleh, ingat aku takut sangatlah dengan ugutan dia.  Kirim salam! Akhirnya, aku dapat balik IC aku ni. Lepas ini, mamat kerek you boleh jalan! Hooray! Sorak Amy dalam hati.

Bibirnya mengukir senyuman lebar. Kalau boleh lebar sampai ke telinga. Tanpa mempedulikan Rayyan, Amy terus berlalu. Dia tidak peduli lagi dengan Rayyan. Selepas ini dia berjanji dengan dirinya untuk tidak berjumpa dengan lelaki itu lagi! Janjinya pada Rayyan akan tinggal janji saja. Hehe…

“Ek eh, dia tinggalkan aku macam tu aje,” rungut Rayyan.

Entah kenapa sepertinya dia mula tidak sedap hati melihat senyuman Amy tadi.  Macam tidak boleh dipercayai saja. Nampaknya, selepas ini dia perlu berwaspada. Mana tahu Amy hanya menipunya saja. Ya, dia perlu waspada!





Kita bersambung lagi ye....


~Hai awak2 semua.  Macam biasa, kalau ada kekurangan jangan segan2  drop komen ye. Setiap komen awak2 semua sangat dihargai...(^_^)

           

           
           

            

6 ulasan:

Unknown berkata...

ok, macam biasa best :)

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Terima kasih my laling...(^_^)

Unknown berkata...

hehehe... next pls..

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

In sha allah, diup lagi nanti ye...tq ferra lezza...(^_^)

Unknown berkata...

Kak ira , nak lagy ...

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

In sha allah, nt akak up lagi ye dik izza farhana..tq sudi baca...:D