Datang ke taman pukul 2
petang. Aku tunggu di sana.
Amy mencampak telefon bimbitnya ke tilam. Keluhan berat lepas setelah membaca pesanan
ringkas dari Rayyan. Membayangkan wajah lelaki itu rasa macam mahu menyumbat
stoking busuk yang disarung ke kakinya sekarang ini saja. Biar mulut dia
berbuih-buih. Siapa suruh memandai saja?
Hari ini dia akan membuat perhitungan dengan lelaki itu.
“Ya, perhitungan antara hidup dan mati!” Mata dikecilkan,
tangan menggenggam dinaikkan ke atas.
Ceh, perhitungan antara hidup dan matilah sangat. Macam hampeh aje kau
cakap Amy oi!
Beg sandang dicapai dan diselimpangkan ke bahu. Sekarang
masanya untuk ke kolej. Hari ini kelas Puan Maziyah. Sesiapa pun tidak berani untuk ponteng
kelasnya kecuali ada kecemasan. Jangan
cari nahas! Jika berani mengingkari maka beranilah untuk berhadapan dengan
professor mereka yang kuat pot pet pot pet itu. Belum lagi mendengar sindiran
dia. Pedas woo!
Tag nama digantung ke leher. “ Okey, siap! Ready untuk ke kolej!” Setelah
memastikan semua barang telas dimasukkan ke dalam beg sandang, barulah dia
keluar daribilik tidurnya.
“Assalammualaikum, mak abah.” Amy mengucapkan salam
kepada orang tuanya.
Dia mendapatkan emak dan abah di meja makan. Pipi emaknya
dicium seketika lantas mengambil tempat di sebelah abahnya.
“Wa’alaikumsalam,” balas kedua-duanya serentak.
“Abah dah okey?” tanya Amy. Simpatinya datang apabila melihat wajah
abahnya yang sedikit pucat. Ya, Allah… sembuhkanlah abahku ini dari sakitnya.
Biarlah dia dalam keadaan sihat seperti biasa. Biar dia ceria seperti selalu.
Hari ini emak dan abahnya tidak ke restaurant. Abahnya
diserang demam. Hanya Kak Kamsiah dan Abang Ramli yang menjaga restaurant
mereka. Mujur ada mereka berdua yang digajikan abahnya untuk membantu mereka di
restaurant. Bila ada hal kecemasan
begini, tidak perlulah mereka tutup restaurant.
Abah senyum nipis. Bibirnya sedikit pucat namun cuba
diukir senyum. “Abah dah okey sikit.
Tadi pun dah telan ubat.”
“Abah pergilah klinik. Risau Amy tengok.”
“Hmm… Abah Amy ni degil orangnya. Tadi dah berbuih mak suruh abahnya pergi
klinik. Tapi degil, tak mahu. Cuba Amy pulak pujuk dia,” sampuk emaknya
yang sibuk menuangkan kopi panas ke dalam cawannya.
Abah mengusap lembut rambut Amy.
“Alah, abah demam sikit aje. Kejap lagi baiklah ni. Maknya, Amy tak
usahlah risau.”
“Tak bolehlah macam tu, bah. Abah kena jugak pergi
klinik. Sekarang ni abah, demam sikit aje boleh bawa maut. Mana tahu kot-kot penyakit lain yang datang.
Abah pergi klinik ya?” Amy memujuk abahnya.
Bukan Amy tidak tahu. Abahnya ini susah benar mahu
bertemu dengan doktor. Hendak kata abahnya takut disuntik. Haih, tak
mungkinlah. Bukan setakat kena suntik
saja. Pernah tangannya punya luka besar akibat terkena sabit, dia masih boleh
ketawa dan buat biasa saja. Dia yang
lihat hampir saja mahu pengsan masa itu.
Darah membuak-buak keluar.
“Tak apa. Sikit saja.” Abah masih enggan ke klinik.
“Abah tak sayang Amy ya? Kalau abah sayang, abah kena
jugak pergi klinik. Check apa yang
patut.” Amy memuncungkan bibir. Pura-pura merajuk.
Abah melepaskan nafas perlahan. Amy sudah menyimpan senyum. Abah sudah kalah dengannya. Mana orang tua
itu sanggup melihat anak daranya yang manja lagi nakal ini merajuk.
“Yalah. Nanti abah ajak mak pergi.” Abah sudah mengalah
juga akhirnya.
Amy dan emaknya sama-sama tersenyum senang.
“Okeylah, mak abah. Amy kena pergi dulu. Lambat pulak
nanti. Abah jangan lupa tau pergi klinik.” Amy mengambil tangan abahnya lalu
dicium. Pipi tua itu juga turut menjadi
landasan bibirnya. Abah mengangguk kecil.
Amy mendapatkan emaknya pula. Tangan dan pipi wanita kesayangannya itu
dicium.
“Mak jangan lupa teman abah pergi klinik tau. Kalau abah
tak nak, mak tarik aje tangan abah,” sempat lagi Amy berpesan pada emaknya
sambil ketawa.
Emak juga ketawa mendengarnya. Ada-ada saja anak daranya ini.
“Amy pergi dulu!” laung Amy yang sudah ada disebelah
motorsikalnya.
“Hati-hati bawak motor tu,” pesan emaknya di ambang
pintu.
Jangan lupa. 2 petang ke taman!
“Aku tahulah. Tak payahlah bagitau
banyak kali!” rungut Amy perlahan. Kali ini sudah kali ke empat Rayyan menghantar
pesanan ringkas sebegitu rupa. Apa mamat kerek ini ingat dia ini pelupakah?
Ingatan dia tajamlah. Dia mana pernah
makan semut.
“Haa? Apa kau cakap Amy?” Hana disebelahnya bagai
terdengar Amy berkata sesuatu namun tidak jelas.
“Hmm… eh, tak ada apa. Ni haa, mesej dari entah mana-mana,
berduyun-duyun masuk dalam handphone
aku ni. Buat penuh inbox ajelah,” rungut Amy dengan sengihan.
“Hmm…”
Hana kembali menempek bedak kompak ke muka. Haish, minah
seorang ini. Masa berjalan pun sempat lagi berbedak. Karang tersungkur baru
tahu. Amy tergeleng-geleng melihat perangai kawannya yang seorang ini. Mahu melawa tidak kira tempat.
“Amy…” seru EJ pula.
“Haa… kenapa?”
“Kenapa kau hari ni nampak macam moody aje? Kau ada masalah ke?”
“Aku? Ya ke?” Amy memegang pipinya. Jelaskah di wajahnya?
“Kaulah. Mana ada Amy lain kat sini.”
Amy ketawa kecil. “Aku… aku cuma risau dengan abah aku
aje.” Sebenarnya memang dia risau dengan keadaan abahnya. Namun, apa yang
membuatkan moodnya semakin ke laut
adalah hal dia dan Rayyan itu. Hancur lebur segala mood ceria bak pelanginya hari ini.
“Abah kau? Kenapa dengan abah kau?” Hana mencantas.
“Abah aku demamlah. Tadi nampak macam lemah aje. Hmm…”
“Oh....”
EJ menepuk bahu Amy tiba-tiba. Terkejut Amy dibuatnya.
Sengal betul minah lagi seorang ini. Nasib dia tidak tersungkur tadi. Bagi
penampar karang baru tahu.
“Sorry, beb.
Aku tak sengaja. Aku nak tanya kau nak ikut tak pergi main futsal petang ni?”
“Futsal? Err… aku rasa taklah. Ingat nak balik cepat. Nak jaga abah aku.”
Selain hendak menjaga abahnya, dia ada misi lain petang nanti. Misi membasuh
Rayyan cukup-cukup!
“Oh, tak apalah.”
~*~*~*~*~*~
Jam tangan
dikerling. Lagi sepuluh minit pukul dua
petang. Nampaknya, dia pecah rekod hari ini.
Lebih awal dari mamat kerek itu sampai. Nanti tak adalah Rayyan
samakannya dengan kura-kura lagi. Lambat pula dia sampai. Selalu bukan main cepat lagi. Cuaca pun
semakin terik.
Dari kejauhan dia melihat Rayyan berjalan ke arahnya.
Siap boleh senyum-senyum lagi.
“Haa, datang pun dia.” Segera Amy bangun dari tempat
duduknya. Wajah di seriuskan.
“Hai, hari ni kura-kura dah tak pakai gear satu ke? Sekarang dah tukar gear lima?” perli Rayyan
setelah dia sampai di hadapan Amy.
Datang saja terus perli aku. Ngok
ngek betul dia ni.
“Encik tak payahlah nak perli bagai. Mentang-mentang saya ni bawa motor tak berapa
nak laju. Nak mengata saya pulak. Janji sampai sini tau,” jawap Amy acuh tak
acuh. Ada pula dia buka stoking dan sumbat ke dalam mulut Rayyan
nanti.
Rayyan mencebik.
“Pasal hal hari tu…”
“Yup. Pasal hari tu. Saya nak encik jelaskan kenapa encik
halang saya dari beritahu hal sebenar? Encik ada niat nak kenakan saya ke?”
pantas Amy memotong tanpa memberi peluang kepada Rayyan untuk meneruskan
kata-katanya.
Rayyan menahan sabar saja. Sudah sering kali berlaku. Apabila dia mahu
bercakap saja mulalah gadis ini mencantas percakapannya. Dia ini memang minah
yang suka cantas mencantas cakap oranglah.
“Biar aku habiskan cakap aku dulu, boleh tak?”
Amy
menyengih. “Silakan… silakan.”
“Pasal hal hari tu.
Aku sebenarnya tak sengaja. Aku tercakap.”
Amy menyilang tangan ke dada. Boleh dia kata yang dia
‘tercakap’ dengan neneknya yang dia ini adalah buah hatinya? Huh! Alasan tak
munasabah betul!
“Apa, tercakap? Bukan encik sengaja ‘bercakap’ macam tu
ke?” Amy memandang lelaki itu dengan riak tidak percaya. Kening
diangkat-angkat. Boleh percaya ke dengan dia ini?
“Tercakap… bercakap. Apa-apa ajelah. Yang penting
sekarang aku nak minta kerjasama dengan kau.”
“Kejap… kejap. Sebelum tu saya nak tahu dulu kenapa encik
halang saya dari berterus terang hari tu?”
Rayyan mengeluh.
“Okey, kalau semalam kau terus terang pun dah tak
guna. Mak Tok aku tu takkan percaya
kalau kau kata kau bukan buah hati aku.
Dah terang-terangan aku dah mengaku.
Mak Tok aku hanya percaya cakap aku aje.”
Amy masih tidak berpuas hati dengan penerangan Rayyan.
“Habis kenapa encik sendiri yang tak nak berterus terang? Sepatutnya encik kena
cakap dengan nenek encik perkara yang sebenarnya.” Geram sungguh dia dengan
Rayyan di kala ini. Kalaulah dia tidak
cakap merepek kelmarin tidaklah orang tua itu bersangka seperti itu.
“Itu pun dah tak guna.
Kalau aku nafikan, Mak Tok tetap akan percaya kau adalah girlfriend aku. Sebab… sebabnya sebelum
ni aku ada kelentong dia. Aku cakap aku
dah ada girlfriend tapi bercinta
secara rahsia. Itu sebab bila aku kata kau ni… girlfriend aku dia terus percaya. Mak Tok ingat sebelum ni aku
sorokkan girlfriend aku dari
pengetahuan dia.”
Menganga Amy mendengar penjelasan Rayyan. Jadi, sebelum
ini Rayyan mencanang dirinya adalah kekasih dia? Sudah mereng agaknya kepala
mamat kerek ini.
“Oh… sebelum ni encik dah pun buat-buat ceritalah. Yang
saya ni girlfriend encik. Macam tu ke?”
“Taklah aku cakap kau.
Aku cuma cakap aku ada girlfriend
aje. Bercinta secara senyap. Kau ingat aku hadap sangat ke jadikan kau girlfriend aku?” dengan kereknya Rayyan
menentang pandangan mata Amy.
Ek eleh, poyo! Dah tu, kenapa kau mengaku aku ni buah
hati kau dekat orang tua tu? Entah-entah betul sukakan aku tak?
“Eleh, tak hadap tapi cakap jugak. Cakap tak serupa bikinlah encik ni!” kutuk
Amy terang-terangan. Dia tidak perduli Rayyan mahu memarahinya sekali pun.
Janji dia puas hati. Hatinya betul-betul panas.
Menggelegak!
Rayyan menolak sedikit bahu Amy. Wah, berani dia mengutuk aku. Cili karang
mulut, baru tahu!
“Kau kutuk aku? Eh, aku terlepas cakaplah. Masa tu kau aje yang ada. Mulut aku terus
lepas ajelah. Lagi pun aku memang tak ada calon lagi. Ada kau, aku sapu
ajelah,” selamba saja Rayyan menutur kata seperti itu.
Amy ketawa sinis. Di matanya sekarang ini, Rayyan sangat
menjengkelkan. Dia ingat aku ini sampah ke? Bila rasa mahu menyapu terus
masukkan dalam penyodok. Lepas itu buang ikut sesuka hati.
“Lain kali encik fikirlah dulu bila bercakap. Jangan main
ikut sedap mulut aje. Tengok, saya yang
jadi mangsa encik sekarang ni. Encik
ingat saya ni tak ada maruah ke?” ujar Amy dengan nada serius dan sayu.
Wajahnya juga serius.
Serba salah pula Rayyan jadinya. Dia sedar memang
salahnya pun. Sememangnya dia tidak patut mengada-adakan cerita. Dia jadi tidak
senang dengan reaksi dari gadis itu.
“Okey, memang salah aku. Sorry. Tapi, dah lepaskan nak buat macam mana,” ujar Rayyan dengan
nada sedikit perlahan.
Amy sedikit terkesima.
Sebelum ini belum pernah Rayyan mahu mengakui salahnya. Minta maaf jauh
sekali. Walaupun dia cuma cakap ‘sorry’,
itu lagi baik daripada tidak ada
langsung. Dalam kasar, tidak sangka ada juga sifat lembutnya. Amy menyimpan
senyumnya.
Rayyan dijelingnya sambil mengeluarkan keluhan berat.
“Kenapa encik tak pilih orang lain aje?”
Pilih orang lain? Siapa saja yang dia ada? Cuma seorang
saja gadis di sisinya sekarang ini. Amylah orangnya.
“Aku tak ada orang lain lagi nak minta tolong. Kau ajelah yang ada. Itu pun kau calon yang
terakhir aku terima.”
Ceh, calon
terakhir konon. Tapi dia juga yang
dipilih. Macam susah hendak percaya Rayyan ini tidak ada teman wanita walau
seorang pun. Dia berduit. Wajah boleh
tahan kacak ala-ala pelakon Korea, Won Bin. Kerja mestilah bagus sebab tengok
cara hidup dia yang agak eksklusif. Takkan tidak ada seorang pun yang lekat
dengan dia. Ke dia ini orang yang tidak pandang perempuan? Gay! Hmm… sangat musykil dan susah hendak percaya. Musykil,
musykil, musykil!
“Mustahil encik tak ada orang lain. Atau encik ni gay!”
pandangan penuh sinis dilemparkan kepada lelaki itu.
What? Gay? Dia
fikir aku ni seorang yang songsang. Choi!
Aku ni jalan lurus lagi, tak bengkang bengkok. Okey! Mulut dia ini memang
insurans matilah.
“Hoi, kau cakap baik-baik sikit. Aku ni lelaki tulen tau.
Nak tahu mehlah!” marah Rayyan sambil bercekak pinggang. Geram!
Amy tersengih-sengih. Opps,
mulut ni tersasul lagi. I’m sorry, Mr.
Kerek! Hehe…
“Sorry…” ucap
Amy perlahan.
Rayyan menjeling Amy dan merengus kasar. “ Lain kali
fikir dulu sebelum cakap, budak kecik. Jangan main ikut sedap mulut aje.” Dia
memulangkan paku buah keras Amy tadi.
Sebaris gigi putih ala-ala iklan Colgate ditayangkan
kepada Rayyan.
“Sekarang ni aku nak minta kerjasama dari kau.”
“Kerjasama apa pulak?” Hilang terus sengihannya.
Rayyan melangkah setapak ke hadapan. Amy di belakangnya. Dia tersenyum sendiri.
“Memandangkan Mak Tok ingat kita ni couple. Aku nak kau berlakon jadi girlfriend aku depan Mak Tok selama tempoh khidmat kau dengan aku.
Ada lebih kurang dua bulan lagi. Macam mana?”
Oh, tidak! Rasa hendak meletup saja sekarang
ini. Jadi kuli dia pun aku bagai mahu diserang sakit jantung. Inikan lagi jadi
makwe olok-olok dia. Ada pula terbaring
belakang masjid. Ya, ampun… ngak sudi deh! Desis hati Amy.
“Saya tak setuju!” bentak Amy. Walau macam mana pun dia tidak akan ikut
rancangan Rayyan yang tak berapa bernas ini. Akal letak dekat kepala lutut
agaknya.
“Kau terpaksa setuju jugak!” Rayyan sudah mengeluarkan
arahan diktaktornya.
“Saya tetap tak setuju! Agaknya dalam kepala encik ni ada
wayar putuslah. Cuba encik pergi jumpa
doktor. Sambungkan balik,” sungguh sinis Amy berkata.
Rayyan berpaling dan merapati Amy. Lantas kedua-dua belah
bahu gadis itu dicengkam kuat. Amy menelan liur. Gerun dengan emosi tidak
stabil lelaki ini.
“Kau kena setuju walau apa pun!” Bola mata gadis itu
ditentang.
Amy jadi tidak keruan apabila matanya ditenung sebegitu. Lantas dia menunduk. Alahai, ini yang
membuatkan dia lemah. Tolonglah jangan pandang macam tu!
Err… O… okey. Sa… saya setuju.” Dia terpaksa memberikan
persetujuan. Rayyan tidak mahu melepaskannya selagi tidak bersetuju.
Barulah Rayyan melepaskan genggammanya. Pantas Amy
mengurut dadanya yang berdebar-debar akibat panahan mata lelaki itu. Fuhh!
“Bagus. Itu yang aku nak dengar,” ujar Rayyan tersenyum
menang.
“Tapi… dengan satu syarat.”
Rayyan menuntaskan pandangan ke arah Amy. Amboi, siap
bersyarat lagi.
“Apa dia?” soal Rayyan hendak tak hendak saja. Kedua-dua
belah tangannya diseluk ke poket seluar kiri dan kanan.
Bagilah
seratus syarat sekali pun. Asalkan Amy mengikut setiap rancangan yang telah
disusun olehnya. Janganlah gadis itu berdegil menolak lagi. Bagaimana dia hendak menghadapi Mak Tok
nanti? Apa yang hendak diperjelaskan kepada orang tua itu?
“Saya nak encik pulangkan balik kad pengenalan saya,”
pinta Amy sambil itu mengunjukkan telapak tangannya di hadapan Rayyan.
Rayyan mengalihkan mata dari telapak tangan Amy ke wajah
gadis itu. Hendak percaya atau tidak? Kalau tidak bagi, nanti Amy menolak. Kalau bagi, takut gadis itu lari pula.
Amy tetap mengunjukkan telapak tangannya. Melihat Rayyan tidak memberikan tindak balas,
dia bersuara. “ Kalau encik tak pulangkan. Saya akan tarik balik persetujuan
saya tadi,” ugut Amy. Beg
sandang segera diselimpangkan. Berlakon
mahu balik.
“Okey… okey.” Mahu tidak mahu, Rayyan terpaksa juga
menyeluk poket belakangnya. Wallet kulit
dikeluarkan dan dibuka. Kad pengenalan Amy ditarik keluar.
“Aku pulangkan balik. Tapi, aku harap kau tak lari. Kalau
kau lari, lubang cacing pun aku sanggup gali,” ujar Rayyan dengan suara yang
serius.
Kad
pengenalan milik Amy masih belum dilepaskan.
Amy juga turut mengepit kad yang sama.
Terjadi adegan tarik menarik kad pengenalan antara mereka.
“Yalah…
yalah.” Amy sudah bosan dengan keadaan mereka.
Akhirnya
Rayyan melepaskan juga.
“Ingat!
Kalau kau lari, aku cari kau sampai lubang cacing!” gertak Rayyan sambil
mengecilkan mata.
Macam
muat aje nak cari aku dalam lubang cacing tu. Eleh, ingat aku takut sangatlah
dengan ugutan dia. Kirim salam!
Akhirnya, aku dapat balik IC aku ni. Lepas ini, mamat kerek you boleh jalan!
Hooray! Sorak Amy dalam hati.
Bibirnya
mengukir senyuman lebar. Kalau boleh lebar sampai ke telinga. Tanpa mempedulikan
Rayyan, Amy terus berlalu. Dia tidak peduli lagi dengan Rayyan. Selepas ini dia
berjanji dengan dirinya untuk tidak berjumpa dengan lelaki itu lagi! Janjinya
pada Rayyan akan tinggal janji saja. Hehe…
“Ek
eh, dia tinggalkan aku macam tu aje,” rungut Rayyan.
Entah
kenapa sepertinya dia mula tidak sedap hati melihat senyuman Amy tadi. Macam tidak boleh dipercayai saja. Nampaknya,
selepas ini dia perlu berwaspada. Mana tahu Amy hanya menipunya saja. Ya, dia
perlu waspada!
Kita bersambung lagi ye....
~Hai awak2 semua. Macam biasa, kalau ada kekurangan jangan segan2 drop komen ye. Setiap komen awak2 semua sangat dihargai...(^_^)
6 ulasan:
ok, macam biasa best :)
Terima kasih my laling...(^_^)
hehehe... next pls..
In sha allah, diup lagi nanti ye...tq ferra lezza...(^_^)
Kak ira , nak lagy ...
In sha allah, nt akak up lagi ye dik izza farhana..tq sudi baca...:D
Catat Ulasan