Sabtu, 7 Disember 2013

My Love, Mr. Kerek ~Part 18~



Kereta milik Rayyan memasuki pagar rumah banglo mewah tiga tingkat yang tersergam indah. Sewaktu pintu pagar automatik terbuka, serta merta Amy menganga. Perasaannya tak terkata. Terkejut, terkesima dan kagum bercampur aduk.

‘Wow, besar gila rumah nenek dia. Laman dia boleh buat padang bola. Dah macam istana wa cakap lu!’ desis Amy dalam hati.

Rayyan mengerling seketika disebelahnya. Dia senyum. Kelihatan gadis itu sibuk memandang ke sana sini. Pasti Amy kagum dengan rumah neneknya. Melihat dari keterujaan gadis itu melekapkan kedua-dua belah tangan dicermin kereta sambil memerhati ke luar saja dia sudah tahu. Rayyan memarkir keretanya betul-betul di hadapan pintu utama banglo keluarganya. Mak Tok serta Kak Semah sudah menunggu mereka sambil senyuman tidak lekang dari bibir. Rayyan membuka pintu kereta bersedia untuk keluar namun segera ditahan Amy.

“Encik…” Rayyan tidak jadi keluar.

“Haa, ada apa? Mak Tok dah tunggu kita tu.”

“Ermm…Kejap. Betul ke ini rumah nenek encik? Entah-entah kita salah rumah,” tanya Amy dengan kerutan di dahi. Seperti tidak yakin saja.

Rayyan ketawa mendengar pertanyaan gadis itu.

Dia ketawa pulak. Aku salah tanya ke tadi? Rasanya tak. Amy hanya memandang kosong pada Rayyan yang masih ketawa. Itu pun hendak ketawa.

“Kau ni budak kecik. Kalau ini bukan rumah Mak Tok aku. Tak ada maknanya aku dapat masuk.”

Rumah Mak Tok


Amy mengaru-garu kepalanya. Betul ke? Macam tak percaya saja.

“Betullah ini rumah Mak Tok aku. Tu dia dah ada dekat depan pun kan.” Rayyan cuab menghilangkan rasa khuatir Amy. Nampak sangat Amy seolah-olah takut mereka salah rumah. Dia yang membesar di sini dari kecil. Dia tahulah.

 Aik, dia mcam boleh baca fikiran aku aje. Ahli nujum pak belalang ke apa mamat ni? Bahaya betul dia ini!

“Yalah…” jawap Amy separuh yakin. Tangannya sudah mencapai pembuka pintu kereta.

“Eh, tak payah. Biar aku bukakan.” Tahan Rayyan membuatkan perlakuan Amy terbantut. Di hadapan Mak Toknya mereka perlulah berlakon mesra seperti benar-benar pasangan kekasih. Romantik gitu!

“Haa?”

 Rayyan terus keluar dari sebelah pemanduan. Dia pergi ke pintu sebelah penumpang yang diduduki Amy. Pintu dibuka dan dia mempersilakan Amy keluar.

 “Jom. Mak Tok dah tunggu tu.” Lembut Rayyan mempelawanya. Tangan dihulurkan.

Amy teragak-agak untuk menyambut huluran lelaki itu. Entah kenapa hatinya berdebar-debar. Amy menuntas pandangan ke Rayyan. Lelaki itu membalas pandangan matanya sambil tersenyum manis dan meyakinkan. Huluran tangannya masih belum disambut Amy.

“Jom…” pelawa Rayyan lagi. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman.

Akhirnya Amy menyambut huluran lelaki itu. Tangannya sedikit bergetar. Amy keluar dari perut kereta. Rayyan terus menutup pintu.  Dari jauh Mak Tok dan Kak Semah saling tersenyum sesame sendiri. Gembira melihat kemesraan pasangan dua sejoli itu.Nampak secocok saja.

Rayyan dan Amy mendapatkan Mak Tok dan pembantu rumah neneknya itu.

“Dah sampai cucu-cucu Mak Tok ni.”

Rayyan menyalami Mak Tok dan diikuti Amy. Setelah itu Mak Tok menarik tubuh kenit Amy dan dipeluk erat. Belakang Amy diusap lembut.

“Alhamdulillah, dapat jugak Mak Tok berjumpa dengan Amy.” Pipi Amy dijadikan sasaran bibirnya bertalu-talu. Dia bersyukur. Akhirnya dia dipertemukan juga bersama buah hati cucu kesayangannya ini. Inilah yang dia tunggu-tunggu.

“Amy sihat ke?”

“Alhamdulillah. Sihat, nek,” jawap Amy seraya tersenyum pada wanita tua itu. Dia senang dengan layanan Mak Tok Rayyan. Sepertinya diri disayangi.

“Baguslah. Amy… panggil Mak Tok, sayang. Mak Tok lebih suka kalau Amy panggil macam tu.”

“Haa… err…” Amy mengerling Rayyan seketika. Lelaki itu mengangguk kecil tanda setuju.

 “Boleh ya, panggil Mak Tok?” tanya Mak Tok sambil menuntaskan matanya ke wajah Amy. Matanya bersinar-sinar. Seperti berharap.

“Boleh nek… eh… Mak Tok.” Dia tersasul. Maklumlah tidak biasa menggunakan panggilan itu. Lidah jadi susah hendak menyebutnya.

 Mak Tok tersenyum manis. Bertambah lagi bilangan cucunya.  Senang hatinya. Entah kenapa dia berkenan benar dengan Amy. Gadis kenit dan comel ini sudah memikat hati tua ini.

Rayyan merapati neneknya. “Hai, Mak Tok. Takkan tanya Amy aje sihat ke tidak. Ayien tak mahu tanya ke?” soal Rayyan seakan-akan bernada merajuk. Mak Toknya ini apabila sudah melihat Amy, orang lain dilupakan saja.

Mak Tok ketawa kecil. Pipi Rayyan ditepuk lembut.

 “Mak Tok tak payah tanya Ayien. Kamu tu sihat memanjang. Cuma jarang nak jenguk Mak Tok dekat sini,” bebel Mak Tok kepada cucu lelakinya yang seorang ini.

Rayyan menyengih. “Alah, bukan sengaja tak mahu jenguk. Ayien busy, banyak kerja dekat pejabat tu.”

“Tengok tu Amy, banyak alasan dia. Bila Mak Tok panggil barulah dia nak jenguk kita.”

Amy senyum melihat gelagat Rayyan dan neneknya. Masing-masing suka bergurau. Mesra saja mereka ini.

Bahu Mak Tok dipaut. “Yalah… yalah. Lepas ni Ayien akan kerap datang ke mari. Mak Tok janganlah marah. Nanti cepat tua pulak,” Rayyan mengusik Mak Toknya.

“Kamu ni Ayien. Mak Tok memang dah tua pun. Eh, dahlah. Kita berbual dekat dalam. Amy, jemput masuk rumah Mak Tok yang tak seberapa ni.” Dengan ramah Mak Tok mempersilakan Amy masuk ke dalam rumah mewah miliknya.

 Tak seberapa apanya? Besar gila! Sepuluh kali ganda besar dari rumah emak abahnya. Dari luar sudah cantik, dalam apatah lagi. Tangan Amy ditarik lembut oleh Mak Tok menuju ke pintu hadapan. Mereka terlebih dahulu memasuki ruang hadapan banglo itu.

Wah! Tepat jangkaan Amy. Hiasan dalaman rumah ini sangat mewah dan eksklusif. Bertemakan warna kuning, warna diraja. Sungguh memukau mata. Mata Amy melilau sana sini. Kagum melihat penataan rias banglo milik nenek Rayyan.

Ruang tamu


“Hoi, kawal sikit mata kau tu. Dah macam orang jakun aku tengok,” bisik Rayyan yang berada rapat dibelakangnya.

Amy serta merta berpaling ke belakang. Hish, buat terkejut orang sajalah! Amy memegang dadanya yang berdegup laju. Ada juga yang kena penumbuk sebiji!

“Encik ni tak baik tau buat saya terkejut. Nasib saya tak ada heart attack,” marah Amy dalam nada perlahan.

“Ayien, Amy apa bisik-bisik tu? Nanti ajelah. Amy, mari sini duduk sebelah Mak Tok,” Mak Tok memanggil Amy yang masih tercegat berdiri di hadapannya.

“Pergilah…” arah  Rayyan dalam berbisik sambil bibirnya terus mengukir senyum ke arah Mak Tok.

Mak Tok menghulurkan tangan kepada Amy. Segera gadis itu menyambut hulurannya. Amy melabuhkan punggung di sebelah wanita tua itu.

“Akhirnya tercapai juga cita-cita Mak Tok nak berjumpa dengan girlfriend Ayien. Dah berbuih mulut ni pot pet pot pet. Baru sekarang dia bawak Amy datang rumah Mak Tok ni.,” ujar Mak Tok. Rayyan dijelingnya.

Lelaki itu hanya menyengih saja. Kak Semah datang ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi seteko kopi panas dan sepiring karipap. Kak Semah menyusun tiga biji cawan lalu menuangkan kopi panas ke satu per satu cawan yang masih kosong.

“Jemput minum Puan Sri, Ayien, Cik Amy,” pelawa Kak Semah sebelum dia bangun dan mahu beredar dari ruang tamu.

“Semah, tolong saya ambilkan dua album dekat ruang atas ya,” pesan Mak Tok sebelum Kak Semah melangkah.

“Baiklah, Puan Sri.”

Kak Semah segera berlalu ke dapur semula.

“Puan Sri ini dia.” Dua buah album bersaiz besar diberikan kepada Mak Tok.

“Terima kasih, Semah,” ucap Mak Tok kepada pembantu rumahnya itu.

Album di tangan diselak helai demi helaian. Bibir masih meloret senyuman. Mak Tok meletakkan album itu diatas paha Amy.  Terpampang di matanya gambar seorang bayi comel sedang merangkak di atas tilam kecil. Sepertinya foto ini adalah foto lama kerana warnanya agak pudar. Rasa mahu cubit saja pipi tembamnya.

“Siapa ni Mak Tok?” tanya Amy dengan dahi berkedut. Dia tertarik dengan wajah comel bayi yang dalam perkiraannya berusia enam bulan hingga setahun.

Rayyan masa baby. Comel!!


 “Haa… Amy kalau nak tahu, inilah Ayien masa umur dia lapan bulan.  Baru pandai merangkak,” terang Mak Tok.

Rayyan yang sedang bermain game di dalam telefon pintarnya terhenti apabila terdengar Mak Tok menyebut namanya. Apa pulak Mak Tok aku ni? Di jengahkan sedikit kepalanya. Mak Tok dan Amy ralit melihat sesuatu di dalam album besar itu. Gambar baby. Macam kenal saja. Erk, itukan gambar aku masa baby lagi! Adoi, Mak Tok ni…

“Tengok pipi dia. Bulat semacam!” Mak Tok mengulas tentang salah satu gambar di dalam album. Memang bulat!

“Ha’ah. Bulat! Montel!” ulas Amy pula dengan suara sengaja dikuatkan. Biar Rayyan dengar komennya.

Membesar mata Rayyan mendengar komen dari Amy.  Oh… mengejek akulah tu!

“Amy nak tahu tak. Masa Ayien kecik-kecik dulu, semua orang panggil dia pau.” Semakin ramah neneknya membuka pekungnya kepada Amy.

“Pau? Mesti sebab pipi dia yang montel ni kan Mak Tok,” ujar Amy lagi sambil mengerling seketika pada Rayyan di hadapannya. Mereka bertentang mata dan Amy melemparkan senyuman sinis. Senyuman mengejek. Padan muka!

“Betul tu. Masa tu dia suka bila orang panggil dia pau. Bila panggil saja dia akan ketawa.”

 Pipi Rayyan sudah merah. Buat apalah Mak Tok memberi Amy melihat gambarnya sewaktu kecil? Memalukan saja.

“Amy tengok yang ini pulak. Masa ni Ayien berumur dua tahun.” Mak Tok menunjukkan sekeping gambar lagi. Kali ini mulut bayi itu a.k.a Rayyan masa kecil comot sekali. Sudahlah comot, menangis pula. Comel saja Rayyan masa itu.

Amy ketawa. Mak Tok juga turut sama.

Rayyan mengurut dahinya. Malunya tidak terkata lagi. “Mak Tok, tak payahlah tunjukkan dia gambar-gambar tu semua. Memalukan ajelah.”

“Biarlah. Tak lama lagikan Amy dah nak jadi isteri Ayien. Biarlah dia tengok.”

Bakal isteri? Amy yang sedang menyisip kopi panas hampir saja mahu tersembur. Mujur dia menahan. Kalau tidak sudah pasti Rayyan menjadi mangsa semburan kopi panas dari mulutnya. Dia terbatuk-batuk kecil.

“Alah, bukannya comel pun. Baik Mak Tok tunjukkan gambar lain,” dalih Rayyan. Dia tidak mahu Amy melihat gambarnya lagi.

“Awak… Apa pulak tak comelnya? Comel apa! Macam pau!” Amy mengangkat sedikit album itu dan dia cuba memadankan gambar bayi dan realiti Rayyan sekarang ini.

Bibir diketap geram. Dia memberi isyarat agar Amy tidak lagi melihat gambar itu namun hanya sia-sia. Amy tetap menyelak helaian yang seterusnya dengan muka selamba. Mata Amy tertancap pula pada sekeping gambar. Di dalam gambar itu ada dua orang insan bersama dengan Rayyan. Dua insan yang sedang memeluk erat tubuh kecil Rayyan. Siapa mereka ini? Ibu ayah Rayyan ke?

“Mak Tok, ini siapa?” tanpa segan Amy bertanya. Perasaan ingin tahunya sangat kuat.

Berubah sedikit riak gembira Mak Tok. Air mukanya jadi keruh. Alamak! Dia salah tanya ke?

“Maaf. Mungkin Amy tak patut tanya. Kita tukar gambar lain ya.” Amy sudah bersedia mahu menyelak ke halaman seterusnya tapi pantas ditahan Mak Tok.

“Yang ini… Anak perempuan dan menantu Mak Tok. Mama dan papa Ayien. Me… mereka sudah meninggal dunia lapan belas tahun yang lalu akibat kemalangan.” Mak Tok mengesat sedikit hujung kelopak matanya.

Dia terkenang kembali pada dua insan kesayangannya. Nyawa mereka berdua diragut sewaktu mereka tiga beranak baru pulang daribercuti. Allah maha mengasihi, mujur Rayyan selamat dari kemalangan ngeri itu. Walaupun anak dan menantunya meninggalkannya namun dia tidak ralat kerana ada Rayyan sebagai waris mereka. Dialah yang menjaga dan memberi kasih sayang yang sepenuhnya buat pemuda itu.

Amy lantas menutup album itu. Bahu wanita bergelar Mak Tok dipaut lembut. Salahnya juga kerana terlalu gatal untuk bertanya. Amy membuang pandangan pada Rayyan pula. Melalui bahasa mata, dia meminta maaf kepada lelaki itu. Namun, Rayyan membalasnya dengan senyuman kelat dan hambar.

“Maafkan Amy ya Mak Tok…” ucap Amy serba salah.

Mak Tok mengusap lembut rambut Amy.  “Tak apa. Amy tak salah pun.”


~*~*~*~*~*~


Usai solat, telekung ditanggalkan dan dilipat lantas disangkut ke tempat khas untuk telekung dan sejadah. Kak Semah yang menunjukkan bilik ini kepadanya setelah Mak Tok mengarahkannya.  Amy duduk sebentar dibirai katil bilik tetamu itu.  Tilam bercorak bunga-bunga berwarna emas dan putih dia sentuh. Lembut dan pastinya selesa jika mambaringkan tubuh. Keluarga Rayyan dan keluarganya jauh berbeza sekali.

“Dia enggang, aku hanya pipit. Amy, kau dengan Rayyan bagai langit dengan bumilah.” Amy bercakap dengan dirinya sendiri.

Bilik tetamu


Segera dia bangun dan memperbetulkan semula cadar yang sedikit renyuk. Ada pula nanti dia dimarahi. Sesuka hati saja duduk di katil yang bukan miliknya. Setelah itu dia merapikan diri sebelum turun ke tingkat bawah.

 “Eh, Cik Amy…” tegur Kak Semah yang sibuk membasuh mengelap pinggan.

Dapur

Amy duduk berhadapan dengan wanita berusia 30-an itu. Dia memberikan senyuman buat Kak Semah.

“Kak Semah, tak payah bercik dengan saya. Panggil Amy aje. Saya ni bukan siapa-siapa pun.”  Terasa janggal pula. Baginya, dia cuma seorang pelajar kolej biasa.

“Mana boleh macam tu Cik Amy. Nanti Puan Sri dan Ayien marah Kak Semah. Cik Amykan tetamu rumah ni,” ujar Kak Semah memberikan senyuman kepada Amy. Baik budaknya. Peramah lagi. Jauh beza dengan sepupu Rayyan yang rambut karat itu, Cik Ella. Puji Kak Semah dalam diam.

“Kak Semah, saya tak selesa dengan panggilan tu. Tak apa, Kak Semah panggil saya Amy aje, ya?”

Kak Semah


Baru saja Kak Semah hendak menjawab Rayyan memotong. Lelaki itu elok saja bersandar di pintu dapur.

“Kak Semah, ikut aje cakap dia.”

“Tapi…”

“Tak apa. Kalau dia lebih selesa macam tu, panggil aje dia Amy. Macam Ayien jugak. Kak Semah pun panggil Ayien ajekan.”

Amy senang dengan pembelaan Rayyan.

“Baiklah. Kak Semah panggil Amy aje,” Kak Semah bersetuju.

Rayyan mendekati Amy dan tangan gadis itu ditariknya.

“Nak pergi mana?” tanya Amy yang sesekali matanya mengerling Kak Semah. Kalaulah wanita itu tidak ada di situ, sudah pasti dia menentang kaki Rayyan. Suka hati dia saja hendak menarik tangan orang.

“Pergi depanlah sayang. Mak Tok dah lama tunggu dekat sana,” jawap Rayyan dengan suara lemak manis. Berlakon saja tu!

Rayyan menarik Amy supaya berdiri. Amy menurut saja.

“Amy ke depan dululah Kak Semah,” dia meminta diri.

“Ya… ya,” sahut Kak Semah dengan senyum penuh makna. Bagai pinang di belah dualah dia orang ni. Memang padan sangat!

“Eh… eh… apa pegang-pegang ni?” Amy berang melihat tangan Rayyan masih mendarat di tangannya. Dia cuba melepaskan namun cengkaman lelaki itu sungguh kuat.

Rayyan menghentikan langkah.

“Nak bawak kau pergi depanlah.”

“Saya boleh jalan sendirilah. Ingat saya ni buta ke?” marah Amy. Dia memberikan jelingan maut kepada Rayyan.

Rayyan yang terpandang jelingan itu serta merta tersenyum. Dia tertarik melihat jelingan Amy. Nampak semakin comel pula apabila gadis itu bermasam muka. Haih, Rayyan tolong jaga mata ya!

“Aku takut kau lari aje”

Berkerut dahi Amy.  Buat apa dia mahu lari? Buang karen sajalah. Poyo betul alasan dia.

“Apa kes saya nak lari. Kalau saya nak lari dari sebelum masuk rumah ini la. Sekarang saya dah ada dekat sini. Mak Tok pun dah jumpa saya.”

Tangan Amy dilepaskan.

“Sebagai langkah keselamatan aje. Manalah tahu kan?” ujar Rayyan menyengih.

Naik angin Amy jadinya. Langkah keselamatan konon. Menyampah.

“Amy…. Ayien.” Panggil Mak Tok setelah terlihat kelibat mereka berdua.

“Ya, Mak Tok…” sahut Amy.

Amy menentang pandangan Rayyan semula. Kecik besar, kecik besar saja dia melihat Rayyan saat ini.

“Pau!” ejeknya sebelum berlari anak mendapatkan Mak Tok. Puas hati dapat mengejek lelaki itu secara berdepan.

“Kau…” Belum pun Rayyan sempat menghabiskan kata-katanya Amy sudah menjauhkan diri. Dia bercekak pinggang.

“Amy tidurlah rumah Mak Tok. Dekat sini Mak Tok tak ada teman. Harapkan Kak Semah aje. Tidurlah ya?” sayu saja suara Mak Tok. Alahai, dia jadi tidak sanggup pula hendak mendengar rayuan wanita tua itu. Jadi tidak sampai hati pula. Mak Tok tak ubah seperti Opahnya di kampung. 

“Lain kalilah Mak Tok. Lagi pun Amy ada kelas esok pagi,” Amy terpaksa menolak secara lembut.  Kalaulah dia boleh, dengan senang hati dia terima pelawaan nenek Rayyan ini. Masalah dia sememangnya tidak boleh berbuat begitu. Ada pula emak abah mencarinya merata tempat.

Riak Mak Tok sedikit kecewa.

“Tak apalah. Tapi lain kali kalau Amy ke sini mesti tidur tau.  Rumah Mak Tok sentiasa terbuka untuk Amy,” ujar Mak Tok. Walaupun kecewa dia terpaksa terima.  Dia faham situasi Amy sebagai seorang pelajar kolej.

Tubuh Amy sekali lagi dipeluknya. Kali ini lebih lama. Umpama melepaskan rindu. Mak Tok melepaskan tubuhnya.

 “Terima kasih Amy sudi datang ke rumah Mak Tok. Lain kali jangan segan-segan datang lagi ya. Amy kena ingat, rumah Mak Tok ni sentiasa terbuka untuk Amy, sayang.”

“Ya, Mak Tok. Terima kasih jugak sebab sudi terima Amy di sini. In sha Allah, kalau ada peluang lagi Amy ke sini.” Amy menyalami tangan wanita berusia itu. Rasa sedih pula hendak meninggalkan wanita ini.

Giliran Rayyan pula menyalami Mak Toknya. Bahu pemuda itu ditepuk lembut oleh Mak Tok.

“Kamu ni Ayien nanti bawak-bawaklah Amy datang rumah Mak Tok lagi. Kamu pun selalulah jenguk-jenguk Mak Tok dekat sini,” pesan Mak Tok kepada cucu bertuahnya seorang ini.

“Ya, Ayien tahu Mak Tok.”

“Ermm… Hati-hati bawak kereta tu.”

Amy sudah berdiri di tempat penumpang bersebelahan tempat pemandu.  Pintu dibuka. “Assalammualaikum, Mak Tok,” ucap Amy sebelum meloloskan diri ke dalam perut kereta.

“Wa’alaikumsalam,” balas Mak Tok dengan nada sayu.

Kereta milik Rayyan sudah bergerak melepasi pagar automatik. Serentak itu sebuah kereta Swift berwarna merah memasuki perkarangan rumah banglo Mak Tok. Ella keluar dari perut kereta. Beg tangan disebelah diambil dan disangkut ke bahu setelah itu dia menutup pintu keretanya.  Ella segera merapati Mak Tok.

“Mak Tok itu bukan Rayyan ke?” tanya Ella.

“Ya. Dia ke sini dengan Amy tadi.”

What? Dengan perempuan kolot tu?” Dia tidak percaya dengan kata-kata neneknya.  Perempuan kolot itu datang rumah Mak Toknya. Tapi kenapa?

“Ella, jaga sikit mulut kamu tu,” tegur Mak Tok.

“Apa dia buat dekat sini? Mak Tok, Rayyan dengan perempuan… err… Amy ada bincang apa-apa ke?” Mujur saja dia tidak terlepas memanggil Amy sebagai ‘Perempuan kolot’ lagi.  Kalau tidak pasti Mak Tok membebelkannya sekejap lagi. Dia perlu tahu apa yang dilakukan perempuan itu di sini. Manalah tahu mereka berbincang hal perkahwinan Rayyan dengan perempuan tidak cukup umur itu. Oh, tidak! Dia takkan biarkan itu berlaku sama sekali!

“Bincang apa pulak? Ayien bawak Amy jumpa Mak Tok untuk berkenalan saja. Kamu ni macam-macamlah.”

 “Bukan dia datang sini sebab nak bincang pasal wedding ke?”

“Kamu ni merepek apalah Ella. Sudah tak perlu jaga tepi kain orang. Yang kamu ni, kenapa dah lama tak nampak batang hidung? Kamu dengan Ayien sama saja perangainya…” bebel Mak Tok sambil dia melangkah untuk masuk ke dalam rumah.

Ella membuntut saja di belakang sambil menutup telinga.  Sudah mulalah Mak Toknya hendak bersyarah. Namun, dia sudah tidak kisah lagi. Yang penting perempuan itu ke sini bukanlah kerana hendak membincangkan hal penyatuan antara perempuan itu dengan sayangnya. Ini bermakna dia masih ada peluang lagi untuk memikat Rayyan.  Ella sudah tersenyum.



Bersambung lagi la ye...

~As salam dan hai semua yg setia membaca MLMK tnpa jemu. Macam biasa, kalau ada kekurangan atau kesilapan dalam n3 kali ni sila drop komen awak2 semua dekat bawah tau. Ira tersangatlah menghargai jasa anda mengomen. Utk pengetahuan semua, MLMK di blog sampai part 20 aje. Selepas tu Ira nak membuat penyempurnaan manuskrip. Apa2 pun enjoy reading!!






           
           
           
           
           
           
           

            

7 ulasan:

Unknown berkata...

ok, just ada few word yang kena perbaiki

Unknown berkata...

Best !! X sbar dah nak bca next n3 ..

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Nurul Nuqman, ok kak nanti ira perbaiki lagi..:D

Izza Farhana, in sha allah nt akak up lagi...tunggu ye..hehe :D

Unknown berkata...

jalan ceritanya semakin menarik... next entry kasi panjang lagi boleh?? hehehe...

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Hehe...in sha allah, ferra leza..tq sudi baca ye..:D

Unknown berkata...

Best.

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Thanks baby mio sudi baca n follow MLMK..:D