Rabu, 3 Disember 2014

Cerpan : Dengarlah Bintang Hatiku... ( Part 6 )



Teragak-agak Nurul Ain mahu mengetuk pintu berwarna coklat keemasan itu. Hatinya berbolak-balik. Ketuk? Jangan ketuk? Ketuk? Jangan ketuk? Sekejap tangannya di permukaan pintu, sekejap digenggam. Hatinya berbolak-balik.

“Nurul Ain! Kenapa susah sangat nak ketuk ni? Dah buat salahkan? Jadi, kenalah minta maaf. Ketuk Nurul Ain. Ketuk! Berani kerana benar!” Nurul Ain meniupkan semangat buat dirinya. Nafas ditarik sedalam mungkin cuba membangkitkan semangat. Kemudian, dihembus perlahan-lahan. Sesudah dirasakan semangat mampir sedikit dalam diri, dia memberanikan tangan mengetuk permukaan pintu.
           
Tuk! Tuk! Tuk!
            
Tiada jawapan dari dalam. Dia ketuk lagi.
           
Tuk! Tuk! Tuk!
            
“Ya, masuk!” sahut suara dari dalam. Sekali lagi Nurul Ain menarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Kemudian barulah dia memulas tombol pintu.
           
“Assalammualaikum, encik,” ucapnya sebaik masuk.
            
Ameer Qalish mendongak. Dia sedikit tercengang dengan kehadiran gadis di hadapannya.
            
“Wa’alaikumsalam…”
            
Nurul Ain menghadiahkan senyuman manis kepada lelaki itu. Tentu sekali Ameer Qalish semakin tercengang dengan apa yang dilihat. Belum pernah rasanya gadis di hadapannya ini tersenyum manis bak gula-gula lolipop seperti saat ini. Biasanya jika bertemu muka dengannya hanya senyum sejemput diberikan.
           
“Encik Ameer, err… maaf kalau saya ganggu. Boleh saya ambil masa encik sikit?” tanya Nurul Ain yang masih berdiri di hadapan bos sementaranya itu.
            
“Tak. Awak tak ganggu pun Ain. Boleh… silakan duduk.” Ameer Qalish mempelawa gadis itu duduk. Bagai mimpi pula dia melihat Nurul Ain masuk ke biliknya. Ke diam memang sedang bermimpi ni?
            
Penuh berhati-hati Nurul Ain menarik kerusi lalu duduk. Kini, dia sudah berhadapan dengan anak saudara majikannya. Bibir tetap mengukir senyum. Bekas lutsinar yang berisi karipap sejak dari tadi dipengangnya, disorong perlahan ke hadapan Ameer Qalish.
            
Berkerut dahi Ameer Qalish. Dia langsung tidak mengerti dengan perbuatan Nurul Ain. Bekas lut sinar di hadapannya dipandang saja. Apa maksudnya? Nurul Ain yang faham dengan reaksi itu segera menerangkan hal sebenar.
            
“Encik Ameer, pemberian saya bukanlah punya maksud lain. Bukan juga untuk merasuah encik atau apa. Saya tahu rasuah itu salah di sisi undang-undang. Malah, agama Islam kita pun melarang. Saya ikhlas memberi sebagai tanda maaf…” ujar Nurul Ain terhenti seketika. Nafas ditarik lagi lalu hembus.
            
Ameer Qalish pula fokus mendengar. Dia membetulkan duduknya dan merapatkan tubuh ke meja.

“Sebenarnya… saya… saya ingin memohon maaf atas apa yang berlaku semalam. Memang salah saya… dan saya akui. Sebetulnya, saya tak tahu perbuatan saya semalam boleh melanggar disiplin kerja. Saya betul, betul… tak tahu encik. Jadi, saya mohon agar encik tak ambil tindakan disiplin atau buang saya kerja. Dan, saya harap… Encik Ameer maafkan saya juga. Saya janji selepas ini perkara ni takkan terjadi lagi.” Penuh pengharapan dan rendah diri Nurul Ain berkata.

Nurul Ain tidak mahu dibuang kerja. Dia selesa berkerja di sini. Lagi pula, dia perlu menyimpan wang sendiri untuk melanjutkan pengajian di universiti sekiranya diterima nanti. Dapatlah dia meringankan beban abah dan ibunya nanti. Kos untuk masuk ke universiti bukanlah murah. Memerlukan belanja yang besar juga. Jadi, seboleh mungkin dia tidak mahu hilang kerja sementara menunggu keputusan UPU diumumkan.
            
Ameer Qalish ketawa kecil, kemudian berkata.
            
“Awak tak perlu minta maaf dan lakukan semua ni Ain. Sebaliknya, sayalah yang perlu minta maaf pada awak.”
            
Nurul Ain pandang lelaki itu. Dia tidak faham dengan kata-kata lelaki itu. Anak mata mereka bersambung. Namun, dia melarikan pandangannya. Tidak selesa begitu.
            
“Maksud encik?”
            
“Ain… sebenarnya dalam kilang ni tak ada pun peraturan yang melarang pekerja keluar sekejap untuk minum. Saya saja nak uji awak semalam. Di luar jangkaan saya, awak menangis. Saya ingat awak akan lawan balik kata-kata saya tapi sebaliknya. Ain… saya minta maaf ya,” terang Ameer Qalish dengan rasa bersalah. Dialah penyebab gadis itu menumpahkan air mata. Dan, itulah kali pertama dia lihat seorang gadis menangis gara-garanya.
            
Otak Nurul Ain pantas memproses kata-kata lelaki itu. Bermakna kejadian semalam itu, Ameer Qalish sengaja hendak mengenakannya? Ameer Qalish pula sebaik melihat reaksi gadis itu, rasa bersalahnya semakin menggunung. Itulah, siapa suruh sakat anak dara orang sampai menangis?
            
“Jadi, yang semalam tu encik kenakan sayalah?” tanyanya serius. Hilang terus senyuman di bibirnya.
            
“Maafkan saya Ain. Bukan maksud saya untuk kenakan awak…”
            
Nurul Ain cuba menanam sabar. Ikutkan hati, mahu saja dia memarahi lelaki di hadapannya ini. Namun, dia menahan rasa hatinya. Yang di hadapannya ini adalah anak saudara kepada majikannya merangkap bos sementaranya. Kalau di hadapannya ini adalah kawan sendiri, sudah lama diberikan ceramah percuma. Lagi pula, entah kenapa berhadapan dengan lelaki ini marahnya seperti mudah mengendur. Pelik bin ajaib?
            
”Tak apalah. Saya maafkan encik. Tapi, saya harap lepas ni encik tak buat macam tu lagi.”
            
“Mudahnya awak maafkan saya. Awak tak marahkan saya? Betul ke ni?” soal Ameer Qalish ragu-ragu. Bagai tidak percaya pula. Begitu senang Nurul Ain memaafkannya.
            
Nurul Ain mengangguk. Senyum nipis diukir.
            
“Tak ada sebab saya tak maafkan dan marah encik. Itu cuma hal kecil saja. Tak perlulah  panjang-panjang cerita. Nanti, sampai bila pun tak habis. Cuma, itulah… saya harap perkara tu tak berulang lagi. Bolehkan encik?”
            
“Okey, saya janji Ain. Saya takkan buat macam tu lagi. Serik saya tengok awak menangis semalam. Saya janji!” Bersungguh Ameer Qalish menyatakan janjinya.
            
“Terima kasih, encik. Err… saya keluar dulu. Waktu rehat pun sekejap lagi dah nak habis.” Nurul Ain mengerling jam di tangan lantas bangun. Dia yang sudah berura-ura hendak melangkah ke pintu terhenti langkahnya apabila namanya dipanggil. Pantas dia menoleh.
            
“Ya, Encik Ameer?”
            
“Ain, terima kasih sebab awak maafakan saya. Terima kasih juga sebab bagi saya karipap ni. kebetulan saya tadi tak sempat keluar rehat sebab nak siapkan kerja. Bolehlah saya alas perut dengan karipap pemberian awak ni. Awak buat sendiri ke beli?”
            
“Err… beli. Ya, saya beli.” Nurul Ain mereka cerita, padahal karipap itu dia sendiri yang buat. Untuk sarapannya pagi ini dan juga untuk diberikan kepada Ameer Qalish. Pemberiannya itu sebagai tanda dia ikhlas meminta maaf kepada Ameer Qalish, atas perbuatan yang dianggap sememangnya salahnya. Biarlah Ameer Qalish tidak tahu. “Encik jemputlah makan. Saya keluar dulu.”
           
“Ya.”
            
Pandangan mata Ameer Qalish memerhati langkah kaki gadis itu sehingga pintu tertutup. Kemudian, dia beralih pula ke bekas lut sinar di hadapannya. Bibir lantas mengukir senyum lebar.


~*~*~*~*~*~


Nurul Ain berjalan mahu menuju ke tempat kerjanya. Waktu rehat sebentar lagi sudah hampir tamat. Jadi dia perlu bersedia untuk memulakan kerja. Tiba-tiba bahunya disenggol seseorang dari belakang. Dia lantas menoleh ke kanan. Aminah memandangnya sambil tersengih-sengih.
            
“Eeii… Apa main senggol-senggol ni?” rungut Nurul Ain geram. Dia gosok lengannya yang disenggol Aminah tadi. Bukan sakit pun sebenarnya.
            
“Ehem… ehem… Orang tu tak nak cerita sesuatu dekat kita ke?” kias Aminah sambil jongketkan kening. Bibirnya mengukir senyum sinis.
           
“Cerita apa?” Nurul Ain buat-buat tidak faham.
            
Aminah cekak pinggang. Mata dikecilkan memandang sahabatnya itu. Lagak seperti emak tiri mula hendak naik angin.
            
“Buat-buat tak faham pula dah! Tu, yang awak baru keluar dari bilik Encik Ameer, apa cerita?”
            
Nurul Ain diam seketika. “Tak ada cerita yang menarik punlah. Kan tadi aku cakap nak pergi minta maaf pasal hal semalam. So, itu ajelah,” selamba saja jawapnya.

Dia singgah di singki khas untuk pekerja membasuh tangan. Pili paip dibuka. Kedua-dua belah tangan diletakkan di bawah pili paip. Sebelum melakukan kerja, pekerja haruslah membasuh tangan dengan betul terlebih dahulu. Selepas itu perlu memakai sarung tangan dan memulakan kerja. Ini supaya tangan pekerja terhindar dari kekotoran sebelum melakukan kerja. Bekerja dalam industri membuat makanan perlulah sentiasa bersih. Kalau tidak, ditakuti produk akan tercemar.
            
“Eleh, tipu! Mesti ada sesuatu terjadi dalam tu. Kalau tak, kenapa kau lama sangat dekat dalam? Weh, ceritalah!” desak Aminah beria. Siap buat aksi menggedik lagi!
            
“Dah ceritalah tadi tu. Nak cerita apa lagi? Mana ada cerita disebaliknya lagi Cik Aminah sayang oii…”
            
Aminah pandang Nurul Ain dengan pandangan tidak percaya. Sebagai wartawan tidak berbayar dan bertauliah, dia kurang puas hati dengan jawapan Nurul Ain itu. Dirasakan ada cerita yang disembunyikan oleh Nurul Ain darinya.
            
“Betul ke ni?” tanya Aminah meleret.
            
“Betul!”
           
“Macam susah nak percaya aje…”
           
Kali ini Nurul Ain pula mencekak pinggang. Geram sungguh dengan perangai sahabatnya yang seorang ini susah sangat mahu mempercayainya. “Tak nak percaya, sudah! Baik aku pergi buat kerja sekarang. Takut nanti kena marah lagi. Cik Aminah sayang, baik awak pergi basuh tangan tu cepat. Saya pergi dulu ya. Bye…”

Malas mahu melayan kerenah Aminah lagi, dia terus berlalu. Dia buat tidak layan saja dengan wajah monyok sahabatnya itu.
           
“Ain!” rengus Aminah.


~*~*~*~*~*~


 Tubuh dihempas ke sofa. Terasa letih sungguh tubuh badannya saat ini. Matanya juga sedari tadi seperti mahu tertutup saja. Kuapan mulut juga tidak dapat ditahan lagi. Beginilah keadaan dia saat-saat ‘bendera merah.’ Pasti tubuhnya mudah letih. Ditambah lagi dengan kerja yang banyak hari ini, semakin letihlah tubuhnya.
           
“Allah! Penatnya hari ni…” rungutnya perlahan.
            
“Ain, ini… minum air ni.”
            
Ibu menghulurkan air putih sejuk di dalam gelas. Nurul Ain segera menegakkan tubuhnya. Huluran ibu disambut.
            
“Ibu… buat apa susah-susah. Ain boleh ambil sendiri kalau nak.”
            
“Alah, bukan susah pun Ain. Setakat ambil air segelas. Tak berat mana. Lagi pun, ibu kesian tengok anak ibu ni. Nampak penat benar bekerja…”
            
Nurul Ain ukir senyum. Dia melentokkan kepala yang masih bertudung ke bahu ibunya. Senang dia bermanja begitu.
            
“Penat sikitlah, bu. Dah namanya kerja cari rezeki, kan? Tentulah penat… tapi puas hati sebab puas hati dapat jana pendapatan dengan usaha sendiri,” ujar Nurul Ain jujur.
           
“Kesian anak ibu…” Ibu mengelus lembut kepalanya.
            
Nurul Ain tersenyum suka. Dia suka apabila dielus begitu. Terasa diri disayangi. Pipi ibu dikucup kejap. Kemudian, bahu ibu dipeluk mesra. Inilah wanita paling dia sayang dalam dunia. Tiada tandingan!
            
“Hurmm… Abah mana, bu? Tak nampak pun dari tadi.” Kelibat abahnya tidak nampak dari tadi. Biasanya waktu-waktu begini abah duduk di ruang tamu sambil membaca Al-Quran. Dia kembali menegakkan duduknya.
            
“Abah pergi hantar kuih buah melaka dekat rumah pak ngah. Semalam pak ngah cakap dia mengidam nak makan kuih tu. Nak harapkan mak ngah, Ain tahulah mak ngah tu tak sihat sangat. Jadi ibu tolong buatkan. Biar hilang sikit mengidam pak ngah tu. Itu pun kuih kegemaran Ain juga, kan?”
           
Laju anggukkan Nurul Ain. Dia juga sukakan kuih itu. Kegemarannya!
            
“Sedapnya, bu… Lepas Ain mandi nanti, Ain nak makan kuih ibu yang sedap sangat tu banyak-banyak. Sampai perut Ain bulat macam kuih buah melaka!” selorohnya sambil ketawa.
            
Ibu turut ketawa dengan gelagatnya. Nurul Ain juga turut ketawa sendiri dengan lawaknya.
            
“Oh ya... Sabtu nanti Ain kerja ke?” tanya ibu sambil memandang wajahnya.
            
“Tak. Minggu lepas dah giliran Ain. Kenapa, bu?”
            
“Baguslah macam tu. Sabtu nanti Ain tolong ibu masak ya. Kita masak lauk istimewa sikit.”
            
Berkerut dahi Nurul Ain. Siapa akan datang sampai ibu hendak masak makanan istimewa? Ada tetamu jauh hendak datang ke?
            
“Untuk apa masak lauk istimewa, bu? Ada saudara mara jauh nak datang?”
            
Ibu menggeleng. “Taklah. Kawan abah nak datang rumah. Kata abah, kawan dia tu baru pindah duduk dekat kawasan kita ni. Abah jumpa dia dekat masjid. Jadi, abah jemput dia datang ke rumah. Kiranya nak raikan kedatangan orang tulah kut.”
           
“Ooo…” Bibirnya membentuk ‘O’ sambil kepala mengangguk faham.
            
Abah memang begitu. Baik hati sangat sampai jemput orang yang baru pindah ke rumah mereka. Siapa yang tidak kenal dengan abah di sini? Orangnya mesra alam. Siapa-siapa pun boleh dijadikan kawan berbual walaupun baru kenal. Tetapi, kadang-kala dia khuatir juga dengan sikap terlampau mesra abahnya itu. Manalah tahu ada yang mahu ambil kesempatan.
            
“Tapi ibu… abah ni baik hati sangatlah. Patut siasat dulu siapa orang tu baru jemput ke rumah, bu. Ini tak, abah main ajak aje. Manalah tahu orang jahat ke, perompak ke…” omel Nurul Ain sedikit tidak puas hati.
            
“Hish, tak baiklah fikir buruk macam tu Ain. Fikir yang baik-baik ajelah!” tegah ibu. Paha Nurul Ain ditepuk. Ngeri juga apabila mendengar kata-kata anaknya itu.
            
Nurul Ain menggosok-gosok pahanya ditepuk ibu tadi. “Aduii… Bukan nak fikir buruk, bu. Sekadar berwaspada…” jawapnya sambil sengih.
            
“Sudahlah. Tak nak fikir lagi. Ain ni buat ibu takut aje. Jadi, Ain bolehlah tolong ibu ya?”
            
Nurul Ain mengangguk laju. Sudah tentulah boleh. Selalukan dia tolong ibu di dapur jika hari bercuti. Cuma, bila hari bekerja saja dia tidak dapat membantu kerana menjelang petang baru balik. Tahu-tahu bila balik kerja, semua telah ibu sediakan. Dia tinggal cuci tangan dan makan saja.
           
“Boleh, ibu. Boleh!”
            
“Okeylah macam tu. Nanti ibu fikirkan nak masak apa. Ain pergilah mandi dulu.  Tadi ibu ada masakkan mihun goreng putih untuk minum petang. Bahagian Ain ada dekat tudung saji tu…”
           
“Oh ya… Wah, sedapnya! Okeylah, Ain pergi mandi dululah, bu. Perut pun dah lapar bila ibu cakap ada mihun goreng putih.” Nurul Ain berlalu masuk ke biliknya. Mahu mandi dan selepas itu mahu mengisi perutnya. Lapar!


~Assalammualaikum. Hai readers! Hari ni giliran cerpan DBH (part 6) pulak. Jemput la baca. Maaf kalau ada kekurangan. Sila drop komen di bawah kalau sudi. Komen aje, ira tak marah. Enjoy reading! ^-^






4 ulasan:

Unknown berkata...

guess what? entah2 abamameer i xtetamu istimewanya? hahahahaha

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

yang tu kena tunggu next chapt la..hehehe

Unknown berkata...

best juga cite nie, entah2 kawan abah tu Ameer punya keluarga. hehe tak sabra nak tunggu sambungan cite nie.

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Tq sis rozita kadiman sudi baca. Insyallah, nt ira smbung lg ya ^_^