Isnin, 8 Julai 2013

Sahabat Selamanya...

Padang sekolah riuh dengan sorakan pelajar. Hari ini merupakan hari pemilihan para atlit sekolah bagi pertandingan antara sekolah.Ada enam acara sukan yang perlu menentukan atlit,antaranya lompat jauh, lompat tinggi,larian berpagar,larian seratus meter,lontar cakra dan lontar peluru.

Qarina sibuk memberikan sorakan untuk sahabat baiknya, Rania. Hanya tinggal Rania dan Erlisa saja di saringan akhir untuk acara larian berpagar.

“Go, go Nia!”,penuh semangat berulang kali Qarina melaungkannya.

Cikgu Isman membunyikan wisel maka bermulalah acara larian berpagar bagi mereka. Penuh gigih Rania berlari. 

“Nia! Nia! Nia! You can do it!” Tidak putus-putus Qarina memberikan semangat. Rania cukup meminati acara ini. Sudah dua tahun dia mendapat nombor satu sehingga melayakkannya masuk ke peringkat seterusnya. Cuma apabila di tingkatan tiga dia menarik diri kerana dia ingin menumpukan kepada PMR. Tahun lepas juga dia tidak dapat menyertai kerana kecederaan semasa berbasikal. Maka tahun ini dia mengambil keputusan untuk turut serta semula. Katanya hendak melepaskan gian.

Sekali lagi Cikgu Isman membunyikan wiselnya. Berakhirlah acara itu. Rania menunjukkan cap jempolnya ke arah Qarina setelah dia sampai ke garisan penamat. Rania dan Erlisa berjumpa dengan Cikgu Isman setelah itu. Kelihatan raut wajah Rania ceria manakala Erlisa pula sudah bertukar cemberut.

“Macam mana?” tanya Qarina tidak sabar hendak tahu.

“Aku terpilih. Yeah!” Dua sahabat ini melonjak gembira.

“Wah,hebatlah kau,Nia." Qarina tumpang gembira dengan kejayaan Rania. Dia yakin sahabatnya itu mampu ke peringkat seterusnya.

“Qarin,tengoklah siapa kawan kau ni.Ranialah katakan," seloroh Rania berbangga diri.

“Eee,puji diri sendirilah tu. Masuk lif tekan sendiri nampak." Tawa mereka lepas serentak. Qarina menghulurkan tuala dan botol air mineral kepada Rania sebelum mereka berborak lagi.

Dari jauh Erlisa melihat pasangan itu berborak sambil ketawa membuatkan dia cemburu.Dia mendekati kedua-dua gadis itu.

“Alah,kau tak payahlah nak bangga sangat. Terpilih peringkat sekolah aje pun."

Bualan mereka terhenti sebaik saja Erlisa tiba-tiba bersuara. “Yang kau sibuk sangat tu kenapa?Jeles apa? Eh,jagalah tepi kain kau tu sendiri," balas Rania yang sudah melihat Erlisa semacam. Mereka berdua bak musuh. Pantang berjumpa dan duduk dekat pasti akan berlaku pertengkaran.

“Aku ni yang dah dua tahun terpilih berturut-turut tak adalah nak gebang sangat." Sengaja Erlisa mahu menyakiti hati Rania. Dia sememangnya suka menjadi pembakar kemarahan gadis itu.

“Alah, kalau tahun lepas aku tak undur diri sebab kaki aku terseliuh tak ada maknanya kau dapat mewakili sekolah berturut-turut. Kalau jadi wakil pun setakat dapat nombor tiga saja pun buat apa." Rania tidak mahu mengalah.

Wajah Erlisa sudah kelat. Dia terdiam tidak mampu membalas kata-kata. Memang benar tahun sudah dia menggantikan Rania yang terseliuh kakinya ketika menunggang basikal. Rania merupakan atlit larian berpagar paling popular di sekolah kerana ketangkasannya. Namanya sering meniti dibibir-bibir cikgu di sekolah mereka. Qarina pula merupakan pelajar terbaik, selain pembelajaran dia juga aktif dengan pelbagai persatuan. Gandingan mereka berdua sering juga mendapat pujian dan itu yang menyebabkan Erlisa berasa tercabar setiap kali berhadapan dengan dua sahabat ini.

“Apasal? Hilang modal nak cakap lagi?”

Erlisa menjeling tajam kepada Qarina dan Rania sebelum berlalu pergi.

“Sakit hatilah tu. Jeles. Ada aku kisah kau dapat wakil sekolah berturut-turut. Hish, tiba-tiba nak naik angin tak tentu pasal. Period apa?” bebel Rania sendiri. 

“Dah biarlah dia. Kau tahukan dia tu macam mana. Jomlah pergi kantin. Tapikan Nia aku rasa tak baiklah kau cakap macam tu tadi. Macam memperkecilkan orang aje." Lengan Rania ditarik supaya jalan seiring dengannya.

“Ya ke? Ah, lantaklah siapa suruh dia sibuk-sibuk hal orang. Biar dia sedar sikit."

Mereka sama-sama meninggalkan padang untuk ke kantin.


~*~*~*~*~


Pagi itu Qarina dan Rania sampai awal ke sekolah. Rania sibuk menyiapkan latihan Bahasa Melayunya yang tidak sempat disiapkan kerana tertidur.

Qarina mengeluarkan bekas berwarna putih dan diletakkan di atas meja. “Nia ni aku ada bawak karipap keledek. Mak aku buat. Meh sarapan sama-sama," ajaknya dan membuka penutup bekas itu.

Terhenti gerakan tangan Rania yang sibuk menulis. Bau karipap itu membuatkan dia terliur. Memandangkan dia tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah pagi ini, perutnya terus saja berbunyi apabila terbau karipap buatan mak Qarina.

“Terima kasih,Qarin. Kau macam tahu-tahu saja aku belum sarapan. Lapar ni," Sambil mengunyah Rania kembali menyambung kerjanya.

“Qarin,kau dah siap latihan matematik tambahan? Aku nak pinjam. Ada lima lagi soalan aku belum sempat siapkan." Rania sudah membuat muka comelnya. Faham benar dengan perangai dia ini. Qarina senyum saja.

“Dah. Kejap eh." Qarina mengeluarkan buku latihannya. Dia dan Rania sering saja bertukar-tukar buku apabila ada kerja belum dibereskan. Mereka juga sering belajar bersama secara bergilir di rumah masing-masing setiap hujung minggu.

Erlisa menjadi orang ketiga masuk ke kelas mereka pada hari itu. 

“Hai orang popular pun tak siap homework. Hish, memalukan," pedas sindirannya sebelum dia ke tempat duduknya di belakang Rania.

Panas hati Rania mendengarnya. Dia ni pagi-pagi nak buat orang naik darah apahal? Dia berpaling ke belakang. “Eh, kau ni suka sibuk hal orang ni buat apa? Orang popular pun manusia jugak apa .Eleh, cakap orang. Entah-entah dia pun tak siap sama," sinis Rania memulangkan paku buah keras Erlisa.

Qarina disebelah menjadi khuatir dengan pertelingkahan mulut itu. Janganlah mereka bergaduh pula di sini. Kecoh nanti.

“Tolong sikit. Aku ni budak baik. Semua kerja dah siap," Erlisa memuji diri sendiri .Hendak tergelak Rana mendengarnya, Eee... perasan nak mampus. Budak baiklah sangat.

“Nia, dahlah tu… Tak payah layan dia. Kerja kau tak siap lagi kan? Nanti cikgu marah pula." Dia faham benar dengan Erlisa yang suka mencari pasal.Cepat-cepat dia menegah apabila melihat mulut Rania sudah sedia untuk membalas kata-kata Erlisa. Dia tidak mahu pergaduhan itu berterusan.

 Rania tidak jadi hendak membalas. Betul juga kata Qarina. “Baik aku sambung buat kerja daripada layan kau. Buang masa." Terus dia kembali kepada asal semula.



~*~*~*~*~


Perhimpunan pagi itu telah pun tamat. Murid-murid diarah masuk ke kelas masing-masing.

Sementara menunggu Cikgu Norleha, guru Bahasa Melayu merangkap guru kelas 5(A) masuk, semua pelajar menyediakan keperluan pembelajaran terlebih dahulu. Selang lima minit, Cikgu Norleha masuk ke kelas.Di belakangnya,pula diekori seorang budak lelaki yang tidak pernah mereka lihat. Budak baru agaknya.

Budak lelaki itu menarik minat Rania. Hensemnya dia. Siapa dia ni agaknya ya?

“Selamat pagi murid-murid”.

“Selamat pagi cikgu”.serentak satu kelas berdiri dan mengucapkan selamat pagi kembali.

"Murid-murid sebelum kita memulakan pembelajaran saya ingin memperkenalkan pelajar baru. Ini adalah Muhammad Aiman. Dia akan bersama-sama kita di kelas mulai hari ini. Saya harap awak semua akan melayan dia dengan baik. Aiman awak boleh duduk di sana. Sebelah Farhan." Cikgu Norleha memperkenalkan pelajar baru itu kepada pelajar-pelajar 5(A). Aiman diarahkan duduk di tempat kosong diantara Farhan dan Rania.

Rania tidak senang duduk. “Hensemnya dia, Qarin. Ada orang bakal jatuh hati ni!” Perlahan Rania berkata kepada Qarina di sebelahnya

Qarina hanya  senyum saja melihat gelagat sahabatnya itu. Rania memang begitu. Pantang melihat budak lelaki kacak mulalah dia teruja semacam.

Tanpa mereka sedar,Erlisa di belakang sudah tersenyum sinis. Habislah kau orang. Satu rancangan jahat berlegar-legar di kepalanya. Aku akan buat kau orang sampai putus sahabat. Itu janji aku!


~*~*~*~*~


“Hai, Aiman ,” sapa Rania kepada Aiman.

 “Hai." Mesra Aiman membalas sapaannya.

“Saya Rania. Yang ini BFF saya, Qarina." Rania memperkenalkan diri mereka kepada pelajar baru itu. Qarina pula hanya tersenyum nipis kepada Aiman. Entah kenapa dia berasa tidak selesa dengan lelaki itu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

 “Oh…”,pendek saja respon Aiman. Masih malu-malu agaknya.

“Aiman tak nak pergi ke kantin ke?” Rania cuba mengajak Aiman berbual sebanyak yang mungkin. Qarina disebelahnya hanya memerhati saja.

“Nak. Tapi nantilah kot."

 “Awak tak ada kawan eh nak pergi kantin? Jomlah, join kita orang sekali."

Aiman seperti berfikir sejenak. “Bolehlah. Lagi pun saya tak tahu sangat selok-belok sekolah ini." Dia bersetuju.

 Meleret senyuman Rania. Yes, dia nak join sama. Bolehlah aku korek cerita sikit tentang dia. “Nanti lepas makan saya bawak awak round satu sekolah. Itu pun kalau awak nak?”

“Boleh ke? Tak menyusahkan awak nanti?”

“Eh, mana ada menyusahkan .Tak apa, saya tak kisah. Saya nak membantu awak supaya awak kenal dengan sekolah ni. Ya tak Qarin? ,Rania meminta Qarina menyokongnya melalui bahasa mata.

Lantas  Qarina mengangguk.

 “Kalau macam tu okeylah. Lepas ni awak berdua tunjukkan saya eh." Jawapan itu membuatkan hati Rania berbunga-bunga.

Qarina, Rania dan Aiman melangkah bersama ke kantin. Erlisa pula hanya memerhatikan mereka di muka pintu dengan senyuman jahat.


~*~*~*~*~


Hari demi hari hubungan Rania dan Aiman semakin rapat. Bohonglah kalau Qarina berasa tidak diketepikan, cuma dia tidak mahu terbawa-bawa dengan rasa itu demi menjaga persahabatan mereka.

“Qarin!Aku ada berita baik!” Tiba-tiba Rania muncul disebelahnya.

“Berita baik? Apa dia?”

 “Aiman…dia ajak aku pergi tengok wayang hujung minggu ni. Inilah masa yang aku nanti-nantikan. Bestnya!” Raut wajah Rania memperlihatkan dia sangat gembira. Tidak sampai hati pula Qarina hendak mengungkit janji mereka beberapa hari lepas.

 “Tapikan kita dah janji nak study sama hujung minggu ni?”

Rania menepuk dahinya. Dia hampir terlupa dengan janji mereka. “Aduh…aku terlupalah. Nak buat macam mama erk? Aku dah janji dengan Aiman pula tu. Hmm... Qarin boleh tak kita postpone study kita hujung minggu ni. Kita ganti minggu depan ya?"

Keluhan kecil keluar dari mulut Qarina namun tidak didengari Rania. “Tak apalah. Kita study sama minggu depan sajalah," jawabnya perlahan. Walaupun terasa tetapi Qarina tetap mengukir senyum nipis,

“Terima kasih Qarin. Kau sangat memahami. Aku sayang kau!.Kau nak join kami sekali tak?”

“Tak kot. Kau orang pergilah. Aku tak nak kacau daun”.

Rania tersenyum senang. “Okeylah kalau macam tu. Aku janji minggu depan kita study sama-sama eh." Dia mengangkat tangan kanannya berjanji. Qarina mengangguk saja.

Aiman berdiri di sebelah Rania. “Dah?”

“Dah. Kejap eh. Qarin aku nak pergi library kejap teman Aiman."

 “Yalah." Qarina hanya memandang sepi langkah mereka berdua. Dia ditinggalkan lagi.

“Kesian kau Qarin. Nia tu bila dah ada kawan lain terus lupakan kau. Kalau akulah, aku takkan kawan dengan orang macam tu. Kawan lupakan kawan. Ibarat kacang lupakan kulit." Tiba-tiba Erlisa di belakangnya bersuara.

Qarina membiarkan saja. Tiada niat langsung hendak membalas. Tidak. Rania bukan seperti itu. Dia tidak akan termakan dengan kata-kata Erlisa.


~*~*~*~*~


Petang itu Rania menghadiri latihan larian. Qarina dan Aiman pula menghadiri perjumpaan ahli Kelab Bahasa Inggeris. Qarina awal-awal mengatakan dia tidak boleh menemani Rania di padang kerana perlu pulang awal hari ini. Lagi pula dia tahu Aiman pasti ada untuk menemani Rania.

“Qarin,awak nak terus balik ke?”tanya Aiman tiba-tiba.

"Yup.  Bukan ke awak kena pergi teman Nia?”

 “Err… tak. Saya ingat nak terus balik. Awak pun terus balik kan. Apa kata kita balik sama?”

 “Err… emm…” serba salah Qarina hendak menolak.

“Kenapa? Awak takut Nia marah ya. Tak adalah. Awak kan kawan baik dia, takkan dia nak marah pula. Kita bukannya buat apa pun. Cuma balik sama-sama. Lagi pun jalan kitakan satu arah." 

Betul juga kata Aiman. Mereka cuma pulang bersama saja, bukan buat apa pun.

“Okeylah kalau macam tu." Terpaksa dia bersetuju apabila Aiman seakan beria.



~*~*~*~*~*~


Rania mendongkol geram. “Kalau tahulah latihan dibatalkan tak payahlah aku duduk kat tengah-tengah padang tu. Apasal tak cakap awal-awal," rungutnya geram.

“Nia!” Ada suara melaung namanya dari arah belakang. Dia berpaling. Kelihatan Erlisa berjalan mendekatinya. Nak apa pula perempuan ni? Cari pasal lagi ke?

“Apa hal panggil aku ni?”

 “Tak adalah .Apasal kau tak balik lagi?”

 Eh, Lisa ni mimpi apa pulak tanya soalan macam tu dekat aku.Tak pernah-pernah.

“Tadi ada latihan larian. Tapi last minute batal," jawab Rania malas.

 “Hmmm… aku ingat kau dah balik. Tadi aku nampak Aiman dan Qarin dah balik sama. Err…aku tak sampai hati pulak nak cakap dengan kau."

Terkejut Rania mendengarnya. Aiman rupanya sudah pulang. Bukan ke dia kata nak temankan aku?Tup-tup dia dah balik dengan Qarina. Erlisa berlakon seperti dia tidak sampai hati hendak menyampaikan sesuatu kepada Rania.

“Cakap ajelah apa dia. Selalu kau kalau nak bercakap tak bertapis,” ejek Rania. Erlisa sedikit terasa namun didiamkan saja. Cuba menahan rasa marah demi misinya.

“Err… Nia harap kau tak marah eh.Tadi aku nampak Qarin dengan Aiman macam mesra aje. Tak sama bila ada kau." Erlisa cuba mencucuk jarum fitnahnya.

“Kau jangan nak buat ceritalah Lisa."

“Kalau kau tak percaya kau tanya Naufal. Dia pun nampak Aiman balik dengan Qarin tadi. Betul tak Naufal?” Erlisa berlakon bertanya kepada Naufal yang dari tadi setia di sisinya.

“Ha’ah Nia.Aku pun perasan yang dia orang tadi bukan main mesra lagi. Asyik ketawa saja. Lepas tu bertepuk tampar." Sebenarnya Naufal telah pun disogok supaya menyedapkan jalan cerita.

Hati Rania sedikit tergaris juga dengan dakwaan Erlisa dan Naufal. Takkanlah Qarin dan Aiman suka sama suka pulak? 

“Tak. Kau orang saja buat ceritakan?" Dia cuba untuk tidak mempercayai kata-kata mereka.

“Ya alah… Aku berani sumpahlah Nia. Qarin balik dengan Aiman sambil tu dia orang bertepuk tampar lagi. Mesra macam pasangan kekasih kau! Hish, semacam saja aku tengok dia orang berdua tu," tambah Naufal lagi. Dia mengerling Erlisa yang mengenyit mata kepadanya. Nampaknya Rania seperti sudah termakan dengan kata-kata mereka berdua. Bagus!

“Tapikan Nia, tadi aku ada terdengar Qarin yang minta mereka balik bersama. Aiman biasa aje aku tengok.Aiman ada kata nak teman kau tapi Qarin kata tak payah. Dia desak Aiman teman dia balik juga..Aku pun dengar gitu-gitu aje." Makin ligat Erlisa membuat cerita.

Serta merta hati Rania menjadi panas. Betulkah Qarina begitu? Dia cuba melawan prasangka namun tidak mampu. Apa Qarina juga punya hati pada Aiman?


~*~*~*~*~


“Qarin aku nak cakap dengan kau kejap," pinta Rania lalu berlalu keluar kelas. Sementara Qarina terkial-kial memasukkan buku-bukunya di dalam beg galasnya.

Awal pagi tadi Rania telah meminta penjelasan daripada Aiman. Ternyata Aiman mengakui bahawa Qarina yang mengajaknya pulang dan tidak membenarkan dia menemaninya di padang. Qarin, sampai hati kau…

“Ada apa ni Nia?”

Sejak dari pagi tadi lagi dia perasan Rania pada hari itu lebih banyak diam dengannya. Hendak menegur dia tidak sampai hati. Mungkin dia punya masalah keluarga dan memerlukan ruang.

“Qarin, betul ke petang semalam kau balik dengan Aiman?”

 Berkerut dahi Qarina. “Ha’ah. Tapi…” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya Rania sudah memotong.

“Jadi betullah kau balik dengan Aiman. Betul juga apa yang aku dengar dari dia orang cakap.” Pengakuan dari Qarina membuatkan dia mengiyakan semua kata-kata Erlisa, Naufal dan Aiman. 

“Aku tak sangka Qarin kau sanggup khianati aku." Tanpa usul periksa Rania menuduh sahabatnya itu.

“Nia, apa kau cakap ni? Siapa khianati siapa? Nia…aku memang balik dengan Aiman petang semalam tapi  setakat balik saja. Tak buat apa-apa pun. Plus, Aiman yang ajak aku balik sama," jelas Qarina. Dia tahu pasti dia difitnah oleh seseorang sehingga Rania menuduhnya begitu.

“Aiman yang ajak kau? Tapi apa aku dengar lain Qarin. Dia orang cakap yang sebaliknya. Kau tahukan sepatutnya Aiman tunggu aku balik. Kami nak balik bersama. Tapi tup-tup kau yang balik dengan dia. Apa semua ni ha?” bentak Rania. Dia sedih kerana menyangka Qarina mengkhianatinya.

“Nia, kau tak percaya aku? Aku kawan baik kau. Sepatutnya aku yang kau percaya bukan mereka. Pasal Aiman tu sumpah aku tak tahu pun. Apa yang pasti dia yang ajak aku dulu." Tiada langsung niat untuk menyakiti sahabatnya itu. Siapalah yang menfitnahnya?

“Aku dah tak percaya kau Qarin. Kau tahu aku sukakan Aiman tapi kau jugak sibuk-sibuk nak dekat dengan dia. Kau cemburukan dengan aku sebenarnya?” Rania terus-terusan menuduh Qarina.

“Ya Allah…Nia…” Qarina cuba menjelaskan namun Rania memotong.

“Sudahlah, Qarin. Tak payah nak jelaskan apa-apa. Aku kecewa sangat dengan kau. Segala kepercayaan aku pada kau dah lebur. Kalau beginilah, aku rasa kita tak payah berkawan lagi." putus Rania tanpa berfikir panjang.

“Nia… takkan disebabkan hal ni kau nak putuskan persahabatan kita?” Tidak dia sangka sejauh itu Rania berfikir.

“Aku dah buat keputusan. Kita buat hal masing-masing mulai hari ni." Tanpa menoleh ke arah Qarina,Rania terus berlalu.

 Mengalir air mata Qarina. Mengapa Rania begitu mudah mempercayai fitnah itu sedangkan dia tidak bersalah. 

“Nia…”

Hari ini ternoktahlah persahabatan mereka.


~*~*~*~*~


Qarina berasa tidak betah dengan keadaan mereka. Berhari-hari Rania menjauhinya. Tempat duduk mereka juga telah dirombak. Qarina berpasangan dengan Farah. Manakala Rania pula dengan Erlisa dibelakangnya.

Qarina mahu memujuk Rania kembali. “Nia…”

Rania tahu kehadiran Qarina namun dia tidak mengendahkan. Egonya terlalu tinggi saat ini.

“Eh, Lisa. Jomlah kita balik. Rasa panas pulak dekat sini." Tiba-tiba Rania bangun dan menarik beg sandangnya. Erlisa sudah tersenyum gembira di dalam hati. Yes! Menjadi juga rancangannya.

“Nia, tunggulah kejap…” Qarina mencengkam lengan gadis itu. Pantas Rania menarik kembali lengannya.

“Aku rasa kita dah tak ada apa-apa nak dicakapkan. Aku busy, nak balik cepat." Rania berlalu begitu saja tanpa memandang wajah Qarina.


~*~*~*~*~


Keesokan petangnya Rania sekali lagi menghadiri latihan larian. Lenguh satu badan. Mujur latihan ditamatkan lebih awal kerana langit sudah menunjukkan tanda-tanda hujan akan turun. Sebelum pulang dia mahu ke tandas terlebih dulu. Sesampai saja di pintu tandas dia mendengar suara seorang perempuan terbahak-bahak dan diikuti suara seorang lelaki. Terdetik hatinya untuk menelinga.

“Aku tak sangka Si Rania tu begitu bodoh. Mudah dipermainkan. Dia percaya aje dengan apa yang aku cakap. Bodoh!” Itu seperti suara Erlisa.

“Ha ha ha… Dia pun boleh percaya yang aku sukakan dia. Hei, setakat dia tu aku petik jari sajalah. Tapikan, kesian pulak aku dekat Qarina. Dia yang menjadi keldai hitam." Dan...itu suara Aiman. Rania sangat terkejut dengan apa yang didengarnya.

“Aku memang sengaja nak buat dia orang berpecah belah. Biar mereka bergaduh besar. Ramai cikgu-cikgu memuji dia orang pasangan ideal. Sama-sama pandailah konon. Aku jadi menyampah. Sakit telinga aku dengar tau. Tapi sekarang dah tak lagi." Semakin galak Erlisa ketawa. Kini barulah Rania tahu bahawa semua ini dirancang oleh Erlisa dan Aiman.

“Aku berterima kasih pada kau Aiman. Kaulah sepupu aku yang paling terbaik!” Apa? Aiman dan Erlisa adalah sepupu! Apa semua ni?

“Small matterlah tu. Asalkan kau puas hati, aku sanggup buat apa aje.You know that I love you so much, right?”

Erlisa hanya ketawa dan mengangguk.

Tidak! Selama ini aku dan Qarin diperbodohkan oleh mereka.Ini semua rancangan jahat mereka! Ya Allah…kesian Qarina. Aku mesti cari Qarina. Dia tidak bersalah sebaliknya Erlisa dan Aiman itu yang bersalah.Mereka memang tidak berhati perut! Jerit hati Rania. Tanpa berlengah dia berlari mendapatkan basikalnya.


~*~*~*~*~


“Assalammualaikum. Cik Ani oh… Cik Ani," panggil Rania yang masih di atas basikal.

Terjengul wajah Cik Ani di tingkap kayu itu. “Wa’alaikumsalam. Oh. Nia…”

“Cik Ani, Qarina ada tak?” tanya Rania. Kelihatan basikal milik Qarina tiada di hadapan rumah kayu dua tingkat itu.

“Tadi dia kata nak bersiar-siar kejap lepas balik sekolah. Tak ada pulak dia kata nak ke mana. Cik Ani ingat dia pergi rumah Nia. Hmm, ke mana sajalah dia tu. Kejap lagilah dia balik agaknya."

Qarina tidak ada di rumah rupanya. Ke mana pulak dia pergi ni? Rania cuba mengingati tempat-tempat dipelusuk kampung ini yang menjadi tempat kegemaran mereka melepak. Haa..aku tahu dia ada di mana. Pasti di tempat itu!

 “Tak apalah Cik Ani. Nia pergi cari dia kejap."

“Yalah."

Pantas Rania mengayuh basikalnya. Dia mahu mencari Qarina  segera. Berpanas dia mengayuh basikal akhirnya dia sampai juga ke destinasi dituju. Basikal disandarkan ke sebatang pokok besar bersebelahan basikal milik Qarina. Eh, mana Qarina ni? Dia mencari-cari kelibat sahabatnya itu. Akhirnya dia dapat mencari kelibat Qarina. Gadis itu sedang bertenggek dibuah batu besar di tepi sungai sambil termenung. Rania tersenyum dan perlahan-lahan mendekati Qarina. Pasti gadis itu berasa sedih dengan sikapnya beberapa hari lepas. Semuanya salah dia sendiri.

“Qarin…” 

Suara itu mengejutkan Qarina dari menungannya. Apa dia buat di sini? Serta merta dia mengesat sisa air mata di pipinya.

Rania melabuhkan punggungnya disebelah Qarina. Dia menatap mata Qarina yang merah seperti baru menangis. Tersentuh hati Rania melihatnya.

“Qarin…" seru Rania sekali lagi.Tangan putih itu digenggam erat. “Aku… aku nak minta maaf pada kau." Sekian kalinya dia menatap mata itu. Pandangan yang cukup mendung dilemparkan kepadanya.

 “Tentang tuduhan aku pada kau hari tu. Baru hari ini aku tahu kebenarannya dari Erlisa dan Aiman. Itu pun aku curi-curi dengar masa nak ke tanda.Qarin…Aiman tak sukakan aku pun. Dia cuma mempermainkan aku saja. Lisa pun sama dia sengaja nak buat kita bergaduh dengan mengada-adakan cerita. Dia cemburu dengan persahabatan kita, Qarin."

Tambah Rania lagi. “Satu lagi rahsia yang aku baru tahu.Lisa dengan Aiman sepupu. Dan... sebenarnya dia bercinta. Aiman ikut rancangan Lisa sebab nak puaskan hati Lisa aje. Dia orang sengaja rancang semua ni. "

Qarina yang tadinya hanya mendengar mencelah. “Dia orang sepupu? Apa motif dia orang cuba laga-lagakan kita?”

“Yup.Macam aku cakap tadilah. Lisa cemburu dengan kita berdua, dan Aiman pulak menjadi pak turut dalam rancangan jahat Lisa. Qarin… aku minta maaf sekali lagi atas apa yang aku buat pada kau dan aku tak percaya dengan kau."

Qarina kembali tersenyum semula. Rania telah menjelaskan segalanya dan telah pun minta maaf padanya jadi untuk apa lagi dia hendak memendam perasaan. Lagi pula dia rindu sangat dengan sahabat baiknya ini. 

“Aku maafkan. Tapi…dengan satu syarat."

Aik,memaafkan pun kena bersyarat? “Syarat apa?”

“Syaratnya lepas ni kau jangan nak menghukum orang sesuka hati tanpa menyiasat terlebih dulu. Sama ada dengan aku atau orang lain. Boleh?” Qarina ingin mengingati Rania supaya tidak bertindak seperti sebelum ini di masa akan datang.

“Boleh. Aku janji lepas ni takkan ada lagi masalah macam ni lagi. Aku dah serik dan tak nak kehilangan BFF aku yang  ni baik lagi comel ni.” Lantas Rania memeluk bahu Qarina.

“Macam mana kalau  Lisa buat fitnah lagi atau Aiman sengaja nak pisahkan kita semula?” soal Qarina menduga gadis dihadapannya.

“Kalau Lisa cuba fitnah kau ke apa, aku takkan semudahnya nak percaya. Aku siasat dulu baru jatuhkan hukuman. Dan… mulai hari ni aku ambil keputusan untuk putuskan hubungan dengan Aiman. Aku takkan percaya dengan budak lelaki macam dia tu lagi. Aku dah serik. Sekarang ni apa yang utama adalah pembelajaran. " Janji Rania. Kali ini dia tidak akan mudah terikut dengan kata-kata Erlisa mahupun Aiman.

“Promise?” Qarina menghulurkan jari kelingkingnya.

“Promise!”Rania menyambut huluran itu dengan jari kelingkingnya juga. “Qarin, kaulah best friend forever aku."

 Digoyangkan jari-jari mereka. Mereka berpelukan seperti melepaskan kerinduan. Qarina bersyukur kerana dia mendapat kembali sahabatnya. Manakala Rania menjanji pada dirinya untuk mempertahankan hubungan persahatan mereka walau apa pun badai melanda. Merekalah sahabat selamanya….



                                                                           
                                                              TAMAT
           
           
           

           
           

           


2 ulasan:

Asmah Hashim berkata...

banyak cerita menarik

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Terima kasih sudi baca karya2 ira yg tak seberapa ni...^_^