Teragak-agak
Nurul Ain mahu mengetuk pintu berwarna coklat keemasan itu. Hatinya
berbolak-balik. Ketuk? Jangan ketuk? Ketuk? Jangan ketuk? Sekejap tangannya di
permukaan pintu, sekejap digenggam. Hatinya berbolak-balik.
“Nurul Ain! Kenapa susah sangat nak
ketuk ni? Dah buat salahkan? Jadi, kenalah minta maaf. Ketuk Nurul Ain. Ketuk!
Berani kerana benar!” Nurul Ain meniupkan semangat buat dirinya. Nafas ditarik
sedalam mungkin cuba membangkitkan semangat. Kemudian, dihembus perlahan-lahan.
Sesudah dirasakan semangat mampir sedikit dalam diri, dia memberanikan tangan
mengetuk permukaan pintu.
Tuk! Tuk! Tuk!
Tiada jawapan dari dalam. Dia ketuk
lagi.
Tuk! Tuk! Tuk!
“Ya, masuk!” sahut suara dari dalam.
Sekali lagi Nurul Ain menarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Kemudian barulah
dia memulas tombol pintu.
“Assalammualaikum, encik,” ucapnya
sebaik masuk.
Ameer Qalish mendongak. Dia sedikit
tercengang dengan kehadiran gadis di hadapannya.
“Wa’alaikumsalam…”
Nurul Ain menghadiahkan senyuman
manis kepada lelaki itu. Tentu sekali Ameer Qalish semakin tercengang dengan
apa yang dilihat. Belum pernah rasanya gadis di hadapannya ini tersenyum manis
bak gula-gula lolipop seperti saat ini. Biasanya jika bertemu muka dengannya
hanya senyum sejemput diberikan.
“Encik Ameer, err… maaf kalau saya
ganggu. Boleh saya ambil masa encik sikit?” tanya Nurul Ain yang masih berdiri
di hadapan bos sementaranya itu.
“Tak. Awak tak ganggu pun Ain. Boleh…
silakan duduk.” Ameer Qalish mempelawa gadis itu duduk. Bagai mimpi pula dia
melihat Nurul Ain masuk ke biliknya. Ke diam memang sedang bermimpi ni?
Penuh berhati-hati Nurul Ain menarik
kerusi lalu duduk. Kini, dia sudah berhadapan dengan anak saudara majikannya.
Bibir tetap mengukir senyum. Bekas lutsinar yang berisi karipap sejak dari tadi
dipengangnya, disorong perlahan ke hadapan Ameer Qalish.
Berkerut dahi Ameer Qalish. Dia
langsung tidak mengerti dengan perbuatan Nurul Ain. Bekas lut sinar di
hadapannya dipandang saja. Apa maksudnya? Nurul Ain yang faham dengan reaksi
itu segera menerangkan hal sebenar.
“Encik Ameer, pemberian saya
bukanlah punya maksud lain. Bukan juga untuk merasuah encik atau apa. Saya tahu
rasuah itu salah di sisi undang-undang. Malah, agama Islam kita pun melarang.
Saya ikhlas memberi sebagai tanda maaf…” ujar Nurul Ain terhenti seketika.
Nafas ditarik lagi lalu hembus.
Ameer Qalish pula fokus mendengar.
Dia membetulkan duduknya dan merapatkan tubuh ke meja.
“Sebenarnya…
saya… saya ingin memohon maaf atas apa yang berlaku semalam. Memang salah saya…
dan saya akui. Sebetulnya, saya tak tahu perbuatan saya semalam boleh melanggar
disiplin kerja. Saya betul, betul… tak tahu encik. Jadi, saya mohon agar encik
tak ambil tindakan disiplin atau buang saya kerja. Dan, saya harap… Encik Ameer
maafkan saya juga. Saya janji selepas ini perkara ni takkan terjadi lagi.” Penuh
pengharapan dan rendah diri Nurul Ain berkata.
Nurul Ain tidak mahu dibuang kerja. Dia selesa
berkerja di sini. Lagi pula, dia perlu menyimpan wang sendiri untuk melanjutkan
pengajian di universiti sekiranya diterima nanti. Dapatlah dia meringankan
beban abah dan ibunya nanti. Kos untuk masuk ke universiti bukanlah murah.
Memerlukan belanja yang besar juga. Jadi, seboleh mungkin dia tidak mahu hilang
kerja sementara menunggu keputusan UPU diumumkan.
Ameer Qalish ketawa kecil, kemudian
berkata.
“Awak tak perlu minta maaf dan
lakukan semua ni Ain. Sebaliknya, sayalah yang perlu minta maaf pada awak.”
Nurul Ain pandang lelaki itu. Dia
tidak faham dengan kata-kata lelaki itu. Anak mata mereka bersambung. Namun,
dia melarikan pandangannya. Tidak selesa begitu.
“Maksud encik?”
“Ain… sebenarnya dalam kilang ni tak
ada pun peraturan yang melarang pekerja keluar sekejap untuk minum. Saya saja
nak uji awak semalam. Di luar jangkaan saya, awak menangis. Saya ingat awak
akan lawan balik kata-kata saya tapi sebaliknya. Ain… saya minta maaf ya,” terang
Ameer Qalish dengan rasa bersalah. Dialah penyebab gadis itu menumpahkan air
mata. Dan, itulah kali pertama dia lihat seorang gadis menangis gara-garanya.
Otak Nurul Ain pantas memproses
kata-kata lelaki itu. Bermakna kejadian semalam itu, Ameer Qalish sengaja
hendak mengenakannya? Ameer Qalish pula sebaik melihat reaksi gadis itu, rasa
bersalahnya semakin menggunung. Itulah, siapa suruh sakat anak dara orang
sampai menangis?
“Jadi, yang semalam tu encik kenakan
sayalah?” tanyanya serius. Hilang terus senyuman di bibirnya.
“Maafkan saya Ain. Bukan maksud saya
untuk kenakan awak…”
Nurul Ain cuba menanam sabar.
Ikutkan hati, mahu saja dia memarahi lelaki di hadapannya ini. Namun, dia
menahan rasa hatinya. Yang di hadapannya ini adalah anak saudara kepada majikannya
merangkap bos sementaranya. Kalau di hadapannya ini adalah kawan sendiri, sudah
lama diberikan ceramah percuma. Lagi pula, entah kenapa berhadapan dengan
lelaki ini marahnya seperti mudah mengendur. Pelik bin ajaib?
”Tak apalah. Saya maafkan encik.
Tapi, saya harap lepas ni encik tak buat macam tu lagi.”
“Mudahnya awak maafkan saya. Awak
tak marahkan saya? Betul ke ni?” soal Ameer Qalish ragu-ragu. Bagai tidak
percaya pula. Begitu senang Nurul Ain memaafkannya.
Nurul Ain mengangguk. Senyum nipis
diukir.
“Tak ada sebab saya tak maafkan dan
marah encik. Itu cuma hal kecil saja. Tak perlulah panjang-panjang cerita. Nanti, sampai bila pun
tak habis. Cuma, itulah… saya harap perkara tu tak berulang lagi. Bolehkan
encik?”
“Okey, saya janji Ain. Saya takkan
buat macam tu lagi. Serik saya tengok awak menangis semalam. Saya janji!”
Bersungguh Ameer Qalish menyatakan janjinya.
“Terima kasih, encik. Err… saya
keluar dulu. Waktu rehat pun sekejap lagi dah nak habis.” Nurul Ain mengerling
jam di tangan lantas bangun. Dia yang sudah berura-ura hendak melangkah ke
pintu terhenti langkahnya apabila namanya dipanggil. Pantas dia menoleh.
“Ya, Encik Ameer?”
“Ain, terima kasih sebab awak
maafakan saya. Terima kasih juga sebab bagi saya karipap ni. kebetulan saya
tadi tak sempat keluar rehat sebab nak siapkan kerja. Bolehlah saya alas perut
dengan karipap pemberian awak ni. Awak buat sendiri ke beli?”
“Err… beli. Ya, saya beli.” Nurul
Ain mereka cerita, padahal karipap itu dia sendiri yang buat. Untuk sarapannya
pagi ini dan juga untuk diberikan kepada Ameer Qalish. Pemberiannya itu sebagai
tanda dia ikhlas meminta maaf kepada Ameer Qalish, atas perbuatan yang dianggap
sememangnya salahnya. Biarlah Ameer Qalish tidak tahu. “Encik jemputlah makan.
Saya keluar dulu.”
“Ya.”
Pandangan mata Ameer Qalish
memerhati langkah kaki gadis itu sehingga pintu tertutup. Kemudian, dia beralih
pula ke bekas lut sinar di hadapannya. Bibir lantas mengukir senyum lebar.
~*~*~*~*~*~
Nurul
Ain berjalan mahu menuju ke tempat kerjanya. Waktu rehat sebentar lagi sudah
hampir tamat. Jadi dia perlu bersedia untuk memulakan kerja. Tiba-tiba bahunya
disenggol seseorang dari belakang. Dia lantas menoleh ke kanan. Aminah memandangnya
sambil tersengih-sengih.
“Eeii… Apa main senggol-senggol ni?”
rungut Nurul Ain geram. Dia gosok lengannya yang disenggol Aminah tadi. Bukan
sakit pun sebenarnya.
“Ehem… ehem… Orang tu tak nak cerita
sesuatu dekat kita ke?” kias Aminah sambil jongketkan kening. Bibirnya mengukir
senyum sinis.
“Cerita apa?” Nurul Ain buat-buat
tidak faham.
Aminah cekak pinggang. Mata
dikecilkan memandang sahabatnya itu. Lagak seperti emak tiri mula hendak naik
angin.
“Buat-buat tak faham pula dah! Tu,
yang awak baru keluar dari bilik Encik Ameer, apa cerita?”
Nurul Ain diam seketika. “Tak ada
cerita yang menarik punlah. Kan tadi aku cakap nak pergi minta maaf pasal hal
semalam. So, itu ajelah,” selamba saja jawapnya.
Dia
singgah di singki khas untuk pekerja membasuh tangan. Pili paip dibuka.
Kedua-dua belah tangan diletakkan di bawah pili paip. Sebelum melakukan kerja,
pekerja haruslah membasuh tangan dengan betul terlebih dahulu. Selepas itu
perlu memakai sarung tangan dan memulakan kerja. Ini supaya tangan pekerja
terhindar dari kekotoran sebelum melakukan kerja. Bekerja dalam industri
membuat makanan perlulah sentiasa bersih. Kalau tidak, ditakuti produk akan
tercemar.
“Eleh, tipu! Mesti ada sesuatu
terjadi dalam tu. Kalau tak, kenapa kau lama sangat dekat dalam? Weh,
ceritalah!” desak Aminah beria. Siap buat aksi menggedik lagi!
“Dah ceritalah tadi tu. Nak cerita
apa lagi? Mana ada cerita disebaliknya lagi Cik Aminah sayang oii…”
Aminah pandang Nurul Ain dengan
pandangan tidak percaya. Sebagai wartawan tidak berbayar dan bertauliah, dia
kurang puas hati dengan jawapan Nurul Ain itu. Dirasakan ada cerita yang
disembunyikan oleh Nurul Ain darinya.
“Betul ke ni?” tanya Aminah meleret.
“Betul!”
“Macam susah nak percaya aje…”
Kali ini Nurul Ain pula mencekak
pinggang. Geram sungguh dengan perangai sahabatnya yang seorang ini susah
sangat mahu mempercayainya. “Tak nak percaya, sudah! Baik aku pergi buat kerja
sekarang. Takut nanti kena marah lagi. Cik Aminah sayang, baik awak pergi basuh
tangan tu cepat. Saya pergi dulu ya. Bye…”
Malas
mahu melayan kerenah Aminah lagi, dia terus berlalu. Dia buat tidak layan saja
dengan wajah monyok sahabatnya itu.
“Ain!” rengus Aminah.
~*~*~*~*~*~
Tubuh
dihempas ke sofa. Terasa letih sungguh tubuh badannya saat ini. Matanya juga
sedari tadi seperti mahu tertutup saja. Kuapan mulut juga tidak dapat ditahan
lagi. Beginilah keadaan dia saat-saat ‘bendera merah.’ Pasti tubuhnya mudah
letih. Ditambah lagi dengan
kerja yang banyak hari ini, semakin letihlah tubuhnya.
“Allah! Penatnya hari ni…” rungutnya
perlahan.
“Ain, ini… minum air ni.”
Ibu menghulurkan air putih sejuk di
dalam gelas. Nurul Ain segera menegakkan tubuhnya. Huluran ibu disambut.
“Ibu… buat apa susah-susah. Ain
boleh ambil sendiri kalau nak.”
“Alah, bukan susah pun Ain. Setakat
ambil air segelas. Tak berat mana. Lagi pun, ibu kesian tengok anak ibu ni.
Nampak penat benar bekerja…”
Nurul Ain ukir senyum. Dia
melentokkan kepala yang masih bertudung ke bahu ibunya. Senang dia bermanja
begitu.
“Penat sikitlah, bu. Dah namanya
kerja cari rezeki, kan? Tentulah penat… tapi puas hati sebab puas hati dapat
jana pendapatan dengan usaha sendiri,” ujar Nurul Ain jujur.
“Kesian anak ibu…” Ibu mengelus
lembut kepalanya.
Nurul Ain tersenyum suka. Dia suka
apabila dielus begitu. Terasa diri disayangi. Pipi ibu dikucup kejap. Kemudian,
bahu ibu dipeluk mesra. Inilah wanita paling dia sayang dalam dunia. Tiada
tandingan!
“Hurmm… Abah mana, bu? Tak nampak
pun dari tadi.” Kelibat abahnya tidak nampak dari tadi. Biasanya waktu-waktu
begini abah duduk di ruang tamu sambil membaca Al-Quran. Dia kembali menegakkan
duduknya.
“Abah pergi hantar kuih buah melaka
dekat rumah pak ngah. Semalam pak ngah cakap dia mengidam nak makan kuih tu.
Nak harapkan mak ngah, Ain tahulah mak ngah tu tak sihat sangat. Jadi ibu
tolong buatkan. Biar hilang sikit mengidam pak ngah tu. Itu pun kuih kegemaran
Ain juga, kan?”
Laju anggukkan Nurul Ain. Dia juga
sukakan kuih itu. Kegemarannya!
“Sedapnya, bu… Lepas Ain mandi
nanti, Ain nak makan kuih ibu yang sedap sangat tu banyak-banyak. Sampai perut
Ain bulat macam kuih buah melaka!” selorohnya sambil ketawa.
Ibu turut ketawa dengan gelagatnya.
Nurul Ain juga turut ketawa sendiri dengan lawaknya.
“Oh ya... Sabtu nanti Ain kerja ke?”
tanya ibu sambil memandang wajahnya.
“Tak. Minggu lepas dah giliran Ain.
Kenapa, bu?”
“Baguslah macam tu. Sabtu nanti Ain
tolong ibu masak ya. Kita masak lauk istimewa sikit.”
Berkerut dahi Nurul Ain. Siapa akan
datang sampai ibu hendak masak makanan istimewa? Ada tetamu jauh hendak datang
ke?
“Untuk apa masak lauk istimewa, bu?
Ada saudara mara jauh nak datang?”
Ibu menggeleng. “Taklah. Kawan abah
nak datang rumah. Kata abah, kawan dia tu baru pindah duduk dekat kawasan kita
ni. Abah jumpa dia dekat masjid. Jadi, abah jemput dia datang ke rumah. Kiranya
nak raikan kedatangan orang tulah kut.”
“Ooo…” Bibirnya membentuk ‘O’ sambil
kepala mengangguk faham.
Abah memang begitu. Baik hati sangat
sampai jemput orang yang baru pindah ke rumah mereka. Siapa yang tidak kenal
dengan abah di sini? Orangnya mesra alam. Siapa-siapa pun boleh dijadikan kawan
berbual walaupun baru kenal. Tetapi, kadang-kala dia khuatir juga dengan sikap
terlampau mesra abahnya itu. Manalah tahu ada yang mahu ambil kesempatan.
“Tapi ibu… abah ni baik hati
sangatlah. Patut siasat dulu siapa orang tu baru jemput ke rumah, bu. Ini tak,
abah main ajak aje. Manalah tahu orang jahat ke, perompak ke…” omel Nurul Ain
sedikit tidak puas hati.
“Hish, tak baiklah fikir buruk macam
tu Ain. Fikir yang baik-baik ajelah!” tegah ibu. Paha Nurul Ain ditepuk. Ngeri
juga apabila mendengar kata-kata anaknya itu.
Nurul Ain menggosok-gosok pahanya
ditepuk ibu tadi. “Aduii… Bukan nak fikir buruk, bu. Sekadar berwaspada…”
jawapnya sambil sengih.
“Sudahlah. Tak nak fikir lagi. Ain
ni buat ibu takut aje. Jadi, Ain bolehlah tolong ibu ya?”
Nurul Ain mengangguk laju. Sudah
tentulah boleh. Selalukan dia tolong ibu di dapur jika hari bercuti. Cuma, bila
hari bekerja saja dia tidak dapat membantu kerana menjelang petang baru balik. Tahu-tahu
bila balik kerja, semua telah ibu sediakan. Dia tinggal cuci tangan dan makan
saja.
“Boleh, ibu. Boleh!”
“Okeylah macam tu. Nanti ibu
fikirkan nak masak apa. Ain pergilah mandi dulu. Tadi ibu ada masakkan mihun goreng putih untuk
minum petang. Bahagian Ain ada dekat tudung saji tu…”
“Oh ya… Wah, sedapnya! Okeylah, Ain pergi
mandi dululah, bu. Perut pun dah lapar bila ibu cakap ada mihun goreng putih.”
Nurul Ain berlalu masuk ke biliknya. Mahu mandi dan selepas itu mahu mengisi
perutnya. Lapar!
~Assalammualaikum. Hai readers! Hari ni giliran cerpan DBH (part 6) pulak. Jemput la baca. Maaf kalau ada kekurangan. Sila drop komen di bawah kalau sudi. Komen aje, ira tak marah. Enjoy reading! ^-^
4 ulasan:
guess what? entah2 abamameer i xtetamu istimewanya? hahahahaha
yang tu kena tunggu next chapt la..hehehe
best juga cite nie, entah2 kawan abah tu Ameer punya keluarga. hehe tak sabra nak tunggu sambungan cite nie.
Tq sis rozita kadiman sudi baca. Insyallah, nt ira smbung lg ya ^_^
Catat Ulasan